SELAYANG PANDANG

Selamat datang kepada pengunjung peminat dan penggiat kesusasteraan, khususnya yang berminat dalam bidang teori, kritikan dan penulisan puisi ke blog Teori dan Kritikan Sastera. Blog ini menyediakan maklumat akademik berkaitan sejarah dan perkembangan bidang ilmu teori dan kritikan sastera di Barat dan di Malaysia. Selain itu, terdapat juga sisipan puisi, peribahasa dan pelbagai informasi tentang kegiatan kesusasteraan tanah air. Anda juga boleh kunjungi laman blog puisi saya di http://anjungpuisi.blogspot.com/ Semoga ilmu yang dikongsi dalam blog ini dapat memanfaatkan perkembangan ilmu saudara/i ke arah memahami dan mengenali kebesaran dan keluasan ilmu Allah SWT. - a.halim ali

Wednesday, May 19, 2010

PENDEKATAN FENOMENOLOGI


Pendekatan Fenomenologi merupakan salah satu kaedah kritik teks berasas idea falsafah batiniah. Pendekatan ini menggunakan idea-idea teori Fenomenologi yang pernah dipopularkan oleh ahli falsafah German iaitu Edmund Husserl (Foto kanan).
Edmund Husserl berusaha membina suatu kaedah falsafah bagi menjelaskan kepastian mutlak yang boleh dicapai dan dirasai dalam diri manusia. Idea ini dikemukakan setelah Edmund Husserl mendapati masyarakat Eropah sudah hilang keyakinan terhadap kehidupan akibat krisis tamadun kebendaan yang melanda masyarakat Eropah akibat daripada merebakannya modenisme. Husserl percaya bahawa keyakinan diri terhadap kehiduopan masih dapat dicapai oleh manusia dengan cara berfenomenologi.
Untuk mencapai keyakinan yang murni dan hakiki itu, teori Fenomenologi mencadangkan agar dilakukan pembersihan minda manusia daripada gangguan fenomenoma-fenomena yang sedia ada. Minda manusia menstilah dikosongkan dengan cara melakukan reduksi, yakni meletakkan fenomenologi yang sedia ada dalam minda `di luar minda`, sementara waktu. Langkah seterusnya barulah menyediakan ruang transedental untuk membolehkan fenomena-fenomena yang murni masuk ke dalam minda. Dalam hubungan antara fenomena sejati dengan minda yang bersifat transendental itu, manusia dapat mengamati dan menikmati fenomena-fenoma yang sejati itu tanpa ada `gangguan` atau unsur-unsur luar kerana minda manusia sudah bersih dan kosong daripada fenomena-fenomena sedia ada.
Pendekatan ini sedikit sebanyak dipengaruhi formalis Rusia. Sebagaimana Fomalistik Rusia menolak objek sebenar untuk mengetahui sesuatu, demikian juga dengan Fenomenologi ini. Ia menolak pengaruh dan peranan unsur lain di luar diri manusia sebagai faktor yang menentukan makna, sebaliknya makna itu dapat dicari dan difahami atas potensi kendiri.
Pendekatan ini sangat sesuai untuk memahami pengalaman estetik pembaca terhadap sesebuah karya kesusasteraan. Pendekatan ini juga sesuai dilakanakan dalam bentuk eksperimen bagi memahami tanggapan dan pengalaman estetik pembaca ketika membaca teks.
Pendekatan ini tidak begitu terkenal, tetapi ada pengaruhnya yang besar dalam aliran kritikan Geneva terutama dalam era tahun 1940-an hingga 1950-an. Beberapa tokoh kritikan yang penting waktu itu ialah Georges Poulet dari Belgium, Jean Pierre Richard dari Perancis, Jean Starobinki dan Jean Rousset dari Swiss, Emil Staiger dan J.Hillis Miller dari Amerika Syarikat (Terry Eagleton,1983:65).
Pendekatan Fenomenologi menjelaskan bahawa kesedaran tidak hanya dapat dicapai secara empiri tetapi juga bersifat transendental. Transendental diletakkan pada tempat yang paling tinggi, kerana di sana dikatakan sebagai sumber dan asal usul bagi segala makna. Oleh itu dalam kritikan sastera, sesebuah karya dan pengkaryanya tidak begitu dipentingkan. Yang dipentingkan ialah penbacaan teks secara rohaniah yang sama sekali tidak dipengaruhi oleh unsur-unsur di luar dirinya.
Teks adalah satu wadah yang tulin untuk kesedaran pengkarya. Aspek gaya dan semantik dianggap sebagai sebahagian daripada organik dari satu keseluruhan yang kompleks, sementara akal budi pengkarya menjadi dasar yang melengkapinya. Kesebenaran tidak boleh dilihat kepada keadaan luaran pengkarya, tetapi sebaliknya harus dilihat sebagaimana kesedaran yang wujud di dalam teks. Oleh itu, pengkritik harus melakukan penerjunan langsung ke dalam teks untuk melakukan penginterpetasian.
Menurut Husserl, bahasa sesebuah karya sastera adalah merupakan lebih daripada suatu ekpresi makan dalaman. Oleh yang demikian, bahasa tidak mendapat tempat yang tinggi dalam pendekatan ini. Fenomenologi menekankan kepada tindakan melihat sesuatu fenomena sebagai hal universal, bebas dan tidak terikat kepada bahasa. Dalam erti kata lain, bahasa hanya pemberi makna kepada makna yang dikeluarkan dari dalaman diri.

