SELAYANG PANDANG

Selamat datang kepada pengunjung peminat dan penggiat kesusasteraan, khususnya yang berminat dalam bidang teori, kritikan dan penulisan puisi ke blog Teori dan Kritikan Sastera. Blog ini menyediakan maklumat akademik berkaitan sejarah dan perkembangan bidang ilmu teori dan kritikan sastera di Barat dan di Malaysia. Selain itu, terdapat juga sisipan puisi, peribahasa dan pelbagai informasi tentang kegiatan kesusasteraan tanah air. Anda juga boleh kunjungi laman blog puisi saya di http://anjungpuisi.blogspot.com/ Semoga ilmu yang dikongsi dalam blog ini dapat memanfaatkan perkembangan ilmu saudara/i ke arah memahami dan mengenali kebesaran dan keluasan ilmu Allah SWT. - a.halim ali

Tuesday, December 29, 2009

MENGGUNAKAN TEORI DALAM KRITIKAN

Dalam kajian akademik, teori ialah satu kerterangan tentang suatu realiti yang wujud dalam bentuk abstrak. Menggunakan teori untuk diaplikasikan terhadap teks bermakna pengkaji mengambil pendekatan deduktif dalam kajiannya. Yakni menggunakan teori ke atas data (teks). Kajian seperti ini lazimnya bukan bertujuan untuk menghasilkan teori baharu, tetapi untuk mengesahkan realiti yang wujud secara absrtak itu terhadap data yang sedia ad dalam teks.
Pendekatan deduktif ini amat popular dalam kalangan pengkaji dalam bidang kesusasteraan Melayu. Pengkaji memilih teori-teori yang sedia ada yang difikirkan sesuai dengan tujuan kajian untuk diaplikasikan ke atas teks. Teks adalah sumber data yang tersedia ada. Jadi, berasaskan idea teori, teks dianalisis untuk menemukakan signifikasinya. Contohnya, pengkaji ingin mengkaji unsur-unsur Islam dalam puisi Melayu moden. Teori yang sesuai digunakan sebagai kerangka konsep/teori ialah teori Takmilah, teori Pengkaedahan Melayu, teori Estetika Bersepadu, teori An-Nur al-Ghazali dan sebagainya. Berpandukan permasalahan dan tujuan kajian, pengkaji tentunya berupaya menemukan unsur-unsur keindahan dalam teks puisi Melayu moden (yg dipilih pengkaji) berdasarkan idea teori-teori tersebut. Kajian seperti ini pernah dilakukan oleh Ahmad Kama Abdullah (Kemala) yang mengkaji unsur-unsur Islam dalam puisi Melayu moden di peringkat sarjana dengan menggunakan teori keindahan An-nur al-Ghazali. Demikian juga kajian oleh Samsina Abdul Rahman yang mengkaji unsur-unsur tasauf dalam puisi-puisi Melayu moden menggunakan idea teori `Takmilah janaan Shafie Abu Bakar.

KRITIKAN PRAGMATIK

Kritikan Pragmatik juga dikenali sebagai kritikan Retorik (Rhetoric Criticism). M.H. Abrams menggunakan istilah pragmatik bagi menjelaskan jenis kritikan yang melihat kepada hasil seni sebagai memhasilkan makna pada akhirnya. Matlamat penulisan karya dan bagaimana ianya sampai memberi kesan kepada khalayak menjadi matlamat utama kritikan ini (Stevens B.K. & Stewart Larry L.1996:25).
Kritikan Pragmatik melihat karya sastera sebagai sesuatu yang dibangunkan untuk memberikan kesan-kesan tertentu kepada khalayak, sama ada kesan-kesan yang menyetuh rasa, kesenangan, kesan moral, kesan ditaktif, kesan estetik atau kesan-kesan lain. Pengkritik akan menumpukan kepada keberhasilan karya sastera memberi kesan yang boleh mencapai matlamat penulisannya.
Karya-karya sastera sastera baik dalam pelbagai bentuk dan genre dianggap boleh memberi kesan langsung kepada khalayak. Pengkritik akan meninjau tindak balas psikologi khalayak daripada pembacaan karya atau penghayatannya terhadap sebarang kegiatan sastera. Kesan-kesan ini dapat dikesan berpandukan kepada aspek-aspek psikologi seperti emosi, perasaan dan sikap khalayak itu sendiri.
Refleksi psikologi yang menyentuh dan meninggalkan kesan kepada khalayak yang mengamati sesebuah karya menunjukkan ukuran dan kesan pengaruh sesebuah karya itu. Kritikan ini tentunya memerlukan pengetahuan tentang disiplin psikologi untuk mnejadikan hasil kritikannya lebih objektif.
Menurut Abrams, kritikan ini sangat berpengaruh dalam sejarah perkembangan sastera era romantisisme hingga ke abad 18, dan dihidupkan semula pada zaman ini oleh pendokong kritikan retorik yang menekankan strategi estetik untuk menarik dan mempengaruhi tanggapan-tanggapan pembacannya kepada masalah yang dikemukakan dalam karya sastera (Rachmat Djoko Pradopo,1997:27).

Sunday, December 27, 2009

KRITIKAN MIMETIK

Kritikan ini berasaskan teori Mimesis oleh Plato dan Aristotle. Plato percaya, bahawa karya seni adalah tiruan daripada dunia sebenar. Apa yang dipersembahkan dalam karya seni bagi Plato adalah sebuah salinan semula. Tindakan seniman menulis semula kebenaran itu ke dalam karya seni dianggap Plato sebagai satu `peniruan`, maka dengan itu kebenaran yang ada dalam karya seni (yang ditiru) itu adalah kebenaran yang palsu.
Kritikan Mimetik melihat karya sastera sebagai tiruan dari sebuah realiti. Dalam melakukan kerja-kerja kritikan, pengkritiK berusaha menunjukkan dan membuktikan kebenaran. Kebenaran yang dimaksudkan ini ialah kebenaran yang ada di luar teks berbanding dengan gambaran yang ada dalam teks. Karya-karya sastera beraliran realisme sesuai dikritik menggunakan kritikan in dengan mengambilkira beberapa pertimbangan kontekstual sewaktu melakukan kritikan.

KRITIKAN IMPRESIONISTIK

Kritikan Impresionistik menekankan kepada usaha melahirkan atau menggambarkan dengan kata-kata tentang sikap dan perasaan terhadap sesuatu karya yang dibaca. Pengkritik memberi tanggapan (ekspresi diri) terhadap sesebuah karya sastera tanpa sebarang standard kritikan yang khusus sebagaimana Kritikan Judisial. Kritikan ini dikatakan sebagai tidak mendalam dan tidak menghalusi karya, sebaliknya lebih menitikberatkan soal emosional tanpa memberatkan soal-soal kausaliti dan aturan kritikan yang tertentu.
T.S.Eliot menyebutkan kritikan Impresionistik sebagai kritikan estetik. Pengkritik akan menunjukkan kesan-kesannya terhadap sesuatu objek dengan memberi tafsiran-tafsiran untuk mengkagumkan pembaca dan menimbulkan kesan-kesan indah kepada pembaca (Rachmat Djoko Pradopo:1997:25). Lazimnya, pengkritik hanya menceritakan semula apa yang dibaca dalam karya dan memberi tafsiran-tafsiran atau tanggapan-tanggapan sendiri terhadap karya dan apa yang dibacanya. Pengkritik dalam keadaan ini tidak melakukan penilaian berasaskan standard kritikan yang tertentu.
Dalam tradisi kritikan sastera Melayu di peringkat awal, Lebai Ketayap sering memberi kritikan yang bersifat impresionistik ini terhadap karya-karya Munshi Abdullah.

BERKENAAN PEMBENTANGAN KERJA KURSUS

Kpd Sdri Siti Fatimah.
berkenaan tarikh pembentangan pada minggu ke-9 yg dikatakan bertembung dgn masa cuti. apa-apa p-erubahan akan saya maklumankan dari semasa ke semasa dlm kelas atau melalui blog ini.

Wednesday, December 23, 2009

JENIS-JENIS KRITIKAN

Selain daripada dua pembahagian kritikan yang dibincangkan sebelum ini iaitu kritikan teoretikal dan praktikal, terdapat juga para sarjana ya ng membahagikan kritikan kepada beberapa jenis yang lain. Antaranya ialah kritikan judiasial, kritikan Mimetik, Kritikan Objektif, Kritikan Induktif, Kritikan Impresionistik, Kritikan Pragmatik dan Kritikan Ekspresif.

Kritikan Induktif.

Kritikan Induktif ialah kritikan yang menjelaskan bahagian-bahagian sastera berlandaskan fenomena-fenomena yang ada secara objektif (Rachmat Djoko Pradopo:1997:23). Jenis kritikan ini tidak mementingkan kepadan nilai karya yang dinilai sama ada karya itu berkualiti tinggi atau rendah, sebaliknya ia lebih kepada mengkategorikan karya sastera kepada jenis-jenis tertentu. Oleh itu, kritikan induktif tidak terikat kepada peraturan-peraturan yang khusus bagi menilai karya sastera sebagaimana kritikan Judisial yang akur kepada peraturan atau norma-norma tertentu dalam kerja-kerja kritikan. Kritikan ini berusaha menemukan nilai-nilai seni dengan meletakkan seni sebagai satu `objek` alam yang juga tertakluk kepada perubahan dan perkembangan. Tidak ada standard atau aturan yang mendahului kritikan ini. Ini juga bermakna, pengkritik tidak terikat kepada apa-apa kaedah yang boleh mengongkong tanggapannya terhadap cara mendekati karya.

MAKLUMAN 2 KEPADA PELAJAR UKP 6033

TUGASAN PELAJAR UKP 6033
Sila ambil perhatian bagi pelajar sarjana UKP 6033

Tugasan sdr/i seperti berikut:-

1. Menyiapkan satu cadangan penyelidikan berkenaan tajuk projek/disertasi anda
40 % (15-20 halaman)
2. Merekabentuk soal soal selidik berkaitan dgn projek/disetasi sdr/i
= 20% (3-4 halaman).
3 Membuat ringkasan bacaan 5 buah buku berkaitan tajuk projek/disetasi sdr/i
= 10% (3 halaman)
4. Pembentangan (cadangan penyelidikan pada no.1) = 10% (power point)
5. Ujian terbuka 10%

Tugasan hendaklah disiapkan dengan lengkap dan sempurna mengikut format yang telah ditetapkan, dan perlu dihantar dalam minggu ke-8
Pembentangan ditetapkan pada minggu ke 9

T. kasih
Abdul Halim Ali

Monday, December 21, 2009

MAKLUMAN KPD PELAJAR SARJANA

Makluman berkaitan kursus ini boileh sdr/i rujuk dalam blog ini pada bahagian catatan tepi (sidebar). Sila tinggalkan pesanan atau pertanyaan dalam ruang `komen atau emel kepada saya pada alamat a.halimali@yahoo.com.

Saturday, December 19, 2009

KRITIKAN PRAKTIKAL

Kritikan Praktikal (practical criticism) juga disebut sebagai Kritikan amali atau krtitikan `terapan` (applied criticism). Pengkritik secara langsung akan terlibat dalam kerja-kerja kritikan terhadap karya sastera, yang melibatkan tindakannya membaca, menghayati dan menganlisis karya berkenaan. Dalam kritikan ini, pengkritik menggunakan sesuatu teori atau pendekatan yang telah sedia dimakluminya dan mengaplikasikannya dalam kerja-kerja kritikannya itu. Contoh karya kritikan praktikal ialah Esei-esei kritikan oleh John Dryden, Lives of the Poets oleh Dr. Johnson,). Rasa- Fenomenologi, penerapan terhadap karya-karya A.Samad Said (1998) oleh Sohaimi Abdul Aziz, The questions of Hamlet (1959) oleh Harry Levin, Novel SHIT dalam analisis Semiotik oleh Mana Sikana, Sajak Pualng si tanggang oleh Muhammad Haji Salleh dalam bacaan Historisisme Baru oleh Abdul Halim Ali dan lain-lain lagi.

KRITIKAN TEORETIKAL

M.H.Abrams (1957:35-36) menjelaskan kritikan teoretikal bererti sebarang perkara yang berhubung dengan teori-teori mengenai kritikan. Ia termasuk perbincangan di sekitar definisi, prinsip, konsep, kriteria, pendekatan atau metodologi, kategori, geneologi, fungsi dan sebagainya. Bergerak atas dasar-dasar teoretikal ini, kritikan ini bertujuan untuk menjelaskan istilah-istilah, kategori-kategori yang akan digunakan untuk menganalisis dan menilai sesebuah karya. Di samping itu, ianya juga menyediakan ukuran-ukuran atau norma-norma yang akan digunakan dalam proses menganalisis dan menilai sesuatu karya sastera. Contoh klasik kritikan teoretikal ialah karya Poetics oleh Aristotle. Dalam era modenisme, terdapat juga beberapa buah karya yang membicarakan tentang bidang kritikan teoretikal ini ialah Principles of Literary Criticism karya I.A Richards (1924), Anatomy of Criticism (1975) oleh Northrop Frye, Structuralist Poetics (1975) oleh Jonathan Culler dan Critical Essays oleh Roland Barthes (1972), Strukturalisme dan Semiotik dalam Kritik Sastera oleh Umar Junus, (1988).
Mana Sikana (1983) kritikan teoretikal ini memainkan peranan berasaskan kepada tiga fokus utama iaitu, pertama; membincangkan rukun-rukun dasar teori (melibatkan perbincangan dan penentuan terhadap sesuatu pendekatan). Kedua; perbincangan di sekitar membina dan mencipta teori kritikan dan ketiga, Perbincangan beberapa aspek teori sastera. Rachmat Djoko Pradopo (1997:22-23) juga menjelaskan perkara yang hampir sama dengan fungsi kritikan teoretikal. Katanya:
`kritikan sastera teori adalah bidang kritikan sastera yang berusaha (berkerja) untuk menetapkan atas dasar-dasar prinsip-prinsip umum, seperangkat istilah-istilah yang tali temali, perbezaan-perbezaan dan kategori-kategori untuk ditetapkan pada pertimbangan dan interpretasi karya sastera, mahupun penerapan kriteria yang dengan hal-hal tersebut kitu karya-karya sastera dan para sasterawannya dinilai.

PEMBAHAGIAN KRITIKAN

Secara umum, kritikan sastera dapat dibahagikan kepada beberapa jenis berdasarkan cara pengkategoriannya. Menurut bentuknya, kritikan terbahagi kepada dua jenis yang utama iaitu kritikan teoretikal (theoretical criticism) dan kritikan praktikal (practical criticism). Jika dikategorikan mengikut pelaksanaan kritikan terbahagi kepada kritikan Judisial (judicial criticism) dan kritikan impresionistik (impressionistic criticism). Bagi Willian Henry Hudson (1955), kritikan dapat dibahagikan kepada dua sahaja iaitu, kritikan judisial dan kritikan induktif. Walau bagaimanapun, pembahagian ini bukannya suatu yang mutlak, kerana, ada juga penjenisan yang dibuat berdasarkan aspek-aspek lain.
Kritikan juga dijeniskan berdasarkan kepada pendekatan. Daripada pendekatan lahir beberapa jenis kritikan seperti kritikan mimetik (Mimetic criticism), kritikan pragmatik (Pragmatic criticism), kritikan ekpresif (Expressive criticism) dan kritikan objektif (Objective criticism).

Monday, December 14, 2009

APA ITU KRITIKAN SASTERA?

Catatan awal perkembangan

Sejarah kritikan sastera telah bermula sekitar tahun 300 sebelum Masehi sejajar dengan perkembangan tradisi penciptaan karya seni sastera dalam zaman Yunani. Kritikan menjadi asas yang mengkonsepikan tindak balas khalayak secara kritis terhadap fenomena-fenomena dan gejala-gejala sastera yang terdapat dalam karya atau kesannya ke atas pihak yang lain. Jelasnya, kritikan sastera tidak muncul dengan seadanya, tetapi sangat bertalian dengan sikap kritis dan analitis manusia itu sendiri yang cenderung untuk melakukan pertimbangan dan penilaian terhadap sesuatu.
Tradisi kritikan yang bermula sejak era Yunani itu kemudiannya menjadi tradisi dalam sastera Eropah, apabila teori-teori era klasik dihidupkan dan digunakan semula dalam nafas baharu. Teori-teori ini kemudiannya menjadi tiruan dan model pembinaan teori dan tradisi kritikan sastera di seluruh dunia hingga ke hari ini.
Sepanjang perkembangannya yang bermula sejak zaman Yunani hingga ke hari ini, teori dan kritikan sastera telah menempuh pelbagai perubahan, penyimpangan dan pembaharuan. Prinsip dan dasar yang membina teori terdedah kepada kritikan dan pandangan-pandangan baharu yang menampilkan sifat teori dan kritikan yang dinamik dan fleksibal dengan pandangan-pandangan baharu.


