SELAYANG PANDANG

Selamat datang kepada pengunjung peminat dan penggiat kesusasteraan, khususnya yang berminat dalam bidang teori, kritikan dan penulisan puisi ke blog Teori dan Kritikan Sastera. Blog ini menyediakan maklumat akademik berkaitan sejarah dan perkembangan bidang ilmu teori dan kritikan sastera di Barat dan di Malaysia. Selain itu, terdapat juga sisipan puisi, peribahasa dan pelbagai informasi tentang kegiatan kesusasteraan tanah air. Anda juga boleh kunjungi laman blog puisi saya di http://anjungpuisi.blogspot.com/ Semoga ilmu yang dikongsi dalam blog ini dapat memanfaatkan perkembangan ilmu saudara/i ke arah memahami dan mengenali kebesaran dan keluasan ilmu Allah SWT. - a.halim ali

Thursday, July 29, 2010

PENDEKATAN FIRASAT

Kaedah kritik ini berteraskan idea teori Pengkaedahan Melayu yang diperkenalkan oleh Hashim Awang bertujuan memahami fenomena budaya, pemikiran, cara hidup, sikap dan pandangan orang Melayu Islam berasaskan nilai-nilai`tempatan` Melayu dan Islam. Oleh itu, pengkritik yang menggunakan prinsip teori ini dalam kritikan teks, tentulah seorang pengkritik yang sedar akan limitasi teori ini ketika berhadapan dengan teks kesusasteraan. Teks-teks kesusasteraan yang terhasil di tangan pengarang bukan Melayu dan bukan Islam tentu `terkeluar` dari lingkungi signifikasi teori ini.
Teori Pengkaedahan Melayu Hashim Awang menawarkan dua pengkaedahan iaitu, pengkaedahan alamiah dan pengkaedahan agama. Bagi tiap-tiap pengkaedahan ini, dapat dimanfaatkan beberapa pendekatan yang boleh digunakan. Dalam pengkaedahan alamiah misalnya, pengkritik boleh menggunakan kaedah gunaan, firasat dan moral. Berasaskan pengkaedahan agama pula dapat dimanfaatkan pendekatan dakwah, seni dan kemasyarakatan.
Hashim Awang percaya bahawa produk kesusasteraan (karya) mengandungi himpunan pengalaman hidup manusia Melayu Islam yang sangat tinggi nilainya, dan pengalaman ini mencerminan suatu ruang yang luas tentang segala aspen dan pandangan (world view) Melayu Islam itu sendiri. Dengan berpandukan kitab Tajulmuluk, Hashim merumuskan signifikasi world view Melayu Islam berligar kepada enam perkara iaitu cakerawala, firasat, kesihatan manusia, mimpi dan gerak laku manusia dan perumahan.
Dalam pengertian umum, firasat membawa maksud ramalan atau. Ramalan dalam konteks teori ini tidak setakat ramalan tetapi ramalan yang mendokong makna-makna khusus sehingga memberi suatu gambaran yang benar-benar mencerminkan world view Melayu Islam itu sendiri.
Mana Sikana (2005) menghubungkan pendekatan firasat ini dengan konsep mimpi Frued dan kajian tanda dalam semiotik. Pandangan ini sejajar dengan usaha Hashim Awang untuk menyelongkari makna-makna yang berkait dengan kealamiahan dan keberagamaan orang-orang Melayu sendiri. Makna-makna ini tentulah bertempelan pada langit mimpi orang Melayu, sikap dan gerak lakunya, alam sekitar yang mempengaruhinya dan segala macam pelakuan yang terhimpun dalam pengalaman hidup mereka.
Selain daripada pendekatan firasat, pengkritik juga menyelusuri teks kesusasteraan tempatan dengan pendekatan moral, kemasyarakatan, keagamaan dan pendekatan seni. Pendek kata, teori ini menawarkan banyak cara yang boleh digunakan untuk pengkritik sebagai kaedah operasionalnya dalam usaha mendekati dan menyelongkari nilai-nilai kemelayuan dan keislaman Melayu.

Wednesday, July 21, 2010

KRITIK TEKS BERASASKAN PENDEKATAN SASTERA MELAYU

PENDEKATAN KESEMPURNAAN

Pendekatan kesempurnaan juga boleh disebut sebagai pendekatan kesyumulan berasaskan kepada prinsip-prinsip teori Takmilah yang diketengahkan oleh Shafie Abu Bakar. merupakan salah satu teori yang mendokong prinsip kesyumulan. Prinsip kesyumulan Takmilah terasas pada hubungan yang bersifat holistik yang melibatkan pengarang, khalayak dan karya dengan prinsip kerasulan dan ketuhanan. Pendekatan ini menolak penilaian terhadap teks secara terpisah-pisah, sebaliknya mengusulkan teks dianalisis secara menyeluruh berasaskan tujuh prinsip yang boleh membawa pembaca kepada makna kesempurnaan dalam memahami hubungan kesusasteraan dengan agama. Tujuh prinsip teori ini ialah:

a. Prinsip ketuhanan yang bersifat Kamal
b. Prinsip kerasulan yang bersifat insan Kamil
c. Prinsip keislaman yang bersifat Akmal
d. Prinsip ilmu dengan sastera yang bersifat Takamul
e. Prinsip sastera yang bercirikan keindahan dan kesempurnaan
f. Prinsip pengkarya yang seharusnya mengistikmalkan diri
g. Prinsip khalayak yang bertujuan memupuk diri menjadi insan Kamil