Thursday, May 6, 2010

PENDEKATAN SOSIOLOGI

Pendekatan Sosiologi dalam kritikan sastera ialah satu kaedah kritikan yang menggunakan prinsip-prinsip teori Sosiologi. Sosiologi merupakan salah satu bidang sains sosial. Walaupun Sosiologi bersumberkan bidang sains sosial, namun ia tetap mempunyai hubungkait dengan kesusasteraan. Sosiologi berkait rapat dengan aspek sejarah sebagaimana yang dibincangkan dalam pendekatan Historikal sebelum ini. Sosiologi melibatkan pelbagai perkara yang melibatkan latar sosial masyarakat baik di dalam teks mahupun di luar teks. Aspek-aspek yang menjadi teras kemanusiaan dan kemasyarakatan seperti ekonomi, politik, budaya dan etika sosial akan turut dilihat sebagai unsur-unsur penting yang mempengaruhi kepengarangan dan latar tekstual karya..
Falsafah pemikiran Auguste Comte (1798-1875) yang meletakkan sosiologi sebagai ilmu yang tertinggi dan patut dipelajari, maka kritikan sastera dan penulisan teksnya juga turut dipengaruhinya. Pemikiran Auguste Comte telah mendapat sambutan yang hangat dan turut mempegaruhi pemikiran ahli falsafah Inggeris John Staurt Mill. Lanjutan daripada permikiran inilah maka berkembangnya pengaruh positivisme dan aliran realisme dalam kesusasteraan Perancis dan Barat (Abdul Halim Ali,1998:4).
Secara ringkas, pendekatan ini memberi penekanan kepada aspek aspek-aspek sosial tentang bagaimana seseorang rakyat atau individu itu seharusnya menjadi anggota masyarakat yang berguna, bertanggungjawab demi kepentingan masyarakat umumnya. Dalam hal ini, pendekatan Sosiologi tidak dapat lari dari turut membicarakan tentang pengkarya. Aspek sosiologi pengkarya akan diteliti sama. Sebelum memasuki perbicaraan intrinsik karya, riwayat hidup pengarang termasuk tempat lahir, sosiolisasi, pendidikan, alam sekitar, status sosial, nilai-nilai kehidupan dan sebagainya hendaklah ditinjau terlebih dahulu (Mana Sikana, 1983:110).
Menggunakan teori Sosiologi dalam kritikan kesusasteraan mengkehendaki pengkritik mendalam ilmu sosiologi. Pengkritik perlu mahir mengenalpasti aspek-aspek sosiologi yang berkait dengan teks dan pengkarya di samping mampu menghubungkan sosiologi itu dengan kesusasteraan.

Sunday, May 2, 2010

PENDEKATAN PSIKOANALISIS

Pendekatan ini berasaskan idea pemikiran bawah sedar daripada teori Psokoanalisis. Pendekatan kritikan berasaskan idea Psikoanalisis bertujuan mengamati teks-teks kesusasteraan dengan cara menghubungkannya dengan aspek kejiwaan dan pemikiran bawah sedar.
Beberapa orang pemikir yang memberi perhatian dalam aspek kejiwaan ini ialah Sigmun Freud, Jung, Adler, Brill dan lain lagi (Mana Sikana,1983:118). Frued misalnya sangat terkenal dengan id, ego dan super-ego. Kesemua ini menurut Frued mempunyai tugasnya yang tersendiri. id misalnya sentiasa mendorong kepada keseronokan, kejayaan dan kehendak naluri. ego pula berperanan mententeramkan id, super ego berfungsi sebagai pelindung dari sebarang perkara yang cuba meruntuhkan prinsip-prinsip kemanusiaan, sosial moral dan sebagainya.
Selain Frued, kritikan berasaskan idea Psikoanalisis juga boleh bersandarkan pada idea tipa induk oleh Curl Jung, kepengaruh oleh Harold Bloom dan struktur bahasa dalam pemikiran bawah sedar oleh Jacques Lacan.
Pendekatan kritikan psikoanalisis telah melahirkan beberapa tanggapan yang berkait langsung dengan proses kepengkaryaan, seperti aliran kesedaran (conscious) dan separuh sedar (subconscious). Pengkarya dikatakan mendapat ilham secara separuh sedar, kemudian dia akan menggunakan ilham itu untuk berkarya. Sewaktu berkarya pengkarya berada dalam sedar. Sesuatu karya akan dianggap baik jika sekiranya dalam waktu subconscious pengkaarya dapat melukiskan apa-apa yang tergambar sewaktu dia mengalami subconscious itu.
Pendekatan Psikoanalisis sangat sesuai diterapkan terhadap teks dan juga pengarang. Aspek kejiwaan watak-watak dalam teks dapat ditelusuri dengan baik terutama watak-watak yang mengalami tekanan jiwa. Selain watak dalam teks, pendekatan inmi juga dapat digunakan untuk menyelusuri proses kepengkaryaan pengarang dalam menghasilkan karya.

Sunday, March 21, 2010

PENDEKATAN STRUKTURAL

Pendekatan Struktural berasaskan kepada idea struktur dalam teori Struktural. Teori Struktural berkembang luas pada dekad 1960-an sebagai suatu usaha untuk menerapkan kaedah dan wawasan Ferdinand de Saussure pengasas linguistik moden kepada kesusasteraan (Terry Eagleton,1983:106). Saussure ialah seorang ahli falsafah Swiss (1857-1913) percaya bahawa bahasa mempunyai struktur dalaman tersendiri dan peraturan-peraturannya yang sistematik (Charles E Bressler, 1999:89). Peraturan-peraturan ini menguasai dan menggerakkan semua aspek bagi bahasa termasuk bunyi-bunyi yang dikenalpasti sangat bermakna, berbagai kombinasi bunyi yang membentuk perkataan dan bagaimana perkataan dikendalikan untuk menghasilkan hubungan yang bermakna dalam bahasa yang disediakan (Charles E Bressler, 1999:89).
Secara umumnya, teori Struktural ialah suatu percubaan untuk menerapkan teori linguistik kepada objek-objek dan kegiatan-kegiatan lain, selain bahasa itu sendiri. Berdasarkan kepada pernyataan di atas, maka pendekatan Struktural memberi tumpuan penelitian terhadap aspek-aspek struktur yang membina teks. Struktur ini adalah perkara-perkara dalaman (content) yang membentuk rangka dan membangunakan sesebuah teks. Struktur sesebuah teks termasuklah tema, plot, perwatakan, bahasa, latar dan sudut pandangan (Mana Sikana,1983:82-83). Struktur ini adalah yang sangat biasa bagi genre novel, cerpen dan drama.
Pengkritik juga harus memahami dengan baik prinsip-prinsip teori Struktur jika ingin mengkritik teks kesusasteraan berasaskan idea struktur. Terdapat bebrapa prinsip teori yang patut difahami pengkritik, antaranya (1) keseluruhan,iaitu melihat perhubungan antara struktur secara keseluruhan, bukannya terpisah. (2) perkaitan; setiap satu stkrutur adalah berkait dengan sturktur yang lain. Tanpa perkaitan ini tidak mungkin makna teks dapat ditemui. (3) transformasi; makna terhasil daripada satu proses transformasi. tema kemiskinan terhasil kesan daripada perhubungan pemilihan bahasa dengan persoalan.(4) regulasi diri; stuktur bergerak dan berfungsi dalam lingkaran tekstual teks, bukannya akibat daripada pengaruh pengarang atau aspek-aspek di luar teks. (5) binari oposisi; maka terhasil daripada setentanfgan duaan.