Definisi kritikan

Kritikan berasal daripada kata dasar kritik, dan kata kritik berasal dari kata krinein dalam bahasa Yunani yang membawa maksud menghakimi, membanding dan menimbang. Kata krinein menjadi pangkal atau asal kata kreterion yang bererti dasar, pertimbangan, penghakiman. Oleh yang demikian, orang yang melakukan pertimbangan dan penghakiman terhadap sesuatu perkara di zaman Yunani disebut sebagai krites. Istilah krites ini kemudiannya menjadi asas bagi menerangkan kegiatan atau sifat orang yang memberi penghakiman terhadap karya seni sastera.
Dalam sastera Inggeris, perkataan `critic` digunakan bagi menerangkan sifat orang yang melakukan kritikan atau pun kegiatan kritik itu sendiri. Pada tahun 1677, John Dryden mempopularkan istilah criticism. Istilah ini menjadi lebih mantap dan dilazimi dalam perbincangan-perbincangan terhadap karya sastera, terutama setelah John Dennis menulis buku berjudul The Grounds of Criticism in Poetry (Atas Semi,1989:8). Daripada perkataan criticism inilah pelbagai tafsiran tentang kritikan sastera diberikan oleh para sarjana dan pemikir.
Terdapat banyak definisi yang diberikan oleh para pemikir dan sarjana sastera. Matthew Arnold memberi definisi kritikan sebagai satu usaha yang bukan hendak mencari untung tetapi mempelajari dan menyebarkan sesuatu fikiran dan sesuatu yang telah diketahui sebagai yang terbaik dalam dunia (Hashim Awang,1997:6). Mana Sikana,(1983:3) pula menyebutkan, kritikan adalah satu disiplin ilmu yang sistematik, yang membicarakan soal penghayatan, penganalisisan dan penilaian sesebuah karya kreatif.
Pengertian kritikan boleh juga dirujuk kepada Encyclopaedia Britannica (1966:780). Dalam ensiklopedia ini, kritikan diberi makna perbincangan kesenian-kesenian yang beralasan dan bersistem untuk menghurai atau menilai teknik dan hasilnya. Hashim Awang, seorang pemikir dan sarjana sastera Melayu pula memberi makna kritikan sebagai suatu usaha untuk menilai hasil-hasil ciptaan seseorang sasterawan dengan cara yang beralasan serta bersistem dan bertujuan untuk mengembangkan sesuatu yang difikirkan baik lagi indah (Hashim Awang,1988:5). Dalam Ensiklopedia Indonesia, kritik bermaksud penilaian (penghargaan) terutama mengenai hasil-hasil seni dan ciptaan seni(dlm. Henry Guntur Tarigan,1984:187).
Daripada pengetian-pengertian yang diberikan oleh para sarjana di atas, dapat disimpulkan bahawa, kritikan bermaksud memberi penilaian terhadap sesuatu hasil seni menerusi proses pengamatan dan perbandingan, menganalisis dan menghayati dengan kaedah-kaedah yang sistematik dan beralasan dengan maksud mengembangkan tanggapan-tanggapan yang terbit darinya.
Proses menghayati teks adalah langkah pertama dan penting untuk mendekati sesuatu karya yang akan dikritik. Penghayatan bermakna pengkritik mendalami isi cerita dengan cara membaca dan memahami segala ungkapan, istilah dan frasa ayat yang mengangkat persoalan penting cerita. Dengan perkakas teoretikal yang dimiliki oleh pengkiritk, maka, teks berkenaan boleh saja dibedah (operate) dan dianalisis mengikut sudut mana dan tujuan kritikan itu dibuat. Perkakas teoretikal itu tentulah terdiri sebuah teori atau pendekatan yang sesuai dengan tujuan kritikan itu tadi. Pemilihan teori dan pendekatan yang sesuai itu tadi sangat penting, agar penilaian dan hasil yang ingin diketengahkan menepati kriteria-krietria yang menjadi dasar teori berkenaan. Proses menganalisis ini seharusnya bersifat sistematik, yakni, tindakan penerimaan, penolakan, penghakiman yang dibuat terhadap sesuatu karya itu adalah berdasarkan kaedah yang khusus dengan penyertaan data-data, bukti, sandaran ilmu, kajian literasi, risensi kepustakaan dan sebagainya. Oleh itu, hasil kritikan mempunyai daya legitimasi yang tinggi dan sangat dapat dipertahankan.
Seperti yang disebutkan tadi bahawa, kritikan juga bermakna krtikiawan melaksanakan proses mengembangkan sesuatu tanggapan yang terbit daripada kritikan itu. Sesuatu teks tidak terhad kritikannya dengan hanya satu teori atau satu pendekatan. Teks biasa terdedah kepada kritikan pelbagai dimensi, mengikut selera dan minat dari dimensi mana teks itu mahu didekati atau dikritik. Kegiatan kritikan yang sihat akan merancakan lagi proses perkembangan sastera. Ambil saja novel Salina karya A.Samad Said. Meskipun karya itu sudah hampir tiga puluh tahun usianya, namun ia terus hidup dan berwacana dalam kesusasteraan Melayu hari ini. Malah secara interteksnya, karya itu telah memunculkan beberapa karya lain seperti, drama Lantai T.Pinkie dan Mencari Salina.

Sunday, December 13, 2009

SIAPA YANG PERLU MENGETAHUI DAN MENGUASAI TEORI SASTERA?

Sering timbul pertanyaan, apakah semua yang ingin terlibat dalam sastera dan kesusasteraan perlu terlebih dahulu mengetahui dan menguasai teori sastera? Untuk menjawab persoalan ini, saya ingin menegaskan, bahawa perkara pertama yang perlu difahami oleh ialah teori sastera berada dalam kelompok sastera tinggi (high literature). Manakala peminat dan pengiat serta pengamal sastera pula terdiri daripada pelbagai lapisan, jenis dan peringkat manusia.
Secara prinsipnya, memang semua orang yang ingin terlibat dalam dunia sastera dan kesusasteraan perlu tahu teori sastera. Kerana dengan pengetahuan itu, mereka akan lebih faham dan lebih mudah untuk mengambil bahagian dalam kegiatan sastera, khusus kritikan. Namun, secara khususnya, mungkin orang yang terlibat dalam kelompok sastera tinggi yang melibatkan kegiatan kritikan, penyelidikan dan pembinaan teori yang perlu dan mesti tahu dan menguasai teori sastera. Kerana, posisi mereka dan bidang yang diceburi menuntut ilmu teori itu sebagai lesen yang akan memberi kelayakan atau legetimasi akademianya. jika tidak (tidak menguasai ilmu teori), akativiti kritikan, pembinaan teori dan penyelidikan tidak mungkin dapat digerakkan.
Jelasnya, ada kelompok yang memang perlu dan wajib mengetahui dan menguasai ilmu teori dan ada juga kelompok yang mungkin tidak sampai keperluan untuk mengetahui dan menguasai teori (pada satu tahap tertentu).
Analoginya mudah. sebagai orang awam, kita mungkin tidak perlu mengetahui ilmu undang-undang. Tetapi bagi pengamal undang-undang mereka wajib tahu dan menguasainya.Meskipun kita adalah orang awam, namun pada satu tahap tertentu kita juga perlu tahu, mungkindalam kes untuk mengambil tindakan saman ke atas pihak lain atau berhadapan dengan saman pihak lain.
Kesimpulannya, mengetahui dan menguasai ilmu teori mempunyai kelebihananya yang tersendiri. Lazimnya pengamal sastera yang menguasai bidang ini dapat memasuki semua bidang-bidang lain dalam ilmu sastera, tetapi bagi mereka yang tidak mengetahui dan mengusaai teori sastera, kemampuan mereka tentunya terbatas, mungkin berligar dalam dunia kreatif atau dunia persatuan sastera semata-mata.

TEORI SASTERA DALAM KAJIAN AKADEMIK

Dalam bidang kesusasteraan, teori hadir sebagai satu keperluan teoretikal yang amat penting untuk memboleh sesuatu kajian dijalankan. Lazimnya, para pengkaji dalam bidang kesusasteraan mengambil pendekatan dedukktif dalam kajian akadmik. Pendekakan deduktif bermaksud, pengkaji menggunakan teori ke atas data. Atau boleh difahami juga sebagaimengaplikasikan teori ke atas teks.
Terdapat juga pengkaji yang menggunakan pendekatan induktif. Pendekatan ini memerlukan pengkaji turun ke lapangan mencari dan mencerap data terlebih dahulu, kemudian membuat rumusan. Rumusan kajian itu lazimnya merupakan idea baharu atau teori baharu yang berkait dengan fenomena yang dikaji.
Dalam kajian yang menggunakan pendekatan deduktif, teori sastera amat diperlukan sebagai alat yang digunakan untuk menerangkan fenomena-fenomena yang ada atau data yang tersedia ada. Tanpa teori, tidak mungkin fenomena-fenomena atau data yang sedia ada itu dapat diterangkan.
Kerana itu, teori sastera amat penting diketahui dan k=dikuasai oleh setiap pengkaji yang ingin melakukan kajian dalam bidang kesusasteraan. ....bersambung.

Monday, December 7, 2009

TEORI PEMIKIRAN BERSEPADU 4K

Teori ini pada awalnya dikenali sebagai teori pemikiran SPB4L yang diperkenalkan oleh Mohd Yusuf Hassan, seorang tokoh pemikir dan sarjana dari Universiti Utara Malaysia (UUM). Teori SPB4K adalah singkatan nama Sistem Pemikiran Bersepadu. Manakala, 4K mewakili empat istilah iaitu Ketuhanan, Kesaitifikan, Kebitaraan dan Kekreatifan. Teori SPB4K bukanlah sebuah teori tentang kesusasteraan, tetapi praktisnya boleh diaplikasikan bagi menganalisis karya sastera, khususnya untuk mengesan keseimbangan empat aspek yang ditetapkan.
Teori SPB4K, sama sifatnya dengan teori Psikoanalisis klasik oleh Frued yang menyelongkari aspek kejiwaan manusia di bawah sedar bagi mengesan perilaku dan tindak tanduk manusia di atas sedar. Berdasarkan pemikiran Frued tentang aspek bawah sedar telah membuka minda pengkritik sastera untuk menyelongkari aspek bawah sedar pengarang sebagai sangat releven dengan proses penghasilan karya.
Teori SPB4K berteraskan falsafah kesepaduan pemikiran. Kesepaduan ini mestilah wujud dalam diri setiap rakyat supaya menjadi kemahiran dan amalan dalam kehidupan seharian (Mohd Yusuf Hassan.2001:3). Menurut Mohd Yusof, pemikiran yang perlu disepadukan itu ialah pemikiran yang saintifik, kreatif, bitara dan pemikiran yang berasaskan ketuhanan. Keempat-empat kemahiran pemikiran ini perlu dimiliki secara seimbang dan bertimbal balik bukan secara berasingan (Mohd Yusof,2001:3).
Teori ini percaya bahawa sebuah masyarakat yang memiliki sifat pemikiran yang berteraskan 4K mampu melahirkan pengarang dan karya yang bersifat sepadu dan komprehensif sesuai dengan keperluan asasi jasmani dan rohani manusia. Dalam praktis kritikan sastera, empat perkara yang saling kait mengait antara satu sama lain iaitu; masyarakat, pengarang, karya dan pembaca (Mohd Yusof Hassan.2001:13). Keempat-empat perkara ini memiliki empat pemikiran yang sama. Menurut Mohd Yusof:

Bagi Pemikiran Lahir, sesebuah karya harus menampilkan watak-watak yang cemerlang, bijaksana, bestari dan hebat. Perwatakan tokoh-tokoh harus ceria positif, kreatif dan soleh. Bagi pemikiran Logik, sesebuah karya haruslah mengemukakan latar yang real, tempat yang indah permai, suasana yang kondusif, masa yang sesuai, nada yang positif, zaman yang releven dan waktu yang jelas.
Bagi Pemikiran Lateral pula sesebuah karya seharusnya menampilkan teknik yang kreatif dan bermutu tinggi. Dalam teknik termasuklah plot yang kompleks tetapi mudah diikuti.
(Mohd Yusof Hassan.2001:30-31)

Dapat dirumuskan, bahawa, teori SPB4K, mementingkan suatu rumusan yang bersifat holistik dengan menekankan seluruh keupayaan dalaman dan luaran seseorang manusia.

