Kaedah Kritik Berasaskan Pendekatan Konseptual Kata Kunci
Pendekatan Konseptual Kata kunci bertujuan untuk menemukan konsep-konsep asas yang mendasari idea teks dan pengarang. Pendekatan kritik ini bersandarkan idea teori Konseptual Kata kunci yang percaya bahawa setiap pengarang mempunyai kerangka konseptual terhadap sesuatu perkara yang dilihat dan diamatinya. Daripada kerangka ini pengkritik dapat mengarahkan tendensi linguistik kepada suatu konsep yang boleh membuktikan signifikasi makna teks dan menjustifikasikan tujuan pengarang. Jelasnya, kerangka konseptual ini dapat dikaji dan dibuktikan menerusi perkataan-perkataan yang dipilih oleh pengarang di dalam teksnya dan membuktikan makna teks dan tujuan pengarang.
Teori konseptual Kata Kunci percaya bahawa pengarang tidak memilih perkataan secara rambang atau tanpa sebab-sebab yang tertentu dan khusus sewaktu menulis sesebuah karya kesusasteraan. Ada suatu elemen linguistik terencana yang disirat oleh kata-kata tertentu yang menjadi kunci sesuatu konsep yang lebih menyeluruh dan memberi makna. Kerana itu, untuk mendapatkan makna, maka pengkritik perlu memahami dengan pasti perkataan-perkataan yang menjadi mata rantai kepada kunci sesuatu konsep. Contohnya penggunaan perkataan miskin, melarat, peminta sedekah, kais pagi makan pagi merupakan rantai diksi yang boleh memahamkan makna kemiskinan. Kemiskinan menjadi salah satu kata kunci yang akan mewajarkan pengkritik menyimpulkan tema dan persoalan sesebuah teks.
Pendekatan ini tentu memberi fokus yang sangat tinggi terhadap aspek tekstual dengan tidak melupakan aspek kontekstual. Untuk mendapatkan signifikasi makna, kata-kata yang menjadi kata kunci yang mendokong sesuatu konsep itu perlu dikaitkan dengan fenomena di luar teks. Pengarang juga terheret dalam analisis pendekatan ini. Sekurang-kurangnya, pengarang dilihat tidak terlalu berangan-angan atau didominasikan imaginasi semata-mata, sebaliknya mendokong visi tertentu dalam penulisannya. Pendekatan ini akan menjadi lebih bermakna dalam konteks untuk membuktikan makna dan tujuan pengarang sekiranya dilengkapkan dengan ilmu bantu yang lain seperti sosio linguitik dan sejarah.
Pendekatan ini sesuai diaplikasikan ke atas teks prosa. Menggunakan pendekatan ini juga tidak dapat memisahkan pengkritik daripada idea teori Struktural yang menitikberat soal perkaitan, transformasi dan keseluruhan. Teori Konseptual Kata Kunci juga menitikberatkan soal perkaitan di antara satu kata kuncidengan satu kata kunci yang lain dan rantaian kata kunci itu pula berkait dengan sesuatu konsep yang terhasil. Berlaku juga proses transformasi rantaian kata kunci kepada pembentukan istilah baharu atau konsep.
Kaedah praktis pendekatan ini bersifat linguistik mekanis kerana melibatkan beberapa aspek teknikal bahasa seperti pemilihan kata, pembentukan kata dan pemaknaan kata.
SELAYANG PANDANG
Selamat datang kepada pengunjung peminat dan penggiat kesusasteraan, khususnya yang berminat dalam bidang teori, kritikan dan penulisan puisi ke blog Teori dan Kritikan Sastera. Blog ini menyediakan maklumat akademik berkaitan sejarah dan perkembangan bidang ilmu teori dan kritikan sastera di Barat dan di Malaysia. Selain itu, terdapat juga sisipan puisi, peribahasa dan pelbagai informasi tentang kegiatan kesusasteraan tanah air. Anda juga boleh kunjungi laman blog puisi saya di http://anjungpuisi.blogspot.com/ Semoga ilmu yang dikongsi dalam blog ini dapat memanfaatkan perkembangan ilmu saudara/i ke arah memahami dan mengenali kebesaran dan keluasan ilmu Allah SWT. - a.halim ali
Tuesday, August 3, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment