SELAYANG PANDANG

Selamat datang kepada pengunjung peminat dan penggiat kesusasteraan, khususnya yang berminat dalam bidang teori, kritikan dan penulisan puisi ke blog Teori dan Kritikan Sastera. Blog ini menyediakan maklumat akademik berkaitan sejarah dan perkembangan bidang ilmu teori dan kritikan sastera di Barat dan di Malaysia. Selain itu, terdapat juga sisipan puisi, peribahasa dan pelbagai informasi tentang kegiatan kesusasteraan tanah air. Anda juga boleh kunjungi laman blog puisi saya di http://anjungpuisi.blogspot.com/ Semoga ilmu yang dikongsi dalam blog ini dapat memanfaatkan perkembangan ilmu saudara/i ke arah memahami dan mengenali kebesaran dan keluasan ilmu Allah SWT. - a.halim ali

Sunday, January 29, 2012

DESKRIPSI TEORI ESTETIKA BERSEPADU

...sambungan

Menurut Abdul Halim lagi, misteri keindahan yang tergambar dalam fikiran dan yang hadir di hadapan mata atau yang dapat dirasai dan dinikmati oleh pancaindera dan perasaan hanya dapat difahami jika kita memahami rahsia dalam penciptaan manusia itu sendiri. Penyepaduan merupakan kunci utama sebuah proses yang menghasilkan keindahan. Unsur-unsur yang bersepadu atau disepadukan dalam teks itulah yang paling asas diteliti dan diperhalusi bagi memahami makna keindahan di dalam teks.
Sebagaimana makhluk manusia yang terdiri daripada kesepaduan unsur rohani dan jasmani, akal dan pemikiran; teks kesusasteraan juga dibangunkan oleh pengarang dengan proses penyepaduan unsur rohani dan jasmani, akal dan pemikiran, emosi dan ilmu. Bahasa adalah unsur jasmani teks, manakala tema dan persoalan, idea dan pemikiran, pengajaran dan perutusan adalah unsur rohani (dalaman) teks. Kerana itu juga, Abdul Halim menteorikan untuk memahami makna keindahan dalam teks maka unsur-unsur luaran (jasmani) dan dalaman (rohani) teks perlu diteliti dan diperhalusi serta digembeleng proses pencarian maknanya berlandaskan kesepaduan.

Asas Teori

Teras teoretikal Estetika Bersepadu ialah Keindahan bermakna yang mendokong kebenaran. Keindahan teks terbahagi kepada dua iaitu itu keindahan luaran yang meliputi estetik bahasa yang tergambar pada penggunaan unsur-unsur dan gaya bahasa dan penyampaian bahasa. Kedua, keindahan dalaman yang meliputi estetik perutusan tergambar pada pemikiran pengarang yang sejajar dengan kebenaran (sejajar dengan ajaran agama Islam dan sejajar dengan realiti).
Kebenaran adalah teras penting Estetika Bersepadu. Teks kesusasteraan seharusnya mendokong kebenaran di sisi agama dan di sisi realiti. Ini bermakna teks kesusasteraan bukannya semata-mata imaginasi atau fantasi kosong pengarang, sebaliknya sebuah wadah ilmu, dakwah dan pengajaran untuk membawa manusia kepada kebenaran agama dan realiti (bukan angan-angan atau fantasi)
Teks mempunyai hubungan bermakna dengan Pencipta-Nya, pengarang, agama dan realiti. Teks tidak bersifat autonomi, sebaliknya berfungsi dalam ikatan yang dibataskan oleh ajaran agama, norma-norma kehidupan dan kebenaran.

bersambung..