Tuesday, March 16, 2010

PENDEKATAN FORMALISME

PENDEKATAN FORMALISME

Pendekatan Formalisme berasaskan idea `bentuk` yang peloporih pendokong teori Formalisme. Pada dasarnya, pendekatan ini hampir sama sahaja dngan pendekatan Struktural dan Kritikan Baharu. Malah pendekatan Formalisme ini juga disebut sebagai pendekatan struktural, yang berteraskan idea form dan struktur dalam kritkan teks.Teori Fromalisme percaya bahawa teks kesusasteraan mempunyai bentuknya tersendiri. Bahasa merupakan salah satu bentuk yang mengungguli teks. Teori ini juga percaya, bahasa merupakan teras tekstual yang meletakkan kesusasteraan tinggi nilainya.
Menggunakan pendekatan ini bermakna, pengkritik hanya memberi tumpuan kepada aspek tekstual teks, khusus aspek bahasa. Pengkritik haruslah memahami dasar utama Formalisme iaitu keanehan dan kejelian makna. Pengkritik akan memberi tumpuan kepada aspek teknikal dalam penggunaan bahasa. Melhat bagaimana aspek bahasa itu dianehkan sehingga menjadi teks kesusasteraan itu indah dan unik.
Sekiranya mengkritik aspek bahasa, pengkritik tidak perlu memperkaitkannya dengan aspek-aspek atau struktur lain dalam teks, cukup dengan hanya memberi kepada aspek bahasa semata-mata secara terperinci dan mendalam. Sewaktu menganalisis aspek bahasa, pengkritik perlu membuat pembacaan yang mendalam dan terperinci bagi mengesan setiap kehadiran aspek bahasa di dalam teks dan bagaikmana makna berubah disebabkan oleh penganehan berlaku pada bahasa dalam teks.
Pengkritik juga harus berfikir bahawa teks terdiri daripada komponen formal dan struktur yang membinanya. Struktur atau bentuk formal teks biasanya terdiri daripada tema, bahasa, plot, watak,latar dan sebagainya. Aspek linguistik (bahasa) merupakan unsur formal teks yang paling dipentingkan oleh Formalisme, berbanding saspek lain. Oleh itu, pendekatan Formalisme ini lebih sesuai diaplikasikan terhadap teks puisi berbanding prosa.
Pendekatan ini membenarkan pengkritik menganalisis aspek struktur teks secara terpisah-pisah dan bergantung sepenuhnya dengan autonomi bahasa. Oleh itu, pendekatan ini juga memberi perhatian yang sangat tinggi terhadap aspek teknik dan penganehan. Berbeza dengan pendekatan Struktural yang mementingkan kesepaduan dan pengintegrasian semua aspek struktur yang terdapat di dalam teks.
Sebenarnya cara mengkritik menggunakan pendekatan Formalisme ini sudah dianggap sebagai ketinggalan. Kaedah mengajar mata pelajaran Melayu di sekolah pada hari ini juga menggunakan kaedah ini. guru mengajar aspek-aspek form dan struktur tekstual sebagai asas penting memahami tekstual teks. Mungkin kaedah mengajar menggunakan pendekatan inilah menjadi salah satu punca pelajar cepat boring dan tidak menarik minat mereka terhadap mata pelajaran kesusasteraan Melayu.