Saturday, December 5, 2009

TEORI KONSEPTUAL KATA KUNCI


Teori Konseptual Kata Kunci yang dikemukakan oleh Mohamad Mokhtar Hassan, Profesor Sastera Melayu Jabatan Kesusasteraan Melayu, Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya sebagai praktis kritikan sastera. Gagasan awal idea kepada teori ini buat pertama kali dibentangkan pada Seminar Teori dan Kritikan Melayu Serantau pada 24 -26 September 2001 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur bertempat di Hotel Park Royal.Tidak seperti teori-teori yang dikemukakan oleh Muhammad Haji Salleh, Shafie Abu Bakar dan Mohd Affandi Hassan, Teori Konseptual Kata Kunci tidak berpaut kepada mana-mana sifat jati diri Melayu dan Islam.
Dalam pembinaan teori ini, Mohamad Mokhtar bertolak daripada tanggapan Anna Wierzika seorang Profesor Linguistik di Australian National University yang percaya bahawa budaya dan masyarakat boleh ditunjuk atau diperjelaskan kepada umum menerusi kata-kata kunci. Khalayak juga boleh mengenali dan memahami kehidupan, citra dan budaya sesuatu masyarakat dengan cara mendalami dan melihat lapis-lapis makna kata yang hadir bersama kehidupannya.
Bagi menguatkan keyakinannya terhadap kekuatan kata kunci ini, Mokhtar juga menyandarkan tanggapannya kepada pendapat Hashim Musa. Dalam bukunya yang berjudul Pengantar Falsafah Bahasa, Hashim menjelaskan bahawa `Kata Kunci ialah sejumlah perkataan dalam pembendaharaan kata sesuatu bahasa yang sangat kuat mempengaruhi pembentukan fikiran, konsepsi masyarakat itu tentang kewujudan alam, realiti dan kehidupan mereka`. Beliau turut menukilkan pendapat Reymond Williams yang percaya bahawa kata-kata dan maknanya boleh membentuk tingkah laku sosial dan budaya dalam sesuatu masyarakat.
Berdasarkan kepada pandangan dan dapat dua orang tokoh linguitik itu, Mohamad Mokhtar percaya, bahawa budaya dan tingkah laku sosial dalam karya sastera tidak hanya boleh dilihat dari pandangan Marxisme atau Semiotik, sebaliknya juga dapat ditelusi dengan cara mengamati dan menganalisis kehadiran kata-kata yang dihubungkan secara bermakna dengan kata kunci.
Kata Kunci dalam konteks teori ini bersifat kumulatif yang menggabung dan menghubungkan kata-kata tertentu pada satu rantai makna yang akan menghadirkan makna komprehensif bagi sesebuah karya. Jelas Mokhtar, satu kata kunci tidak wujud secara bersendirian, kerana satu konsep sentiasa berhubung dengan konsep-konsep yang lain. Kata-kata yang terhubung oleh rantai makna ini dikatakan kata kunci. Walau bagaimanapun, kumpulan kata-kata kunci ini akan menjurus atau dijuruskan kepada sebuah kata kunci dasar (Mokhtar menyebutnya sebagai kata dasar) bagi menzahirkan kesignifikasian makna karya.
Ekperimen pertama yang dilakukan oleh Mokhtar bagi memperlihatkan legitimasi teori ialah dengan menganalisis cerpen Usman Awang yang berjudul Surat dari seorang mata-mata. Berdasarkan cerpen tersebut, Mokhtar menemukan beberapa kata kunci yang berkait dengan konsep `kemiskinan`. Antara kata kunci itu ialah, hutang, gadai, melarat, penderitaan, kesempitan, kasihan, lapar, rintihan dan banyak lagi. Kata-kata Kunci ini terhubung di atas rantai makna kemiskinan yang disifatkan oleh Mokhtar sebagai fokus pengkarya dalam penulisannya.
Meneliti teori ini, kita akan didorong atau terdorong oleh bujukan formalis, strukturalis dan golongan kritikan baharu dalam menanggapi dan memahami sesebuah karya sastera. Tidak syak lagi, cara berkerja teori ini menuntut kita untuk tunduk semahu-mahunya kepada aspek tekstual dengan memberi penumpuan dan mencurah keringat mencari kata-kata kunci yang dapat dihubungkan secara bertali dengan kata fokus (saya sebutkan sebagai kata kunci dasar). Proses pencarian ini adalah satu budaya yang telah lama diamalkan oleh formalis dan para pengikutnya, cuma yang berbeza ialah aspek keganjilan atau keanehan yang tidak dititikberatkan dalam teori Konseptual Kata Kunci. Kelebihan teori ini ialah ia menghubungkan aspek tekstual dengan kontekstual.
Teori Konseptual Kata Kunci tentunya bermanfaat kepada para pengkritik sastera, terutama kepada mereka yang akrab dengan dunia linguistik. Mencari kata kunci dan menghubungkannya dengan kata-kata yang seerti, bermakna kita berusaha memperkayakan perbendaharaan kata dari sudut memajukan idea-idea ke arah penjanaan kata-kata seerti atau kata seperangkat yang menjadi induk dalam pengajian ilmu Semantik.
Namun, beberapa perkara wajar diperhalusi supaya teori ini tidak terlalu condong ke arah aspek linguistika yang boleh menyebabkan estetikasi sastera terhijab. Kecenderungan pendekatan seperti ini telah dianggap sebagai tidak membantu menjadikan kesusasteraan sebagai satu bidang yang `praktikal`, sebaliknya terus terkepompong dalam dunia kesasteraan yang tidak berpijak dalam alam nyata. Oleh itu, aspek-aspek kontekstual (seperti pengarang, budaya, institusi, sistem sosial masyarakat, politik dan lain-lain) harus turut dipertimbangkan dengan lebih serius terutama dalam konteks untuk mendekati dan memahami sosio budaya masyarakat Melayu baik di zaman kini mahupun pada zaman lampau.
Selain daripada itu, teori ini juga wajar menimbang persoalan makna (meaning) karya. Teori ini tentunya tidak menjelaskan dengan khusus kedudukan karya dari sudut nilainya. Kriteria-kriteria yang digunakan untuk mengukur dan menetapkan makna karya masih kabur. Apakah ia bergantung kepada signifikasi kata-kata kunci yang ditemui atau kepada diri pengarang yang mahir menjalin dan menumbuhkan kata-kata kunci di dalam karya mereka itu?.
Usia teori ini masih terlalu muda dan hanya diketahui sekitar beberapa tahun lalu. Namun, jalan rintis yang diusahakan oleh Mohamad Mokhtar membayangkan sumbangan besar yang boleh diberikan oleh teori ini dalam memperkaya dan memajukan bidang teori dan kritikan sastera Melayu. Teori Konseptual Kata Kunci mungkin akan mengambil masa yang lebih panjang untuk muncul sebagai sebuah teori yang mantap dan serasi dengan lenggang lengguk kesusasteraan Melayu, kerana kemunculannya bukan dari kekentalan semangat keislaman dan kemelayuan. Sebagaimana juga Teori Rasa-Fenomenologi yang terhasil secara proses hibridisasi oleh Sohaimi Abdul Aziz, saya menjangka teori Konseptual Kata Kunci juga perlu kepada usaha mengakrabkan diri dengan apresiasi masyarakat Melayu yang kental jati diri Melayu dan Islam dalam karya-karyanya.

TEORI RASA-FENOMENOLOGI


Teori Rasa-Fenomenologi dikemukakan oleh Sohaimi Abdul Aziz, seorang sarjana dan pensyarah di Universiti Sains Malaysia. Pada dasarnya, teori ini adalah hasil kajian di peringkat sarjana yang kemudiannya diangkat ke peringkat kedoktoran.
Teori Rasa-Fenomenologi terbina secara hibridisasi hasil daripada kombinasi dan penyesuaian dua buah teori estetik yang berasal dari timur (India) dan Barat. Teori-teori yang dimaksudkan itu ialah teori Rasa-dhvani dan teori estetik fenomenologi Roman Ingarden. Teori Rasa-dhvani merupakan teori estetik yang tergolong dalam teori religion-aesthetic kerana ia berhubung dengan metafizik (Sohaimi Abdul Aziz.1998:6).
Dalam teori rasa-dhvani, unsur metafizik adalah satu aspek terpenting khususnya bagi mengaplikasikannya pada karya-karya yang berunsur kerohanian.Unsur metafizik ini pula berkait rapat dengan falsafah Saiva yang mendasari teori rasa-dhvani.Pendokong teori ini iaitu Abhinavagupta percaya bahawa unsur aspek estetik tidak boleh dipisahkan daripada agama. Bagi tujuan mencapai tuntutan estetik keagamaan dalam karya itu, maka Abinavagupta telah memasukkan teori dhvani dalam teori rasa yang kemudiannya dikenali dengan nama teori rasa-dhvani.
Teori Rasa-dhvani yang sangat mementingkan aspek metafizik dilihat oleh Sohaimi sebagai kekurangan kerana mengabaikan aspek estetik, sedangkan beliau percaya bahawa aspek estetik merupakan satu bahagian yang terpenting dalam kehidupan kesusasteraan. Karya kesusasteraan Melayu yang kaya dengan unsure estetik diyakini dapat ditelusi dengan pendekatan teori rasa-dhvani terutama apabila kita berusaha untuk menikmati pengalaman estetik dalam karya-karya yang dibaca.
Sohaimi percaya bahawa karya kesusasteraan Melayu kaya dengan estetik. Walau bagaimanapun, usaha untuk membawa pembaca kepada menikmati estetik itu tidak diberi jalan yang sewajarnya. Usaha yang dilakukan oleh Muhammad Haji Salleh dan V.I. Braginsky menyelongkari estetik dalam karya Melayu disifatkan oleh Sohaimi sebagai lebih bersifat objektif.
Bagi tujuan supaya pembaca dapat menikmati kenikmatan dan merasai pengalaman estetik sewaktu membaca dan mengkaji teks, maka teori Rasa-dhvani yang lebih mementingkan aspek metafizik itu telah diubahsuai dengan menggugurkan dhvani yang bertalian secara langsung dengan falsafah Saiva dan digantikan dengan teori estetik fenomenologi yang diasaskan oleh Roman Ingarden yang lebih menekankan proses transformasi karya sastera dalam minda pembaca. Walau bagaimanapun, Roman Ingarden mengabaikan aspek psikologi yang dilihat oleh Sohaimi sebagai jambatan terpenting yang menghubungkan pembaca dengan pengalaman menikmati karya yang dibaca. Oleh itu, bagi menjadikan menjelaskan konsep estetik yang berteraskan pengalaman psikologi ini maka, Sohaimi membina semula teori baharu yang dikenali dengan nama teori Rasa-Fenomenologi. Teori ini juga disebut oleh Sohaimi sebagai teori Estetik Baharu.
Daripada teori rasa-dhvani, Sohaimi mengambil unsur terpenting teori tersebut iaitu konsep emosi tetap dan emosi pelengkap sebagai dasar teori Rasa-Fenomenologi. Manakala dari teori Estetik Fenomenologi, beliau mengambil fenomenologi dengan memberi penafsiran baharu terhadap konsep estetik itu sendiri. Dengan pengubaahsuaian dan kemasukan beberapa perkara baharu, teori Rasa-Fenomenologi yang dibina oleh Sohaimi lebih bersifat universal dengan penglibatan semua pihak dalam proses penginterpertasian termasuk subjek yang dikaji, pengalaman estetik, emosi pembaca dan pengarang dan ruang praestetik.
Teori Rasa-Fenomenologi percaya bahawa manusia memiliki lapan emosi tetap dalam minda bawah sedar mereka. Emosi-emosi ini berfungsi dan bertindak dalam minda, apabila pembaca melakukan pembacaan terhadap sesebuah karya, dengan tiga proses iaitu, pertama, pemindahan (transformasi) emosi tetap menjadi emosi estetik; kedua, pemindahan (transformasi) teks sastera yang dibaca menjadi objek estetik dan ketiga, kesedaran biasa dalam diri pembaca bertukar (transform) menjadi kesedaran estetik. Perubahan-perubahan inilah yang telah menghasilkan nikmat estetik yang bersifat universal dan sensual (Sohaimi Abdul Aziz.1998:8).
Teori Rasa-Fenomenologi dapat menghasilkan satu teori estetik yang mampu menjelaskan proses pengalaman estetik dalam bentuk yang lebih kemas san sistematik. Proses ini bermula daripada peringkat deria (pemahaman) hingga imaginasi, estetik intertekstual, pengkongkritan estetik, empati dan identifikasi. Dalam aplikasinya, Rasa- Fenomenologi terikat kepada sistem estetik yang melibatkan tiga proses yang saling berhubungan iaitu, praestetik, pengkonkritan estetik dan pengadilan estetik.
Pengalaman dan estetik adalah dua subjektif yang berbeza dan sukar untuk diukur dalam pertimbangan dan perkiraan logik. Apatah lagi apabila perkara itu dihubungkan dengan satu proses penilaian dengan neraca yang sangat subjektif pula sifatnya. Walau bagaimanapun, dengan teori Rasa-Fenomenologi, Sohaimi dilihat berjaya mengemukakan satu kaedah yang sangat analitik dan sistematik untuk memudahkan pengkritik dan pembaca melakukan cerapan terhadap hal-hal yang bersifat subjektif itu.
Teori ini telah diaplikasikan terhadap karya novel Sasterawan Negara A.Samad Said yang berjudul Salina. Hasil daripada aplikasinya, Sohaimi berjaya menemukan pengalaman estetik dan perhubungannya dengan novel ini menerusi empat objektif yang salin berkaitan. Pertama, Rasa-Fenomenologi dapat membuktikan bahawa pengalaman estetik yang diperolehi dapat dirasionalkan dan dikonkritkan sebagai pengadilan estetik.
Terdapat tujuh ekpresi sastera yang ditemui oleh Sohaimi dalam novel Salina, antaranya ialah rasa dahsyat, rasa kagum, rasa duka, rasa berang, rasa wira, rasa berahi dan rasa benci. Setiap ekspresi ini mempunyai kolektif objektif yang telah dikembangkan dengan baik oleh A.Samad Said menerusi teknik penulisannya. Kedua, terkesan teknik penulisan A.Samad Said dalam usahanya mengembangkan korelatif objektif tujuh ekspresi sasatera itu. Ketiga, terkesan konsistensi dalam penulisan A.Samad Said. Konsistensi dalam stail penulisan yang dibuka ruangnya oleh proses estetik intertekstual dan pengkonkritan estetik. Keempatnya, Rasa-Fenomenologi juga dapat membuktikan kehadiran unsur dialogik dalam karya A.Samad Said. Unsur ini menyediakan ruang yang luas kepada proses intertektual estetik.

