SELAYANG PANDANG

Selamat datang kepada pengunjung peminat dan penggiat kesusasteraan, khususnya yang berminat dalam bidang teori, kritikan dan penulisan puisi ke blog Teori dan Kritikan Sastera. Blog ini menyediakan maklumat akademik berkaitan sejarah dan perkembangan bidang ilmu teori dan kritikan sastera di Barat dan di Malaysia. Selain itu, terdapat juga sisipan puisi, peribahasa dan pelbagai informasi tentang kegiatan kesusasteraan tanah air. Anda juga boleh kunjungi laman blog puisi saya di http://anjungpuisi.blogspot.com/ Semoga ilmu yang dikongsi dalam blog ini dapat memanfaatkan perkembangan ilmu saudara/i ke arah memahami dan mengenali kebesaran dan keluasan ilmu Allah SWT. - a.halim ali

Friday, November 20, 2009

ASAS PEMBINAAN TEORI SASTERA MALAYSIA

Seperti yang telah disebutkan bahawa, teori-teori kesusasteraan Barat disifatkan oleh sarjana Melayu sebagai pincang, terbatas dan berat sebelah. Kepincangan ini tidak hanya diukur pada penilaian tekstual, tetapi juga pada aspek-aspek lain yang berada di luar teks. Selepas kematian Matthew Arnold pada tahun 1888, kritikan sastera di Barat mula berubah. Kritikan mula memberi penekanan kepada aspek biografikal atau sejarah dalam teks (Charles E. Bressler.1999:33). Beberapa kerangka pemikiran Hyppolyte Adolphe Taine dan Henry James kemudiannya digunakan untuk mengkritik teks.
Pada awal abad ke 20, muncul ramai tokoh dan sarjana yang muncul dan terlibat dalam bidang teori dan kritikan sastera di Barat dengan pandangan dan sikap yang berbeza-beza terhadap teks. Mereka mula menolak pendekatan yang bersifat holistik, sebaliknya cenderung kepada satu-satu aspek khusus sahaja (Charles E. Bressler.1999:34). Aspek tekstualiti menjadi fokus para sarjana dalam era modenisme ini, dan menolak aspek sejarah serta aspek-aspek di luar teks seperti pengarang, sistem sosial dan budaya.
Teori-teori seperti New Criticism, Formalisme, Strukturalisme merupakan teori-teori moden yang secara ekstrim menolak campur tangan aspek-aspek lain yang berada di luar teks. Teori Formalisme menyingkirkan unsur-unsur yang tidak bersifat kesusasteraan secara ketat dan bersistem (Ann Jefferson & David Robey (Ed).1988:27). Mereka mencari dan menggali makna di dalam karya semata-mata. Makna itu dilihat wujud di sebalik aspek-aspek tekstualiti seperti linguistik, struktur dan hubungan-hubungan yang berlaku dalam karya. Mereka berpendapat bahawa, makna itu umum dan objektif sifatnya, termaktub dalam bahasa teks itu sendiri(Terry Eagleton.1988:53).
Berdasarkan kepada senario ini, teori-teori moden kesusasteraan di Barat dapat dikatakan bergerak atas landasan tekstualiti. Yakni, teks menjadi runtunan teori-teori sastera untuk muncul dan berkembang. Tesktualiiti bermakna, menerima teks sebagai rujukan bagi mengeluarkan segala sifat dan fenomena sastera, kemudian menganalisis dan merumuskannya berdasarkan prinsip-prinsip yang ditentukan. Teks sudah dipandang sebagai suatu entiti, yakni suatu struktur atau sistem, dan sistemlah yang menentukan apa-apa fungsi yang perlu dimainkan oleh sesuatu ciri kegayaan itu (Ann Jefferson & David Robey (Ed).1988:34). Tekstualitilah yang mengarah dan menentukan jalan susur kepada segala prinsip dan dasar teori, manakala aspek-aspek lain seperti sejarah, biografi dan disiplin lain yang berada di luar teks dianggap sebagai tidak mempunyai sebarang pertalian sebab akibat dalam kesusasteraan.
Ada beberapa sebab yang mendorong para sarjana ini mengenakan sempadan yang ketat, antaranya ialah supaya dapat diwujudkan satu sains kesusasteraan yang bebas, mengkaji bahan kesusasteraan yang khusus. Kedua, mereka tidak mahu kesusasteraan menjadi mangsa kepada disiplin-disiplin ilmu lain yang ada di sekitarnya.
Penafian pengarang, penolakan sejarah dan biografi, menidakkan peranan disiplin-disiplin lain sebagai bertalian atau mempunyai hukum kausaliti dalam kesusasteraan inilah yang dilihat oleh para sarjana sastera Melayu sebagai berat sebelah, terbatas, khusus kepada aspek-aspek tertentu sahaja, yang menyebabkan kajian tidak sempurna (Hashim Awang.1997:103). Landasan pembinaannya tidak menggambarkan keluasan dan kefungsian kesusasteraan di dalam dan di luar sempadannya. Jika demikian, bagaimanakah teori-teori ini mampu menelurkan makna-makna yang intrinsik dalam karya-karya penulis Melayu Islam?
Keperluan kepada teori kesusasteraan Melayu berkaitan rapat dengan kegiatan kritikan sastera Melayu itu sendiri. Dalam konteks ini, definisi kritikan sastera di Barat dan dalam alam Melayu harus berbeza dan perlu dibezakan. Kritikan adalah wahana sastera yang sangat dinamis sifatnya. Oleh itu, kritikan menyumbangkan peranan yang sangat besar dalam kemajuan dan perkembangan sastera. Kesusasteraan tidak mungkin dapat hidup dengan semata-mata bergantung kepada teorinya, kerana kritikanlah yang `memberi nyawa` kepadanya.
Telah sekian lama kesusasteraan kita hidup bergantung kepada teori sastera dan pendekatan kritikan Barat. Selama itu jugalah pandangan hidup masyarakat Melayu yang terselindung dalam karya-karya sastera Melayu belum benar-benar mampu dibongkar, kerana teori dan kritikannya tidak mencecah kedalaman jatidiri Melayu dan Islam yang menjadi anutan mereka. Teori-teori dan pendekatan moden Barat tidak menyediakan ruang dan jalan rintis yang seafdalnya ke arah itu. Dalam era pascamoden, keadaan menjadi lebih tidak menentu dan teori-teorinya pula tidak memberi apa-apa jaminan terhadap apa-apa kepastian yang temui. Oleh itu, definisi kritikan sastera dalam kesusasteraan barat dan kesusasteraan Melayu perlu kepada pengubahsuaian. Dari pemahaman sarjana Barat, kritikan kesusasteraan satu disiplin yang sistematik yang berusaha untuk menjelas, mengkaji, menganalisis, menginterpetasi, menilai dan sesuatu hasil seni (Charless E. Bressler.1999.4). M.A. Abrams (1971) pula menyebutkan kritikan kesusasteraan sebagai satu cabang pengkajian yang berhubung dengan pengertian, penjenisan, penghuraian dan penilaian karya-karya kesussteraan.
Kritikan sastera Melayu menurut Ungku Maimunah ialah segala tulisan tentang sastera yang memberi kesan kepada perkembangan kesusasteraan termasuk kepada pembacaan dan penerbitan karya sastera (Rahman Shaari.1994.11). Ungku Maimunah berpendirian, aspek perkembangan sastera turut dilibatkan sebagai satu pertimbangan yang wajar berdasarkan keadaan-keadaan tertentu yang berlaku dalam kesusasteraan Melayu itu sendiri (Rahman Shaari.1994.10). Ahmad Kamal Abdullah, et al (1990) pula menjelaskan:

`Kritikan harus mengandungi ciri-ciri seperti pengamatan yang kritis, penumpuan terhadap teks sama ada yang tersurat dan tersirat, pemerian apresiasi terhadap keindahan dan kekuatan karya, menilai, membanding, menunjukkan kesalahan dengan niat mempertingkatkan karya, memberi manfaat kepada pembaca dan seluruh peneliti lainnya. Pelakuan itu semestinya dibuat dengan pendekatan-pendekatan tertentu dalam lingkungan kesusasteraan itu sendiri.

Definisi di atas adalah hasil adunan definisi kritikan sastera dari barat yang disesuaikan dengan pandangan dan keperluan khalayak sastera Melayu. Daripada definisi-definisi tersebut, kritikan sastera Melayu kelihatan lebih bersifat komprehensif berbanding makna kritikan sastera dalam kesusasteraan barat yang lebih menjurus menitikberatkan penilaian tekstualiti. Penekanan yang diberikan kepada kritikan sastera Melayu ialah pembangunan sastera. Oleh itu, kritikan sastera Melayu tidak semata-mata menyelongkari teks, tetapi juga membawa sastera itu sendiri kepada kemajuan-kemajuan sastera dan menghubungkannya dengan aspek-aspek yang berada di luar teks.
Di sinilah pentingnya teori kesusasteraan Melayu, yakni untuk memenuhi keperluan dalam bidang kritikan sastera Melayu itu sendiri, yang disifatkan oleh Mana Sikana sebagai jatidiri dan seiring dengan konteks sosio budaya negara ini. Teori-teori kesusasteraan dan kritikan Barat tidak mungkin dapat menjangkau ketinggian falsafah kehidupan orang-orang Melayu dan Islam.

PEMBINAAN TEORI SASTERA MALAYSIA

Secara umum, teori-teori moden kesusasteraan dari Barat sudah memasuki kesusasteraan Melayu di Malaysia sejak awal tahun 1950-an lagi. Kehadiran ini agak terkemudian berbanding dengan perkembangan kritikan yang sudah bermula lebih awal dari itu, iaitu sekitar tahun 1930-an dan 1940-an. Walau bagaimanapun, kritikan sastera yang timbul dalam tahap awal ini berlaku secara kecil-kecilan dan tidak memiliki nilai yang tinggi (Hashim Awang.1997:103).
Tahun 1950-an boleh dianggap tahap awal kemasukan teori-teori kesusasteraan dari Barat di Malaysia, meskipun usia kewujudannya dalam pada waktu itu sudah menjangkau hampir satu setengah abad. Dalam tahun 1960-an hingga 1980-an, teori-teori mula bertapak dan menjadi sebahagian daripada keluarga sastera Melayu. Ramailah pula di kalangan para penulis, pengkritik dan pembicara sastera Melayu yang mampu menguasai dan menjadi penganutnya. Teori-teori ini dipraktik dan disebarkannya dalam kalangan kritikawan muda generasi terkemudian, sama ada melalui kuliah, bengkel atau tulisan kritikan mereka (Sahlan Mohd Saman,1997:192).
Hampir tiga puluh tahun teori-teori kesusasteraan Barat menghegemoni kesusasteraan Melayu khususnya dalam bidang teori dan kritikan, maka baharulah para sarjana Melayu Islam menyedari terdapat banyak kelemahan teori-teori berkenaan. Hashim Awang (1997), menjelaskan, teori-teori kesusasteraan Barat tidak lengkap, bersifat berat sebelah dan memberi perhatian kepada satu-satu aspek sahaja. Mana Sikana pula melihat dominasi teori-teori Barat dalam kesusasteraan Melayu sebagai sesuatu yang tidak wajar, kerana teori-teori Barat telah memancarkan konsepsi sastera kita yang tidak jatidiri dan kurang seiring dengan konteks sosio budaya di negara ini.
Kesedaran kepada perlunya memiliki teori sastera dan teori kritikan Melayu mula membenih suasana. Kecenderungan untuk menggunakan pendekatan baharu ini terus hidup dan berlanjutan. Kini timbul suara lantang yang menyeru agar kritikan sastera haruslah diterapkan dengan nilai-nilai keagamaan, tegasnya nilai-nilai keislaman (Hashim Awang.1997:113). Isu pokok yang menjadi asas utama kelemahan teori barat sebagai alat mengkritik teks sastera Melayu ialah keterpisahannya dari unsur keIslaman dan kemelayuan yang menjadi tunjang kepada segala proses penglahiran karya Melayu.
Polemik kesusasteraan Islam di antara Shahnon Ahmad dan Kassim Ahamd pada penghujung tahun 1970-an telah mencetus benih teoretikal dalam kerangka pembinaan teori-teori kesusasteraan Melayu berasaskan Islam dan jatidiri Melayu di negara ini. Pada tahun 1989, muncullah gagasan teoretikal tentang kesusasteraan Melayu yang dikemukakan oleh Muhammad Haji Salleh disusuli kemudiannya oleh Mohd Affandi Hassan dengan Pendidikan Estetika daripada Pendekatan Tauhid, Shafie Abu Bakar dengan Teori Takmilah dan Hashim Awang dengan Pengkaedahan Melayu. Mana Sikana yang banyak membuat kajian dan pembacaan menemukan idea dan pengalaman sebagai inti idealisme kepengarangan. Atas prinsip dan keyakinan terhadap idealisme inilah akhirnya beliau mengenengahkan Teori Teksdealisme. Sohaimi Abdul Aziz turut menyumbang kepada pembangunan dan perkembangan teori kesusasteraan Melayu dengan mengemukakan teori Rasa-Fenomenologi. Perkembangan ini berjaya menumbuh dan menghidupkan satu cabang ilmu pengajian kesusasteraan Melayu, khususnya dalam bidang teori dan kritikan sastera (Abdul Halim Ali.2001).