Pengarang, teks dan khalayak tergabung dalam kerangka struktur analisis yang bersifat keseluruhan (wholeness) dan terkait dengan prinsip ketuhanan, kerasulan, keislaman dan keilmuan. Ini bermakna, membincang isi karya tidak akan memisahkannya dengan peranan pengarang dan kesannya kesannya kepada khalayak dalma konteks membawa semua pihak ini (pengarang, teks dan khalayak) kepada mengenal Allah.
Peranan pengarang akan berkait dengan tujuan atau niatnya berkarya. Pendekatan ini tentunya memerlukan satu kaedah lain untuk mengesan tujuan atau niat pengarang, selain daripada apa yang boleh ditafsir oleh pengkritik sendiri. Oleh itu, kaedah temu bual (interview) dengan pengarang adalah satu pilihan yang sesuai untuk digunakan pengkritik dalam praktis kritikan berpandukan pendekatan kesempurnaan ini.
Menggunakan pendekatan ini bermakna pengkritik meletakkan diri berada dalam satu usaha murni memakna kesusasteraan dan semua pihak yang terlibat di dalamnya di sisi Islam. Pengarang, teks dan khalayak tidak terpisah daripada nilai-nilai Islam, malah berkaitan di antara satu sama lain. Kesempurnaan di sisi Islam dalam konteks teori ini meletakkan semua pihak yang terlibat dalam kegiatan kesusasteraan `menuju` ke arah memenuhi tanggungjawab keislamannya.
Cara kerja dan praktis kritikan berasaskan pendekatan Kesempurnaan mempunyai beberapa persamaan dengan kaedah kritikan struktural yang mementingkan aspek perkaitan, menyeluruh dan regulasi. Amalan-amalan dalam praktif formalisme juga kelihatan dalam pendekatan Kesempurnaan ini, khususnya yang melibatkan aspek-aspek tema, bahasa, watak dan perwatakan. Perkara yang membezakan pendekatan Kesempurnaan dengan pendekatan Struktural dan Formalisme ialah hubungan tekstual dengan kontekstual. Teori Takmilah meletakkan hubungan isi cerita dengan kreativiti pengarang serta peranan pembaca adalah bersifat berkait dan timbal balik. Hubungan timbal balik inilah yang menjadi salah satu asas yang dapat digunakan untuk membuktikan kesempurnaan hubungan teks kesusasteraan dengan Islam.
Menurut Shafie, takmilah bererti menyempurnakan sesuatu yang denganya menjadi lebih sempurna (Mana Sikana,2005:97). Oleh yang demikian, pendekatan ini sangat sesuatu berhadapan dengan teks kesusasteraan yang dihasilkan oleh penulis Islam sendiri dan `kurang` bermakna terhadap teks kesusasteraan yang dihasilkan oleh penulis bukan Islam.

Tuesday, July 20, 2010

CATATAN BUAT CIKGU IMRAN IPG KB

Kaedah Mengalami-Menghayati menekankan ‘penikmatan’. Ini bermaksud sesuatu aspek kesusasteraan yang dipelajari ini dapat dirasakan dan dihayati sepenuhnya. Biasanya penghayatan itu didasarkan kepada himpunan pengalaman sebenar manunsia dan ini digunakan untuk mendapatkan sesuatu pengalaman baru dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Dalam pengajaran dan pembelajaran, para pelajar didedahkan kepada beberapa persoalan di dalam sesuatu aspek kesusasteraan yang dikaji. Langkah ini disusuli pula dengan aktiviti menginterpretasi persoalan-persoalan itu sehingga ia benar-benar dapat dirasakan. Pengajaran tidak mementingkan objektif tertentu tetapi lebih menumpukan kepada analisis pengalaman.
Mengajar sajak `Kebanjiran` karya A.Samad Said amat sesuai diaplikasikan kaedah mengalami dan menghayati. Guru boleh bermula dengan peristiwa tsunami yang berlaku di Acheh. Melalui teknik bercerita guru dapat mempengaruhi psikologi dan emosi pelajar dengan unsur kesedihan, penderitaan dan keinsafan. Pengalaman ngeri dilanda tsunami itu dipindahkan ke dalam pengalaman diri pelajar, khususnya bagi pelajar yang benar-benar mengalami peristiwa banjir di kampungnya atau pengalaman guru sendiri.

KRITIK TEKS BERASASKAN TEORI SASTERA MELAYU

Kehadiran teori-teori kesusasteraan tempatan telah menjanjikan perkembangan yang sangat pesat dalam bidang kritikan di negara ini. Teori-teori kesusasteraan bikinan sarjana tempatan kelihatan `berguna` dalam praktis sastera amali, tidak kurang juga yang tinggal kekal sebagai sifat teorinya, yakni tidak teruji sepenuhnya di lapangan. Sudah kedapatan kajian-kajian di peringkat sarjana (sarjana dan kedoktoran) yang menggunakan teori-teori bikinan sarjana Melayu di Malaysia. Jumlah pengkaji yang menggunakan teori-teori ini dalam kajian akademik mencapai angka puluhan dan di peringkat kedoktoran pula, ternyata, teori Persuratan Baru mampu menyelongkari dan mencapai signifikasi teorinya. Ia berjaya di tangan Mohd Zariat Abdul Rani (2004) (Ifoto, kiri)menerusi kajian di peringkat ijazah kedoktorannya manakala Samsina Abdul Rahman (foto, kanan atas) yang mengaplkasikan teori Takmilah dalam kajian puisinya. Demikian juga teori Pengkaedahan Melayu yang diaplikasikan oleh Naffi Mat (2010) dalam kajian di peringkat doktor falsafah juga.

a) Pendekatan Intelektual

Pendekatan kritikan intelektual juga dinamakan pendekatan tauhid berasaskan dasar-dasar teori Persuratan Baru janaan Mohd Affandi Hassan. Secara umum teori ini mendokong empat prinsip persuratan iaitu:-
a. Persuratan yang dokong ilmu, pemikiran dan kebijaksanaan
b. Persuratan yang memakai gaya keintelektualan yang indah
c. Persuratan yang mementingkan watak-watak baik yang mendokong ilmu dan kebijaksanaan
d. Persuratan yang daya kreatif yang tinggi, intelek, beradab dan terkawal.