Tuesday, November 24, 2009

TEORI TEKSDEALISME


Teori Teksdealisme digagaskan oleh Mana Sikana yang berusaha menginterpertasi secara analitis dan kritis sesebuah karya dan kemudiannya mengangkat karya tersebut ke puncak idealismenya. Teori ini bergerak pada landasan yang mempercayai, bahawa setiap pengarang memiliki dinamika kepengarangan yang akan mendorong seseorang pengarang berusaha untuk memajukan diri dengan menghasilkan karya-karya yang bermutu tinggi. Pengarang mempunyai hasrat yang bersungguh-sungguh untuk mencipta kelainan-kelainan, perkara-perkara baru yang berbeza dengan pengarang lain mahupun dengan karya-karyanya terdahulu dalam karyanya, agar dengan kelainan-kelainan itu akan dapat mengangkat darjat diri dan karyanya ke tahap yang unggul. Untuk mencapai tahap keunggulan ini, Teksdealisme menuntut seseorang pengarang bersifat berani mengemukakan sesuatu yang baharu dan bijaksana mengolah karya berlandaskan bidang keilmuan yang tinggi. Tanpa sifat keberanian dan kebijaksanaan, teks-teks yang dihasilkan hanya akan bergerak dalam lingkungan tradisinya dan tidak memecah kepada teks-teks yang unggul.
Pengarang seharusnya dapat membina dan memiliki strategi tekstual bagi setiap karyanya, membina disiplin dan undang-undang (law) pengkaryaan yang tersendiri yang tidak diadaptasi dari mana-mana sumber melainkan atas kebijaksanaan diri dan kreativiti idea serta mempunyai set pemikiran yang bersifat kendiri di samping sentiasa menghasilkan pembaharuan-pembaharuan yang menakjubkan. Biasanya ciri-ciri kesendirian yang menjadi milik mutlak si pengarang ini akan membezakan diri dan teksnya daripada pengarang-pengarang dan teks-teks yang lain. Sedang pembaharuan-pembaharuan yang dihasilkan itu pula menjadi unsur penting yang menjadikan teks benar-benar bersifat dinamik dan idealistik. Khalayak, baik yang bersifat analitis atau tidak analitis pula akan dapat mengesan di mana-mana kewujudan ciri-ciri kesendirian ini tatkala membuat kritikan mahupun membaca teks berkenaan. Dengan membaca beberapa baris ayat, khalayak secara sepontan (automatic) dapat membuat tekaan siapakah pengarang teks tersebut. Sebabnya, Teksdealisme menyediakan metode dan mekanisme untuk mengapresiasi serta menilai sesebuah teks sehingga dapat membukti dan meletakkan teks pada tingkat keunggulan.
Falsafah teori Teksdealisme juga menuntut pengarang menjenguk kepada pengalaman tradisi yang menyimpan khazanah dan mengandungi intelegensia serta intelektualisme pengarang masa silam, khususnya dalam teks agung Melayu iaitu Hikayat Hang Tuah. Dalam hikayat ini terpancar sifat keberanian pada watak Hang Jebat yang menentang feudalisme dan mempertahankan keyakinannya menentang kezaliman sekalipun melanggari tatasusila dan prinsip Pantang Melayu Derhaka pada Raja pada waktu itu. Demikian juga dengan kisah Raja Mahmud Mangkat Dijulang. Laksmana Bentan (Megat Seri Rama) telah melakukan pelanggaran yang menuntut dirinya bertindak dengan penuh keberanian menentang kezaliman raja. Hang Jebat dan Laksmana Bentan dianggap watak yang unggul (luar biasa) kerana melakukan sesuatu yang bertentangan dengan konvensi kehidupan beraja pada waktu itu. Apa yang jelas dari dua kisah tradisi ini ialah suatu perbandingan yang cuba digambarkan iaitu, unsur keberanian dan pelanggaran menjadi prinsip penting yang mengangkat sesuatu mencapai darjat keunggulannya.
Demikianlah teori Teksdealisme ini. Untuk menjadikan sebagai sebuah teks yang unggul, maka si pengarang harus berani melakukan pembaharuan, dan pembaharuan-pembaharuan ini pastinya bertentangan dengan konvensi kepengarangan yang sekian lama mendarah daging dalam dirinya. jika tidak, tahap dan mutu karya dan kemajuan dirinya tidak akan sampai ke mana. Meneruskan konvensi bermakna melakukan ideogram, pengulangan dan homologi yang akan hanya menjadikan teks sebagai sebuah replika semata-mata.
Dua prinsip utama teori Teksdealisme ialah prinsip kehadiran dan pelanggaran. Kedua-dua prinsip ini menggariskan beberapa unsur yang menjelaskan pemeringkatan peranan setiap prinsip itu. Prinsip kehadiran menjadi prinsip yang penting dalam teori ini sebagai menjadi garis panduan yang mengangkat pengarang, teks dan khalayak ke tahap yang unggul. Kehadiran dalam diri pengarang bermula dengan usaha pengarang membentuk gagasan idea sebelum menulis hinggalah siap proses penulisan teks.. Apa-apa sahaja yang mendatang, masuk atau melintas dalam pemikiran pengarang adalah dikira sebagai unsur-unsur kehadiran, seperti bayangan, ingatan, kenangan, kutipan, penghijrahan, pengaruh dan sebagainya. Selagi unsur-unsur tersebut menghadirkan pengalaman kepada pengarang mahapun khalayak selagi itulah unsur-unsur ini dikatakan sebagai kehadiran.
Terdapat dua prinsip kehadiran iaitu kehadiran sebagai proses yang berterusan dan kehadiran yang berlaku secara sengaja atau tidak disengajakan.
Kehadiran yang berterusan ini sentiasa berlaku bermula dari peringkat pembentukan idea, pertengahan hinggalah siap sebuah karya. Kehadiran yang tidak sengaja merujuk kepada pengalaman-pengalaman yang sedia hadir dalam pemikiran pengarang, yakni ada dengan sendirinya, sementara kehadiran sengaja pula merujuk kepada pemilihan pengalaman-pengalaman (di antara pengalaman-pengalaman yang sedia ada dalam pemikiran pengarang) bagi membentuk gagasan idea sebelum memulakan penulisan sehingga selesai penulisan. Contohnya, pengarang ingin menghasilkan cerita peperangan, maka pengalaman-pengalaman yang berkaitan dengan peperangan sahaja yang akan dipilih atau dirujuk oleh pengarang untuk membentuk ideanya. Pengalaman-pengalaman lain yang tidak berkaitan, walau pun hadir dalam pemikirannya tidak dipilih atau digunakan.
Proses pertama dalam prinsip kehadiran ini ialah proses pemilihan.Pengarang akan memilih pengalaman-pengalaman yang sesuai, mantap dan relevan sahaja untuk menghasilkan karya. Setelah melakukan pemilihan, maka pengalaman-pengalaman itu perlulah disepadukan agar cerita yang disampaikan mencapai perseimbangan di antara isi dan teknik. Perseimbangan antara isi dan teknik ini menjadi faktor yang menentukan kejituan mesej, kekuatan intelektual, dan ketajaman minda yang akan meletakkan teks itu pada tahap unggul atau tidak. Proses ketiga ialah pemaknaan semula atau penafsiran semula. Pengalaman-pengalaman yang telah dipilih itu tadi tidaklah diambil dan ditiru bulat-bulat untuk dimasukkan ke dalam cerita. Pengarang haruslah menemukan sesuatu yang baru, berlainan dan yang memberi makna. Untuk mencapainya, maka pengalaman itu tadi harus diberi nafas baharu (pemaknaan semula) lain daripada keadaannya yang asal agar kehadiran pengalaman itu benar-benar memberi makna dengan keadaan semasa dan bersifat idealistik.
Pelanggaran dalam konteks teori ini bermaksud seseorang pengarang akan berusaha untuk menemukan sesuatu yang baru, sekurang-kurangnya satu aspek dominan dalam karyanya yang memperlihatkan perbezaan atau kelainan daripada karya-karyanya yang terdahulu. Pelanggaran boleh berlakukan dalam tiga keadaan, iaitu melanggari konvensi terhadap teks sendiri yang terdahulu, melanggari konvensi beberapa aspek dalam struktur penulisan teks sastera dan melanggari konvensi terhadap teks pengarang lain.
Terdapat beberapa cara bagaimana proses pelanggaran itu dilakukan, dan proses ini bergantung kepada tujuan dan cita rasa seseorang pengarang sendiri, iaitu; dengan cara menambah elemen-elemen baharu dalam teksnya, mengurang atau menghilangkan elemen-elemen lama yang menjadi tabiat konvensi dalam penulisannya dan melakukan modifikasi terhadap beberapa elemen daripada teks-teks lain yang kemudiannya diberikan pewarnaan atau penafsiran baharu sehingga melahirkan teks yang lebih baik.
Cara-cara di atas akan terus mendasarkan kreativiti pengarang untuk menghasilkan karya yang sentiasa kaya dengan penemuan-penemuan baharu. Cara-cara ini juga akan menjadikan sesaorang pengarang itu bersifat eksperimental. Teksdealisme meletakkan diri pengarang dalam keadaan dinamik, dan sifat kedinamikan pengarang ini akan mendorong dirinya untuk terus menghasilkan sesuatu yang baharu, asing dan menyalahi konvensi.
Pengukuhan merupakan satu tahap penting yang memerlukan sifat kreatif dan ketelelitian tinggi dalam diri pengarang bagi menyempurnaan proses pemantapan karyanya. Sesaorang pengarang yang memiliki dinamika dan sifat kreativiti yang tinggi dalam penulisan akan berhadapan dengan suatu keinginan yang mendesak dalam dirinya supaya melakukan pembaharuan dan pengukuhan. Perasaan dalaman tidak pernah berasa puas terhadap apa yang dihasilkan dan menuntut pemantapan dilakukan supaya karyanya lebih baik dari karya sebelumnya.
Beberapa perkara teknikal akan dititikberatkan sebagai neraca untuk membuat keputusan. Antaranya ialah, pengarang akan melakukan perbandingan dan penyaringan terhadap keseluruhan aspek yang melengkapi karyanya supaya perkara-perkara yang tidak mantap dapat diperbaiki dan diperkejapkan. Elemen-elemen baharu dan asing atau luar biasa akan dimasukkan agar sifat kelainan dapat ditonjolkan dengan berkesan.
Penelitian boleh dibuat terhadap sejarah perkembangan drama di tanah air kita. Perkembangan awal memperlihatkan hampir semua drama Melayu awal dihasilkan dalam bentuk purbawara dan sandiwara, mengisahkan idealisme kepahlawanan golongan feudal. Namun, Mustafa Kamil Yassin atau Kala Dewata menemukan satu pembaharuan dengan menghasilkan drama-drama berbentuk realisme seperti drama Atap Genting Atap Rumbia dan Di Balik Tabir Harapan berbeza dengan tradisi drama sebelumnya dan berbeza pula dengan bentuk-bentuk drama yang dihasilkannya sendiri seperti drama Lima Perwira dan Robohnya Kota Lukut. Penghasilan drama berbentuk realisme ini menunjukkan kesan pelanggaran dan pengukuhan yang dilakukan oleh Kala Dewata terhadap konvensinya sendiri. Akhirnya drama-drama berbentuk realisme ini menjadi ikutan penulis-penulis lain selepas itu. Perkara yang sama boleh juga dikesan pada A.Samad Said yang menghasilkan Salina hasil pengukuhannya terhadap novel sebelumnya berjudul Daerah Zeni.
Prinsip terakhir dalam teori Teksdealisme ialah prinsip individualiti atau keperibadian. Ada beberapa perkara yang dilihat kepada keperibadian pengarang dalam usahanya menghasilkan karya-karya. Pertama melihat usaha yang dilakukan oleh pengarang untuk mencapai keperibadian dalam penulisan, mengenalpasti teknik pengarang mengenengahkan keperibadiannya, mengenalpasti sifat-sifat keperibadian dan akhir sekali membicara posisi kepengarangan pengarang.
Teksdealisme melihat pengarang sentiasa berada dalam keadaan dinamik dan sentiasa progres untuk menghasilkan karya-karya yang terbaik. Bukan sekadar terbaik, tetapi pengarang juga berusaha untuk menghasilkan sesuatu yang berlainan dan baharu daripada pengarang lain sehingga penghasilannya kelihatan menonjol dan asing dan mengangkat diri dan karyanya ke tahap idealistik. Oleh itu pengarang harus memiliki kepintaran yang tinggi untuk mencerna dan mengatur struktur formal serta isi kandungan karyanya supaya wujud imbangan komposisi dan terkesan pula sifat artistiknya.
Pengarang juga harus bijaksana memanipulasi gaya bahasa sehingga menghasilkan rupa gaya bahasa yang tersendiri. Kelainan pengarang dengan pengarang lain biasanya diindetifikasi berdasarkan gaya bahasa. Dengan membaca satu atau dua baris ayat, khalayak biasanya akan dapat mengagak siapa penulis karya tersebut. Untuk menghasilkan satu gaya bahasa yang tersendiri, Teksdealisme menuntut pengarang supaya memiliki pengetahuan tentang ilmu dan pendekatan stailistik. Pendekatan ini memperincikan gaya yang akan menemukan pengarang kepada gaya peribadi (personal idiosyncracy).
Teksdealisme juga meneliti dan menganalisis keperibadian pengarang dengan cara membuat perbandingan sesaorang pengarang dengan pengarang-pengarang lain di peringkat tempatan mahupun antara bangsa, pada suatu zaman atau zaman-zaman sebelumnya. Semua aspek kepengarangan baik gaya bahasa, teknik pengolahan, sumbangan, penghasilan dan sebagainya akan menjadi indikator untuk menentukan posisi pengarang. Mungkin sukar untuk mencapai tahap individualiti ini, sebagaimana kata Wellek, tiada satu pun karya yang unik dan pengarang yang mengejar individualiti akan menemui kesulitan. Namun, gagasan yang diberikan oleh Teksdealisme dapat merintis jalan kepada pengarang untuk berusaha mencapai tahap itu, dan menjadikan dirinya sentiasa berada dalam keadaan dinamik dan kedinamikan itu pula akan mendorong serta mendesak kreativitinya untuk terus menulis karya-karya yang bermutu tinggi.
Beberapa perkara penting yang akan dan membolehkan karya itu membentuk imej dan seterusnya mencapai tahap tertinggi iaitu pengarang memiliki keperibadiannya yang tersendiri (individualiti). Pengabaian dalam beberapa aspek penting ini bermakna pengarang tidak tahu visinya sebagai seorang pengarang yang berwibawa dan mempunyai imej kepengarangan yang tersendiri.
Pengarang akan cuba mengukuhkan sifat kendiri dalam kariernya sebagai pengarang. Di sini, pengarang biasanya sedar bahawa, khalayak akan dapat mengenali pengarang dan teks berdasarkan imej sebati yang terbina atas sifat kendiri itu tadi. Pengarang sewajarnya sedar, bahawa dia tidak sewajarnya terikat dengan stail penulisan, gaya bahasa, teknik dan pengolahan orang lain walaupun dalam bentuk apa sekalipun. Membaca novel Azizi Abdullah maka khalayak dapat menyingkap karya-karya Shahnon Ahmad sebagai pokok yang membayanginya. Berbeza dengan sajak-sajak Muhammad Haji Salleh. Meskipun sajak-sajak Chairil Anwar dikatakan menjadi pokok yang membayangi sajak-sajak Muhammad Haji Salleh, namun Muhammad berjaya, memberi pewarnaan baharu dalam sajak-sajaknya, sehingga berjaya membina sifat kendiri dalam sajak-sajaknya. Dalam hal ini Muhammad boleh dikatakan berusaha untuk mengukuhkan gaya dan stail yang tersendiri.