Thursday, November 19, 2009

FAKTOR YANG MEMPENGARUHI PERKEMBANGAN TEORI SASTERA MALAYSIA

Sebagaimana teori-teori kesusasteraan yang tumbuh dan berkembang di Barat, pertumbuhan dan perkembangan teori-teori kesusasteraan tempatan juga dipengaruhi oleh beberapa faktor. Pada peringkat awal perkembangan, tidak ramai sarjana dan penganalisis sastera Melayu yang melihat kepentingan kepada memiliki teori sendiri. Sebaliknya mereka lebih selesa mengguna dan mempraktikkan teori-teori dan pendekatan-pendekatan yang diimport dari Barat dalam kerja-kerja kritikan sastera.
Oleh itu, ramai dalam kalangan para penganalisis dan sarjana Melayu yang terpengaruh dengan idea-idea teori Formalisme, Strukturalisme, Sosialisme, New Criticism dan sebagainya. Nama-nama pengkritik tempatan seperti Yahya Ismail, Shahnon Ahmad, A. Wahab Ali, Hashim Awang, Baha Zain, Kasim Ahmad, Umar Junus, Ramli Isin, Mana Sikana, Rahman Shaari Supardi Muradi, Muhammad Haji Salleh dikatakan amat akrab dengan teori-teori dan pendekatan-pendekatan serta aliran-aliran barat.
Walau bagaimanapun dalam tahun-tahun 1980an, mereka mula menyedari akan kekurangan-kekurangan memiliki sikap kebergantungan kepada teori-teori Barat. Shahnon Ahmad seawal tahun 1980-an mula beralih kepada pemikiran Islam dan mengisytiharkan diri sebagai penganut sastera. Sikap Shahnon melambangkan ketidakpercayaan terhadap prinsip-prinsip kesusasteraan Barat yang ditanggapi menerusi teori-teori dan pemikiran yang tidak berlandaskan kepada Islam. Sikap prejudis dan pesimis terhadap teori-teori Barat mula membuak. Hashim Awang, Mohd Affandi Hassan, Shafie Abu Bakar, Mana Sikana, Mohd Kamal Hassan, Sahlan Mohd Saman, banyak menyuarakan pandangan yang membayangkan kepada perlunya kesusasteraan tempatan memiliki teori sastera dan teori kritikan sendiri.
Berasaskan kepada perkembangan yang berlaku, khususnya dalam tahun-tahun 1980-an dan 1990-an, beberapa kesimpulan dapat diunjurkan bagi menjelaskan faktor-faktor yang mempengaruhi kemunculan teori-teori kesusasteraan tempatan. Antaranya ialah kelemahan teori-teori Barat, kebangkitan pengaruh Islam, kesedaran intelektual dan tuntutan kritikan berasaskan nilai-nilai tempatan.

Kelemahan teori kesusasteraan Barat

Teori-teori kesusasteraan tempatan terbina di atas beberapa kesedaran tentang kelemahan teori Barat dan juga keperluan kepada teori kesusasteraan tempatan yang benar-benar dapat menghasilkan interpertasi yang menjangkau ke dasar jatidiri Melayu dan Islam. Ini terkesan daripada Puitika Sastera Melayu, Pengkaedahan Melayu, Persuratan Baharu dan teori Takmilah.
Hashim Awang (1997) menegaskan bahawa, model-model teori yang dikemukakan oleh sarjana Barat, tidak lengkap, bersifat berat sebelah dan memberi perhatian kepada satu-satu aspek sahaja. Oleh itu, teori sentiasa berada dalam keadaan tidak stabil dan terdedah kepada idea-idea baharu yang bersifat menentang atau mengubahsuai mana bahagian yang dianggap lemah. Ini dapat dilihat kepada perkembangan dalam New Criticism dengan tokoh-tokoh besarnya seperti I.A.Richards, T.S.Elliot, John Crown Ransom dan ramai lagi. Demikian juga dengan teori-teori Kesusasteraan Marxisme, Strukturalisme, Pasca- Strukturalisme, Teori Psikoanalisis hinggalah kepada teori-teori kesusasteraan dalam era pascamoden.
Shafie Abu Bakar bertolak dari idea yang serupa, lalu membawa diri dari teori-teori Barat itu ke dalam pemikiran Islam. Shafie beranggapan, teori-teori Barat tidak dapat menyelongkari makna seakrabnya dengan karya-karya penulis Islam. Teori-teori kesusasteraan Barat pada Shafie tidak mampu mempertalikan hubungan manusia secara bathiniah di antara dirinya dengan Pencipta-Nya (Allah). Demikian juga untuk membuktikan kesignifikasian hubungan sastera dengan tanggungjawab kemusliman terhadap penulisannya di sisi Islam.
Demikian juga pandangan Mohd Affandi Hassan yang melihat kesusasteraan itu tidak terbatas hanya kepada kegiatan kesasteraan, sebagaimana yang telah ditonjolkan oleh penulis Barat atau sesetengah penulis-penulis Islam yang terpengaruh dengan konsep kesusasteraan Barat itu. Menurut Affandi, kita sepatutnya memanfaatkan segala hasil sastera dunia yang terbaik dalam satu kurikulum pendidikan estetika yang menyeluruh, yang asasnya ialah nilai-nilai mutlak daripada ajaran tauhid (Mohd Affandi Hassan.1992:4). Mohd Affandi memetik pandangan Soheir el-Kalamawy dan Mahmoud Ali Makky dalam tulisan mereka yang berjudul `Arabic Literature` yang melihat pengaruh kesusasteraan barat berserta dengan gugusan teorinya dalam sistem pendidikan negara telah menyebabkan orang-orang Islam tidak mengenal tradisi persuratan Islam yang kaya dan besar pengaruhnya dalam kesusasteraan Eropah itu. Para pelajar dan guru tidak didedahkan dengan teori-teori kesusasteraan Islam sebagaimana yang dihasilkan oleh tokoh-tokoh Islam seperti Abd al-Qadhir al-jurjani dan lain-lain (Mohd Affandi Hassan.1992:5).
Berdasarkan kepada pandangan beberapa tokoh penteori ini, kelemahan teori kesusasteraan Barat menjadi sebab yang agak kuat mempengaruhi kelahiran teori-teori kesusasteraan tempatan. Perkara ini kelihatan bergerak atas landasan yang sama dengan pemikiran sarjana Barat yang turut melihat teori-teori kesusasteraan yang lahir sebelum atau sezaman dengan mereka mempunyai banyak kelemahan tertentu. Cuma, Hashim Awang, Muhammad Haji Salleh membina kerangka teori berasaskan ramuan tempatan yang masih asli dan tidak terusik oleh pemikiran penteori Barat.
Demikianlah halnya dengan Mana Sikana, yang melihat hegemoni teori-teori kesusasteraan Barat dalam kesusasteraan Melayu sebagai sesuatu yang tidak wajar, kerana baginya, teori-teori Barat telah memancarkan konsepsi sastera kita yang tidak jatidiri dan kurang seiring dengan konteks sosiobudaya di negara ini, akibatnya masyarakat sastera kita terumbang ambing dengan bumi sastera yang mereka pijak. Oleh itu, Mana Sikana menyebutkan bahawa, wacana Teksdealisme yang dikemukakan adalah satu usaha yang dapat menawarkan jalan alternatif lain yang barangkali lebih secocok dengan khazanah sastera Melayu.
Shafie Abu Bakar dan Mohd Affandi Hassan pula secara bulat menganjakkan paradigma dengan meletakkan Islam sebagai tempat dikembalikan segala pandangan, sikap dan prinsip teori kesusasteraan. Meskipun teori kesusasteraan Islam sebagaimana yang diutarakan oleh mereka, sememangnya sudah wujud sejak berabad lalu. Lutfi Abas dalam pembentangan kertas kerjanya pada Seminar Teori Kesusasteraan Islam di hotel Renaissance Palm Garden, Puchong pada 26-28 September 2000 lalu menegaskan bahawa, teori kesusasteraan Islam sememangnya sudah wujud sejak zaman Rasulullah lagi, demikian juga dalam era al-Ghazali, yang dibuat oleh beberapa sarjana di sini hanya satu kelangsungan atas apa yang sudah sedia ada, melainkan berbeza pada namanya saja.
Berasaskan pandangan beberapa tokoh ini, kita dapat menanggapi bahawa sebab utama kemunculan teori-teori kesusasteraan tempatan adalah satu refleksi daripada teori-teori kesusasteraan Barat yang diyakini sarat dengan kelemahan-kelemahan. Dari kelemahan itu bermulalah proses pencarian dan pembinaan teori yang lebih jati diri prinsipnya, yang disifatkan oleh Muhammad Haji Salleh sebagai `mengembalikan falsafah Malaysia kepada seninya`(Muhammad Haji Salleh 2000:x).