Empat prinsip ini mendokong idealisme teks sebagai pendokong dan penyampai gagasan intelektualisme. Pengarang atau sasterawan dalam tanggapan Persuratan Baru bukannya pencerita yang semata-mata bercerita atau menyampaikan cerita. Sasterawan adalah manusia yang menyampaikan ilmu dan ilmu itulah yang menjadi keutamaan dalam bersastera.
Persuratan Baru meletakkan intelektual sebagai teras kesusasteraan manakala cerita adalah latar. Dengan kata lain, natijah daripada penghasilan teks kesusasteraan ialah untuk memaknakan kesusasteraan berteraskan asas-asas keintelektualan seperti ilmu yang bermanfaat, kebijaksanaan, daya kreatif yang tinggi, dokongan watak dan perwatakan yang baik serta menggagaskan pemikiran.
Kritikan berasaskan teori ini meletakkan teks kesusasteraan sebagai pengungkap intelektual yang disahkan oleh ilmu yang benar. Kerana itu, pengkritik perlu kepada ilmu bantu khususnya dalam perkara yang berkaitan dengan kedudukan ilmu di sisi tauhid dan falsafah estetik yang benar.
Pendekatan ini terjalur dalam dua konsep dengan satu teras, iaitu konsep ilmu dan konsep cerita. Kedua-dua konsep ini melahirkan empat prinsip yang disebutkan tadi. Konsep ilmu dan cerita yang melahirkan empat konsep itu sebenarnya `ditambat` pada teras agama iaitu tauhid.
Dengan kefahaman ini bermakna pengkritik berusaha bukan sahaja memperkaitkan teks kesusasteraan dengan tuntutan tauhid, tetapi juga meletakkan teks sebagai produk persuratan Melayu yang tinggi nilai keinteletualismenya dalam semua aspek kehidupan manusia.
Kaedah kritikan lebih berbentuk holistik, yakni pengkritik harus membincangkan teks berasaskan semua dasar teori berteraskan semangat dan roh intelektualisme. Tujuan akhir daripada pendekatan kritikan ini ialah supaya ternampak dan terkesan pada pandangan mata kasar dan mata hati peranan teks kesusasteraan sebagai pewacana ilmu yang membawa manusia dan kesusasteraan itu sendiri kepada kenal hakikat hakikat insan, hakikat ilmu dan amal serta hakikat sastera itu sendiri.
Matlamat akhir pendekatan ini ialah untuk menunjukkan kemanfaatan dan kebergunaan sesuatu teks kesusasteraan itu dalam mendidik kemanusiaan dan keinsanan manusia berlandaskan keilmuan dan ketauhidan. Pendekatan intelektual sangat sesuai bagi pengkritik yang berhasrat untuk membuktikan kemanfaatan kesusasteraan di sisi agama dan hubungannya dengan kehidupan manusia di dunia. Dari sudut yang lain, pendekatan ini juga boleh digunakan untuk membongkar `kemungkaran` atau anasir-anasir yang bertentangan dengan dasar ilmu dan konsep cerita yang berteraskan ketauhidan.
Kajian yang dilakukan oleh Mohd Zariat Rani (2004) menggunakan pendekatan ini terhadap novel-novel sasterawan Melayu di negara ini, berjaya membuktikan kewujudan perkara-perkara yang `mungkar`, anti intelektual dan `rendah` akhlak dalam novel-novel tersebut. Aplikasi teori ini dalam kritikan dapat ditelusuri dengan lebih terperinci dalam buku Gagasan Persuratan Baru: Pengenalan dan Penerapan (2008) yang mengumpulkan tulisan kritikan oleh Mohd Affandi Hassan, Ungku Maimunah Tahir (foto, kanan bawah) dan Mohd Zariat Abdul Rani.

Monday, July 19, 2010

PERKEMBANGAN KRITIKAN SASTERA DI MALAYSIA

PERKEMBANGAN MUTAKHIR

Menjelang awal abad Ke-21, kegiatan kritikan sastera di Malaysia terus rancak. Kerancakan ini banyak difaktorkan oleh peranan Dewan Bahasa dan Pustaka yang menganjurkan lebih daripada 15 seminar dan bengkel teori dan kritikan sastera Melayu. Menerusi seminar dan bengkel ini, para sarjana dan pemikir teori sastera Melayu membentangkan buah fikiran dan idea-idea baharu ke arah memperkukuhkan lagi disiplin kritikan sastera di Malaysia.
Selain itu, peranan institusi pengajian tinggi (IPTA) juga amat membantu perkembangan bidang teori dan`kritikan sastera di negara ini. Kebanyakan
IPTA seoerti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Akademi Seni dan Warisan Malaysia (ASWARA) terus menawarkan kursus-kursus yang berkaintan dengan bidang ilmu teori dan kritikan sastera di injazah sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah. Walau bagaimanapun, tumpuan ahli akademik dalam bidang teori di IPTA makin berkurang berbanding bidang prosa moden dan puisi.
Beberapa tokoh teori dan kritikan seperti Hashim Awang, Mana Sikana, Muhammad Haji Salleh, Mohd Salleh Yaapar, Foto, kanan atas) Ungku Maimunah, Jaafar Rahim, Mohd Affandi Hassan dan ramai lagi terus giat memperkukuhkan kedudukan teori dan kritikan sastera Melayu di Malaysia. Tokoh-tokoh ini dibantu pula dengan kehadiran beberapa tokoh muda yang berpotensi seperti Sohaimi Abdul Aziz, Mohamad Mokhtar Hassan, Mohd Daud Mohammad dan Hashim Siti Hajar Che Man. Manakala tokoh-tokoh muda yang bakal menjadi pelapis turut melibatkan diri secara serius ialah Hashim Ismail, Zariat Mohd Rani, Mawar Safei, Norhayati Abdul Rahman, Rahimah Ahmad, Awang Azman Pawi, Salleh Rahmad, Jeniri Amer, S.M.Zakir, Faisal Tehrani, Abdul Halim Ali dan Samsina Abdul Rahman.
Era mutakhir juga menyaksikan kemunculan beberapa teori dan pendekatan baharu dalam dunia teori dan kritikan sastera Melayu. Mohamad Mokhtar Hassan misalnya memperkenalkan Pendekatan Kata Kunci. Pendekatan ini buat pertama kali dibentang pada seminar Teori dan Kritikan Sastera Serantau di Hotel Park Royal Kuala Lumpur. Manakala A.Wahab Ali dengan teori Sastera Warisan, Rahman Shaari dengan teori Anjakan Makna dan Abdul Halim Ali dengan teori Estetika Bersepadu. Kesemua ini menjadi petanda pengukuhan dan pemantapan yang secara bertahap-tahap berlaku dalam perkembangan teori dan kritikan sastera Melayu.
Kedudukan dan pertumbuhan teori sastera Melayu tidak berpusat di Malaysia sahaja, tetapi juga berkembang di rantau Nusantara seperti di Singapura, Brunei, Thailand dan Indonesia. Di Singpura kemasukan dan perkembangan teori sastera Melayu banyak diusahakan oleh Mana Sikana yang menjadi tenaga akademik di National Institute of Education (NIE). Beberapa orang tokoh akademik di Singapura yang turut terlibat ialah Hadijah Rahmat, Razif Bahari, Saeda Buang, Kartini Anuar dan Azhar Ibrahim. Manakala di Univiersiti Brunei Darul Salam terdapat tokoh-tokoh dan sarjana sastera seperti Sahlan Mohd Saman, Hashim Abdul Hamid, Ampuan Haji Brahim Ampuan Haji Tengah (foto, kiri bawah) dan Hj Morsidi Hj Muhamed.

Saturday, July 17, 2010

PERKEMBANGAN KRITIKAN SASTERA DI MALAYSIA

ERA KEMANTAPAN

....sambungan catatan lalu.

Satu lagi fenomena baharu yang turut mewarnai genre kritikan sastera di Malaysia ialah kemunculan pendekatan berasas agama Islam. Suara-suara tentang sastera Islam sememangnya sudah lama kedengaran khususnya dalam tahun 1970-an, bermula dengan gagasan oleh Ustaz Mohd Yusof Zaky Yaacob, kemudian merebak kepada polemik sastera Islam antara Shahnon dan Kassim Ahmad. Polemik Shahnon dan Kassim ini kemudiannya mengheret beberapa pengkritik lain seperti Rahman Shaari, Mohd Kamal Hassan, Mohd Affandi Hassan, Mana Sikana, Shafie Abu Bakar dan lain-lain lagi. Tunjang kepada polemik ini bertoak daripada perbezaan pandangan terhadap konsep dan falsafah sastera Islam.
Dengan perkembangan ini, sastera Islam menghiasi bukan sahaja penulisan karya, tetapi turut mencorakkan perjalanan genre kritikan ke arah pendekatan tauhid (Islam). Penganjuran seminar-seminar, simposium, bengkel, kolokium yang berteraskan sastera Islam dan pendekatan kritikan Islam sama ada oleh Dewan Bahasa dan Pustaka atau universiti-universiti jelas menunjukkan, Islam mempunyai masa depan yang cerah untuk muncul sebagai landasan teorikal dalam kritikan sastera di Malaysia. Teori Takmilah yang diperkenalkan oleh Shafie Abu Bakar, Persuratan Baru oleh Affandi Hassan, Pemikiran Strategik SPB 4L oleh Mohd Yusof Hassan dan Pengkaedahan Melayu oleh Hashim Awang telah diaplikasikan bukan setakat untuk tujuan penyelidikan ijazah sarjana muda, tetapi telah terbukti berjaya diaplikasikan dalam kajian di peringkat sarjana dan doktor falsafah.
Ada beberapa kemungkinan yang boleh menjejaskan perkembangan ini. Antaranya komitmen daripada sarjana lain yang terjebak dalam konstrain `iri hati` atau `academic jelouisy` yang menyebabkan mereka bukan setakat menolak teori-teori ini, malah turut mempengaruhi audien lain dengan pelbagai tohmahan dan perlekehan dengan niat yang tidak akademik sifatnya. Perkembangan ini sememangnya sudah lama terhidu dari pelbagai suara-suara sinis. Sikap ini tidak membantu perkembangan genre kritikan, sebaliknya ia boleh menjejaskan kelangsungan tradisi itu pada masa-masa akan datang.
Tidak kurang penting dalam era pemantapan ini ialah kemunculan teori-teori dan pendekatan kritikan pascamoden. Teori-teori ini dikatakan telah meninggal jauh teori-teori sastera moden. Kemunculan teori sastera Poststrukturalisme khususnya teori Dekonstruksi, kemudian New Historisisme, PostFeminisme dan sebagainya telah turut mempengaruhi perkembangan genre kritikan sastera Melayu. Mana Sikana dilihat sangat rajin menelaah teori-teori pasca moden ini dan berusaha memberi tempat dalam dunia kritikan Malaysia, dan dalam masa yang sama dia sendiri turut mengangkat teori Teksdealismenya sebagai sebuah teori pascamoden. Tokoh-tokoh penting yang turut sering membicarakan teori-teori kritikan pascamoden ini ialah Sohaimi Abdul Aziz, Salleh Yaapar, Mohamad Mokhtar Abu Hassan, Jaafar Rahim, Mohamad Daud Mohamad, Hashim Ismail, Saleh Rahmad, Awang Azman Pawi, Samsina Abdul Rahman, Norhayati Abdul Rahman, Abdul Halim Ali, Umar Junus, Noriah Taslim dan ramai lagi.

Wednesday, July 14, 2010

KRITIKAN SASTERA DI MALAYSIA

ERA PEMANTAPAN

Sebagaimana genre-genre lain, genre kritikan turut mengalami proses perkembangannya. Kelangsungan tradisi baharu kritikan sastera Melayu yang berkembang dengan baik dalam tahun-tahun 1960-an dan 1970-an telah dikejapkan lagi dengan beberapa faktor dalam era pemantapan. Era pemantapan boleh dikira dari tahun 1980-an sehingga tahun 1990-an. Faktor-faktor yang dimaksudkan itu ialah, munculnya tokoh-tokoh pengkritik baharu, kecenderungan membina teori kritikan sendiri, perkembangan sastera dan teori Islam, kemunculan teori-teori baharu sastera Barat khususnya teori-teori pascamoden, wacana teori dan kritikan yang meluas serta perubahan sikap dalam kalangan sarjana dan pengkritik sastera di Malaysia.
Kecenderungan mengunakan pelbagai teori dan pendekatan kritikan dari Barat sebagaimana yang diterangkan sebelum ini sememangnya terus mewarna dunia kritikan sastera Malaysia. Tambahan pula kemunculan tokoh-tokoh pengkritik baharu seperti Mana Sikana, Sahlan Mohd Saman, Muhammad Haji Salleh, Mohd Affandi Hassan, Ungku Maimunah Mohd Tahir, Salleh Yaapar, Rahman Shaari, Shafie Abu Bakar, Ramli Isin, Jaafar Abdul Rahim, Hamzah Hamdani, Rosnah Baharudin, Noriah Taslim dan ramai lagi menggamat dunia kritikan di Malaysia.Sementara itu, tokoh-tokoh kritikan yang muncul lebih awal seperti Usman Awang, A.Samad Said, Suhaimi Hj Muhammad, Kasim Ahmad dan Ali Ahmad terus memantapkan lagi perkembangan dalam era dengan lebih banyak karya kritikan yang dihasilkan.