Monday, November 23, 2009

TEORI TAKMILAH


Teori Takmilah diperkenalkan oleh Dr.Shafie Abu Bakar, pensyarah di Jabatan Persuratan Melayu (JPM) Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 1993. Teori ini dianggap satu-satunya teori sastera Islam di Malaysia yang memberi penekanan analisis dan kritikan bersandarkan secara langsung kepada konsep tauhid. Kemunculan teori ini telah membuka jalan alternatif kepada para sarjana dan pengkritik untuk melakukan kajian, analisis, ulasan dan kritikan berasaskan prinsip-prinsip keislaman.
Kritikan sastera berasaskan teori-teori Barat selama ini masih gagal untuk menghubungkan satu pertalian yang bermakna di antara pengkarya, karya dan khalayak dengan pencipta. Kritikannya lebih bersifat luaran dan konseptual tanpa menjurus kepada paksi penglahiran karya secara ma'nawi.
Teori Takmilah muncul hasil daripada pembentangan beberapa siri kertas kerja yang membincangkan teori dan konsep sastera Islam. Pada peringkat awal satu kertas kerja telah dibentangkan oleh Shafie berjudul `Sastera Islam : teori pengindahan dan penyempurnaan dalam rangka tauhid` di Port Dickson pada 29 - 31 Oktober 1992 (Shafie Abu Bakar, 1997). Walau bagaimanapun, istilah Takmilah tidak muncul sebagaimana yang difahami hari ini. Perbincangan umum dalam kertas kerja itu, ternyata telah membuahkan idea kepada Shafie untuk mengagaskan satu kerangka teori yang boleh digunakan sebagai landasan kritikan dan analisis karya.
Istilah `Takmilah` hanya disebut dan diketengahkan sebagai satu gagasan apabila Shafie membentangkan kertas kerja berjudul `Takmilah: teori Sastera Islam` sempena Nadwah Sastera Islam antarabangsa, anjuran Dewan Bahasa Pustaka (DBP) pada 1 - 3 Disember 1993.
Untuk menguat dan mengukuhkan Takmilah sebagai sebuah teori yang dapat menampuh keberhasilan analisis dan kritikan karya, aplikasi pertama telah dilakukan oleh Shafie ke atas kumpulan puisi Kau dan Aku oleh A.Aziz Deraman dan hasilnya telah dibentangkan pada majlis Diskusi Buku Sempena Minggu Sastera Malaysia 1994 di Dewan Bahasa dan Pustaka. Bagi mengukuhkan kerangka teori, Takmilah telah diberikan beberapa prinsip untuk mengangkat legitemasinya (Abdul Halim Ali,1997).
Takmilah dibina atas kepercayaan yang didasarkan kepada konsep kesyumulan. Shafie percaya, segala aspek dan bidang kehidupan manusia terangkum dalam lingkungan tauhid. Sempadan tauhid menjadi garis pemisah yang akan memaknakan sesuatu karya di sisi Takmilah. Oleh itu, bidang sastera yang teradun di dalamnya unsur estetika tidak terkecuali dari ketauhidan ini. Aspek ketauhidan yang memuncakkan kesyumulan itulah menjadi falsafah kepada pembinaan teori Takmilah. Takmilah boleh dianggap satu teori yang bersifat universal yang merangkumkan semua aspek kepengarangan ke dalam acuan Islam. Takmilah menuntut, semua pihak yang berada dalam lingkungan sastera menyedari bahawa, sastera itu sebagaimana juga bidang lain dalam Islam, mempunyai fungsi pelengkap yang akan melengkapkan jati diri keIslaman pada diri seseorang pengarang Islam dan karya yang dihasilkannya. Dengan kata lain, Takmilah menyempurnakan sifat keislaman menerusi sastera.
Dalam Islam, sastera bukan sesuatu yang wajib, tetapi hanya merupakan suatu keperluan yang boleh ditunaikan padanya beberapa tuntutan-tuntutan agama. Dalam hal ini, menunaikan tuntutan Islam itu merupakan suatu kewajipan yang akan mengangkat segala bentuk aktiviti dalam sastera itu sebagai suatu ibadah. Dan, dalam Islam semua ibadah itu disyariatkan hanya kerana Allah, sebagaimana ungkapan lafaz dalam doa Qunu` yang bermaksud sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku dan matiku hanya kerana Allah. Oleh itu, kegiatan sastera, baik yang melibatkan pengarang, teks dan khalayak semestinya bertali arus dan berkait secara berangkai dengan Allah.
Takmilah membuka ruang kepada para pengarang, teks dan khalayak agar dapat diterima hasilnya sebagai sesuatu yang haq dan bernilai (berpahala) di sisi Allah. Sebagaimana bidang-bidang lain yang berangkaian dengan Islam, maka sastera juga tidak terkecuali. Oleh kerana itu Takmilah bertitik tolak daripada asas yang meyakini bahawa semua manusia (temasuk pengkarya/penulis) itu mempunyai tanggungjawab terhadap Allah dan Rasul-Nya serta tidak akan sempurna sifat kepengkaryaan seseorang pengkarya itu, melainkan berusaha untuk membawa karyanya ke tahap yang boleh diterima Allah sebagai ibadah. Oleh itu, sandaran pengkaryaan mengikut teori Takmilah ialah Tauhid. Yakni menanggapi bahawa pengarang, karya dan khalayak tidak boleh memisahkan diri dari lingkungan syariat Allah S.W.T. dan Rasul-Nya.
Asas teori ini amat relevan dengan kehendak Allah supaya semua manusia memilih Islam sebagai satu cara hidup (termasuk kegiatan sastera tadi) yang akan diterima oleh-Nya. Barang siapa mencari agama lain selain Islam maka tidak akan diterima agama itu dan sia-sia di sisi Allah. Firman Allah (Bermaksud);
`Barang siapa mencari agama selain agama Islam, maka tidaklah akan diterma (agama itu) daripadanya dan di akhirat kelak termasuk ke dalam golongan orang-orang yang rugi'- Surah al-Imran, Ayat 85.
Oleh itu, sastera hadir dalam masyarakat semestinya sastera yang menjurus kepada Allah. Segala aktiviti kepengarangan semestinya tidak terkeluar dari landasan Islam, maka dengan itu, hasilnya akan menemukan hakikat kesempurnaan yang akan melengkapkan sebahagian daripada tuntutan iman pada diri pengarang, teks dan khalayak di sisi Allah S.W.T.
Selain menetapkan asas kesyumulan Islam yang menunjangi segala kegiatan sastera, Takmilah juga mengangkat ilmu sebagai sebagai satu media yang akan merealisasikan segala bentuk kegiatan sastera. Untuk mencapai matlamat ketauhidan dalam Sastera ini, maka ilmu menjadi keperluan yang paling asasi di samping sifat kreatif pengkarya itu sendiri. Takmilah menuntut seseorang pengarang memiliki ilmu. Menerusi ilmu ini, seseorang pengarang akan dapat menemukan keagungan Allah, Kekuasaan-Nya dan apa jua yang menjadi tanda-tanda kewujudan Allah di dunia ini, kisah-kisah para Rasul, Sahabat, pejuang-pejuang Islam dan sebagainya dalam karya-karya mereka. Tidak akan sempurna sesebuah karya sastera itu jika hasilnya terkeluar dari prinsip-prinsip ilmu Islam, khususnya asas ilmu yang dapat membawa khalayak dan diri pengarang kepada ma'rifat Allah.
Jelasnya, teori Takmilah membawa diri pengkarya, karya dan khalayak kepada sifat jati diri KeIslaman dalam erti kata sastera itu seperti mana juga bidang-bidang kehidupan yang lain tidak dapat dipisahkan hubungannya daripada Allah yang mempunyai sifat-sifat Kesempurnaan hakiki. Sedang pengarang, karya dan khalayak itu bertanggungjawab dan berusaha untuk mencapai tahap kesempurnaan Islamnya dalam sastera dengan mempertautkan semua aspek pengkaryaan kepada Allah S.W.T.
Dari perspektif Islam, al-Khaliq adalah tunjang estetika yang asasi dan menjadi paksi segala penglahiran unsur-unsur estetika di alam ini. Allah itu indah dan Allah suka kepada keindahan. Keindahan itu pula merupakan salah satu daripada sifat Allah, dan keindahan ini terpancar secara syumul merangkumi segala elemen dalam alam ini.
Keindahan yang menjadi sifat Allah ini, menjadi paksi yang asasi kepada segala aspek estetika, baik yang terungkap mahupun yang tergambar dalam fikiran manusia, terlukis dan tercatat dalam karya mahupun yang tersembunyi. Unsur-unsur estetika ini sewajarnya menuju kepada kesempurnaan makna dan apreasiasi keindahan yang hakiki itu. Keindahan ini juga memancar dan membuahkan keindahan kepada aspek-aspek yang lain pula.
Dalam sastera, aspek estetika menjadi tunjang yang memberi wajah keunikannya berbanding dengan bidang-bidang ilmu yang lain. Aspek estetika dilihat bukan sahaja kepada binaan luaran karya sebagaimana yang dilihat oleh golongan strukturalis, tetapi turut menjangkau kepada unsur dalamannya serta linguistika bahasa yang menyelimutinya. Pelbagai teori yang kebanyakannya dilahirkan oleh sarjana Barat digunakan untuk menganalisis sesuatu karya khususnya untuik menyelongkari nilai estetika yang tersembunyi di dalamnya.
Teori-teori era klasik, moden dan pascamoden yang dihasilkan bermula dari Plato dan Aristotle, teori Formalisme, Moral, Historisisme, Strukturalisme, Semiotik hingga kepada Pascastrukturalisme, Dekonstruksi terus berusaha untuk menggampai makna dan unsur estetik pada sesuatu karya. Namun, hasilnya tidak pernah menjangkau kepada al-Khaliq yang menjadi puncak keindahan. Teori-teori Barat tidak mampu menelurkan analisis yang bersifat berpaksi, sebaliknya hanya mampu menyudahkan sandaran kepada makna yang dicipta sendiri, bukannya kepada makna estetika yang hakiki.
Sedihnya, para sarjana Islam turut terpengaruh dengan gagasan analisis sarjana Barat ini, sekalipun terbukti, teori-teori Barat banyak kelemahan dan tidak mampu menghasilkan analisis yang bermakna. Dalam banyak perkara, teori-teori sastera Barat langsung tidak menyumbangkan kepada peningkatan ilmu yang boleh membawa khalayak kepada mengenal puncak keindahan yang hakiki. Jauh sekali untuk membimbing khalayak kepada beriman kepada `keindahan` yang menjadi salah satu daripada sifat Allah.
Teori Takmilah yang mengalurkan landasan analisis yang bersifat syumuliah yang merangkumkan semua pihak dalam sastera ialah pengkarya, karya dan khalayak kepada al-Khaliq yang menjadi puncak estetik dan bersifat hakiki. Karya, dari sudut Takmilah semestinya sebuah karya yang berjaya menjalinkan satu rangkaian hubungan iman di antara pengkarya dan khalayak kepada Allah. Khalayak pula semestinya mampu meningkatkan imannya atau menghasilkan kritikan yang mampu menyedarkan khalayak lain tentang keimanan kepada Allah. Dan, pengkarya pula semestinya berusaha untuk menghasilkan karya yang dapat menimbulkan kesedaran khalayak terhadap Allah atau mencerakinkan hubungan khalayak dengan Allah. Ketiga-tiga pihak ini bergerak dalam lingkungan tauhid, sebagai sempadan yang akan memperlihatkan sifat kesempurnaannya.
Dengan tidak mengabaikan unsur estetika luaran, Takmilah pergi lebih jauh menjangkau makna keindahan yang lebih kudus dan universal. Bagi Takmilah, keindahan-keindahan yang wujud dan terungkap dalam sesuatu karya tidak semestinya terbatas kepada makna luaran dan berakhir pada tafsiran yang diberikan oleh manusia, tetapi bertalian dengan keindahan hakiki yang menjadi salah satu sifat Allah.
Usaha Shafie Abu Bakar melahirkan teori Takmilah bukan sahaja bertujuan untuk menyediakan landasan analisis teks yang mampu menyelongkari unsur estetika yang lebih syumul, tetapi juga untuk mengangkat teks-teks yang dihasilkan `berpahala` dan diterima Allah sebagai salah satu amal ibadah. Sebagaimana kata Mohd Kamal Hassan ` sebarang commitment sasterawan kepada ideologi dan falsafah hidup yang lain dari Islam seperti humanisme, materialisme, sosialisme, nihilisme atau saintime dengan sendiri tidak melayakkan karya sastera itu digolong sebagai sastera yang setia kepada nilai-nilai Islam`. Jelasnya, karya sedemikian tidak berpahala dan tiada maknanya di sisi Islam. Takmilah muncul sebagai satu pendekatan tauhid untuk memaknakan teks dan mengangkatkan darjatnya di sisi Islam.

TEORI PENGKAEDAHAN MELAYU


Teori Pengkaedahan Melayu dikemukakan oleh Prof. Dr. Hashim Awang. Idea teori bersandarkan kepada kitab Taj-al-Muluk (terbitan Muktabah Wamatbaah Wal maari’f, Pulau Pinang). Teori ini dikemukakan atas beberapa sebab. Pertama, kerana kekurangan-kekurangan tertentu pada teori-teori kritikan yang diimport dari Barat. Secara umum kelemahan-kelemahan praktis kritikan berasaskan teori sastera Barat dianggap oleh Hashim Awang sebagai berat sebelah dan kurang sesuai dalam menginterpertasi teks kesusasteraan Melayu yang berteraskan kepada jati diri bangsa Melayu dan Islam. Penelitian teori-teori ini lebih tertumpu kepada aspek-aspek terkhusus sahaja dan mengabaikan perkara-perkara lain yang jauh lebih penting. Oleh Menurut Hashim Awang lagi, hasil kajian dan analisis yang dibuat tidak menyeluruh dan tidak sempurna, abstrak dan statik. Walhal sastera dan karya sastera yang dimodelkan itu amat bersifat dinamik (Hashim Awang,1997:114).
Dengan tanggapan itu, Hashim mengenengahkan gagasannya yang diberi nama Pengkaedahan Melayu sebagai alternatif kepada pengkaedahan-pengkaedahan Barat. Sebagaimana Muhammad Hj Salleh, Hashim Awang turut kembali ke dasar masyarakat dengan menyingkap aspek keindahan, kehalusan, ketinggian daya cipta masyarakat Melayu yang sangat tinggi kekreatifannya dalam menghasilkan sesuatu hasil seni. Dari sudut kebahasaan, Hashim mendapati aspek bahasa yang menjadi nadi komunikatif masyarakat Melayu sangat tinggi nilai estetikasinya dan kaya dengan didaktivismenya. Oleh itu, untuk menelaah hasil seni, khususnya seni sastera Melayu, maka tidak dapat tidak pengkaedahan Melayu itu sangat diperlukan. Tujuannya supaya penelitian akan benar-benar menghasilkan analisis yang sangat cocok dan bertalian dengan worldview Melayu itu sendiri.
Sebagai landasan kepada analisis ini, Hashim mengenengahkan dua pengkaedahan iaitu Pengkadahan Alamiah dan Pengkaedahan Keagamaan. Kedua-dua pengkaedahan ini berkaitan dan berhubungan antara satu dengan lainnya (Hashim Awang,1997:120). Pengkaedahan Alamiah bererti merujuk secara langsung kepada faktor alam yang menjadi latar kehidupan masyarakat Melayu. Pengkarya Melayu menurut Hashim tidak dapat lari dari alamnya sewaktu berkarya. Faktor alamiah sangat dominan mempengaruhi dan membentuk kerangka pemikiran dan menentu hala tuju matlamat kepengkaryaannya. Oleh itu, meneliti teks sastera Melayu secara formalis atau strukural tanpa mengambilkira hubungan pengkarya dengan alamnya adalah mencacatkan, serta gagal menemukan khalayak kepada kejatidirian dan keperibadian teks itu setepatnya.
Dalam hal ini, pandangan Hashim Awang tidak jauh bezanya dengan pandangan Muhammad Hj Salleh dan tidak juga asing dengan pandangan pendokong New Historicism yang berkembang di Amerika Syarikat. Stephen Greenblatt juga melihat faktor budaya dan persekitaran pengkarya itu sebagai penentu yang mempengaruhi pengkarya menghasilkan teks. Inilah yang disebut oleh Micheal Foucault sebagai episteme. Episteme kata Foucault yang menentu dan mempengaruhi ahli sejarah atau pengkarya menulis. Bezanya, New Historicism bukannya mendaulatkan kehalusan budaya dan episteme itu, sebaliknya cukup dijadikan sandaran kepada domain yang mempengaruhi pengkarya. Hashim Awang dan Muhammad Hj Salleh sebaliknya mengangkat kehalusan budaya itu ke tengah teks bagi menggapai sedalam-dalam dan setepat-tepatnya makna teks.
Satu lagi pengkaedahan yang diketengahkan oleh Hashim ialah Pengkaedahan keagamaan. Hashim melihat agama Islam yang sinonim dengan Agama Melayu itu sebagai teras yang turut menunjangi kepengkaryaan. Pengkarya seringkali menghasilkan karya sebagai satu pendekatan dakwah. Dalam uslub dakwah ini, pengkarya Melayu tidak memisahkan diri dari tanggungjawab dirinya sebagai khalifah Allah swt, yang diamanahkan untuk mendaulatkan dan meninggikan syiar dan syariat Islam di muka bumi ini. al-Quran yang sarat dengan kisah sejarah dan keindahan bahasa menjadi sumber penghasilan karya sastera yang kemudiannya disekalikan dengan kemurnian budaya Melayu bagi mencapai dan memunculkan makna teks yang hakiki.

Friday, November 20, 2009

TE0RI PUITIKA SASTERA MELAYU


Teori Puitika Sastera Melayu telah diperkenalkan oleh Muhammad Hj Salleh, seorang profesor sastera Melayu di Jabatan Persuratan Melayu Universiti Kebangsan Malaysia (Kini bertugas sebagai profesor sastera di Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan Universiti Sains Malaysia). Muhammad boleh dianggap sebagai pelopor penerokaan teori sastera tempatan sekitar akhir tahun 1989. Gagasan Puitika Sastera Melayu diperincikan pada awalnya dalam buku Puitika Sastera Melayu: Satu Pertimbangan, yang diterbitkan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun berkenaan. Idea ini disampaikan sempena syarahan pengukuhan Muhammad Haji Salleh sebagai profesor di Universiti Kebangsaan Malaysia.
Puitika Sastera Melayu bertunjangkan kepada falsafah dan konsep keindahan dalam kesusasteraan Melayu tradisional. Dengan penelitian yang bersifat analitis terhadap ribuan pantun Melayu, Muhammad menemukan idealisme keindahan yang mengakar dalam teks-teks kesusasteraan Melayu tradisional itu, khususnya pantun.
Bagi membina kerangka pemikirannya terhadap konsep puitika sastera Melayu, pandangan dan tulisan-tulisan Vladimir I. Braingsky dan Eagleton sering dirujuk untuk memantap idealisme teoretikalnya.
Muhammad percaya, bahawa keindahan sastera Melayu mempunyai kaitan akrab dengan etos, budaya, pandangan hidup, sejarah, alam sekitar dan lingkungannya (Sahlan Mohd Saman,1997:194). Dengan kepercayaan ini, Muhammad membentang landasan penelitian teks sastera Melayu yang menyekalikan pandangan Semiotik, Formalisme dan Historisisme Baru iaitu dengan memberi kepentingan terhadap semua aspek dalam dan luar teks serta Strukturalismenya. Muhammad menghampiri konsep yang disebut oleh Eagleton (1990) `conseptions of the unity and integrity of the art`.
Pada tahap ini, Puitika Sastera Melayu membuka jalan kepada pembaca bagi memahami fenomena keindahan dalam karya-karya kesusasteraan Melayu bagi tujuan mengangkat nilai keindahan teks kesusasteraan Melayu tersebut, di samping mencari makna di sebalik keindahan itu dengan hubungan-hubungan yang berada di luar teks seperti budaya, sikap, pandangan hidup, sejarah dan alam sekitar masyarakat Melayu itu sendiri.
Teori ini Puitika Sastera Melayu telah dimantapkan dengan lebih terperinci oleh Muhammad menerusi bukunya yang berjudul Puitika Sastera Melayu setebal 369 halaman dan diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 2000, manakala versi bahasa Inggeris pula diterbitkan pada tahun 2008. Kemantapan idea Muhammad telah melayakkan buku ilmiah ini menerima anugerah Hadiah Sastera MASTERA 2001. Usaha Muhammad sangat berbaloi, selain dari berjaya menyumbangkan idea yang bersifat teoritikal terhadap sifat dan ciri kesusasteraan Melayu, idea beliau juga diiktiraf sebagai satu hasil kajian ilmiah yang bermutu dan bermanfaat.
Puitika Sastera Melayu menjadi kunci untuk kita mencari jawapan sebenar kepada sifat dan ciri-ciri kesusasteraan Melayu yang meliputi karyanya, pengarang, wadah, estetika, khalayak dan bangsa pemiliknya.

Estetika (keindahan) menjadi induk yang mendasar pemikiran Muhammad terhadap kesusasteraan Melayu. Keindahan yang ditonjol sebagai asas yang menteorikan kesusasteraan Melayu itu digali daripada genre puisi dan prosa Melayu klasik. Salah satu kekuatan dan keunggulan kesusasteraan Melayu klasik pada Muhammad ialah kerana nilai keindahan yang terpadu di dalam karya-karya kesusasteraanya.
Mendekati teks kesusasteraan berasaskan teori ini, bermakna pengkritik meletakkan diri mereka pada landasan puitika dengan hasrat untuk membuktikan kehadiran ciri-ciri estetika yang membina makna teks. Muhammad menjelaskan secara terperinci ciri-ciri keindahan yang menjadi teras puitika kesusasteraan Melayu, iaitu:-

- keindahan dalam mengajar atau mendidik
- keindahan dalam pengungkapan kesedihan dan kesusahan
- keindahan dalam penceritaan
- keindahan dalam rasa
- keindahan yang asli

Ciri-ciri keindahan yang ditemui oleh Muhammad kemudiannya mewajarkan hasil penerokaan oleh I.V.Braginsky yang menghalusi teks kesusasteraan Melayu klasik pelbagai genre bagi mencari asas-asas untuk membina konsep keindahan dalam kesusasteraan Melayu klasik.