Perkembangan pemikiran Islam

Isu-isu yang berkaitan dengan agama Islam sememangnya sudah muncul dalam karya sastera Melayu tradisional. Menurut Ismail Hamid (1990) dorongan dakwah dan penerapan nilai-nilai Islam dalam masyarakat Melayu lama telah menyumbang kepada kelahiran sastera Melayu yang bercorak Islam. Kebanyakan karya adalah jenis hikayat yang disadur dari kesusasteraan Arab, khususnya cerita-cerita tentang Nabi Muhammad.
Walau bagaimanapun, gerakan pembaharuan dalam sastera Melayu dan kritikan terhadap warisan lama telah menimbulkan satu pemberontakan terhadap budaya Melayu lama sehingga kaum sasterawan Melayu tidak lagi mencari ilham penulisan daripada sumber budaya yang tidak berteraskan Islam (Ismail Hamid,1990.122). Agama Islam tidak dijadikan wahana atau dasar pengungkapan kesusasteraan Melayu baik era pramerdeka atau pascamerdeka. Kemasukan dan pengaruh teori-teori dari Barat menenggelamkan peranan agama Islam itu sendiri.
Modenisme telah menyaksikan penolakan terhadap Islam dalam bidang kesusasteraan Melayu, sebagaimana modenisme yang meminggirkan ajaran moral dan mendatangkan kemusnahan hidup dalam masyarakat Eropah pada awal abad ke-20. Walau bagaimanapun, keadaan ini telah berubah menjelang tahun-tahun 1970-an, apabila keinginan untuk kembali kepada Islam itu mula kedengaran. Ustaz Yusof Zaky Yaacob, Shahnon Ahmad, Uthman El-Muhammady dan Kamal Hassan adalah di antara tokoh penting di sebalik pemugaran sastera Islam.
Ekoran daripada gesaan itu banyaklah seminar dan kolokium tentang sastera Islam ini diadakan. Banyak faktor yang membantu situasi ini berkembang, antaranya ialah tercetusnya era kebangkitan Islam di Asia Tenggara, pengaruh gerakan Islam dari timur tengah dan kemunculan badan-badan berasaskan Islam di negara ini seperti ABIM, penglibatan kerajaan dan penubuhan institusi seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (Shafie Abu Bakar 2000:432).
Perkembangan ini telah merubah pendirian dan sikap ramai tokoh sastera Melayu yang sebelum ini sangat tebal dengan kesusasteraan Barat. Shahnon Ahmad adalah tokoh terawal yang memisahkan diri dari teori-teori Barat dan mengisytiharkan diri sebagai peminat serta penganut sastera Islam. Beberapa orang penyair era 1980-an seperti Kemala, Suhaimi Haji Muhammad juga telah beralih kepada puisi-puisi berunsur Islam.
Islam tidak lagi dilihat dari sudut yang sempit yang terbatas kepada bab-bab hukum fekah dan ibadat khusus semata-mata. Islam telah diyakini oleh ramai sarjana dan tokoh sastera Melayu pada waktu itu sebagai kemuncak pencarian yang dapat membawa khalayak ke makam ma’rifatullah. Kesusasteraan bagi orang-orang Melayu yang beragama Islam tidak dilihat atas sifat, bentuk dan struktur yang membina kesasteraanya semata-mata, tetapi ia berkait rapat dengan penanggungjawaban di sisi Penciptanya dalam dua hubungan, iaitu hubungan hamba [pengarang/sasterawan] sesama hamba dan hubungan hamba [pengarang/sasterawan] dengan Allah.
Beberapa tokoh sastera Melayu seperti Ustaz Yusof Zaky Yaacob, Uthman El-Muhammady, Kamal Hassan telah merintis pemikiran yang bersifat teoretikal terhadap kesusasteraan Islam, dengan memberi definisi-definisi yang tertentu terhadap kesusasteraan Islam. Yusof Zaky Yaacob misalnya, melihat kesusasteraan Islam sebagai sastera dakwah, Uthman El-Muhammady pula berpendapat sastera Islam ialah sastera Mukaddas, Mohd Kamal Hassan berpendapat sastera Islam ialah sastera yang lahir daripada penulis yang komited dengan pandangan Islam dan sistem nilainya, manakala Ismail Ibrahim menyatakan sastera Islam ialah hasil tulisan yang berasaskan tauhid (Shafie Abu Bakar 2000.432).
Shahnon Ahmad memasuki sempadan teoretikal dan dengan lebih serius apabila membicara konsep kesusasteraan Islam secara mendalam menerusi bukunya yang berjudul `Kesusasteraan dan Etika Islam`. Shahnon menegaskan bahawa kesusasteraan Islam itu ialah kesusasteraan kerana Allah dan berhikmah kepada manusia sejagat (Shahnon Ahmad,1981:3). Berdasarkan kepada sifat manusia sebagai hamba Allah [abdullah-abdullah], maka kita hanya menjalankan peranan kita dalam kegiatan sastera sebagai salah satu kegiatan tatahidup yang suci (Shahnon Ahmad,1981:122).
Menyusuri pandangan-pandangan yang dikemukakan oleh beberapa orang tokoh sastera Melayu ini, kita tentunya dapat mencium aroma teoritikal yang mula membenih. Tetapi yang lebih penting dari itu ialah kepadanan pandangan mereka yang dilandaskan secara sedar di atas landasan agama Islam. Istilah-istilah Islam seperti dakwah, makaddas, tauhid dan hikmah adalah istilah-istilah Islam yang dipilih khusus bagi menggambarkan keIslaman sastera dari sudut pengertiannya.
Perkembangan pemikiran Islam dalam kalangan para sarjana dan pemikir tempatan telah memasuki sempadan kesusasteraan dan menjadi penyubur yang menumbuhi aroma keislaman dalam pembinaan teori-teori kesusasteraan. Beberapa orang tokoh pemikir sastera seperti Ustaz Yusof Zaky Yaakob, Shafie Abu Bakar, Ismail Ibrahim, Mohd Kamal Hassan, Mana Sikana sememangnya mempunyai latar belakang pendidikan agama Islam yang tinggi. Oleh itu, tidak hairan, desakan dan suara-suara yang menyerukan kepada pembinaan teori kesusasteraan tempatan berasaskan Islam dan Melayu kedengaran dan berkumandang dari kelompak ini. Ada baiknya kita meninjau buah fikiran Mohd Affandi Hassan dan Shafie Abu Bakar terhadap kesusasteraan Islam dan teori yang digagaskan.

Mohd Affandi Hassan seawal wacananya telah menetapkan pendirian pada landasan Islam. Katanya:

`Kita sepatutnya memanfaatkan segala hasil sastera dunia yang terbaik dalam satu kurikulum pendidikan estetika yang menyeluruh, yang asasnya ialah nilai-nilai mutlak daripada ajaran tauhid. Dengan itu perbicaraan tentang sastera Islam akan lebih jelas, lebih terarah kepada memahami worldview Islam dalam kesenian dengan pendekatan tauhid ini..’
(Mohd Affandi Hassan, 1992:4)

Mohd Affandi juga membahas fungsi kesusasteraan dari pandangan Barat dan Islam. Menurut Mohd Affandi:

`kesusasteraan Barat lebih mementingkan aspek fictionaliti, sifat khayalan dan imaginatif, rekaan dan `ciptaan` manusia yang berbakat seni. Konsep fictionality ini adalah lanjutan daripada konsep mimesis, peniruan tentang alam: dengan itu seni dalam konteks ini sifatnya reprentational.`

(Mohd Affandi Hassan 1992.24).

Menurut Mohd Affandi, kesusasteraan dalam Islam ialah sejenis amal manusia yang menggunakan daya kreatif (bakat yang diamanahkan) dicipta dengan menggunakan bahasa yang indah dan teknik yang berkesan untuk memberi makna yang sedalam-dalamnya tentang hakikat insan dan hakikat ilmu serta amal (Mohd Affandi Hassan 1992.25). Jelasnya Mohd Affandi menolak teori kesusasteraan Barat yang dianggap sebagai gagal membawa manusia mengenal hakikat diri dan Penciptanya. Kesusasteraan sebagaimana amal-amal yang lain mestilah dijuruskan kepada pengabdian kepada Allah. Itulah yang semestinya dilakukan oleh para penteori, sasterawan, penulis, khalayak dan segala kegiatan kesusasteraan itu. Pandangan Mohd Affandi dapat disandarkan kepada Firman Allah S.W.T. dalam Surah Adz- Dzaariyaat ayat 56, bermaksud;

`Tidak Aku jadikan jin dan manusia, melainkan supaya mereka mengabdikan diri hanya kepada Allah’

Oleh itu, fungsi kesusasteraan Barat tersasar dari tujuan asal manusia (termasuk penteori/sasterawan/penulis/ khalayak) itu dijadikan. Teori kesusasteraan Barat tidak dapat menghubungkan seni sastera dengan konsep amanah yang bertauat pada hakikat tauhid sebagaimana yang tertuntut dalam Islam. Oleh sebab itu, Mohd Affandi menjelaskan bahawa `Seniman Islam berkarya untuk menyembah Allah, manakala seniman Barat berkarya untuk menyembah hasil seni atau hawa nafsunya (Mohd Affandi Hassan.1992.25).
Teori Takmilah juga digerakkan atas landasan agama (Islam). Prinsip asas teori ini ialah tauhid. Tauhid adalah paksi yang mencirikan keIslaman dan membezakannya daripada agama dan pegangan-pegangan yang lain (Shafie Abu Bakar.1995:133). Tauhid menjadi pusat yang mengembalikan segala tindak tanduk, pengucapan dan niat seseorang Islam.Tauhidlah juga yang memancarkan sinar keislaman dari sebarang perilaku, tindakan dan perbuatan seseorang manusia. Al Faruqi (1982) menyebutkan bahawa, tauhid memenuhi kesedaran orang Islam yang obses dalam sublimasinya. Shafie menyandarkan asas teorinya pada prinsip Islam yang paling asas ini. Bagi Shafie, falsafah ketauhidan yang diyakini ini adalah falsafah yang benar, pasti, jelas dari suatu realiti yang hakiki terjelma dalam pendekatan ilmu, seni dan sasteranya. Menurut Sarwar (1976) prinsip inilah yang sepatutnya menjadi kerangka segala pendekatan keislaman.
Shafie mengemukakan istilah `Takmilah` bagi melengkapi makna harfiah teori kesusasteraannya yang berlandaskan agama Islam itu. Takmilah membawa maksud menjadikan lebih sempurna (Shafie Abu Bakar 1997:129). Shafie menggunakan istilah ini bagi melihat pada tahap awal bahawa sastera dan lebih luas seni yang amat menekankan keindahan (estetika). Puncak keindahan yang dilihat oleh teori ini ialah keindahan yang menjadi satu sifat dalam zat Allah (al-Jamal) itu sendiri.
Istilah Takmilah itu dengan sendirinya bertalian dengan sifat Allah yang root katanya berasal dari kata Kamal yang bertalian pula dengan Tajmilah yang berasal dari Jamal yang ciri sastera bertolak darinya mengarah kepada takmilah (Shafie Abu Bakar.1997:129-130). Berdasarkan kepada istilah inilah, Shafie percaya bahawa, semua proses kepengkaryaan (pengkarya, karya dan khalayak) adalah satu proses menuju kepada kesempurnaan. Kesempurnaan kepengkaryaan dalam konteks Islam boleh kita fahami sebagai segala perilaku, niat dan pengucapan yang terlibat dan dilibatkan dalam proses kepengkaryaan itu akhirnya menuju dan dituju atau mengarah kepada sentral Islam iaitu tauhid.
Kesusasteraan dalam rangka tauhid adalah sama kedudukannya dengan ilmu-ilmu lain yang tidak terkeluar dari bidang keislamannya. Ini bermakna rentak dan lenggang lengguk kesusasteraan harus dikawal supaya berada atas landasan yang betul dan selari dengan tuntutan tauhid. Sebarang percanggahan dengan akidah, hukum, perundangan dan nilai-nilai Keislaman, sesungguhnya ianya bertentangan dengan prinsip tauhid (Shafie Abu Bakar.1997:131).
Bagi menghalusi dan memakna teori ini agar berfungsi sebagai sebuah teori kritikan sastera Islam, Shafie mengemukakan beberapa prinsip teori sebagai landasan kritikan. Prinsip-prinsip tersebut ialah prinsip Ketuhanan yang bersifat Kamal, prinsip Kerasulan yang besifat Kamil, Prinsip Keislaman yang bersifat Akmal, prinsip ilmu dengan sastera yang bersifat takamul, prinsip sastera sendiri yang bercirikan estetika dan bersifat takmilah, prinsip pengkarya yang seharusnya mengistikmalkan diri dan prinsip khalayak yang bersifat memupuk sifat insan kamil (Shafie Abu Bakar 1997.131).
Dalam hubungan ini, Teori Takmilah bertindak dengan dua peranan yang amat akrab iaitu menghubungkan segala aspek yang terlibat dalam proses kepengkaryaan dengan Allah. Keindahan yang terjelma dalam karya sastera seharusnya menjurus kepada keindahan yang hakiki supaya sifat kesusasteraan itu kelihatan sempurna. Shafie menjelaskan bahawa peranan tersebut saling menyokong dan lengkap melengkapkan serta tidak boleh dipisahkan (Ungku Maimunah,1997:10).
Teori Takmilah mengunjur kedudukannya atas landasan Islam dalam rangka falsafah ketauhidan yang bertaut dan ditauti beberapa sifat Allah seperti Kamal, Jamal, Alim, Qadir, Qahhar dan Jalal, kemudian melewati sifat-sifat Rasul, Islam dan ilmu lalu menyerap masuk ke setiap ruang amalan kesusasteraan [yang melibatkan pengkarya, karya dan khalayak]. Praktis kritikannya pula mengunjurkan satu `perjalanan pulang` dari amalan kesusasteraan [yang melibat pengkarya, karya dan khalayak] ke peringkat ilmu, agar ilmu kesusasteraan bermanfaat dan benar, kemudian menyesuaikan diri di peringkat kerasulan, agar pengkarya atau khalayak mencapai tahap insan Kamil dan akhirnya bertaut pada ketauhidan yang menjadi kemuncak kesempurnaannya.
Memahami teori Takmilah, kita akan dapat mengenalpasti dan mengetahui peranan falsafah ketauhidan [sebagai bedrock of Islam] dalam aktiviti kesusasteraan. Teori Takmilah ini memberikan kejelasan kepada arah tujuan dan matlamat kepada kesusasteraan itu sendiri (Ungku Maimunah.1997:21).
Jelasnya, Shafie Abu Bakar dan Mohd Affandi Hassan mempunyai matlamat kesusasteraan yang bersifat ibadah, berpahala dan mendapat keredhaan Allah S.W.T.. Itulah matlamat akhir daripada keseluruhan kegiatan kesusasteraan yang mereka inginkan, sejajar dengan konsep pengabdian diri manusia yang bersifat hamba di sisi Allah. Firman Allah dalam Surah Adz-Dzaariyaat ayat 56, bermaksud:

`Tidak Aku jadikan jin dan manusia, melainkan supaya mereka mengabdikan diri hanya kepada Allah’

Kesedaran intelektual

Tidak dapat dinafikan bahawa, ramai di kalangan sarjana sastera tempatan yang mendapat didikan sastera di Barat membawa pulang bersama mereka teori-teori dan pemikiran sastera barat. Menurut Sahlan (1997), teori-teori yang `diimport` dari Barat itu kemudiannya dikuliahkan, diajar, disebar, dibengkel dan diseminarkan dalam negara ini oleh tokoh-tokoh sarjana Melayu sendiri. Dengan itu teori dan pemikiran sastera dari Barat cepat merebak dan mempengaruhi hampir sebahagian besar penganut sastera Melayu.
Walau bagaimanapun, ada juga dalam kalangan sarjana yang pulang dari Barat memiliki kesedaran intelektual yang tinggi terhadap kesusasteraan tempatan. Mereka inilah yang bangkit membongkar kelemahan-kelemahan teori kesusasteraan Barat dan menjelaskan kepincangan-kepincangan pemikiran Barat dalam menafsir dan menganalisis teks. Hashim Awang adalah tokoh sarjana berpendidikan Barat yang dilihat mempunyai kesedaran intelektual yang tinggi, sehingga beliau melibatkan diri secara langsung dalam menyumbangkan idea bagi membudayakan bidang teori dan kritikan berasaskan pandangan Islam dan nilai-nilai tempatan.
Demikian juga dengan Muhammad Haji Salleh yang dianggap kental dengan didikan Barat, namun kembali beliau tidak larut dalam kebaratan, tidak termakan oleh prinsip-prinsip rapuh teori kesusasteraan bikinan sarjana Barat dan tidak pula memandang idea-idea teoretikal Barat itu sebagai mempunyai kekuatan dalam bidang epistemologi. Pencarian selama tiga puluh tahun tidak pernah menemukan kepuasan dalam diri terhadap sumbangan pemikiran Barat terhadap kesusasteraan nenek moyangnya.
Muhammad meneroka dunia Melayu, menyelongkari jajaran estetika, mencerakin rantaian puitika bagi mendapatkan makna sebenar kesusasteraan Melayu. Usaha Muhammad yang terjelma dalam gagasan Puitika Sastera Melayu (2000) sebagai satu keberhasilan daripada kesedaran intelektualnya yang tinggi terhadap kesusasteraan Melayu. Demikianlah hal dengan beberapa tokoh lain yang turut bangkit atas prinsip keintelektualan dalam menyumbangkan idea dalam pembinaan teori-teori tempatan seperti Ungku Maimunah, Shafie Abu Bakar, Mana Sikana, Mohd Salleh Yaapar, Sahlan Mohd Saman, Mohamad Mokhtar Hassan, Mohamad Daud Mohamad dan ramai lagi.

Pengaruh sarjana dan teori Sastera Barat


Kemunculan teori-teori kesusasteraan tempatan masih tidak dapat memisahkan diri daripada pengaruh pemikiran sarjana dan teori-teori kesusasteraan di Barat. Teori-teori yang dibina baik yang telah melalui proses adaptasi, penyesuaian, modifikasi, penyerapan, penyaringan, hibridisme dan pemantapan masih memperlihatkan campurbaur idea-idea tempatan dan Barat. Teori Teksdealisme misalnya, memperlihatkan banyak pengaruh idea-idea teori Psikoanalisis Harold Bloom dan Jaque Lacan. Malah jika dihalusi ada aroma pascamoden yang merawan dan berjelaga pada prinsip keunggulan teori berkenaan.
Pengaruh Psikoanalisis sangat ketara dalam Teksdealisme, meskipun Mana Sikana telah menyaring, mengubahsuai mana-mana bahagian yang tidak sesuai dan dimantapkan dengan falsafah baharu yang disandarkan kepada konsep keberanian dan kebijaksanaan watak Tuah-Jebat. Walau bagaimanapun, konsep keberanian yang dibangkitkan dalam Teksdealisme sememangnya telah disebutkan oleh Bloom dalam teori Kepengaruhannya.
Demikianlah halnya dengan teori Rasa-Fenomenologi yang diperkenalkan oleh Sohaimi Abdul Aziz. Teori ini merupakan gabungan teori Rasa-dhvani dari India dan teori Estetik Fenomenologi dari Barat. Pengaruh teori dari Barat dan timur ini telah membuka jalan kepada pembinaan teori baharu yang dipercayai lebih menepati citra teoretikal yang melibatkan keseluruhan pihak dalam kepengarangan.
Sebagaimana Mana Sikana, Sohaimi juga bertindak dengan cara mengubahsuai, meminda, menyaring, membina semula serta memberi takrifan baharu terhadap konsep estetik. Dari segi pembinaan asas dan istilah, kedua-dua teori ini ada sedikit kemiripannya. Rasa-Fenomenologi terbina secara hibridisasi dua teori. Konsepnya mendekati intertekstualiti Kristeva dengan suara-suara dialogikal Bakhtin, manakala Istilah Teksdealisme juga terhasil dari hibridisasi dua istilah iaitu teks dan ideal. Kedua-dua teori ini dipengaruhi oleh idea-idea dari penteori bukan tempatan, yakni dari Barat dan Timur (India).
Pengaruh dari pemikiran Barat tidak hanya berlaku pada pembinaan teori, tetapi juga berlaku ke atas teori Konseptual Kata Kunci yang diperkenalkan Mohamad Mokhtar Hassan. Pendekatan ini, meskipun masih baharu di negara ini, namun ia memperlihatkan kehadiran pengaruh pemikiran dari luar yang meresapi pemikiran sarjana tempatan dalam pembinaan pendekatan kritikan.
Teori Konseptual Kata Kunci bertolak daripada tanggapan Anna Wierzika seorang Prosefor Linguistik di Australian National University yang percaya bahawa budaya dan masyarakat boleh ditunjuk atau diperjelaskan kepada umum menerusi kata-kata kunci. Khalayak juga boleh mengenali dan memahami kehidupan, citra dan budaya sesuatu masyarakat dengan cara mendalami dan melihat lapis-lapis makna kata yang hadir bersama kehidupannya.

Keperluan bidang kritikan berasaskan nilai tempatan

Kritikan adalah wahana sastera yang sangat dinamis sifatnya. Oleh itu, kritikan menyumbangkan peranan yang sangat besar dalam kemajuan dan perkembangan sastera. Kesusasteraan tidak mungkin dapat hidup dengan semata-mata bergantung kepada teorinya, kerana kritikanlah yang `memberi nyawa` kepadanya. Keperluan kepada teori kesusasteraan Melayu berkait rapat dengan kegiatan kritikan sastera Melayu itu sendiri.
Telah sekian lama kesusasteraan kita hidup bergantung kepada teori sastera dan pendekatan kritikan Barat. Selama itu jugalah pandangan hidup masyarakat Melayu yang terselindung dalam karya-karya sastera Melayu belum benar-benar mampu dibongkar, kerana teori dan kritikan yang tidak mampu mencecah kedalaman Melayu dan Islam yang menjadi anutan mereka. Teori-teori dan pendekatan moden Barat tidak menyediakan ruang dan jalan rintis yang seafdalnya ke arah itu.
Dalam era pascamoden, keadaan menjadi lebih tidak menentu dan teori-teorinya pula tidak memberi sebarang jaminan terhadap apa-apa kepastian yang cuba dicari. Oleh itu, definisi kritikan sastera dalam kesusasteraan Barat dan kesusasteraan Melayu perlu kepada sedikit pengubahsuaian. Dari pemahaman sarjana Barat, kritikan kesusasteraan satu disiplin yang sistematik yang berusaha untuk menjelas, mengkaji, menganalisis, menginterpetasi dan menilai sesuatu hasil seni (Charless E. Bressler 1999:4). M.A. Abrams (1971) pula menyebutkan kritikan kesusasteraan sebagai satu cabang pengkajian yang berhubung dengan pengertian, penjenisan, penghuraian dan penilaian karya-karya kesussteraan.
Kritikan sastera Melayu mengikut Ungku Maimunah ialah segala tulisan tentang sastera yang memberi kesan kepada perkembangan kesusasteraan termasuk kepada pembacaan dan penerbitan karya sastera (Rahman Shaari, 1994:11). Ungku Maimunah berpendirian, aspek perkembangan sastera turut dilibatkan sebagai satu pertimbangan yang wajar berdasarkan keadaan-keadaan tertentu yang berlaku dalam kesusasteraan Melayu itu sendiri (Rahman Shaari, 1994:10). Ahmad Kamal Abdullah, et al (1990) pula menjelaskan:

`Kritikan harus mengandungi ciri-ciri seperti pengamatan yang kritis, penumpuan terhadap teks sama ada yang tersurat dan tersirat, pemerian apresiasi terhadap keindahan dan kekuatan karya, menilai, membanding, menunjukkan kesalahan dengan niat mempertingkatkan karya, memberi manfaat kepada pembaca dan seluruh peneliti lainnya. Perlakuan itu semestinya dibuat dengan pendekatan-pendekatan tertentu dalam lingkungan kesusasteraan itu sendiri.