Thursday, March 11, 2010

PENDEKATAN SEJARAH


Pendekatan Sejarah merupakan salah satu kaedah kritikan teks kesusasteraan yang berpenaruh dalam tahun dalam abad ke 19 dan awal abad ke-20. Pendekatan ini bersandarkan kepada idea Hippolyte Adolphe Taine yang percaya kepada signifikasi konteks sosial dalam karya. Kerana itu kritikan sejarah menitik beratkan aspek-aspek yang be3rkait dengan masa, peristiwa, kepentingan sejarah kepada manusia, tokoh-tokoh dan sumbangannya. Aspek sejarah menjadi latar belakang yang mendasar teks (Charles E Bressler,1999:237). Pendekatan ini berusaha mengapresiasi, menganalisis dan menilai karya kesusasteraan dalam konteks mencerakinkan aspek-aspek pensejarahan dan nilai estetikanya (Mana Sikana,1986:57).
Karya-karya sastera yang berlatar belakang aspek sejarah atau yang berbentuk historiografi (bercampur aduk di antara unsur sejarah dan cereka) amat sesuai diaanalisis menggunakan pendekatan ini. Karya-karya ini akan dinilai berdasarkan kepada zaman karya itu dituliskan dan siapa atau bangsa apakah yang menghasilkannya. Penelitian ini akan menelusuri kepada peritiwa sejarah yang berlaku itu dan melihat serta menilai sejauhmana signifikasinya kepada kehidupan manusia pada masa teks itu dituliskan.Teks seperti Sejarah Melayu, novel Anugerah karya Zaharah` Nawawi, drama Matinya seorang pahlawan, Keris Laksmana Bentan dan lain-lain amat sesuai dikritik dengan pendekatan ini.
Pendekatan ini kemudiannya tersisih akibat kemunculan beberapa pendekatan baharu seperti pendekatan Fomalisme dan Kritikan Baharu (New Criticism). Selepas tahun 1960-an, pendekatan sejarah dan teks-teks yang berbau sejarah sudah mula ditinggalkan dianggap sebagai kaedah kritik yang ketinggalan szaman. Analisis dan penelitian teks telah berubah daripada situation oriented kepada textual oriented. apabila munculnya teori-teori kritikan sastera yang berasaskan idea struktur dan bentuk (form) khususnya pada awal abad ke-20 hinggalajh penghujung tahun 1960-an.
Memasuki tahun 1980-an, kritikan teks mula kembali semula kepada sejarah, tetapi dalam bentuk dan perspektif yang berbeza, berikutan munculnya kaedah baharu yang diperkenalkan oleh Stephen J. Greenblatt menerusi idea pensejarahan baru atau yang disebut New Historicism

Monday, March 8, 2010

PENDEKATAN KRITIKAN BERASASKAN TEORI SASTERA BARAT

Pendekatan Moral

Pendekatan berasaskan prinsip-prinsip teori Moral. Pendekatan ini memberi penekanan kepada isi teks yang dihubungkan dengan prinsip-prinsip atau unsur-unsur moral yang universal. Tanggapan teori Moral ialah, teks kesusasteraan bukan sahaja sebagai satu hasil seni tetapi yang lebih besarnya ialah bagaimana sastera itu melalui isi dan matlamatnya boleh menyumbang kepada pembentukan masyarakat yang baik dan sempurna. Kesusasteraan daripada sudut ini dilihat sebagai unsur yang bersifat didaktivisme. Yakni, yang mempunyai idealogi ke arah menyampaikan pengajaran, didikan dan pembentukan akhlak yang baik.
Pendekatan Moral mengambilkira idea Plato yang sangat menekankan aspek moral dalam karya seni sastera. Demikian juga Horace yang menitikberatkan unsur didaktif sebagai keperluan yang perlu ada dalam karya di samping untuk tujuan hiburan.
Melakukan kritikan berasaskan prinsip teori Moral bermakna pengkritik berusaha mengkaji dan menganalisis isi teks serta menilai sesuatu teks kesusasteraan dengan memberi penekanan kepada nilai-nilai moral dan kesannya didaktivismenya kepada masyarakat. Dalam hal ini tentunya teks-teks kesusasteraan yang baik dan sarat dengan persoalan perilaku masyarakat sangat sesuai dikaji menggunakan pendekatan ini. Fokus pengkritik tentunya berusaha menimba dan menggali nilai-nilai murni, mesej dan pengajaran yang mengandungi unsur pendidikan. Pengkritik juga akan menghubung isi teks dengan realiti di luar teks untuk mengukuhkan signifikasi moral yang dikritik.

Sunday, March 7, 2010

PERHATIAN KEPADA PELAJAR UKP 6033

Sila jenguk dan silau ruang Myguru, jika anda berkelapangan.
Terima kasih.