TEORI-TEORI SASTERA MALAYSIA

Bermula penghujung tahun 1989 hingga tahun 2009 (20 tahun), terdapat sebelas buah teori sastera Melayu muncul dalam dunia sastera Melayu di Malaysia. Antaranya ialah teori Puitika Sastera Melayu oleh Muhammad Haji Salleh, Pengkaedahan Melayu oleh Hashim Awang, Takmilah oleh Shafie Abu Bakar, Teksdealisme oleh Mana Sikana, Rasa-Fenomenologi oleh Sohaimi Abdul Aziz, Persuratan Baharu oleh Mohd Affandi Hassan, teori Konseptual Kata Kunci oleh Mohamad Mokhtar Hassan, Hermeneutik Kerohanian oleh Salleh Yaapar, teori Pemikiran Bersepadu 4K oleh Mohd Yusof Hassan, teori Sastera Warisan oleh A.Wahab Ali dan teori Anjakan Makna oleh Rahman Shaari.
Berdasarkan jumlah ini, tradisi teori dan kritikan sastera Melayu mengatasi tradisi teori dan kritikan sastera moden Barat, kerana tempoh perkembangan dan pembiakan teori di Malaysia lebih cepat, yakni hanya dalam tempoh 20 tahun sahaja, telah muncul 11 buah teori sastera. Berbanding perkembangan teori dan kritikan sastera moden di Barat yang bermula sekitar tahun 1914 hingga 1960-an, hanya tiga empat teori yang muncul (Abdul Halim Ali,2005:3). Bagi tujuan melengkapkan pengetahuan pada peringkat asas, buku ini akan membincangkan beberapa buah teori sastera Melayu yang agak mantap dalam dunia kritikan di Malaysia, antaranya ialah teori Puitika Sastera Melayu, Pengkaedahan Melayu, Takmilah, Persuratan Baharu, Teksdealisme, Rasa-Fenomenologi, teori Pemikiran Strategik dan teori Konseptual Kata Kunci.
Ada diantaranya pula masih berada pada tahap cetusan idea (belum sampai ke tahap berdiri sebagai sebuah teori) seperti teori Sastera Warisan dan teori Anjakan Makna. Idea ini dilontar dalam satu smeinar dan juga perbincangan dan belum diperincikan dan dimantapkan oleh pencetusnya, selain tidak pernah diuji dalam mana-mana kegiatan akademik.

ASAS PEMBINAAN TEORI SASTERA MALAYSIA

Seperti yang telah disebutkan bahawa, teori-teori kesusasteraan Barat disifatkan oleh sarjana Melayu sebagai pincang, terbatas dan berat sebelah. Kepincangan ini tidak hanya diukur pada penilaian tekstual, tetapi juga pada aspek-aspek lain yang berada di luar teks. Selepas kematian Matthew Arnold pada tahun 1888, kritikan sastera di Barat mula berubah. Kritikan mula memberi penekanan kepada aspek biografikal atau sejarah dalam teks (Charles E. Bressler.1999:33). Beberapa kerangka pemikiran Hyppolyte Adolphe Taine dan Henry James kemudiannya digunakan untuk mengkritik teks.
Pada awal abad ke 20, muncul ramai tokoh dan sarjana yang muncul dan terlibat dalam bidang teori dan kritikan sastera di Barat dengan pandangan dan sikap yang berbeza-beza terhadap teks. Mereka mula menolak pendekatan yang bersifat holistik, sebaliknya cenderung kepada satu-satu aspek khusus sahaja (Charles E. Bressler.1999:34). Aspek tekstualiti menjadi fokus para sarjana dalam era modenisme ini, dan menolak aspek sejarah serta aspek-aspek di luar teks seperti pengarang, sistem sosial dan budaya.
Teori-teori seperti New Criticism, Formalisme, Strukturalisme merupakan teori-teori moden yang secara ekstrim menolak campur tangan aspek-aspek lain yang berada di luar teks. Teori Formalisme menyingkirkan unsur-unsur yang tidak bersifat kesusasteraan secara ketat dan bersistem (Ann Jefferson & David Robey (Ed).1988:27). Mereka mencari dan menggali makna di dalam karya semata-mata. Makna itu dilihat wujud di sebalik aspek-aspek tekstualiti seperti linguistik, struktur dan hubungan-hubungan yang berlaku dalam karya. Mereka berpendapat bahawa, makna itu umum dan objektif sifatnya, termaktub dalam bahasa teks itu sendiri(Terry Eagleton.1988:53).
Berdasarkan kepada senario ini, teori-teori moden kesusasteraan di Barat dapat dikatakan bergerak atas landasan tekstualiti. Yakni, teks menjadi runtunan teori-teori sastera untuk muncul dan berkembang. Tesktualiiti bermakna, menerima teks sebagai rujukan bagi mengeluarkan segala sifat dan fenomena sastera, kemudian menganalisis dan merumuskannya berdasarkan prinsip-prinsip yang ditentukan. Teks sudah dipandang sebagai suatu entiti, yakni suatu struktur atau sistem, dan sistemlah yang menentukan apa-apa fungsi yang perlu dimainkan oleh sesuatu ciri kegayaan itu (Ann Jefferson & David Robey (Ed).1988:34). Tekstualitilah yang mengarah dan menentukan jalan susur kepada segala prinsip dan dasar teori, manakala aspek-aspek lain seperti sejarah, biografi dan disiplin lain yang berada di luar teks dianggap sebagai tidak mempunyai sebarang pertalian sebab akibat dalam kesusasteraan.
Ada beberapa sebab yang mendorong para sarjana ini mengenakan sempadan yang ketat, antaranya ialah supaya dapat diwujudkan satu sains kesusasteraan yang bebas, mengkaji bahan kesusasteraan yang khusus. Kedua, mereka tidak mahu kesusasteraan menjadi mangsa kepada disiplin-disiplin ilmu lain yang ada di sekitarnya.
Penafian pengarang, penolakan sejarah dan biografi, menidakkan peranan disiplin-disiplin lain sebagai bertalian atau mempunyai hukum kausaliti dalam kesusasteraan inilah yang dilihat oleh para sarjana sastera Melayu sebagai berat sebelah, terbatas, khusus kepada aspek-aspek tertentu sahaja, yang menyebabkan kajian tidak sempurna (Hashim Awang.1997:103). Landasan pembinaannya tidak menggambarkan keluasan dan kefungsian kesusasteraan di dalam dan di luar sempadannya. Jika demikian, bagaimanakah teori-teori ini mampu menelurkan makna-makna yang intrinsik dalam karya-karya penulis Melayu Islam?
Keperluan kepada teori kesusasteraan Melayu berkaitan rapat dengan kegiatan kritikan sastera Melayu itu sendiri. Dalam konteks ini, definisi kritikan sastera di Barat dan dalam alam Melayu harus berbeza dan perlu dibezakan. Kritikan adalah wahana sastera yang sangat dinamis sifatnya. Oleh itu, kritikan menyumbangkan peranan yang sangat besar dalam kemajuan dan perkembangan sastera. Kesusasteraan tidak mungkin dapat hidup dengan semata-mata bergantung kepada teorinya, kerana kritikanlah yang `memberi nyawa` kepadanya.
Telah sekian lama kesusasteraan kita hidup bergantung kepada teori sastera dan pendekatan kritikan Barat. Selama itu jugalah pandangan hidup masyarakat Melayu yang terselindung dalam karya-karya sastera Melayu belum benar-benar mampu dibongkar, kerana teori dan kritikannya tidak mencecah kedalaman jatidiri Melayu dan Islam yang menjadi anutan mereka. Teori-teori dan pendekatan moden Barat tidak menyediakan ruang dan jalan rintis yang seafdalnya ke arah itu. Dalam era pascamoden, keadaan menjadi lebih tidak menentu dan teori-teorinya pula tidak memberi apa-apa jaminan terhadap apa-apa kepastian yang temui. Oleh itu, definisi kritikan sastera dalam kesusasteraan barat dan kesusasteraan Melayu perlu kepada pengubahsuaian. Dari pemahaman sarjana Barat, kritikan kesusasteraan satu disiplin yang sistematik yang berusaha untuk menjelas, mengkaji, menganalisis, menginterpetasi, menilai dan sesuatu hasil seni (Charless E. Bressler.1999.4). M.A. Abrams (1971) pula menyebutkan kritikan kesusasteraan sebagai satu cabang pengkajian yang berhubung dengan pengertian, penjenisan, penghuraian dan penilaian karya-karya kesussteraan.
Kritikan sastera Melayu menurut Ungku Maimunah ialah segala tulisan tentang sastera yang memberi kesan kepada perkembangan kesusasteraan termasuk kepada pembacaan dan penerbitan karya sastera (Rahman Shaari.1994.11). Ungku Maimunah berpendirian, aspek perkembangan sastera turut dilibatkan sebagai satu pertimbangan yang wajar berdasarkan keadaan-keadaan tertentu yang berlaku dalam kesusasteraan Melayu itu sendiri (Rahman Shaari.1994.10). Ahmad Kamal Abdullah, et al (1990) pula menjelaskan:

`Kritikan harus mengandungi ciri-ciri seperti pengamatan yang kritis, penumpuan terhadap teks sama ada yang tersurat dan tersirat, pemerian apresiasi terhadap keindahan dan kekuatan karya, menilai, membanding, menunjukkan kesalahan dengan niat mempertingkatkan karya, memberi manfaat kepada pembaca dan seluruh peneliti lainnya. Pelakuan itu semestinya dibuat dengan pendekatan-pendekatan tertentu dalam lingkungan kesusasteraan itu sendiri.

Definisi di atas adalah hasil adunan definisi kritikan sastera dari barat yang disesuaikan dengan pandangan dan keperluan khalayak sastera Melayu. Daripada definisi-definisi tersebut, kritikan sastera Melayu kelihatan lebih bersifat komprehensif berbanding makna kritikan sastera dalam kesusasteraan barat yang lebih menjurus menitikberatkan penilaian tekstualiti. Penekanan yang diberikan kepada kritikan sastera Melayu ialah pembangunan sastera. Oleh itu, kritikan sastera Melayu tidak semata-mata menyelongkari teks, tetapi juga membawa sastera itu sendiri kepada kemajuan-kemajuan sastera dan menghubungkannya dengan aspek-aspek yang berada di luar teks.
Di sinilah pentingnya teori kesusasteraan Melayu, yakni untuk memenuhi keperluan dalam bidang kritikan sastera Melayu itu sendiri, yang disifatkan oleh Mana Sikana sebagai jatidiri dan seiring dengan konteks sosio budaya negara ini. Teori-teori kesusasteraan dan kritikan Barat tidak mungkin dapat menjangkau ketinggian falsafah kehidupan orang-orang Melayu dan Islam.

PEMBINAAN TEORI SASTERA MALAYSIA

Secara umum, teori-teori moden kesusasteraan dari Barat sudah memasuki kesusasteraan Melayu di Malaysia sejak awal tahun 1950-an lagi. Kehadiran ini agak terkemudian berbanding dengan perkembangan kritikan yang sudah bermula lebih awal dari itu, iaitu sekitar tahun 1930-an dan 1940-an. Walau bagaimanapun, kritikan sastera yang timbul dalam tahap awal ini berlaku secara kecil-kecilan dan tidak memiliki nilai yang tinggi (Hashim Awang.1997:103).
Tahun 1950-an boleh dianggap tahap awal kemasukan teori-teori kesusasteraan dari Barat di Malaysia, meskipun usia kewujudannya dalam pada waktu itu sudah menjangkau hampir satu setengah abad. Dalam tahun 1960-an hingga 1980-an, teori-teori mula bertapak dan menjadi sebahagian daripada keluarga sastera Melayu. Ramailah pula di kalangan para penulis, pengkritik dan pembicara sastera Melayu yang mampu menguasai dan menjadi penganutnya. Teori-teori ini dipraktik dan disebarkannya dalam kalangan kritikawan muda generasi terkemudian, sama ada melalui kuliah, bengkel atau tulisan kritikan mereka (Sahlan Mohd Saman,1997:192).
Hampir tiga puluh tahun teori-teori kesusasteraan Barat menghegemoni kesusasteraan Melayu khususnya dalam bidang teori dan kritikan, maka baharulah para sarjana Melayu Islam menyedari terdapat banyak kelemahan teori-teori berkenaan. Hashim Awang (1997), menjelaskan, teori-teori kesusasteraan Barat tidak lengkap, bersifat berat sebelah dan memberi perhatian kepada satu-satu aspek sahaja. Mana Sikana pula melihat dominasi teori-teori Barat dalam kesusasteraan Melayu sebagai sesuatu yang tidak wajar, kerana teori-teori Barat telah memancarkan konsepsi sastera kita yang tidak jatidiri dan kurang seiring dengan konteks sosio budaya di negara ini.
Kesedaran kepada perlunya memiliki teori sastera dan teori kritikan Melayu mula membenih suasana. Kecenderungan untuk menggunakan pendekatan baharu ini terus hidup dan berlanjutan. Kini timbul suara lantang yang menyeru agar kritikan sastera haruslah diterapkan dengan nilai-nilai keagamaan, tegasnya nilai-nilai keislaman (Hashim Awang.1997:113). Isu pokok yang menjadi asas utama kelemahan teori barat sebagai alat mengkritik teks sastera Melayu ialah keterpisahannya dari unsur keIslaman dan kemelayuan yang menjadi tunjang kepada segala proses penglahiran karya Melayu.
Polemik kesusasteraan Islam di antara Shahnon Ahmad dan Kassim Ahamd pada penghujung tahun 1970-an telah mencetus benih teoretikal dalam kerangka pembinaan teori-teori kesusasteraan Melayu berasaskan Islam dan jatidiri Melayu di negara ini. Pada tahun 1989, muncullah gagasan teoretikal tentang kesusasteraan Melayu yang dikemukakan oleh Muhammad Haji Salleh disusuli kemudiannya oleh Mohd Affandi Hassan dengan Pendidikan Estetika daripada Pendekatan Tauhid, Shafie Abu Bakar dengan Teori Takmilah dan Hashim Awang dengan Pengkaedahan Melayu. Mana Sikana yang banyak membuat kajian dan pembacaan menemukan idea dan pengalaman sebagai inti idealisme kepengarangan. Atas prinsip dan keyakinan terhadap idealisme inilah akhirnya beliau mengenengahkan Teori Teksdealisme. Sohaimi Abdul Aziz turut menyumbang kepada pembangunan dan perkembangan teori kesusasteraan Melayu dengan mengemukakan teori Rasa-Fenomenologi. Perkembangan ini berjaya menumbuh dan menghidupkan satu cabang ilmu pengajian kesusasteraan Melayu, khususnya dalam bidang teori dan kritikan sastera (Abdul Halim Ali.2001).