Definisi di atas adalah hasil adunan definisi kritikan sastera dari Barat yang disesuaikan dengan pandangan dan keperluan khalayak sastera Melayu. Daripada definisi-definisi tersebut, kritikan sastera Melayu kelihatan lebih bersifat komprehensif berbanding makna kritikan sastera dalam kesusasteraan Barat. Pembangunan sastera dianggap sebagai satu aspek penting yang perlu ada dalam kritikan sastera Melayu. Oleh itu, kritikan sastera Melayu tidak semata-mata menyelongkari teks, tetapi juga membawa sastera itu sendiri kepada kemajuan-kemajuan sastera dan menghubungkannya dengan aspek-aspek yang berada di luar teks.
Di sinilah pentingnya teori kesusasteraan Melayu, yakni untuk memenuhi keperluan dalam bidang kritikan sastera Melayu itu sendiri, yang disifatkan oleh Mana Sikana sebagai bersifat jatidiri dan seiring dengan konteks sosio budaya negara ini. Teori-teori kesusasteraan dan kritikan Barat tidak dapat menjangkau ketinggian falsafah kehidupan orang-orang Melayu dan Islam, kerana sifat sekular dan keterbatasan falsafahnya yang tidak mencecah dasar ketauhidan dan ketuhanan yang haq.

Wednesday, November 18, 2009

PERKEMBANGAN AWAL TEORI SASTERA DI MALAYSIA


Kemunculan teori-teori kesusasteraan yang dihasilkan oleh sarjana Melayu pada penghujung tahun 1980an dan awal tahun-tahun 1990-an telah memberi wajah baharu kepada sejarah perkembangan kesusasteraan Melayu di Malaysia. Tokoh-tokoh sarjana kesusasteraan Melayu seperti Shahnon Ahmad, Kassim Ahmad, Muhammad Hj Salleh, Shafie Abu Bakar, Mohd Affandi Hassan, Hashim Awang, Mana Sikana dan Sohaimi Abdul Aziz memainkan peranan penting dan bermakna kerana sumbangan besar mereka.
Shahnon dan Kassim Ahmad merupakan dua orang tokoh pemula yang mencetus idealisme teoretikal kesusasteraan Islam. Shahnon menegaskan bahawa kesusasteraan Islam itu ialah kesusasteraan kerana Allah dan berhikmah kepada manusia sejagat (Shahnon Ahmad 1981:3). Kassim Ahmad pula beranggapan apa sahaja hasil kesusasteraan yang memiliki unsur-unsur Islam sejagat adalah kesusasteraan Islam. Kontradiksi ini telah menjebak kedua-dua tokoh ini ke dalam polemik yang berpanjangan.
Polemik ini ada kemiripannya dengan pertentangan pendapat yang menjebak golongan Formalis Rusia dengan Strukturalisme, meskipun kedua-dua golongan ini berlandaskan satu isu yang sama iaitu kesasteraan sastera, Formalis Rusia lebih mementingkan aspek linguistikal yang didokong oleh ciri-ciri kegayaan dan keanehan bahasa sebagai dasar kesasteraan sastera. Teori Strukturalisme melihat kesasteraan sastera itu tidak hanya bergantung kepada aspek linguistik semata-mata, sebaliknya mementingkan keseluruhan bahagian dalam struktur karya sebagai menunjangi makna kesasteraan.
Polemik yang tercetus di antara Shahnon dan Kassim mendapat reaksi dari beberapa tokoh lain yang turut memberi pendapat masing-masing tentang sifat dan ciri-ciri kesusasteraan Islam. Shafie Abu Bakar yang sependapat dengan Shahnon Ahmad, kemudiannya tampil dengan gagasan teoritikalnya yang berpaut kepada persoalan pengindahan dan penyempurnaan. Kemunculan kedua tokoh ini memberi cabaran kepada penghasilan kerangka kesusasteraan Islam sebagai alternatif kepada toeri-teori kesusasteraan Barat yang telah sekian lama mendominasi kesusasteraan Melayu (Ungku Maimunah,1998:26).
Walau bagaimanapun, polemik ini tidak pula menjadi pencetus segera kepada kelahiran teori-teori kesusasteraan Melayu. Hampir sepuluh tahun berikut iaitu penghujung tahun 1989, baharulah munculnya Puitika Sastera Melayu oleh Muhammad Hj Salleh, yang mempunyai gagasan teoretikal terhadap kesusasteraan Melayu. Namun, kemunculannya bukanlah satu kelangsungan daripada polemik Shahnon dan Kassim Ahmad, kerana Puitika Sastera Melayu merupakan satu hasil penyelidikan yang didorong oleh keinginan untuk mempunyai teori kesusasteraan sendiri (setelah melalui pencarian selama 30 tahun) dan penyelidikan ini dibiayai pada awalnya oleh Yayasan Volkswagen dari Jerman pada tahun 1986, kemudian Universiti Kebangsaan Malaysia menyumbangkan dana menyokong penyelidikan ini (Muhammad Hj Salleh, 2000:vii).
Dari sudut sejarah perkembangan teori kesusasteraan Melayu, Shahnon dan Kassim Ahmad bolehlah dianggap sebagai pencetusnya, manakala Muhammad Hj Salleh sebagai tokoh pemula yang memberi nama teori berserta gagasan-gagasannya. Hal ini samalah seperti kemunculan teori Kritikan Baharu (New Criticism) dan teori New Historicism di Amerika Syarikat. Tahun 1990-an merupakan tempoh waktu kelahiran beberapa lagi teori kesusasteraan Melayu selepas Puitika Sastera Melayu, seperti Pengkaedahan Melayu oleh Hashim Awang, Pendidikan Estetika daripada Pendekatan Tauhid (teori ini kemudiannya dikenali dengan nama Persuratan Baharu) oleh Mohd Affandi Hassan, Teori Takmilah oleh Shafie Abu Bakar, Teori Teksdealisme oleh Mana Sikana dan Rasa-Fenomenologi oleh Sohaimi Abdul Aziz. Memasuki abad ke-21, muncul pula beberapa teori dan praktis kritikan yang dikemukakan oleh sarjana sastera Melayu. Antaranya ialah Pendekatan Kata Kunci oleh Mohamad Mokhtar Hassan, teori Fitrah Gerak oleh Sahlan Mohd Saman, teori Sastera Warisan oleh A.Wahab Ali dan teori Pemikiran Saintifik SPB4K oleh Mohd Yusof Hassan dan yang terkini teori Anjakan Makna oleh Rahman Shaari.
Sehingga kini, usia sejarah perkembangan teori kesusasteraan Melayu sudah menjangkau 15 tahun. Berbanding dengan perkembangan teori kesusasteraan di Barat, usia 15 tahun ini adalah terlalu mentah. Teori-teori moden yang berkembang di Barat menguasai kesusasteraan dunia hampir dua abad iaitu bermula tahun 1800 hingga 1960-an. Akhir tahun 1960an bermulalah era baharu yang dikenali sebagai era pascamodenisme yang ditandai dengan kemunculan teori Dekonstruksi oleh Derrida yang menentang teori Struktural (Mana Sikana,1998:133).
Berbanding dengan teori-teori kesusasteraan di Barat, teori-teori kesusasteraan Melayu di Malaysia (kelahiran sarjana Melayu di Malaysia) bolehlah dikatakan melalui fasa pertama yang boleh dinamakan sebagai `fasa permulaan`. Pada peringkat ini, para penteori kelihatan berusaha gigih memperjelaskan prinsip-prinsip dan dasar teori masing-masing dan cuba pula menguji kemampuannya dalam bidang kritikan. Shafie Abu Bakar, Sohaimi Abdul Aziz dan Mana Sikana gigih melakukan usaha ini bagi membuktikan kebolehpercayaan dan legitimasi prinsip-prinsip teori mereka.
Dalam masa yang sama, teori-teori ini (Takmilah, Teksdealisme dan Rasa- Fenomenologi) mula memasuki dunia kritikan Melayu dan menjadi sebahagian daripada teori kritikan yang mampu diuji. Teori Takmilah pertama kali diuji terhadap antologi puisi Kau dan Aku karya A.Aziz Deraman. Berasaskan antologinya, Shafie Abu Bakar mendakwa berjaya menemui hubungkait persoalan yang padankan dengan lunas-lunas teoretikal. Rasa-Fenomenologi pula diuji dengan novel Salina karya A.Samad Said dan Teksdealisme pula diuji menerusi Shahnon, Muhammad Hj Salleh, Anwar Ridhwan dan Kemala bagi menemukan unsur keunggulan kepengarangan pengarang dan teksnya.
Teori-teori lain seperti Puitika Sastera Melayu dan Pengkaedahan Melayu, berdiri atas posisi teori kesusasteraan semata-mata. Teori-teori ini lebih bersifat umum yang memperjelaskan bentuk dan sifat kesusasteraan dan karya-karya kesusasteraan Melayu. Samalah halnya dengan tanggapan Shahnon dan Kassim Ahmad terhadap kesusasteraan Islam. Manakala teori Persuratan Baharu mula didekati dan mendapat perhatian akhir-akhir ini oleh penyelidik dalam aplikasi kritikan.

