SELAYANG PANDANG

Selamat datang kepada pengunjung peminat dan penggiat kesusasteraan, khususnya yang berminat dalam bidang teori, kritikan dan penulisan puisi ke blog Teori dan Kritikan Sastera. Blog ini menyediakan maklumat akademik berkaitan sejarah dan perkembangan bidang ilmu teori dan kritikan sastera di Barat dan di Malaysia. Selain itu, terdapat juga sisipan puisi, peribahasa dan pelbagai informasi tentang kegiatan kesusasteraan tanah air. Anda juga boleh kunjungi laman blog puisi saya di http://anjungpuisi.blogspot.com/ Semoga ilmu yang dikongsi dalam blog ini dapat memanfaatkan perkembangan ilmu saudara/i ke arah memahami dan mengenali kebesaran dan keluasan ilmu Allah SWT. - a.halim ali

Thursday, October 7, 2010

KONSEP BAWAH SEDAR DALAM TEORI LACAN

Jacques Lacan menghasilkan teori beliau dengan menggabungkan teori Psikoanalisis Sigmund Freud dan teori Strukturalisme yang diasaskan oleh Ferdinand de Saussure. Dengan gabungan unsur bawah sedar (Freud) dan struktur dalam bahasa (Saussure), Lacan telah menghasilkan atau mengasaskan teori beliau melalui satu gagasan iaitu gagasan unconscious structured like a language atau bawah sedar terstruktur seperti sebuah bahasa. Melalui gagasan ini, menurut Lacan, (dlm.Mana Sikana,2005) membawa pandangan bahawa kita sebenarnya boleh mendampingi, menganalisis, dan mencari makna kepada alam bawah sedar kerana ia mempunyai sistem yang terstruktur dan tersusun seperti bahasa. Lantas unsur bawah sedar itu juga merupakan manifestasi bahasa.

Dalam usaha melahirkan teori beliau, Lacan (dlm Mana Sikana,2005) telah melakukan modifikasi dan tafsiran semula terhadap konsep mimpi yang mendasari teori psikoanalisis Freud. Teori beliau beranggapan bahawa dalam kehidupan, Manusia digerakkan oleh id iaitu desire atau keinginan/nafsu untuk keseronokan. Id sering kali mendorong manusia ke arah keinginan yang bersifat hedonistik iaitu libido. Semasa mengendalikan keinginan ini, jiwa manusia sering bergejolak untuk mendapatkan pertimbangan dan kawalan melalui ego yang memainkan peranannya berlandaskan unsur-unsur rasional dan superego yang memainkan peranaannya berlandaskan unsur-unsur moral. Secara amnya, keinginan, pertimbangan dan kawalan berlaku dalam tiga ruang atau kawasan iaitu kawasan sedar, pra-sedar dan bawah sedar. Sekiranya berlaku perbalahan di antara ego dan superego, maka manusia akan berada dalam keadaan resah/cemas atau anxiety dan ini dilalui dalam pengalaman bawah sedar.

Teori Freud berpusat kepada kompleks Oedipus di mana seorang anak terpaksa menggunakan suppressive mechanism apabila keinginan libido terhadap ibunya terganggu atau diancam dengan keberadaan saingan dari ayahnya sebagai unsur yang menghalang atau unsur yang berkuasa menentukan undang-undang/larangan. Keadaan ini dimengertikan melalui konsep perlambangan yang terdapat pada phallus. Freud melihat ‘ayah’ dari sudut biologikal, manakala Lacan melakukan modifikasi dan menjadikan ‘ayah’ sebagai objek yang mempunyai fungsi simbolik iaitu figure yang mengekang dorongan keseronokan anak tersebut.Lacan, (dlm.Mana Sikana,2005)

Menurut Freud,(dlm.Raman Selden, 1989) pengalaman bawah sedar wujud sebelum bahasa memainkan peranannya, namun Lacan berpendapat bahawa pengalaman bawah sedar wujud serentak dengan kewujudan bahasa. Lacan melihat bahasa sebagai sebuah wacana di mana manusia sebagai subjek, boleh menempatkan posisinya. Beliau juga menyatakan bahawa bahasa membolehkan individu mengenali dirinya, persekitarannya, lingkungan sosialnya justeru membentuk identitinya. Ini terhasil dengan gabungan gagasan Saussure tentang bahasa dan perlambangan. Menurut Saussure, bahasa mempunyai unsur yang mempunyai hubungan antara satu sama lain dan hubungan ini membawa makna serta pemakanan dan pada akhirnya akan membawa satu kesatuan makna atau Wholeness.

Lacan telah membentuk konsep imejan, simbolik dan real yang merangkumi tingkatan perkembangan manusia. Menurut Lacan, makna yang ada pada suatu objek boleh dipindahkan kepada objek yang lain seperti penggunaan metafora dan metonimi dalam bahasa. Bermula daripada peringkat pemerolehan bahasa, manusia membentuk konsep diri mereka melalui imejan, simbolik dan real.

No comments:

Post a Comment