SELAYANG PANDANG

Selamat datang kepada pengunjung peminat dan penggiat kesusasteraan, khususnya yang berminat dalam bidang teori, kritikan dan penulisan puisi ke blog Teori dan Kritikan Sastera. Blog ini menyediakan maklumat akademik berkaitan sejarah dan perkembangan bidang ilmu teori dan kritikan sastera di Barat dan di Malaysia. Selain itu, terdapat juga sisipan puisi, peribahasa dan pelbagai informasi tentang kegiatan kesusasteraan tanah air. Anda juga boleh kunjungi laman blog puisi saya di http://anjungpuisi.blogspot.com/ Semoga ilmu yang dikongsi dalam blog ini dapat memanfaatkan perkembangan ilmu saudara/i ke arah memahami dan mengenali kebesaran dan keluasan ilmu Allah SWT. - a.halim ali

Tuesday, March 2, 2010

SEJARAH KRITIKAN SASTERA DI BARAT

......Sambungan

Dalam zaman Kegelapan, Perancis, Itali dan England muncul sebagai pihak yang sangat kuat membicarakan kesusasteraan, khususnya tentang disiplin kritikan ini. Bidang kritikan telah berkembang dengan muncul pula begitu ramai para pemikir dan pengkritik sastera waktu itu. Kemunculan para pemikir dan pengkritik sastera ini seiring dan atau dikuti pula dengan kemunculan pelbagai pemikiran dalam menanggapi karya-karya sastera, khususnya puisi dan drama. Perkembangan ini boleh dikatakan sebagai era perkembangan abad ke-16. Pada abad ke-17, bidang kritikan terus menjadi bidang ilmu yang semakin penting. Kemunculan beberapa orang tokoh besar dalam dunia sastera di barat yang mendokong beberapa pemikiran dan teori telah mewarnai era ini sebagai era perkembangan kritikan yang sangat penting.
Pada waktu ini muncul beberapa orang tokoh teoretikal terkenal seperti John Dryden, Francis Bacon dan Boileau. John Dryden terkenal kerana memperkenalkan istilah kritikan sebagai penilai hasil sastera. Atas keterampilannya dalam bidang kritikan sastera Inggeris, Dryden telah digelar sebagai `Bapa Pengkritik Inggeris`. Boileau pula telah menghasilkan beberapa genre baharu dalam sastera, seperti karya satira dan surat sastera. Pengaruh Boileau sangat besar terhadap perkembangan kesusasteraan di Perancis dan di Eropah amnya. Idea-idea pembaharuan ini telah menganjak era perkembangan kesusasteraan dari klasik kepada klasik baharu.
Era abad ke-18 ini, aspek moral menjadi tumpuan para pemikir. Masing-masing mengenengahkan idea-idea tentang kemurnian dan kesucian. Karya yang besar ialah karya yang dapat meruntun perasaan, memaut sensitiviti pancaindera serta menawan hati penonton. Jelas di sini, Dryden, Bacon dan Boileau memberi penumpuan hanya kepada karya, kemudian melihat bagaimana karya itu memberi kesan baik kepada penonton.
Berbeza dengan Samuel Johnson yang menjelaskan mengamati dan menanggapi sastera tidak harus terbatas kepada karya, malah aspek-aspek lain yang berkaitan dengan budaya, pengkarya, ekonomi dan politik harus juga diambilkira. Bagi Gotthold Ephrarim Lessing, seorang tokoh pengkritik Jerman, tujuan penghasilan karya seharunya untuk kebaikan penonton dan pengkarya irtu sendiri harus pula mempunyai kebebasan dalam kepengkaryaannya dengan tidak terikat kepada kebiasaan-kebiasaan sebelumnya.
Bidang kritikan terus berkembang sebagai satu disiplin ilmu dalam bidang kesusasteraan merentasi era kegelapan dan zaman Rainassance kemudian memasuki zaman moden hinggalah menjangkau era pasca moden. Bidang ini akan terus menjadi pelengkap pengajian kesusasteraan seiring dengan perkembangan dunia kesusasteraan itu sendiri.

No comments:

Post a Comment