TEORI-TEORI SASTERA MODEN MALAYSIA

Latar Pengenalan

Secara umum, teori-teori moden kesusasteraan dari Barat sudah memasuki kesusasteraan Melayu di Malaysia sejak awal tahun 1950-an lagi. Kehadirannya agak terkemudian berbanding dengan perkembangan kritikan yang sudah bermula sejak tahun 1930 dan 1940-an lagi. Walau bagaimanapun, kritikan sastera yang timbul pada tahap awal ini berlaku secara kecil-kecilan dan tidak memiliki nilai yang tinggi (Hashim Awang 1997:103).
Tahun 1950-an boleh dianggap tahap awal kemasukan teori-teori moden kesusasteraan dari Barat di Malaysia, meskipun usia kewujudannya dalam kesusasteraan Barat pada waktu itu sudah menjangkau hampir satu setengah abad. Dalam tahun 1960-an hingga 1980-an, teori-teori ini mula bertapak dan menjadi sebahagian daripada keluarga sastera Melayu. Ramailah pula dalam kalangan para penulis, pengkritik dan pembicara sastera Melayu yang mampu menguasai dan menjadi penganutnya. Teori-teori ini dipraktik dan disebar dalam kalangan kritikawan muda generasi terkemudian, sama ada melalui kuliah, bengkel atau tulisan kritikan mereka (Sahlan Mohd Saman,1997:192).
Hampir tiga puluh tahun teori-teori moden kesusasteraan Barat menghegemoni kesusasteraan Melayu, khususnya dalam bidang teori dan kritikan, maka barulah para sarjana Melayu Islam menyedari terdapat banyak kelemahan teori-teori berkenaan. Hashim Awang (1997) menjelaskan bahawa teori-teori kesusasteraan Barat tidak lengkap, bersifat berat sebelah dan memberi perhatian kepada satu-satu aspek sahaja. Mana Sikana pula melihat dominasi teori-teori Barat dalam kesusasteraan Melayu sebagai sesuatu yang tidak wajar, kerana teori-teori Barat telah memancarkan konsepsi sastera kita yang tidak jatidiri dan kurang seiring dengan konteks sosio budaya di negara ini.
Kesedaran kepada perlunya memiliki teori sastera dan teori kritikan Melayu mula membenihkan suasana. Kecenderungan untuk menggunakan pendekatan baharu ini terus hidup dan berlanjutan. Timbul suara lantang yang menyeru agar kritikan sastera haruslah diterapkan dengan nilai-nilai keagamaan, tegasnya nilai-nilai keislaman (Hashim Awang.1997:113). Isu pokok yang menjadi asas utama kelemahan teori Barat sebagai alat mengkritik teks sastera Melayu ialah keterpisahannya dari unsur keIslaman dan keMelayuan yang menjadi tunjang kepada segala proses penglahiran karya Melayu, khususnya oleh pengkarya Melayu Islam sendiri.
Polemik kesusasteraan Islam di antara Shahnon dan Kassim Ahamd pada penghujung tahun 1970-an telah mencetus benih teoretikal dalam kerangka pembinaan teori-teori kesusasteraan Melayu berasaskan Islam dan jatidiri Melayu di negara ini. Pada tahun 1989, muncullah gagasan teoretikal tentang kesusasteraan Melayu yang dikemukakan oleh Muhammad Haji Salleh, kemudian Mohd Affandi Hassan dengan Pendidikan Estetika daripada Pendekatan Tauhid, Shafie Abu Bakar dengan Teori Takmilah dan Hashim Awang dengan Pengkaedahan Melayu. Mana Sikana yang banyak membuat kajian dan pembacaan menemukan idea dan pengalaman sebagai inti idealisme kepengarangan. Atas prinsip dan keyakinan terhadap idealisme inilah akhirnya beliau mengenengahkan teori Teksdealisme. Sohaimi Abdul Aziz turut menyumbang kepada pembangunan dan perkembangan teori kesusasteraan Melayu dengan mengemukakan teori Rasa-Fenomenologi. Perkembangan ini berjaya menumbuh dan menghidupkan satu cabang ilmu pengajian kesusasteraan Melayu, khususnya dalam bidang teori dan kritikan sastera (Abdul Halim Ali, 2001).
Seperti yang telah disebutkan bahawa, teori-teori kesusasteraan Barat disifatkan oleh sarjana Melayu sebagai pincang, terbatas dan berat sebelah. Kepincangan ini tidak hanya diukur pada penilaian tekstual, tetapi juga pada aspek-aspek lain yang berada di luar teks. Selepas kematian Matthew Arnold pada tahun 1888, kritikan sastera di Barat mula berubah. Kritikan mula memberi penekanan kepada aspek biografikal atau sejarah dalam teks (Charles E. Bressler 1999:33). Beberapa kerangka pemikiran Hyppolyte Adolphe Taine dan Henry James kemudiannya digunakan untuk mengkritik teks.
Pada awal abad ke-20, ramai tokoh serta sarjana yang muncul dan terlibat dalam bidang teori dan kritikan sastera di Barat dengan pandangan dan sikap yang berbeza-beza terhadap teks. Mereka mula menolak pendekatan yang bersifat holistik, sebaliknya cenderung kepada satu-satu aspek khusus sahaja (Charles E. Bressler.1999:34). Tekstualiti teks menjadi fokus para sarjana dalam era modenisme ini, dan menolak aspek sejarah serta aspek-aspek di luar teks seperti pengarang, sistem sosial dan budaya.
Teori New Criticism (Kritikan Baharu), Formalisme, Strukturalisme merupakan teori-teori moden yang secara ekstrim menolak campur tangan aspek-aspek lain yang berada di luar teks. Teori Formalisme menyingkirkan unsur-unsur yang tidak bersifat kesusasteraan secara ketat dan bersistem (Ann Jefferson & David Robey 1988:27). Mereka mencari dan menggali makna di dalam karya semata-mata. Makna itu dilihat wujud di sebalik aspek-aspek tekstual seperti linguistik, struktur dan hubungan-hubungan yang berlaku dalam karya. Mereka berpendapat bahawa, makna itu umum dan objektif sifatnya, termaktub dalam bahasa teks itu sendi (Terry Eagleton 1988:53).
Berdasarkan kepada senario ini, teori-teori moden kesusasteraan di Barat dapat dikatakan bergerak atas landasan tekstualiti, Yakni, teks menjadi runtunan teori-teori sastera untuk muncul dan berkembang. Teks dipandang sebagai suatu entiti, yakni suatu struktur atau sistem, dan sistemlah yang menentukan apa-apa fungsi yang perlu dimainkan oleh sesuatu ciri kegayaan itu (Ann Jefferson & David Robey 1988:34). Tekstuallah yang mengarah dan menentukan jalan susur kepada segala prinsip dan dasar pemikiran teoritis, manakala aspek-aspek lain seperti sejarah, biografi dan disiplin lain yang berada di luar teks dianggap sebagai tidak mempunyai sebarang pertalian sebab akibat dalam kesusasteraan.
Ada beberapa sebab yang mendorong para sarjana ini mengenakan sempadan yang ketat, antaranya ialah supaya dapat diwujudkan satu sains kesusasteraan yang bebas, mengkaji bahan kesusasteraan yang khusus. Kedua, mereka tidak mahu kesusasteraan menjadi mangsa kepada disiplin-disiplin ilmu lain yang ada di sekitarnya.
Penafian pengarang, penolakan sejarah dan biografi, menidakkan peranan disiplin-disiplin lain sebagai bertalian atau mempunyai hukum kausaliti dalam kesusasteraan inilah yang dilihat oleh para sarjana sastera Melayu sebagai berat sebelah, terbatas, khusus kepada aspek-aspek tertentu sahaja, yang menyebabkan kajian tidak sempurna (Hashim Awang 1997:103). Landasan pembinaannya tidak menggambarkan keluasan dan kefungsian kesusasteraan di dalam dan di luar sempadannya. Jika demikian, bagaimanakah teori-teori ini mampu menelurkan makna-makna yang intrinsik dalam karya-karya penulis Melayu Islam?
Disiplin Kesusasteraan Melayu semakin berkembang. Perkembangan ini bergerak seiring dengan perkembangan dunia kesusasteraan di seluruh dunia. Lebih menarik dalam perkembangan ini dimantapkan oleh nilai-nilai jati diri bangsa Melayu itu sendiri. Nilai-nilai jatidiri yang dimaksudkan ialah Islam dan Kemelayuan bangsa. Perkembangan inilah yang banyak menuntut kepada keperluan pembinaan teori-teori kesusasteraan yang berteraskan kepada nilai dan sifat jatidiri bangsa Melayu itu sendiri.
Sedikit demi sedikit usaha ke arah pembinaan teori kesusasteraan tempatan mula menampakkan hasilnya. Beberapa tokoh sarjana dan pemikir Melayu Islam seperti Shahnon Ahmad, Kassim Ahmad, Muhammad Haji Salleh, Shafie Abu Bakar, Hashim Awang dan Mohd Affandi Hassan mula mengambil langkah-langkah perlu ke arah merealisasikan tuntutan itu. Awal tahun 1980-an menyaksikan bibit perkembangan itu bermula, dan pada tahun 1989 lahirlah Puitika Sastera Melayu di tangan Muhammad Haji Salleh. Tahun-tahun 1990-an adalah era kesuburan bagi perkembangan teori kesusasteraan Melayu, apabila muncul beberapa lagi teori seperti Persuratan Baharu, Pengkaedahan Melayu, teori Takmilah, Teksdealisme dan Rasa-Fenomenologi.

TEORI HERMENEUTIK

Teori Hermeneutik ialah teori yang menjelaskan hakikat makna dalam bentuk tersurat dan tersirat menerusi proses penasifran teks. Ia juga disebut sebagai teori penafsiran dan pemahaman teks.
Kaedah penafsiran teks sememangnya sudah bermula sejak zaman sebelum Masehi lagi. Kaedah mentafsir teks dilakukan khususnya terhadap kitab-kitab agama, khususnya Taurah, kitab-kitab agama orang-orang Yahudi dan juga kitab Injil.
Sejarah teori Hermeneutik Barat dapat ditelusuri daripada tulisan Plato yang berjudul On Interpertation. Hermeneutik terus berkembang dalam era Pertengahan hinggalah ke zaman Renaissance.
Sejarah Hemerneutik moden ini bermula dalam abad ke-16 di tangan ahli-ahli teologi Jerman. Kritikan sastera sering merujuk tokoh romantik Jerman iaitu Schleiermacher (1768-1834) sebagai tokoh utama `yang telah memberi sumbangan besar kepada kemunculan teori Hermeneutik moden. Schleiermacher telah mengembangkan pemahaman dan pentafsiran yang tidak hanya terbatas kepada teks-teks agama, tetapi juga teks-teks dalam bidang kemanusiaan dan komunikasi.
Permasalahan utama yang dikemukakan oleh Hermneutik ialah, sewaktu mentafsir teks yang ditulis pada masalah dahulu seperti Injil sudah kehilangan konteksnya yang asal. Kerana itu, Schleiermacher mencadangkan supaya dilakukan tafsir bagi membina semula konteks yang asal. Dengan tindakan itu, maka makna bahasa dalam teks akan mudah difahami.
Schleiermacher membezakan penafsiran tata bahasa dengan penafsiran psikologi. Menurut Schleiermacher, setiap masalah dalam pentafisran adalah masalah kepada pemahaman. Beliau mendefinisikan Hermeneutik sebagai seni mengelakkan kesalahsafahaman. Beliau juga memberikan satu penyelesaian kepada pengelakkan kepada kesalahafahaman iaitu, pengetahuan aspek tata bahasa dan peraturan psikologi sebagai jalan untuk memahami teks dan pengarang.
Selepas Schleiermacher, Hermeneutik terus berkembang dalam abad ke 19 menerusi Wlhelm Dilthey (1833-1911) yang berusaha memahamkan Hermeneutik dengan kaedah yang lebih berasaskan saintifik abgi trujuan pengajian sains kemanusiaan (K.M.Newton,1997:45). Kemanusiaan dan sains kemanusiaan menjadi berlawanan dengan sains tulen.
Teori Hermeneutik lebih mementikkan aspek pemahaman (understanding) berbanding dengan aspek penerangan (explaination). Aspek penerangan lebih diutamakan dalam sains tulen dan penafsiran pula dibuat secara langsung kepada perkara-perkara yang bukannya bersifat `kemanusiaan`.
Dilthey juga berdepan dengan masalah bulatan tafsiran, yang mana untuk memahami sesebuah teks, seseorang mesti memiliki idea-idea asal tentang keseluruhan makna teks
Perubahan besar dalam permikiran Hermeneutik berlaku dalam abad ke-20. Perubahan besar ini ada kaitan dengan falsafah pemikiran Martin Heidegger. Falsafah pemikiran Heidegger telah mempengaruhi dan memberi kesan besar kepada tokoh Hermeneutik moden iaitu Han-Georg Gadamer. Gadamer telah memperkembangkan perbahasan Heidegger. Dalam tulisannya berjudul Truth and method, Gadamer membahaskan, masa silam boleh dimengertikan hanya menerusi menghubungkanya kepada masa kini. Oleh itu, memahami masa silam melibatkan satu gabungan horizon di antara teks sebagai melambangkan pengalaman masa silam dengan keinginan dan juga prasangka penafsir pada masa kini. Pandangan Gadamer berbeza dengan Schleiermacher dan Dilthey.
Gadamer menjelaskan, Hermeneutik tidak sepatutnya hanya menolak pandangan yang menyatakan tujuan Hermeneutik hanya bertujuan menyusun semula makna teks silam dalam istilahnya sendiri, tetapi sepatutnya menggunakan konsep moden untuk melemahkan makna.
Wala bagaimanapun, pandangan Schleiermacher dan Dilthey dipertahankan oleh E.D.Hirsch seorang lagi tokoh penting Hermeneutik, malah Hirsch menolak idea Gadamer kerana beliau percaya bentuk Hermeneutik mereka membawa kepada relativisme. Hirsch menolak bahawa penafsir teks memiliki tugas moral untuk memahaminya dalam konteks asal.