Saturday, March 6, 2010

PENDEKATAN DALAM KRITIKAN

Seringkali para pelajar, malah dalam kalangan peminat sastera bertemu dengan istilah pendekatan. Tidak sedikit yang keliru dengna istilah ini. Kadangkala mereka bertemu dengan teori Struktural, kemudian bertemu pula dengan pendekatan Struktual. Apakah beza teori dengan pendekatan? Ini yang banyak mengelirukan mereka.
Pendekatan bermaksud cara bagaimana prinsip-prinsip atau dasar-dasar sesebuah teori diaplikasi atau digunakan dalam amalan kritikan. Ini bermakna, untuk mengkritik sesebuah teks memerlukan seseorang pengkritik terlebih dahulu menguasai dan memahami dengan baik prinsip-prinsip sesebuah teori. Contohnya, seorang pengkritik ingin memahami aspek perlambangan dalam sesebuah teks, maka pengkritik tersebut semestinya terlebih dahulu faham dan menguasai dengan baik prinsip-prinsip teori Semiotik.
Oleh kerana, pengkritik mengaplikasi prinsip-prinsip teori Semiotik dalam kritikannya, maka pengkritik tersebut bolehlah dikatakan telah menggunakan pendekatan Semiotik dalam kerja kritikannya. Dengan menggunakan pendekatan ini, bermakna, pengkritik ingin memahami dan membongkar rahsia makna lambang/simbol atau apa sahaja perkara yang berkait denganya dalam sesebuah teks kesusasteraan berasaskan prinsip-prinsip atau dasar teori Semiotik.
Pada posting akan datang, dibincangkan beberapa contoh pendekatan yang lazim digunakan dalam kegiatan kritikan sastera. Pendekatan yang digunakan tidak hanya berdasarkan prinsip-prinsip teori-teori yang ada dalam disiplin sastera, tetapi juga mengambil prinsip-prinsip teori daripada disiplin ilmu lain seperti sosiologi, moral, ekonomi dan psikologi. Dalam bahagian ini, dibincangkan beberapa pendekatan kritikan berasaskan teori sastera dan teori-teori lain yang muncul di Barat.

Tuesday, March 2, 2010

SEJARAH KRITIKAN SASTERA DI BARAT

......Sambungan

Dalam zaman Kegelapan, Perancis, Itali dan England muncul sebagai pihak yang sangat kuat membicarakan kesusasteraan, khususnya tentang disiplin kritikan ini. Bidang kritikan telah berkembang dengan muncul pula begitu ramai para pemikir dan pengkritik sastera waktu itu. Kemunculan para pemikir dan pengkritik sastera ini seiring dan atau dikuti pula dengan kemunculan pelbagai pemikiran dalam menanggapi karya-karya sastera, khususnya puisi dan drama. Perkembangan ini boleh dikatakan sebagai era perkembangan abad ke-16. Pada abad ke-17, bidang kritikan terus menjadi bidang ilmu yang semakin penting. Kemunculan beberapa orang tokoh besar dalam dunia sastera di barat yang mendokong beberapa pemikiran dan teori telah mewarnai era ini sebagai era perkembangan kritikan yang sangat penting.
Pada waktu ini muncul beberapa orang tokoh teoretikal terkenal seperti John Dryden, Francis Bacon dan Boileau. John Dryden terkenal kerana memperkenalkan istilah kritikan sebagai penilai hasil sastera. Atas keterampilannya dalam bidang kritikan sastera Inggeris, Dryden telah digelar sebagai `Bapa Pengkritik Inggeris`. Boileau pula telah menghasilkan beberapa genre baharu dalam sastera, seperti karya satira dan surat sastera. Pengaruh Boileau sangat besar terhadap perkembangan kesusasteraan di Perancis dan di Eropah amnya. Idea-idea pembaharuan ini telah menganjak era perkembangan kesusasteraan dari klasik kepada klasik baharu.
Era abad ke-18 ini, aspek moral menjadi tumpuan para pemikir. Masing-masing mengenengahkan idea-idea tentang kemurnian dan kesucian. Karya yang besar ialah karya yang dapat meruntun perasaan, memaut sensitiviti pancaindera serta menawan hati penonton. Jelas di sini, Dryden, Bacon dan Boileau memberi penumpuan hanya kepada karya, kemudian melihat bagaimana karya itu memberi kesan baik kepada penonton.
Berbeza dengan Samuel Johnson yang menjelaskan mengamati dan menanggapi sastera tidak harus terbatas kepada karya, malah aspek-aspek lain yang berkaitan dengan budaya, pengkarya, ekonomi dan politik harus juga diambilkira. Bagi Gotthold Ephrarim Lessing, seorang tokoh pengkritik Jerman, tujuan penghasilan karya seharunya untuk kebaikan penonton dan pengkarya irtu sendiri harus pula mempunyai kebebasan dalam kepengkaryaannya dengan tidak terikat kepada kebiasaan-kebiasaan sebelumnya.
Bidang kritikan terus berkembang sebagai satu disiplin ilmu dalam bidang kesusasteraan merentasi era kegelapan dan zaman Rainassance kemudian memasuki zaman moden hinggalah menjangkau era pasca moden. Bidang ini akan terus menjadi pelengkap pengajian kesusasteraan seiring dengan perkembangan dunia kesusasteraan itu sendiri.