Era pemantapan juga memperlihatkan kecenderungan para sarjana sastera Melayu menghasilkan teori dan pendekatan kritikan sendiri. Ini telah dimulai dengan Muhammad Hj Salleh yang telah memperkenalkan Puitika Melayu, kemudian diikuti oleh teori Persuratan Baru oleh Mohd Affandi Hassan, Pengkaedahan Melayu oleh Hashim Awang, teori Takmilah oleh Shafie Abu Bakar, teori Teksdealisme oleh Mana Sikana, Rasa-Fenomenologi oleh Sohaimi Abdul Aziz dan teori Pemikiran Strategik 4L oleh Mohd Yusof Hassan. Memasuki abad ke-21 muncul pula teori Konseptual Kata Kunci oleh Mohamad Mokhtar Hassan teori Anjakan Makna oleh Rahman Shaari dan teori Sastera Warisan oleh A.Wahab Ali. Perkembangan ini boleh dianggap sebagai sejarah baharu dalam dunia sastera Malaysia, khususnya genre kritikan. Tidak syak lagi kehadiran teori-teori dan pendekatan analisis teks telah membantu para pengkritik dan penulis meneroka teks-teks kesusasteraan Melayu dalam suasana kemelayuan dan keislaman. Tulisan-tulisan yang berbentuk teoretikal tentang teori dan pendekatan sastera telah banyak dihasilkan oleh para teoritis dan pengkritik. Tulisan-tulisan berkenaan terkumpul dalam kumpulan esei kritikan seperti buku Konsep dan pendekatan sastera, selenggaraan Hamzah Hamdani, Teori sastera dan budaya dalam kajian akademik, selenggaraan Mana Sikana, Kritikan Sastera Melayu: Pendekatsan dan pemikiran oleh Rahman Shaari, Kritikan kesusasteraan:teori dan penulisan oleh Hashim Awang, Penelitian sastera, metodologi dan penerapan teori, selenggaraan S. Jaafar Husin, Kritikan Karya Sastera: Keindahan Ragam-Ragam Bahasa oleh Lutfi Abas, Riak dan Gelombang, selenggaraan Ramli Isin, Pendekatan Kritikan Sastera di Malaysia dan Singapura oleh Mana Sikana, Ikhtisar Teori dan Kritikan di Barat dan Malaysia oleh Abdul Halim Ali dan banyak lagi.

Tuesday, July 13, 2010

PERKEMBANGAN KRITIKSAN SASTERA DI MALAYSIA

ERA SELEPAS KEMERDEKAAN

....sambungan catatan terdahulu.

Perkembangan genre kritikan dalam era selepas kemerdekaan ini adalah satu kelangsungan yang digagasi oleh ASAS 50 (logo, kanan) dalam era sebelum mereka. Dengan kemunculan pengkritik-pengkritik baharu dengan pelbagai pendekatan dan aliran telah mewarnai genre kritikan sastera Melayu pada era ini dengan wajah yang lebih berseri lagi. Di antara tokoh-tokoh kritikan yang penting dalam era ini ialah Kassim Ahmad, Baharuddin Zainal (Baha Zain), Shahnon Ahmad, Yahya Ismail, Ramli Isin, Umar Junus, Hashim Awang, Yahya Ismail dan ramai lagi. Ditambah pula dengan tokoh-tokoh kritikan dalam era sebelum merdeka yang terus meneguhkan komitmen mereka ialah Usman Awang, Asraf, Masuri SN, dan A.Samad Said. Mereka ini adalah golongan pengkritik yang berdisiplin, serius, dedikasi, produktif serta proaktif. Masing-masing mempunyai dan menguasai pendekatan-pendekatan kritikan yang tertentu mengikut fahaman dan kemahiran intektualnya.
Kassim Ahmad misalnya, sangat akrab dengan pendekatan sosiologi dengan ketebalan realismenya. Kasim lebih cenderung kepada soal kemasyarakatan. Kritikannya sangat kuat berpaut kepada isu kemiskinan, ketidakadilan sosial, kesamataraan dan pembelaan kaum buruh, petani dan golongan tertindas. Oleh itu, kritikannya sangat releven dengan karya-karya yang menyentuh isu-isu sedemikian. Kritikan beliau terhadap novel-novel Shahnon Ahmad dan sajak-sajak A.Latif Mohidin, Masuri S.N., A.Samad Said dan Usman Awang memperlihatkan kesegaran realisme dan sosialisme dalam pemikirannya.
Ramli Isin yang muncul dalam era ini dikatakan turut berpaut pada pendekatan sosiologi, tetapi tidak pula berpijak kepada realisme sebagaimana Kassim Ahmad. Kumpulan esei kritikan beliau banyak terkumpul dalam buku Riak dan Gelombang Sastera Melayu. Dengan mendalami dan menghayati tulisan Ramli ini, maka kita dapat menduga aliran yang Ramli anuti.
Perkembangan teori dan pendekatan analisis teks dari barat dalam tahun-tahun 1960an, khususnya pendekatan Struktural di Perancis dan teori Kritikan Baharu di Amerika Syarikat telah turut mempengaruhi pemikiran para penulis dan pengkritik Melayu di Malaysia waktu itu. Ada dalam kalangan pengkritik Melayu yang mengambil teori-teori dan pendekatan-pendekatan dari Barat ini sebagai pegangan dan landasan kritikan mereka. Yahya Ismail, Shahnon Ahmad dan Baha Zain, Mana Sikana, Ramli Isin dan Rahman Shaari misalnya sangat akrab dengan pendekatan Formalisme. Umar Junus rapat dengan Strukturalisme, Psikologi pula digemari oleh Hashim Awang dan Ali Ahmad dan ramai lagi dengan pelbagai pendekatan pula.
Jelasnya, perkembangan genre kritikan pada era selepas kemerdekaan, khususnya dalam tahun 1960-an dan 1970-an bertambah maju dan mula menampakkan wajahnya. Ada beberapa faktor yang mendorong hal ini berlaku, antaranya ialah:-