TEORI FEMINISME

Wanita Dari Perspektif Klasik

Tokoh-tokoh falsafah era Yunani menganggap kedudukan wanita adalah rendah berbanding kaum lelaki. Malah, Thomas Aquinas, seorang ahli falsafah yang kuat pegangan agama pernah menyatakan, bahawa wanita sebenar tidak lengkap tanpa lelaki. Dalam tradisi masyarakat bangsa Arab sebelum Islam. Kaum wanita juga dianggap sebagai tidak penting dan dipandang rendah oleh masyarakat, malah bayi perempuan yang baharu lahir akan ditanam hidup-hidup kerana dianggap membawa `sial` kepada keluarga.
Sekian lama, kaum lelaki telah menjadi `kuasa` penentu dalam semua urusan kehidupan, termasuk dalam hal ehwal yang berkait dengan wanita. Di semenanjung Arab, Islam diturunkan untuk membebaskan wanita daripada perspektif songsang masyarakat dengan meletakkannya sama taraf dengan kaum lelaki di sisi Allah.
Di Barat, pandangan dan tanggapan klasik yang mengakar sekian lama dalam pemikiran masyarakat, akhirnya goyah pada penghujung tahun 1700-an, apabila kedengaran suara yang meragukan pandangan kuno terhadap kaum wanita. Mary Wollstnecraft, seorang pengarang A Vindication of the Light of Women (1792) merupakan tokoh wanita terawal yang menyuarakan pandangan bahawa, kaum wanita mesti bangun dan tidak hanya bergantung kepada kaum lelaki sahaja. Wollstcraft mendapat ilham berkenaan persamaan hak bersuara lelaki dan wanita dalam kerajaan menerusi tulisan Thomas Paine (1791-1792) dalam bukunya yang berjudul The Right of Man. Walau bagaimanapun, pandangan Mary Wollstnecraft tidak merubah keadaan. Selepas Mary Wollstnecraft muncul pula Margaret Fuller (1845-1969) dengan bukunya Women in the 19th dan John Stuart Mill dengan karyanya The Subjection of Women. Karya-karya ini membincangkan dominasi lelaki, ideologi yang bersifat phallosentrik dan konsep patriarki yang mula mencabar tradisi dan tanggapan lelaki terhadap biologi wanita (Siti Hajar Che Man,2000:4). Memasuki abad ke-20, munculnya Jane Tompkins yang bangkit memperjuangkan keterampilan wanita.

Kelompok-Kelompok Teori Feminisme

Meskipun tidak ada suatu tulisan yang boleh menjelaskan tentang teori ini secara terperinci, dan lagi tidak ramai kaum wanita yang terlibat dalam teori Feminisme ini, namun begitu, penglibatan dan kelompok kaum wanita yang dalam teori ini boleh dirujuk kepada tiga negara iaitu Amerika Syarikat, Britain dan Perancis.
Teori Feminisme Amerika lebih memberi perhatian kepada aspek tekstual, manakala teori Feminisme Britain pula cenderung kepada pengaruh Marxisme dengan fokus kepada penindasan terhadap kaum wanita. Teori Feminisme Perancis mementingkan aspek dalam jiwa wanita atau lebih cenderung kepada psikoanalisis. Meskipun berbeza dari segi pandangan dan metodologi, namun ketiga-tiga kumpulan feminsme ini sama dalam usaha mereka mendokong aspirasi wanita, memperjuangkan hak dan menyelamatkan wanita dari persepsi yang buruk dan dipinggirkan.
Kelompok pendokong teori ini juga dapat dibahagikan kepada dua era atau dua gelombang. Kelompok pertama ialah kelompok gelombang pertama (first wave) dan kelompok kedua ialah kelompok gelombang baharu (new wave/second wave). Gelombang Pertama bermula dari tahun 1890 hingga tahun 1920. Kelompok pendokong Feminisme dalam gelombang pertama lebih menumpukan kepada aspek-aspek persamaan hak. Gelombang ini dikatakan telah mencipta satu bentuk indentiti wanita di mana mereka telah mendapat hak yang sah di samping menikmati kebebasan yang diingini (Siti Hajar Che Man,2000:4).
Kelompok dalam gelombang kedua lebih radikal dengan menuntut kepentingan wanita secara menyeluruh. Gelombang ini juga dikenali dengan Feminisme Gender.

Feminisme Perancis


Feminisme Perancis cenderung kepada pengaruh teori Psikoanalisis. Ini bermakna, mereka memberi penekanan kepada aspek-aspek kejiwaan wanita. Meskipun pada dasarnya, Feminisme mengkritik pandangan Frued terutama yang berkait dengan seksimenya (Raman Selden,1989:137). Walau bagaimanapun, Feminisme Perancis tidak cenderung kepada idea Sigmund Frued, sebaliknya lebih kepada idea Jaque Lacan dan Derrida.

Monday, November 16, 2009

TEORI KESUSASTERAAN MARXISME

Marxisme adalah fahaman atau ideologi tentang kehidupan dengan kepercayaan bahawa sosio ekonomi adalah penentunya. Teori ini memberi penekanan kepada kehidupan manusia yang sangat bergantung dan ditentukan oleh sistem sosio ekonomi yang ada di dalamnya. Oleh itu, Marxis melihat sejarah dan budaya serta kegiatan ekonomi masyarakat adalah sangat relevan untuk memahami sesuatu masyarakat.
Marxisme lebih cenderung memahami perilaku masyarakat khususnya yang berkait dengan politik, ekonomi, budaya dan sejarah. Marxisme tumbuh sebagai kumpulan pemikiran yang hidup dalam realiti politik sebenar. Tokoh penting yang mempelopori teori Marxisme ialah Karl Marx dan Federick Engles.
Oleh kerana teori Marxisme banyak membincangkan persoalan sosial dan masyarakat, ideologi dan struktur sosial, teori ini dilihat sangat relevan bagi menjelaskan kemunculan fenomena sastera. Sebagai satu produk sosial, karya kesusasteraan terikat secara langsung dengan sistem sosial, persekitaran masyarakat dan pemikiran pengarang yang menghasilkan karya tersebut. Di sinilah letaknya kesignifikanan teori Marxisme yang pada asalnya sebuah teori ekonomi bagi menjelaskan hubungan kesusasteraan dengan elemen sosial.
Teori sastera Marxisme yang dikenali pada hari ini banyaknya berbuah dari hasil usaha ahli falsafah Perancis, Louis Althusser dan ahli kritik Pierre Macherey. Pengaruh penting dalam teori kesusasteraan Marxisme tertumpu kepada konsep ideologi sebagaimana yang ditanggapi oleh Louis Althusser menerusi ideanya tentang `ideological state apparatus`.
Dasar pemikirannya bersifat umum. Kesusasteraan akan dapat difahami dengan betul dan tepat hanya dalam ruang lingkup pemahaman terhadap realiti sosial. Realiti adalah satu konsep yang luas. Marx menganggapkan, mengkaji untuk memahami kesusasteraan, tidak akan sempurna jika ianya dipisahkan dari realiti masyarakat. Realiti mempunyai latar yang jelas dan berstruktur.Struktur ini pula mempunyai bentuk yang khusus. Bentuk ini wujud dalam sejarah yang disifatkan oleh Marx dan Engels sebagai kesan daripada perjuangan kelas sosial dengan jenis pengeluasan ekonominya. Realiti di dalam teks adalah cerminan realiti dalam masyarakat. Struktur masyarakat bersifat dialektikal. Masyarakat yang dinamik dan salin bertentangan. Perjuangan kelas sosial yang bersifat antagonis.Untuk memahami maka, teks kesusasteraan harus dikaji dengan memberi pemerhatian yang tinggi terhadap aspek dialektikal itu.
Sosio ekonomi sebagai penentu mutlak. Sesebuah masyarakat ditentukan secara mutlak oleh unsur sosio ekonomi. Sosio ekonomi dapat dirujuk kepada perhubungan dan perkaitan pelebagai jenis pengeluaran ekonomi. Asas sosio ekonomi yang menentukan karya. Karya kesusasteraan pula adalah gambaran (cerminan) tentang apa yang ada dalam sosio ekonomi.
Masyarakat dilihat sebagai berstruktur. Asas sosio ekonomi yang membentuk struktur. Struktur yang paling tinggi ialah struktur agung. Struktur agung yang mempengaruhi perubahan sejarah dan masyarakat. Kesusasteraan diletakkan dalam struktur agung. Struktur agung inilah yang mencerminkan asas kaitan dengan kesusasteraan.

Konsep ideologi

Marx dan Engels telah menggunakan istilah ideology dalam tahun 1840 menerusi karyanya yang berjudul `The German Ideology’.Istilah ini pada asalnya dicetuskan oleh seorang ahli falsafah Rasionalis Perancis Destutt de Tracy (1790-an) yang merujuk kepada `Science of Ideas` sebagai menentang pemikiran metafizik.
Kritikan ideologi ini memainkan peranan yang sangat penting dalam kajian kesusasteraan sejak pengaruh Kritikan Baharu menjadi lemah. Marx memahami idelogi sebagai sesuatu yang berlawanan dengan jenis pengetahuan yang bersifat objektif. Marx menempatkan kesusasteraan dalam struktur agung idelogi yang setaraf dengan agama, falsafah, politik dan sistem perundangan. Kritikan berasaskan idelogi telah dimajukan oleh Louis Althusser’s tetapi tidak sependapat dengan Marx.

Memahami kesusasteraan dari pandangan Marxis

Untuk memudahkan kefahaman terhadap kesusasteraan maka dibina lima model pendekatannya iaitu Model pencerminan, Model Penerbitan, Model Genetik, Model Pengetahuan Negatif dan model Berpusatkan Bahasa.

Model Pencerminan

Juga dikenali sebagai Model peniruan. Marx menganggap kesusasteraan/karya sastera sebagai cerminan realiti dalam masyarakat (demikian sebaliknya).Pemikiran ini berakar umbi dari idea Plato dan Aristotle tentang `peniruan`. George Lukacs memantapkan model ini dengan beberapa perbezaanya dengan idea Marx.
Cerminan tidak bermakna kesusasteraan sebagai mencerminkan realiti. Tetapi realiti yang dimaksudkannya ialah realiti yang mempunyai bentuk. Realiti ini tergambar daripada keseluruhan dialetik.Untuk menjadikan realiti ini tercermin dalam kesusasteraan, maka ianya harus melalui proses kreatif dan pengarang memainkan peranannya untuk menghasilkan bentuk karya yang mencerminkan bentuk dunia sebenar. Bentuk inilah yang membezakan karya yang realis dan karya yang kreatif.