Thursday, November 19, 2009

FAKTOR YANG MEMPENGARUHI PERKEMBANGAN TEORI SASTERA MALAYSIA

Sebagaimana teori-teori kesusasteraan yang tumbuh dan berkembang di Barat, pertumbuhan dan perkembangan teori-teori kesusasteraan tempatan juga dipengaruhi oleh beberapa faktor. Pada peringkat awal perkembangan, tidak ramai sarjana dan penganalisis sastera Melayu yang melihat kepentingan kepada memiliki teori sendiri. Sebaliknya mereka lebih selesa mengguna dan mempraktikkan teori-teori dan pendekatan-pendekatan yang diimport dari Barat dalam kerja-kerja kritikan sastera.
Oleh itu, ramai dalam kalangan para penganalisis dan sarjana Melayu yang terpengaruh dengan idea-idea teori Formalisme, Strukturalisme, Sosialisme, New Criticism dan sebagainya. Nama-nama pengkritik tempatan seperti Yahya Ismail, Shahnon Ahmad, A. Wahab Ali, Hashim Awang, Baha Zain, Kasim Ahmad, Umar Junus, Ramli Isin, Mana Sikana, Rahman Shaari Supardi Muradi, Muhammad Haji Salleh dikatakan amat akrab dengan teori-teori dan pendekatan-pendekatan serta aliran-aliran barat.
Walau bagaimanapun dalam tahun-tahun 1980an, mereka mula menyedari akan kekurangan-kekurangan memiliki sikap kebergantungan kepada teori-teori Barat. Shahnon Ahmad seawal tahun 1980-an mula beralih kepada pemikiran Islam dan mengisytiharkan diri sebagai penganut sastera. Sikap Shahnon melambangkan ketidakpercayaan terhadap prinsip-prinsip kesusasteraan Barat yang ditanggapi menerusi teori-teori dan pemikiran yang tidak berlandaskan kepada Islam. Sikap prejudis dan pesimis terhadap teori-teori Barat mula membuak. Hashim Awang, Mohd Affandi Hassan, Shafie Abu Bakar, Mana Sikana, Mohd Kamal Hassan, Sahlan Mohd Saman, banyak menyuarakan pandangan yang membayangkan kepada perlunya kesusasteraan tempatan memiliki teori sastera dan teori kritikan sendiri.
Berasaskan kepada perkembangan yang berlaku, khususnya dalam tahun-tahun 1980-an dan 1990-an, beberapa kesimpulan dapat diunjurkan bagi menjelaskan faktor-faktor yang mempengaruhi kemunculan teori-teori kesusasteraan tempatan. Antaranya ialah kelemahan teori-teori Barat, kebangkitan pengaruh Islam, kesedaran intelektual dan tuntutan kritikan berasaskan nilai-nilai tempatan.

Kelemahan teori kesusasteraan Barat

Teori-teori kesusasteraan tempatan terbina di atas beberapa kesedaran tentang kelemahan teori Barat dan juga keperluan kepada teori kesusasteraan tempatan yang benar-benar dapat menghasilkan interpertasi yang menjangkau ke dasar jatidiri Melayu dan Islam. Ini terkesan daripada Puitika Sastera Melayu, Pengkaedahan Melayu, Persuratan Baharu dan teori Takmilah.
Hashim Awang (1997) menegaskan bahawa, model-model teori yang dikemukakan oleh sarjana Barat, tidak lengkap, bersifat berat sebelah dan memberi perhatian kepada satu-satu aspek sahaja. Oleh itu, teori sentiasa berada dalam keadaan tidak stabil dan terdedah kepada idea-idea baharu yang bersifat menentang atau mengubahsuai mana bahagian yang dianggap lemah. Ini dapat dilihat kepada perkembangan dalam New Criticism dengan tokoh-tokoh besarnya seperti I.A.Richards, T.S.Elliot, John Crown Ransom dan ramai lagi. Demikian juga dengan teori-teori Kesusasteraan Marxisme, Strukturalisme, Pasca- Strukturalisme, Teori Psikoanalisis hinggalah kepada teori-teori kesusasteraan dalam era pascamoden.
Shafie Abu Bakar bertolak dari idea yang serupa, lalu membawa diri dari teori-teori Barat itu ke dalam pemikiran Islam. Shafie beranggapan, teori-teori Barat tidak dapat menyelongkari makna seakrabnya dengan karya-karya penulis Islam. Teori-teori kesusasteraan Barat pada Shafie tidak mampu mempertalikan hubungan manusia secara bathiniah di antara dirinya dengan Pencipta-Nya (Allah). Demikian juga untuk membuktikan kesignifikasian hubungan sastera dengan tanggungjawab kemusliman terhadap penulisannya di sisi Islam.
Demikian juga pandangan Mohd Affandi Hassan yang melihat kesusasteraan itu tidak terbatas hanya kepada kegiatan kesasteraan, sebagaimana yang telah ditonjolkan oleh penulis Barat atau sesetengah penulis-penulis Islam yang terpengaruh dengan konsep kesusasteraan Barat itu. Menurut Affandi, kita sepatutnya memanfaatkan segala hasil sastera dunia yang terbaik dalam satu kurikulum pendidikan estetika yang menyeluruh, yang asasnya ialah nilai-nilai mutlak daripada ajaran tauhid (Mohd Affandi Hassan.1992:4). Mohd Affandi memetik pandangan Soheir el-Kalamawy dan Mahmoud Ali Makky dalam tulisan mereka yang berjudul `Arabic Literature` yang melihat pengaruh kesusasteraan barat berserta dengan gugusan teorinya dalam sistem pendidikan negara telah menyebabkan orang-orang Islam tidak mengenal tradisi persuratan Islam yang kaya dan besar pengaruhnya dalam kesusasteraan Eropah itu. Para pelajar dan guru tidak didedahkan dengan teori-teori kesusasteraan Islam sebagaimana yang dihasilkan oleh tokoh-tokoh Islam seperti Abd al-Qadhir al-jurjani dan lain-lain (Mohd Affandi Hassan.1992:5).
Berdasarkan kepada pandangan beberapa tokoh penteori ini, kelemahan teori kesusasteraan Barat menjadi sebab yang agak kuat mempengaruhi kelahiran teori-teori kesusasteraan tempatan. Perkara ini kelihatan bergerak atas landasan yang sama dengan pemikiran sarjana Barat yang turut melihat teori-teori kesusasteraan yang lahir sebelum atau sezaman dengan mereka mempunyai banyak kelemahan tertentu. Cuma, Hashim Awang, Muhammad Haji Salleh membina kerangka teori berasaskan ramuan tempatan yang masih asli dan tidak terusik oleh pemikiran penteori Barat.
Demikianlah halnya dengan Mana Sikana, yang melihat hegemoni teori-teori kesusasteraan Barat dalam kesusasteraan Melayu sebagai sesuatu yang tidak wajar, kerana baginya, teori-teori Barat telah memancarkan konsepsi sastera kita yang tidak jatidiri dan kurang seiring dengan konteks sosiobudaya di negara ini, akibatnya masyarakat sastera kita terumbang ambing dengan bumi sastera yang mereka pijak. Oleh itu, Mana Sikana menyebutkan bahawa, wacana Teksdealisme yang dikemukakan adalah satu usaha yang dapat menawarkan jalan alternatif lain yang barangkali lebih secocok dengan khazanah sastera Melayu.
Shafie Abu Bakar dan Mohd Affandi Hassan pula secara bulat menganjakkan paradigma dengan meletakkan Islam sebagai tempat dikembalikan segala pandangan, sikap dan prinsip teori kesusasteraan. Meskipun teori kesusasteraan Islam sebagaimana yang diutarakan oleh mereka, sememangnya sudah wujud sejak berabad lalu. Lutfi Abas dalam pembentangan kertas kerjanya pada Seminar Teori Kesusasteraan Islam di hotel Renaissance Palm Garden, Puchong pada 26-28 September 2000 lalu menegaskan bahawa, teori kesusasteraan Islam sememangnya sudah wujud sejak zaman Rasulullah lagi, demikian juga dalam era al-Ghazali, yang dibuat oleh beberapa sarjana di sini hanya satu kelangsungan atas apa yang sudah sedia ada, melainkan berbeza pada namanya saja.
Berasaskan pandangan beberapa tokoh ini, kita dapat menanggapi bahawa sebab utama kemunculan teori-teori kesusasteraan tempatan adalah satu refleksi daripada teori-teori kesusasteraan Barat yang diyakini sarat dengan kelemahan-kelemahan. Dari kelemahan itu bermulalah proses pencarian dan pembinaan teori yang lebih jati diri prinsipnya, yang disifatkan oleh Muhammad Haji Salleh sebagai `mengembalikan falsafah Malaysia kepada seninya`(Muhammad Haji Salleh 2000:x).

Perkembangan pemikiran Islam

Isu-isu yang berkaitan dengan agama Islam sememangnya sudah muncul dalam karya sastera Melayu tradisional. Menurut Ismail Hamid (1990) dorongan dakwah dan penerapan nilai-nilai Islam dalam masyarakat Melayu lama telah menyumbang kepada kelahiran sastera Melayu yang bercorak Islam. Kebanyakan karya adalah jenis hikayat yang disadur dari kesusasteraan Arab, khususnya cerita-cerita tentang Nabi Muhammad.
Walau bagaimanapun, gerakan pembaharuan dalam sastera Melayu dan kritikan terhadap warisan lama telah menimbulkan satu pemberontakan terhadap budaya Melayu lama sehingga kaum sasterawan Melayu tidak lagi mencari ilham penulisan daripada sumber budaya yang tidak berteraskan Islam (Ismail Hamid,1990.122). Agama Islam tidak dijadikan wahana atau dasar pengungkapan kesusasteraan Melayu baik era pramerdeka atau pascamerdeka. Kemasukan dan pengaruh teori-teori dari Barat menenggelamkan peranan agama Islam itu sendiri.
Modenisme telah menyaksikan penolakan terhadap Islam dalam bidang kesusasteraan Melayu, sebagaimana modenisme yang meminggirkan ajaran moral dan mendatangkan kemusnahan hidup dalam masyarakat Eropah pada awal abad ke-20. Walau bagaimanapun, keadaan ini telah berubah menjelang tahun-tahun 1970-an, apabila keinginan untuk kembali kepada Islam itu mula kedengaran. Ustaz Yusof Zaky Yaacob, Shahnon Ahmad, Uthman El-Muhammady dan Kamal Hassan adalah di antara tokoh penting di sebalik pemugaran sastera Islam.
Ekoran daripada gesaan itu banyaklah seminar dan kolokium tentang sastera Islam ini diadakan. Banyak faktor yang membantu situasi ini berkembang, antaranya ialah tercetusnya era kebangkitan Islam di Asia Tenggara, pengaruh gerakan Islam dari timur tengah dan kemunculan badan-badan berasaskan Islam di negara ini seperti ABIM, penglibatan kerajaan dan penubuhan institusi seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (Shafie Abu Bakar 2000:432).
Perkembangan ini telah merubah pendirian dan sikap ramai tokoh sastera Melayu yang sebelum ini sangat tebal dengan kesusasteraan Barat. Shahnon Ahmad adalah tokoh terawal yang memisahkan diri dari teori-teori Barat dan mengisytiharkan diri sebagai peminat serta penganut sastera Islam. Beberapa orang penyair era 1980-an seperti Kemala, Suhaimi Haji Muhammad juga telah beralih kepada puisi-puisi berunsur Islam.
Islam tidak lagi dilihat dari sudut yang sempit yang terbatas kepada bab-bab hukum fekah dan ibadat khusus semata-mata. Islam telah diyakini oleh ramai sarjana dan tokoh sastera Melayu pada waktu itu sebagai kemuncak pencarian yang dapat membawa khalayak ke makam ma’rifatullah. Kesusasteraan bagi orang-orang Melayu yang beragama Islam tidak dilihat atas sifat, bentuk dan struktur yang membina kesasteraanya semata-mata, tetapi ia berkait rapat dengan penanggungjawaban di sisi Penciptanya dalam dua hubungan, iaitu hubungan hamba [pengarang/sasterawan] sesama hamba dan hubungan hamba [pengarang/sasterawan] dengan Allah.
Beberapa tokoh sastera Melayu seperti Ustaz Yusof Zaky Yaacob, Uthman El-Muhammady, Kamal Hassan telah merintis pemikiran yang bersifat teoretikal terhadap kesusasteraan Islam, dengan memberi definisi-definisi yang tertentu terhadap kesusasteraan Islam. Yusof Zaky Yaacob misalnya, melihat kesusasteraan Islam sebagai sastera dakwah, Uthman El-Muhammady pula berpendapat sastera Islam ialah sastera Mukaddas, Mohd Kamal Hassan berpendapat sastera Islam ialah sastera yang lahir daripada penulis yang komited dengan pandangan Islam dan sistem nilainya, manakala Ismail Ibrahim menyatakan sastera Islam ialah hasil tulisan yang berasaskan tauhid (Shafie Abu Bakar 2000.432).
Shahnon Ahmad memasuki sempadan teoretikal dan dengan lebih serius apabila membicara konsep kesusasteraan Islam secara mendalam menerusi bukunya yang berjudul `Kesusasteraan dan Etika Islam`. Shahnon menegaskan bahawa kesusasteraan Islam itu ialah kesusasteraan kerana Allah dan berhikmah kepada manusia sejagat (Shahnon Ahmad,1981:3). Berdasarkan kepada sifat manusia sebagai hamba Allah [abdullah-abdullah], maka kita hanya menjalankan peranan kita dalam kegiatan sastera sebagai salah satu kegiatan tatahidup yang suci (Shahnon Ahmad,1981:122).
Menyusuri pandangan-pandangan yang dikemukakan oleh beberapa orang tokoh sastera Melayu ini, kita tentunya dapat mencium aroma teoritikal yang mula membenih. Tetapi yang lebih penting dari itu ialah kepadanan pandangan mereka yang dilandaskan secara sedar di atas landasan agama Islam. Istilah-istilah Islam seperti dakwah, makaddas, tauhid dan hikmah adalah istilah-istilah Islam yang dipilih khusus bagi menggambarkan keIslaman sastera dari sudut pengertiannya.
Perkembangan pemikiran Islam dalam kalangan para sarjana dan pemikir tempatan telah memasuki sempadan kesusasteraan dan menjadi penyubur yang menumbuhi aroma keislaman dalam pembinaan teori-teori kesusasteraan. Beberapa orang tokoh pemikir sastera seperti Ustaz Yusof Zaky Yaakob, Shafie Abu Bakar, Ismail Ibrahim, Mohd Kamal Hassan, Mana Sikana sememangnya mempunyai latar belakang pendidikan agama Islam yang tinggi. Oleh itu, tidak hairan, desakan dan suara-suara yang menyerukan kepada pembinaan teori kesusasteraan tempatan berasaskan Islam dan Melayu kedengaran dan berkumandang dari kelompak ini. Ada baiknya kita meninjau buah fikiran Mohd Affandi Hassan dan Shafie Abu Bakar terhadap kesusasteraan Islam dan teori yang digagaskan.

Mohd Affandi Hassan seawal wacananya telah menetapkan pendirian pada landasan Islam. Katanya:

`Kita sepatutnya memanfaatkan segala hasil sastera dunia yang terbaik dalam satu kurikulum pendidikan estetika yang menyeluruh, yang asasnya ialah nilai-nilai mutlak daripada ajaran tauhid. Dengan itu perbicaraan tentang sastera Islam akan lebih jelas, lebih terarah kepada memahami worldview Islam dalam kesenian dengan pendekatan tauhid ini..’
(Mohd Affandi Hassan, 1992:4)

Mohd Affandi juga membahas fungsi kesusasteraan dari pandangan Barat dan Islam. Menurut Mohd Affandi:

`kesusasteraan Barat lebih mementingkan aspek fictionaliti, sifat khayalan dan imaginatif, rekaan dan `ciptaan` manusia yang berbakat seni. Konsep fictionality ini adalah lanjutan daripada konsep mimesis, peniruan tentang alam: dengan itu seni dalam konteks ini sifatnya reprentational.`

(Mohd Affandi Hassan 1992.24).