1. Kemunculan pengkritik baharu
2. Penerusan secara konsisten para pengkritik
ASAS 50
3. Penguasaan ilmu kritikan yang diperolehi di
universiti.
4. Pengkritik memiliki kelulusan tinggi.
5. Pengaruhi teori kritikan dan pendekatan dari
Barat
6. Berkembangnya ilmu kritikan di universiti.
7. Kerancakan penghasilan karya-karya sastera

Kritikan yang dilakukan oleh pengkritik sastera Melayu waktu ini tidak hanya terkhusus kepada karya-karya sastera kreatif seperti novel, cerpen atau sajak, tetapi turut melibatkan teks-teks Melayu tradisional seperti Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah. Pengguasaan teori dan pendekatan yang baik telah membantu kritikan-kritikan ini berjaya dilakukan dengan baik pula. Umar Junus misalnya telah meneliti secara kritis teks Sejarah Melayu menerusi pendekatan Stuktural. Demikian juga Hashim Awang yang mengamati teks Sejarah Melayu dari sudut psikoanalisis. Kassim Ahmad terkenal dengan penafsiran baru watak Hang Tuah dengan penelitiannya terhadap teks Hikayat Hang Tuah.

Sunday, July 11, 2010

PERKEMBANGAN KRITIKAN SASTERA DI MALAYSIA

ERA SELEPAS KEMERDEKAAN

Era ini merangkumi tahun-tahun 1960-an dan 1970-an. Dalam era ini, genre kritikan semakin bertambah rancak. Perkembangan ini ada kaitanya dengan aspek-aspek pertambahan pengkritik, keragaman pendekatan dan ketelitian penulisan (HashimAwang, 1988:107). Jumlah pengkritik telah bertambah dengan ramainya serentak dengan kemunculan begitu ramai golongan penulis baharu dalam bidang kreatif, khususnya yang berpendidikan tinggi. Ada di antaranya yang mendapat pendidikan khusus dalam bidang kritikan sastera di luar dan di dalam negara seperti Muhammad Haji Salleh (Foto), Kassim Ahmad,Ali dan Ali Ahmad. Mereka ini bukan hanya peminat sastera tetapi juga pelopor dan sarjana yang mendokong ilmu kritikan sebagai bidang pengajaran di universiti. Tulisan mereka lebih bersifat ilmiah, analitis berserta dokongan teori-teori sastera yang sememangnya mantap dan berkembang pesat pada waktu itu. Bentuk kritikan telah jauh meninggal tradisi dalam era sebelum kemerdekaan. Tulisan kritikan lebih berbentuk kritikan praktikal di samping kemajuan dalam kritikan teoretikal. Satu lagi sifat kritikan yang muncul ialah kritikan sastera yang bersifat subjektif dan tidak bersifat impresionis (Hashim Awang,1988:108).
Pada penghujung tahun 1970-an berlaku satu lagi polemik penting dalam sejarah perkembangan kritikan sastera Melayu di Malaysia (selepas polemik yang melib atkan Asraf dengan Hamzah Hussin)yang melibatkan pula Shahnon Ahmad dan Kasim Ahmad. Polemik ini berligar tentang konsep kesusasteraan Islam. Polemik ini menjadi faktor yang lebih mempercepatkan lagi kemunculan teori-teori sastera Melayu di Malaysia.

KEPADA PENGUNJUNG WILAYAH PERSEKUTUAN KUALA LUMPUR

Anda merupakan pengnjung bertuah iaitu pengunjung ke 10000 pada 12 Jul 2010. Sila berikan maklumat lengkap anda atau hubungi saya menerusi emel a.halim@upsi.edu.my untuk memiliki secara percuma dua naskah buku iaitu antologi puisi `Meraut Air Limppah` dan sebuah buku `Mendekati puisi Melayu tradisional`. Tahniah.

KRITIKAN SASTERA DI MALAYSIA

POLIMIK ASRAF DENGAN HAMZAH

Polemik sastera di antara Asraf dan Hamzah Hussin (foto, Kanan)turut merancakkan perkembangan genre

kritikan. Perselisihan pendapat dan perbezaan pandangan terhadap seni sastera telah mengheret kedua-dua tokoh ini ke dalam kancak perdebatan yang sangat kritis dan analitis. Buah fikiran yang diberikan sangat teoretikal dan bernas dengan idea-idea seni untuk seni dan seni untuk masyarakat.Tulisan-tulisan lebih menjuruskan kepada kritikan teoretikal tentang teori sastera dan keunggulan karya sastera. Polemik ini telah mewarnai perkembangan genre kritikan sastera Melayu pada waktu kemudiannya. Banyak tulisan tersebut disiarkan dalam majalah dan akhbar. Di antaranya ialah tulisan Asraf yang berjudul `Mencari pembaharuan dalam kesusasteraan Melayu` disiarkan dalam majalah Mastika keluaran Mei 1950. Usman Awang pula dengan kritikannya yang berkisarkan kepada isu sastera sebagai cermin masyarakat dan tempat pernyataan perasaan (Mana Sikana,1985:171). Usman mengecam karya sastera yang penuh dengan keindahan dan menganggapnya tidak bertanggungjawab. Bakhtiar Jamily pela membangkitkan pandangan kritisnya tentang sifat sastera yang seharusnya realitas dan sosialitas sifatnya. Bakhtiar juga semangat sosialismenya dengan beraani mengkritik kaum pemodal dan mengajak masyarakat menentangnya. `Awam -il Sarkam tidak terkecuali memberi kritikan terhadap sastera. Awam melontarkan idea sastera sebagai penghubung masyarakat, yang memberi manfaat kepada masyarakat dan bukannya suatu entity yang terasing dari kehidupan manusia.

