SELAYANG PANDANG

Selamat datang kepada pengunjung peminat dan penggiat kesusasteraan, khususnya yang berminat dalam bidang teori, kritikan dan penulisan puisi ke blog Teori dan Kritikan Sastera. Blog ini menyediakan maklumat akademik berkaitan sejarah dan perkembangan bidang ilmu teori dan kritikan sastera di Barat dan di Malaysia. Selain itu, terdapat juga sisipan puisi, peribahasa dan pelbagai informasi tentang kegiatan kesusasteraan tanah air. Anda juga boleh kunjungi laman blog puisi saya di http://anjungpuisi.blogspot.com/ Semoga ilmu yang dikongsi dalam blog ini dapat memanfaatkan perkembangan ilmu saudara/i ke arah memahami dan mengenali kebesaran dan keluasan ilmu Allah SWT. - a.halim ali

Wednesday, February 10, 2010

TOKOH TERAWAL KRITIKAN DALAM TRADISI KESUSASTERAAN KLASIK BARAT



Sebenarnya, tiada siapa yang mendakwa sebagai pelopor kritikan sasteraterawal dan sejarah kesusasteraan juga tidak menetapkan mana-mana tokoh yang memulakan atau memperkenalkan kritikan ini.Namun, apabila ditinjau sejarah kesusasteraan era Yunani, kita akan bertemu dengan beberapa orang tokoh seperti Plato(424-347 S.M.) yang dianggap sebagai tokoh pengkritik Yunani yang mula-mula sekali berbicara dan menulis secara tidak langsung tentang kritikan seni dalam beberapa karyanya.
Karya agong Plato Republic banyak menyentuh tentang nilai-nilai sastera, moral dan juga puisi yang boleh diketengahkan sebagai penyumbang kepada cetusan tradisi kritikan. Demikian juga dengan Aristotle yang menghasilkan Poetics telah dengan jelas berbicara tentang kritikan di samping perkara-perkara lain yang berkaitan dengan sastera. Seorang lagi tokoh pengkritik Greek yang penting ialah Dionysius Cassius Longinus. Beliau menekankan aspek penilaian yang merangkumi penggunaan gaya bahasa yang baik dalam karya, kawalan emosi dan penciptaan karya yang baik. Semua ini dinukilkan dalam karyanya yang berjudul On the Sublime. Dionysius Cassius Longinus dianggap sebagai seorang tokoh pengkritik yang berjasa dalam dunia kritikan kerana mempelopori kritikan gaya bahasa atau stilistik dan juga perintis kepada kepada penilaian estetik. Di Rom terdapat juga tokoh kritikan seperti Quintus Horatius Placcus dan Marcus Fabius Quintilianus.
Seorang lagi tokoh pemikir yang besar peranan dan pengaruh dalam bidang kesusasteraan era klasik ialah Horace. Beliau menghasilkan karya Arts Poetica yang memuatkan beberapa dasar penilaian kritikan dan tanggapan-tanggapan yang sangat membantu bidang kritikan. Beberapa pandangan dan nasihat kepada para pengkarya juga menjadi dasar pemikirannya yang bersifat realistik.
Perkembangan kritikan zaman awal terbantut apabila Eropah berhadapan dengan zaman kegelapan, namun apabila muncul era Renaissance (zaman pembaharuan), tradisi kritikan sebagaimana yang tumbuh di Yunani dahulu dihidupkan semula, tetapi dengan wajah baru dan makna baharu juga. Pada waktu itu kritikan bermaksud usaha untuk memperbaiki karya-karya lama dan membantu memperbaiki bacaan.