Menurut Mohd Affandi, kesusasteraan dalam Islam ialah sejenis amal manusia yang menggunakan daya kreatif (bakat yang diamanahkan) dicipta dengan menggunakan bahasa yang indah dan teknik yang berkesan untuk memberi makna yang sedalam-dalamnya tentang hakikat insan dan hakikat ilmu serta amal (Mohd Affandi Hassan 1992.25). Jelasnya Mohd Affandi menolak teori kesusasteraan Barat yang dianggap sebagai gagal membawa manusia mengenal hakikat diri dan Penciptanya. Kesusasteraan sebagaimana amal-amal yang lain mestilah dijuruskan kepada pengabdian kepada Allah. Itulah yang semestinya dilakukan oleh para penteori, sasterawan, penulis, khalayak dan segala kegiatan kesusasteraan itu. Pandangan Mohd Affandi dapat disandarkan kepada Firman Allah S.W.T. dalam Surah Adz- Dzaariyaat ayat 56, bermaksud;

`Tidak Aku jadikan jin dan manusia, melainkan supaya mereka mengabdikan diri hanya kepada Allah’

Oleh itu, fungsi kesusasteraan Barat tersasar dari tujuan asal manusia (termasuk penteori/sasterawan/penulis/ khalayak) itu dijadikan. Teori kesusasteraan Barat tidak dapat menghubungkan seni sastera dengan konsep amanah yang bertauat pada hakikat tauhid sebagaimana yang tertuntut dalam Islam. Oleh sebab itu, Mohd Affandi menjelaskan bahawa `Seniman Islam berkarya untuk menyembah Allah, manakala seniman Barat berkarya untuk menyembah hasil seni atau hawa nafsunya (Mohd Affandi Hassan.1992.25).
Teori Takmilah juga digerakkan atas landasan agama (Islam). Prinsip asas teori ini ialah tauhid. Tauhid adalah paksi yang mencirikan keIslaman dan membezakannya daripada agama dan pegangan-pegangan yang lain (Shafie Abu Bakar.1995:133). Tauhid menjadi pusat yang mengembalikan segala tindak tanduk, pengucapan dan niat seseorang Islam.Tauhidlah juga yang memancarkan sinar keislaman dari sebarang perilaku, tindakan dan perbuatan seseorang manusia. Al Faruqi (1982) menyebutkan bahawa, tauhid memenuhi kesedaran orang Islam yang obses dalam sublimasinya. Shafie menyandarkan asas teorinya pada prinsip Islam yang paling asas ini. Bagi Shafie, falsafah ketauhidan yang diyakini ini adalah falsafah yang benar, pasti, jelas dari suatu realiti yang hakiki terjelma dalam pendekatan ilmu, seni dan sasteranya. Menurut Sarwar (1976) prinsip inilah yang sepatutnya menjadi kerangka segala pendekatan keislaman.
Shafie mengemukakan istilah `Takmilah` bagi melengkapi makna harfiah teori kesusasteraannya yang berlandaskan agama Islam itu. Takmilah membawa maksud menjadikan lebih sempurna (Shafie Abu Bakar 1997:129). Shafie menggunakan istilah ini bagi melihat pada tahap awal bahawa sastera dan lebih luas seni yang amat menekankan keindahan (estetika). Puncak keindahan yang dilihat oleh teori ini ialah keindahan yang menjadi satu sifat dalam zat Allah (al-Jamal) itu sendiri.
Istilah Takmilah itu dengan sendirinya bertalian dengan sifat Allah yang root katanya berasal dari kata Kamal yang bertalian pula dengan Tajmilah yang berasal dari Jamal yang ciri sastera bertolak darinya mengarah kepada takmilah (Shafie Abu Bakar.1997:129-130). Berdasarkan kepada istilah inilah, Shafie percaya bahawa, semua proses kepengkaryaan (pengkarya, karya dan khalayak) adalah satu proses menuju kepada kesempurnaan. Kesempurnaan kepengkaryaan dalam konteks Islam boleh kita fahami sebagai segala perilaku, niat dan pengucapan yang terlibat dan dilibatkan dalam proses kepengkaryaan itu akhirnya menuju dan dituju atau mengarah kepada sentral Islam iaitu tauhid.
Kesusasteraan dalam rangka tauhid adalah sama kedudukannya dengan ilmu-ilmu lain yang tidak terkeluar dari bidang keislamannya. Ini bermakna rentak dan lenggang lengguk kesusasteraan harus dikawal supaya berada atas landasan yang betul dan selari dengan tuntutan tauhid. Sebarang percanggahan dengan akidah, hukum, perundangan dan nilai-nilai Keislaman, sesungguhnya ianya bertentangan dengan prinsip tauhid (Shafie Abu Bakar.1997:131).
Bagi menghalusi dan memakna teori ini agar berfungsi sebagai sebuah teori kritikan sastera Islam, Shafie mengemukakan beberapa prinsip teori sebagai landasan kritikan. Prinsip-prinsip tersebut ialah prinsip Ketuhanan yang bersifat Kamal, prinsip Kerasulan yang besifat Kamil, Prinsip Keislaman yang bersifat Akmal, prinsip ilmu dengan sastera yang bersifat takamul, prinsip sastera sendiri yang bercirikan estetika dan bersifat takmilah, prinsip pengkarya yang seharusnya mengistikmalkan diri dan prinsip khalayak yang bersifat memupuk sifat insan kamil (Shafie Abu Bakar 1997.131).
Dalam hubungan ini, Teori Takmilah bertindak dengan dua peranan yang amat akrab iaitu menghubungkan segala aspek yang terlibat dalam proses kepengkaryaan dengan Allah. Keindahan yang terjelma dalam karya sastera seharusnya menjurus kepada keindahan yang hakiki supaya sifat kesusasteraan itu kelihatan sempurna. Shafie menjelaskan bahawa peranan tersebut saling menyokong dan lengkap melengkapkan serta tidak boleh dipisahkan (Ungku Maimunah,1997:10).
Teori Takmilah mengunjur kedudukannya atas landasan Islam dalam rangka falsafah ketauhidan yang bertaut dan ditauti beberapa sifat Allah seperti Kamal, Jamal, Alim, Qadir, Qahhar dan Jalal, kemudian melewati sifat-sifat Rasul, Islam dan ilmu lalu menyerap masuk ke setiap ruang amalan kesusasteraan [yang melibatkan pengkarya, karya dan khalayak]. Praktis kritikannya pula mengunjurkan satu `perjalanan pulang` dari amalan kesusasteraan [yang melibat pengkarya, karya dan khalayak] ke peringkat ilmu, agar ilmu kesusasteraan bermanfaat dan benar, kemudian menyesuaikan diri di peringkat kerasulan, agar pengkarya atau khalayak mencapai tahap insan Kamil dan akhirnya bertaut pada ketauhidan yang menjadi kemuncak kesempurnaannya.
Memahami teori Takmilah, kita akan dapat mengenalpasti dan mengetahui peranan falsafah ketauhidan [sebagai bedrock of Islam] dalam aktiviti kesusasteraan. Teori Takmilah ini memberikan kejelasan kepada arah tujuan dan matlamat kepada kesusasteraan itu sendiri (Ungku Maimunah.1997:21).
Jelasnya, Shafie Abu Bakar dan Mohd Affandi Hassan mempunyai matlamat kesusasteraan yang bersifat ibadah, berpahala dan mendapat keredhaan Allah S.W.T.. Itulah matlamat akhir daripada keseluruhan kegiatan kesusasteraan yang mereka inginkan, sejajar dengan konsep pengabdian diri manusia yang bersifat hamba di sisi Allah. Firman Allah dalam Surah Adz-Dzaariyaat ayat 56, bermaksud:

`Tidak Aku jadikan jin dan manusia, melainkan supaya mereka mengabdikan diri hanya kepada Allah’

Kesedaran intelektual

Tidak dapat dinafikan bahawa, ramai di kalangan sarjana sastera tempatan yang mendapat didikan sastera di Barat membawa pulang bersama mereka teori-teori dan pemikiran sastera barat. Menurut Sahlan (1997), teori-teori yang `diimport` dari Barat itu kemudiannya dikuliahkan, diajar, disebar, dibengkel dan diseminarkan dalam negara ini oleh tokoh-tokoh sarjana Melayu sendiri. Dengan itu teori dan pemikiran sastera dari Barat cepat merebak dan mempengaruhi hampir sebahagian besar penganut sastera Melayu.
Walau bagaimanapun, ada juga dalam kalangan sarjana yang pulang dari Barat memiliki kesedaran intelektual yang tinggi terhadap kesusasteraan tempatan. Mereka inilah yang bangkit membongkar kelemahan-kelemahan teori kesusasteraan Barat dan menjelaskan kepincangan-kepincangan pemikiran Barat dalam menafsir dan menganalisis teks. Hashim Awang adalah tokoh sarjana berpendidikan Barat yang dilihat mempunyai kesedaran intelektual yang tinggi, sehingga beliau melibatkan diri secara langsung dalam menyumbangkan idea bagi membudayakan bidang teori dan kritikan berasaskan pandangan Islam dan nilai-nilai tempatan.
Demikian juga dengan Muhammad Haji Salleh yang dianggap kental dengan didikan Barat, namun kembali beliau tidak larut dalam kebaratan, tidak termakan oleh prinsip-prinsip rapuh teori kesusasteraan bikinan sarjana Barat dan tidak pula memandang idea-idea teoretikal Barat itu sebagai mempunyai kekuatan dalam bidang epistemologi. Pencarian selama tiga puluh tahun tidak pernah menemukan kepuasan dalam diri terhadap sumbangan pemikiran Barat terhadap kesusasteraan nenek moyangnya.
Muhammad meneroka dunia Melayu, menyelongkari jajaran estetika, mencerakin rantaian puitika bagi mendapatkan makna sebenar kesusasteraan Melayu. Usaha Muhammad yang terjelma dalam gagasan Puitika Sastera Melayu (2000) sebagai satu keberhasilan daripada kesedaran intelektualnya yang tinggi terhadap kesusasteraan Melayu. Demikianlah hal dengan beberapa tokoh lain yang turut bangkit atas prinsip keintelektualan dalam menyumbangkan idea dalam pembinaan teori-teori tempatan seperti Ungku Maimunah, Shafie Abu Bakar, Mana Sikana, Mohd Salleh Yaapar, Sahlan Mohd Saman, Mohamad Mokhtar Hassan, Mohamad Daud Mohamad dan ramai lagi.

Pengaruh sarjana dan teori Sastera Barat


Kemunculan teori-teori kesusasteraan tempatan masih tidak dapat memisahkan diri daripada pengaruh pemikiran sarjana dan teori-teori kesusasteraan di Barat. Teori-teori yang dibina baik yang telah melalui proses adaptasi, penyesuaian, modifikasi, penyerapan, penyaringan, hibridisme dan pemantapan masih memperlihatkan campurbaur idea-idea tempatan dan Barat. Teori Teksdealisme misalnya, memperlihatkan banyak pengaruh idea-idea teori Psikoanalisis Harold Bloom dan Jaque Lacan. Malah jika dihalusi ada aroma pascamoden yang merawan dan berjelaga pada prinsip keunggulan teori berkenaan.
Pengaruh Psikoanalisis sangat ketara dalam Teksdealisme, meskipun Mana Sikana telah menyaring, mengubahsuai mana-mana bahagian yang tidak sesuai dan dimantapkan dengan falsafah baharu yang disandarkan kepada konsep keberanian dan kebijaksanaan watak Tuah-Jebat. Walau bagaimanapun, konsep keberanian yang dibangkitkan dalam Teksdealisme sememangnya telah disebutkan oleh Bloom dalam teori Kepengaruhannya.
Demikianlah halnya dengan teori Rasa-Fenomenologi yang diperkenalkan oleh Sohaimi Abdul Aziz. Teori ini merupakan gabungan teori Rasa-dhvani dari India dan teori Estetik Fenomenologi dari Barat. Pengaruh teori dari Barat dan timur ini telah membuka jalan kepada pembinaan teori baharu yang dipercayai lebih menepati citra teoretikal yang melibatkan keseluruhan pihak dalam kepengarangan.
Sebagaimana Mana Sikana, Sohaimi juga bertindak dengan cara mengubahsuai, meminda, menyaring, membina semula serta memberi takrifan baharu terhadap konsep estetik. Dari segi pembinaan asas dan istilah, kedua-dua teori ini ada sedikit kemiripannya. Rasa-Fenomenologi terbina secara hibridisasi dua teori. Konsepnya mendekati intertekstualiti Kristeva dengan suara-suara dialogikal Bakhtin, manakala Istilah Teksdealisme juga terhasil dari hibridisasi dua istilah iaitu teks dan ideal. Kedua-dua teori ini dipengaruhi oleh idea-idea dari penteori bukan tempatan, yakni dari Barat dan Timur (India).
Pengaruh dari pemikiran Barat tidak hanya berlaku pada pembinaan teori, tetapi juga berlaku ke atas teori Konseptual Kata Kunci yang diperkenalkan Mohamad Mokhtar Hassan. Pendekatan ini, meskipun masih baharu di negara ini, namun ia memperlihatkan kehadiran pengaruh pemikiran dari luar yang meresapi pemikiran sarjana tempatan dalam pembinaan pendekatan kritikan.
Teori Konseptual Kata Kunci bertolak daripada tanggapan Anna Wierzika seorang Prosefor Linguistik di Australian National University yang percaya bahawa budaya dan masyarakat boleh ditunjuk atau diperjelaskan kepada umum menerusi kata-kata kunci. Khalayak juga boleh mengenali dan memahami kehidupan, citra dan budaya sesuatu masyarakat dengan cara mendalami dan melihat lapis-lapis makna kata yang hadir bersama kehidupannya.

Keperluan bidang kritikan berasaskan nilai tempatan

Kritikan adalah wahana sastera yang sangat dinamis sifatnya. Oleh itu, kritikan menyumbangkan peranan yang sangat besar dalam kemajuan dan perkembangan sastera. Kesusasteraan tidak mungkin dapat hidup dengan semata-mata bergantung kepada teorinya, kerana kritikanlah yang `memberi nyawa` kepadanya. Keperluan kepada teori kesusasteraan Melayu berkait rapat dengan kegiatan kritikan sastera Melayu itu sendiri.
Telah sekian lama kesusasteraan kita hidup bergantung kepada teori sastera dan pendekatan kritikan Barat. Selama itu jugalah pandangan hidup masyarakat Melayu yang terselindung dalam karya-karya sastera Melayu belum benar-benar mampu dibongkar, kerana teori dan kritikan yang tidak mampu mencecah kedalaman Melayu dan Islam yang menjadi anutan mereka. Teori-teori dan pendekatan moden Barat tidak menyediakan ruang dan jalan rintis yang seafdalnya ke arah itu.
Dalam era pascamoden, keadaan menjadi lebih tidak menentu dan teori-teorinya pula tidak memberi sebarang jaminan terhadap apa-apa kepastian yang cuba dicari. Oleh itu, definisi kritikan sastera dalam kesusasteraan Barat dan kesusasteraan Melayu perlu kepada sedikit pengubahsuaian. Dari pemahaman sarjana Barat, kritikan kesusasteraan satu disiplin yang sistematik yang berusaha untuk menjelas, mengkaji, menganalisis, menginterpetasi dan menilai sesuatu hasil seni (Charless E. Bressler 1999:4). M.A. Abrams (1971) pula menyebutkan kritikan kesusasteraan sebagai satu cabang pengkajian yang berhubung dengan pengertian, penjenisan, penghuraian dan penilaian karya-karya kesussteraan.
Kritikan sastera Melayu mengikut Ungku Maimunah ialah segala tulisan tentang sastera yang memberi kesan kepada perkembangan kesusasteraan termasuk kepada pembacaan dan penerbitan karya sastera (Rahman Shaari, 1994:11). Ungku Maimunah berpendirian, aspek perkembangan sastera turut dilibatkan sebagai satu pertimbangan yang wajar berdasarkan keadaan-keadaan tertentu yang berlaku dalam kesusasteraan Melayu itu sendiri (Rahman Shaari, 1994:10). Ahmad Kamal Abdullah, et al (1990) pula menjelaskan:

`Kritikan harus mengandungi ciri-ciri seperti pengamatan yang kritis, penumpuan terhadap teks sama ada yang tersurat dan tersirat, pemerian apresiasi terhadap keindahan dan kekuatan karya, menilai, membanding, menunjukkan kesalahan dengan niat mempertingkatkan karya, memberi manfaat kepada pembaca dan seluruh peneliti lainnya. Perlakuan itu semestinya dibuat dengan pendekatan-pendekatan tertentu dalam lingkungan kesusasteraan itu sendiri.

Definisi di atas adalah hasil adunan definisi kritikan sastera dari Barat yang disesuaikan dengan pandangan dan keperluan khalayak sastera Melayu. Daripada definisi-definisi tersebut, kritikan sastera Melayu kelihatan lebih bersifat komprehensif berbanding makna kritikan sastera dalam kesusasteraan Barat. Pembangunan sastera dianggap sebagai satu aspek penting yang perlu ada dalam kritikan sastera Melayu. Oleh itu, kritikan sastera Melayu tidak semata-mata menyelongkari teks, tetapi juga membawa sastera itu sendiri kepada kemajuan-kemajuan sastera dan menghubungkannya dengan aspek-aspek yang berada di luar teks.
Di sinilah pentingnya teori kesusasteraan Melayu, yakni untuk memenuhi keperluan dalam bidang kritikan sastera Melayu itu sendiri, yang disifatkan oleh Mana Sikana sebagai bersifat jatidiri dan seiring dengan konteks sosio budaya negara ini. Teori-teori kesusasteraan dan kritikan Barat tidak dapat menjangkau ketinggian falsafah kehidupan orang-orang Melayu dan Islam, kerana sifat sekular dan keterbatasan falsafahnya yang tidak mencecah dasar ketauhidan dan ketuhanan yang haq.