Friday, July 9, 2010

KRITIKAN SASTERA DI MALAYSIA

....sambungan catatan lalu

ERA SEBELUM MERDEKA


Dalam tahun 1950-an, perkembangan kritikan makin rancak dengan kemunculan beberapa penulis dan pengkritik dari golongan ASAS 50. antara mereka yang penting sebagai tokoh kritikan ialah Asraf dan Hamzah (Hashim Awang,1988:104). Tokoh-tokoh lain yang turut terlibat ialah Usman Awang (foto, kanan bawah), Keris Mas (foto kiri), Abu Zaki Fadhil, A.Samad Ismail (foto, Kanan atas) dan Masuri S.N., Zubir Osman, Abdul Salam dan Awam-il Sarkam yang turut terlibat memberi pandangan dan penilaian terhadap karya-karya dan teori sastera, namun tulisan Asraf dan Hamzah lebih ke depan kerana terlibat secara langsung dalam polemik sastera yang berlaku pada tahun 1950-an.
Ada beberapa faktor yang turut mempengaruhi perkembangan genre kritikan ini, antaranya ialah pertumbuhan pesat persuratkhabaran dan majalah. Surat khabar dan majalah menjadi medan kepada para penulis dan pengkritik melahirkan buah fikiran dan pendapat tentang pelbagai isu. Faktor nasionalisme juga boleh dianggap sebagai turut membantu peerkembangan genre kritikan. Penulis dan pengkritik dalam masa yang sama adalah juga seorang pejuang kemerdekaan dan penentang penjajah. Suara-suara kritikan diluahkan menerusi tulisan dan karya kreatif. Sedikit demi sedikit, teknik dan penggunaan bahasa telah beralih dari beraliran romantis kepada aliran realisme, daripada bahasa indah dan puitisme kepada gaya bahasa patriotik dan mudah, ringkas serta denotatif.

Thursday, July 8, 2010

KRITIKAN SASTERA DI MALAYSIA: ERA SEBELUM MERDEKA

ERA SEBELUM MERDEKA

Ramai sarjana sastera Malaysia seperti Hashim Awang, Mana Sikana, Ismail Hussein, Kassim Ahmad dan Yahya Ismail menganggapkan bahawa tradisi kritikan sastera di Malaysia dalam pengertian modennya bermula dalam tahun 1950-an. Pandangan ini berasaskan kepada perkembangannya seiring dengan kemunculan generasi sasterawan tahun 50-an atau dengan nama ringkasnya ASAS 50. Hashim Awang meletakkan Aminuddin Baki sebagai seorang perintis kepada perkembangan kritikan Melayu moden. Tulisan Aminuddin Baki yang bersifat kritikan terhadap novel Korban Kesucian karya Keris Mas telah disiarkan dalam akhbar Utusan Zaman keluaran 12 Jun 1949 (Hashim Awang,1988:104).

Aminuddin Baki (foto)yang menulis kritikannya dengan judul `pandangan seorang penuntut tinggi kita tentang sebuah buku` menyorot secara formalistik novel Korban Kesucian dengan menyatakan bahawa temanya ialah soal masyarakat, plotnya seperti sungai mengalir dan dia mempertikaikan bahasa Keris Mas yang teradun dengan bahasa Inggeris sambil menjelaskan cara-cara yang sebaiknya memperkenalkan perwatakan (Mana Sikana,1985:168-169). Penelitian Aminuddin yang bersifat struktural ini boleh dianggap sebagai satu contoh kritikan praktikal yang bermutu hasilnya pada waktu itu. Aminuddin telah menjangkau sempadan teoretikal dan analitis dengan mengaplikasikan pendekatan formalistik atau struktural dan kritikannya.
Tulisan Aminuddin, telah membawa genre kritikan sastera Melayu ke tahap yang lebih baik dan meninggal jauh tradisi awal yang dicetuskan oleh Mohd Yusuf Ahmad, Kabhaa, Lebai Ketayap dan Begawan Nurda. Dengan perkembangan ini, genre kritikan sastera Melayu melangkah ke era baharu dengan sifat keperibadian yang lebih mantap.

Wednesday, July 7, 2010

PERKEMBANGAN KRITIKAN SASTERA DI MALAYSIA



Era Sebelum Perang Dunia Kedua

....Sambungan catatan lalu

Menurut Hashim Awang (1988), tulisan kritikan dalam era ini juga lebih bersifat objektif dengan penilaian-penilaian yang dangkal. Sifat kritikan pada tahap ini membayangkan tahap permulaan genre kritikan di Tanah Melayu yang boleh disifatkan sangat baharu dan sangat kekurangan ilmu. Para pengkritik yang mengkritik rata-ratanya adalah golongan wartawan dan penulis yang berkerja secara sambilan. Oleh itu, kritikan yang dilakukan tidak menggambarkan mutu analitik sebagaimana sifat dan bentuk karya kritikan sastera yang difahami hari ini.
Terdapat juga beberapa tulisan yang membicarakan cerpen-cerpen Ishak Hj Muhammad dan Abdul Rahim Kajai dan ternyata tulisan-tulisan itu bercorak sanjungan dan lebih awal dari itu tulisan Keris Mas tentang Sejarah Melayu sendiri (Mana Sikana,1985:169). Haluan tulisan tidak mencerminkan satu pemikiran yang merdeka terhadap teks, sebalik secara objektif ianya terikat kepada dasar emosi penulis itu sendiri, sehingga tulisan itu kelihatan mendatar sifatnya. Namun, sebagai penanda kepada permulaan perkembangannya, tulisan kritikan yang dihasilkan itu, boleh diiktiraf sebagai mempunyai nilai dan roh kritikan sebagaimana yang difahami hari ini, sesuai dengan zamannya. Tujuan kritikannya pula lebih cenderung kepada usaha untuk mengukuhkan pemahaman terhadap pergolakan yang berlaku khususnya yang menyentuh soal-soal politik, ekonomi dan kehidupannya.