Sunday, February 7, 2010

KRITIKAN SASTERA DI BARAT

Pengenalan

Kritikan sastera telah berkembang sebagai satu disiplin dalam pengkajian kesusasteraan sejak zaman Plato (424-347 S.M.) lagi iaitu kira-kita 2,400 tahun yang lalu. Kemunculan disiplin ini bergerak secara seiring dengan bidang teori dan penghasilan karya-karya kesusasteraan. Kemunculan karya kesusasteraan membuka luas ruang fenomena sastera. Teori sastera pula menyediakan landasan kepada pemahaman terhadap fenomena tersebut, manakala, bidang kritikan menyediakan kaedah yang menunjukkan cara menafsir fenomena sastera.
Ini bermakna kehadiran sesuatu karya akan menyusul selepas itu kerja-kerja kritikan sastera. Jelasnya, tanpa karya kesusasteraan, kritikan tidak mungkin berkembang dan teori sastera akan tinggal hanya sebagai teori murni. Oleh kerana, tiga bidang sastera ini menjadi nadi penting kepada kehidupan disiplin sastera itu. Kritikan sastera menjadi komponen pelengkap yang memberi nafas kepada teori dan karya-karya kesusasteraan.
Praktis kritikan ini terus merebak ke dalam kesusasteraan berbagai bangsa di dunia, khususnya di Barat, hinggalah ke rantau Nusantara, termasuk Malaysia. Walau bagaimanapun, praktis ini telah menjadi kacau bilau, akibat perbalahan dialetikal para penteori yang berbeza pendapat dalam memahami dan menafsir realiti fenomena sastera. Ekoran perbalahan itu, muncul pelbagai pendekatan dan teori yang relatifnya baharu dan berusaha mengenengahkan pemikiran masing-masing untuk menerangkan tentang `kebenaran` atau keyakinan terhadap realiti sastera dan segala perkara yang berkaitan dengannya.

Monday, February 1, 2010

PERSEDIAAN MENJADI PENGKRITIK SASTERA

....sambugan

Seseorang pengkritik tentunya tertuntut atas dirinya agar melakukan kritikan yang bertanggungjawab yang dengannya hasil kritikan itu boleh dipertanggungjawabkan. Oleh itu, pengkritik perlu menjalankan tugas mengkritik secara profesional, berdiri atas sifatnya sebagai orang yang ahli (pakar), sehingga pengkritik itu dapat dengan jelas membezakan emosi dengan fakta, rasional dengan semborono, kebenaran dengan bepalsua
Pengkritik hendaklah menjadi hakim yang bijaksana, memberi hukuman tanpa dipengaruhi oleh sentimen, desakan emosi atau suapan. Hukuman yang diberikan sewajarnya atas pertimbangan hujah ilmu dan akal yang boleh membentang keterbukaan minda, menampilkan ketajaman fikiran serta memperlihatkan ketelitian. Hashim Awang (1997) mengemukakan beberapa sifat pengkritik sastera yang baik. Antaranya ialah:-
1. Pengkritik sewajar seorang pencinta seni, mempunyai minat yang mendalam terhadap satu-satu bentuk seni, khususnya seni sastera.
2. Mempunyai sensitiviti yang kuat terhadap sesuatu seni sastera. Mempunyai daya kepekaan yang tinggi untuk masuk ke dalam karya dan memberi tindak balas terhadapnya.
3. Mempunyai keupayaa yang bersar terhadap analitis.
4. Mampu mengemukakan prinsip-prinsip estetika dalam penilaian dan mengemukakan hujah-hujah yang kuat dan tepat.
5. Mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang yang dipilih serta dapat membuat perbandingan-perbandingan dan perbezaan-perbezaan.
6. Dapat menyampaikan penghuraian serta penilaian dalam satu cara yang jelas dan menarik. Gagasan yang ditimbulkannya pula dapat diterima dan difahami oleh masyarakat.

Barangkali, timbul pertanyaan dalam benak kita, sejauh manakah seseorang pengkritik dapat berlaku adil, profesioal dan bijaksana dalam kritikan? Jawapannya mudah, ia bergantung kepada sejauh manakah pengkritik itu dapat menghayati, mengaplikasikan dan meletakkan kerja-kerja kritikan pada landasan yang benar-benar menepati pendekatan yang dipilihnya. Pertanyaan ini juga terhala kepada pengarang atau pihak lain yang berhadapan dengan hasil kritikan itu. Sejauh manakah mereka boleh sampai dan mempertahankan keterbukaan minda, sejauh jugalah keadilan dapat diterima. Melaksanakan keadilan, bererti kita meletakkan sesuatu itu kena pada tempatnya. Jika ini boleh berlaku, maka keadilan dalam melakukan kritikan dan berhadapan dengan hasilnya juga akan menjadi kenyataan.
Pengarang dan khalayak lain memiliki hak dan kata pemutus. Warna dan corak perkembangan sastera kemudiannya tidak semata-mata bergantung kepada pengkritik, penteori, malah juga kepada masyarakat yang menerima hasil kesusasteraan dan kritikan. Demikianlah pernyataan Mana Sikana (1998), bahawa masyarakat pembaca mempunyai kata pemutus dan pembentuk arah kepada perkembangan sesebuah kesusasteraan`. Oleh itu, pengkritik perlu menimbang pelbagai sudut pandangan, kerana kritik sastera itu sebenarnya muncul di antara karya dan masyarakat pembaca.