Model Penerbitan

Model produksi sastera. Ia dikemukakan oleh Piere Macherey (ahli Marxis Perancis). Menghubungkan karya dengan realiti, tetapi tidak sama dengan konsep pencerminan Lukacs. Menekankan kepada perhubungan di antara pengarang dengan karya dan ideologi dengan realisme.Karya beliau yang penting dalam menjelaskan model ini ialah A Theory of Literary Production.
Kesusasteraan sebagai tenaga pengeluar yang produktif.Apa-apa yang dimasukkan ke dalam teks biasanya akan ditukar menjadi sesuatu yang lain Ideologi sebagai pementasan tentang dunia nyata.Teks dilihat sebagai tidak pernah sempurna. Oleh itu, ada kekosongan dan ketakseimbangan dalam teks. Pembacalah yang bertanggungjawab melengkapkannya.

Model Genetik

Model ini dikemukakan oleh Lucien Goldmann. Goldman menganggapkan kesusasteraan terhasil kerana ada sebab akibat, asal usulnya dan penentu-penentuan tertentu. Karya beliau yang berjudul The Hidden God (1955) yang melihat salin kaitan yang wujud dalam kelompok sosial. Dan dalam kelompok itu terdapat manusia istimewa yang mempunyai hak-hak tertentu. Karya kesusasteraan adalah merupakan satu pandangan dunia kelompok tertentu. Pengarang sebenarnya merupakan wakil kelompok kelas sosial tertentu yang menulis karya bagi pihak kelas sosialnya itu. Oleh itu, teks kesusasteraan yang dihasilkan menjadi bersama sosialnya, bukan milik pengarang secara peribadi.

Model Pengetahuan Negatif

Model ini dikemukakan oleh Theodor W.Adorno. Kritikan terhadap model Pencerminan Lukacs. Seni dan realiti berada pada satu jarak yang tertentu yang membolehkan karya sastera pada satu sudut yang baik untuk mengkritik kebenaran.Realiti adalah keseluruhan dialektikal.Seni adalah pengetahuan negatif tentang dunia sebenar. Seni boleh mempengaruhi dan menidakkan kepalsuan.

Model Berpusatkan bahasa

Model ini dimajukan oleh kumpulan Bakhtin. Masyarakat dan bahasa tiada garis sempadan. Ideologi adalah bahasa dalam bentuk lambang-lambang bahasa. Bahasa sebagai kegiatan sosial. Menolak model pencerminan yang menyatakan karya kesusasteraan sebagai cerminan sosial. Karya sastera adalah cerminan ideologi.

TEORI SEMIOTIK

Teori Semiotik bermula pada 1960-an di Eropah, khususnya Perancis. Teori ini percaya bahawa ilmu tanda merupakan satu sains sosial yang penting kerana ia dapat mendatangkan atau menzahirkan makna-makna dan signifikasi tertentu. Pemikiran tentang lambang` ini terus meluas terutama apabila karya pemikir Perancis diterjemahkan.
Teori ini menitikberatkan soal kebahasaan dengan penumpuan kepada sistem perlambangan dan petanda dalam teks. Semiotik mungkin bermula awal, iaitu semenjak zaman Plato lagi. Namun, untuk beberapa tempoh waktu, ia tidak dipentingkan terutamanya dalam era penolakan epistimologi teori ini. Walau bagaimanapun, selepas kurun ke-17, Semiotik muncul semula dengan lebih bertenaga. Beberapa cadangan supaya kajian secara mendalam tentang bahasa yang lebih sistematik perlu diwujudkan telah disuarakan oleh ramai pemikir falsafah seperti Ferdinand de Saussure dan Charles Sander Peirce. Idea Semiotik bertolak daripada idea-idea struktural Fredinand de Saussure seorang ahli linguitik Perancis yang sangat terkenal dengan kajian ilmu kebahasaan.
Ferdinand de Saussure yang mengkaji bahasa percaya bahawa, bahasa terbina dalam struktur yang mengandungi tanda-tanda dan setiap tanda dalam bahasa itu memiliki makna yang tersendiri. De Saussure mengunakan istilah semiologi yang mempercayai bahawa tanda dalam sistem bahasa dapat dikaji secara saintifik. Menurut Saussure, bahasa adalah suatu sistem tanda yang berfungsi melalui sebuah koda operasional oposisi binari (Mana Sikana,2005: 34). Oposisi binari inilah yang menghasilkan makna-makna.
Seorang lagi tokoh penting teori Semiotik ialah Sander Pierce. Tidak sebagaimana De Saussure, Pierce menggunakan istilah semiotik. Beliau dianggap sebagai tokoh pertama yang menggunakan dan mempopularkan istilah semiotik ini yang kemudiannya dikenali dengan nama teori Semiotik oleh pengkaji kemudian. Semiotik menghubungkan tanda-tanda dengan psikologi manusia, manakala semiologi De Saussure memisahkannya.
Istilah Semiotik berasal daripada perkataan Greek daripada akar kata semeion yang membawa maksud sains umum yang mengkaji sistem perlambangan dalam segenap kehidupan manusia. Istilah telah digunakan oleh Charles Sander Peirce untuk merujuk kepada satu cabang autonomous sains. Beliau membezakan tiga jenis lambang iaitu ikonik, indeksikal dan simbolik (Terry Eagleton,1993: 111). Di antara Peirce dan Saussure ada perbezaan yang jelas dalam penekanan terhadap lambang ini. Saussure merujuk lambang secara wewenang kepada penandanya.
Idea semiotik dan semiologi yang dikemukakan oleh Sander Pierce dan De Saussure terus dibahas dan dikembangkan oleh tokoh-tokoh lain yang turut mendokong idea ini. Antara tokoh-tokoh yang telah menggunakan dan mengembangkan idea semiotik ini ialah Umberto Eco, Roland Barthes, Jonathan Culler, Charles Morris, Micheal Rifatarre, Jurij Lotman dan lain-lain.
Pengasas utama teori Semiotik dalam kesusasteraan ialah Jurij M. Lotman yang menulis kertas kerja dalam buku mengenai teori dan metodologi semiotik (Mana Sikana,1990: 18). Lotman memberi perhatian kepada semantik sastera dengan melakukannya atas dasar dan tanggapan bahawa setiap tanda harus memiliki makna. Menurut Lotman lagi, karya sastera mempunyai sistemnya yang tersendiri, oleh itu interpertasi harus bersandarkan kepada struktur linguistik dan dihubungkan dengan fenomena budaya dan pemikiran masyarakat. Dengan ini, kita dapat menyatakan Lotman menganggap teks semiotik meliputi teks kesusasteraan dan teks linguistik.

TEORI PSIKOANALISIS

Teori ini bermula dengan pemikiran Sigmund Freud tentang psikologi dan pemikiran bawah sedar dan sedar manusia yang dianggap sebagai dasar kepada segala tindakan dan perlakuan. Idea Frued tentang pemikiran bawah sedar dan sedar tercetus daripada pengalaman diri Frued sendiri sewaktu berhadapan dengan pesakit-pesakit jiwa di keliniknya. Frued berasa hairan dengan tingkahlaku pesakitnya.
Setelah melakukan dianogsis terhadap pesakitnya itu, beliau mendapati punca masalah pesakit itu bukan dari masalah fizikal tetapi atas sebab-sebab psikologi (Charles Bressler,1999:149). Dalam hubungannya dengan kesusasteraan, Freud menyebutkan kegiatan kesusasteraan adalah satu bentuk penglahiran luaran pengkarya dalam keadaan yang tidak sedar (unconscious mind).
Freud memfokuskan kepada pengkarya. Pengkarya dalam keadaan tidak sedarnya (unconscious mind) mencipta dunia imaginasi dan kemudian baharulah dengan sedar menulis dunia imaginatifnya itu dalam bentuk karya. Frued percaya, bahawa fenomena bawah sedar mempunyai pengaruh yang besar dalam mempengaruhi tindak tanduk dan cara berfikir seseorang. Menurut Frued, tempat yang paling strategik untuk menerokai aktiviti bawah sedar ialah `mimpi`. Interaksi keadaan sedar, tidak sedar dan bawah sedar inilah yang akan membentuk dan mempengaruhi diri dan dunia seseorang manusia.
Pandangan Sigmund Freud yang lebih menumpukan kepada pengkarya telah ditolak dan tidak diterima oleh banyak pendapat. Kemunculan teori-teori baharu yang memberi penumpuan kepada teks seperti Strukturalisme, Formalisme telah menenggelamkan idea-idea Freud. Pun begitu, tanggapan-tanggapan dalam teori baharu itu juga tidak disenangi oleh pemikir sastera yang lain lantaran menolak pengkarya sebagai salah satu unsur penting dalam proses pengintepertasian teks.
Meskipun pemikiran Frued sangat berpengaruh dalam perkembangan teori Psikoanalisis namun, tidak semua idea dan buah fikirannya diterima. Carl Jung, seorang anak murid Frued banyak menentang pandangan gurunya itu. Jung sebaliknya memperluaskan idea Frued dengan cara yang berbeza, tetapi tetap masih berkaitan dengan idea asal Frued. Jung kemudiannya mempopularkan teori Psikologi analitikal. Northrop Frye, seorang profesor teori kesusasteraan telah mengambil beberapa idea Jung dan mengembangkan teori Psikologi Arketipal pada pertengahan 1950.
Harold Bloom juga merupakan salah seorang pendokong teori Psikoanalisi,s namun membawa aliran yang berbeza dengan Frued. Bloom lebih berminat kepada konsep kepengaruhan dalam kesusasasteraan. Meskipun konsep kepengaruhan bukan perkara baharu dalam wacana sastera, namun pendekatan Bloom berbeza dengan konsep kepengaruhan yang ada dalam pemikiran Psikoanalisis klasik. Bloom memberi tumpuan kepada kepengaruhan yang menembusi jiwa pengarang dan menguasainya. Antara pandangan Bloom yang penting ialah menganggap bahawa pengaruh di antara pengarang hampir-hampir tidak terelakkan, terutamanya dalam kalangan penulis muda (Mana Sikana, 1998: 243).
Jacques Lacan mengambil jalan tengah dengan berusaha menyepadukan idea Freud dengan idea-idea Strukturalisme. Beliau cuba menghubung pembacaan teks secara akaliah dan memahaminya. Lacan sependapat dengan Frued bahawa pembaca sewaktu membaca berada dalam keadaan tidak sedar (unconscious) atau berpisah dari realiti. Tetapi, unconscious itu terbentuk sebagaimana struktur bahasa (Charles Bressler,1999: 149). Kata Lacan lagi, sebagaimana struktur bahasa ia (unconscious) adalah sebahagian daripada jiwa manusia yang boleh dianalisis secara sistematik.
Tokoh-tokoh penting dalam pendekatan ini selain Lacan ialah Carl Gustav Jung dan Northrop Frye. Namun, pengasas kepada idea pekdekatan ini tidak lain ialah Sigmund Frued sendiri. Cuma, ia dikembangkan dengan beberapa perubahan dan modifikasi oleh , Bloom, Lacan dan juga curl Jung.