Tuesday, July 6, 2010

PERKEMBANGAN KRITIKAN SASTERA DI MALAYSIA

Perkembangan Dalam Era Sebelum Perang Dunia Kedua

Era sebelum Perang Dunia Kedua merangkumi tahun-tahun 1930-an hingga tahun 1940 dan 1941. Kritikan dalam era ini lahir mula membentuk tradisinya bersama-sama dengan perkembangan penulisan cerpen yang pesat berlaku ketika itu. Penulisan kritikan wujud secara kecil-kecilan dan tidak mencapai tahap kritikan yang bermutu.
Beberapa kritikan yang muncul ketika itu ialah hasil tulisan Keris Melayu (1935) yang berjudul Tun Seri Lanang dan Abdullah Munsyi yang tersiar dalam Majalah Guru pada 1 Julai 1935. Mohd Yusuf Ahmad juga menulis kritikan berasaskan karya Abdullah Munsyi. Kritikan beliau berjudul Kita dengan Abdullah Munsyi disiarkan dalam akhbar Majlis pada 22 Ogos 1935. Kabhaa pula menghasilkan kritikan yang berjudul Anak Negeri dengan Munsyi Abdullah yang diterbitkan dalam akhbar Majlis pada 3 September 1935. Tokoh-tokoh lain yang dikira turut memulakan tradisi ini ialah Lebai Ketayap, Begawan Nurda dan Aminuddin Baki. Tulisan kritikan Lebai Ketayap lebih bersifat semborono dan kecaman (Mana Sikana,1985:168). Di antara contoh tulisan Lebai Ketayap yang mempunyai suara kritikan ialah “tuan belum layak ditempatkan di antara wartawan-wartawan, tuan tidak mengusul periksa lebih dahulu, tuan tidak berfikir dan timbang lebih lanjut…”. Berdasarkan tulisan ini, kritikan Lebai Ketayap bersifat impresionistik kerana banyak memuatkan perasaannya secara emosional dan berlebihan dalam kritikannya. Demikian juga dengan tulisan Begawan Nurda yang mengecam Shamsuddin Salleh kerana kesalahan fakta dalam Cermin Hidup (Mana Sikana,1988:11).

Monday, July 5, 2010

KRITIKAN SASTERA DI MALAYSIA: FAKTOR PENYUMBANG


Perkembangan terkini kritikan sastera di Malaysia sangat relatif kepada beberapa perkembangan baharu seperti kemunculan teori sastera Melayu, kemunculan lebih ramai tokoh pengkritik sastera, kerancakan kegiatan penulisan kritikan dan kerancakan aktiviti wacana teori. Perkembangan ini telah membuka lembaran baharu bidang kritikan sastera Melayu di negara ini. Setelah melalui tiga tahap perkembangan, usia sejarah kritikan sastera Melayu (jika diambil kira tahun 1935) kini melebihi 70 tahun. Usia ini menggambarkan kesediaan kritikan sastera Melayu memasuki era pemantapan yang akan menceriakan daerah kematangannya pada masa-masa hadapan.
Selain daripada beberapa perpembangan yang disebutkan, kesedaran Islam juga menjadi satu faktor penting yang mempengaruhi kegiatan kritikan sastera di Malaysia. Para pengkritik yang mempunyai asas agama yang kuat lebih cenderung menggunakan teori-teori sastera berteraskan agama untuk melakukan kritikan. Contohnya Shafie Abu Bakar, Mohd Affandi Hassan dan S.Othman Kelantan. Selain itu, terdapat juga tokoh-tokoh kritik wanita seperti Ungku Maimunah Tahir (Foto, kanan di atas), Samsina Abdul Rahman dan Noriuah Taslim yang memanfaatkan pendekatan tauhid dalam kritikan sastera.

Sunday, July 4, 2010

KRITIKAN SASTERA DI MALAYSIA : PENGENALAN AWAL


Bidang kritikan sastera di Malaysia tidak bergerak seiring dengan bidang sastera yang lain. Menurut Kassim Ahmad (Foto), kritikan di Malaysia bermula pada tahun 1950-an (Rahman Shaari,1988:1). Berasaskan pandangan Kassim, ternyata, bidang kritikan muncul 30 tahun terkemudian berbanding dengan perkembangan penciptaan karya kreatif yang sudah bermula pada tahun-tahun 1920-an lagi.Wong Seng Tong (1973) pula berpendapat, kritikan sastera di Malaysia bermula pada tahun 1935 dengan merujuk kepada tulisan Keris Melayu. Pendapat Wong Seng Tong dan Kassim Ahmad masih boleh dibahaskan, kerana terdapat jutga pandangan-=opandangan lain yang dikemukakan oleh sarjana Melayu seperti Hashim Awang, Ungku Maimunah Tahir.
Pandangan Hashim Awang dan Ungku Maimunah (dalam Rahman Shaari,1988:7) terhadap ruang yang boleh diguna pakai bagi menjelaskan sebaik mungkin jenis-jenis tulisan yang pernah dihasilkan oleh tokoh-tokoh sastera Melayu pada awal abad ke-20 yang boleh dikategorikan sebagai kritikan. Sebagai satu bidang baharu di negara ini, kritikan sastera bergerak agak perlahan berbanding sastera kreatif, namun demikian, menurut Hashim Awang, perkembangan itu tetap bertenaga untuk melahirkan riak gelombang yang dapat membentuk tahap-tahap khusus dengan penonjolan ciri-ciri tersendiri (Hashim Awang,1997:102).
Berpandukan kepada tulisan Hashim Awang (1997), kritikan sastera Melayu dapat ditelusuri kepada tiga, tahap yang penting iaitu tahap sebelum perang Dunia Kedua, tahap sebelum kemerdekaan dan tahap zaman kemerdekaan. Pembahagian tiga tahap perkembangan ini tidaklah mutlak sifatnya, kerana perkembangan terkini bidang kritikan sastera ini sentiasa relatif kepada perkembangan-perkembangan terbaharu dalam sastera negara. Berasaskan kepada perkembangan baharu dalam bidang kritikan sastera Melayu di Malaysia boleh dibahagiakan kepada empat era perkembangan, iaitu era sebelum perang dunia kedua, era sebelum merdeka, era selepas kemerdekaan dan era pemantapan.

KRITIKAN SASTERA DI MALAYSIA

Saya telah membincangkan sejarah dan perkembangan kritikan sastera di Barat, termasuk pendekatan kritik berasaskan teori-teori kritikan sastera Barat. Untuk catatan baharu bagi mbeberapa siri akan datang dalam blog ini akan dibincangkan pula Sejarah dan perkembangan kritikan sastera di Malaysia, termasuklah pendekatan kritikan menggunakan teori-teori sastera mandiri (teori-teori yang dibina atau dijana sendiri olreh sarjana Melayu di Malaysia).