SELAYANG PANDANG

Selamat datang kepada pengunjung peminat dan penggiat kesusasteraan, khususnya yang berminat dalam bidang teori, kritikan dan penulisan puisi ke blog Teori dan Kritikan Sastera. Blog ini menyediakan maklumat akademik berkaitan sejarah dan perkembangan bidang ilmu teori dan kritikan sastera di Barat dan di Malaysia. Selain itu, terdapat juga sisipan puisi, peribahasa dan pelbagai informasi tentang kegiatan kesusasteraan tanah air. Anda juga boleh kunjungi laman blog puisi saya di http://anjungpuisi.blogspot.com/ Semoga ilmu yang dikongsi dalam blog ini dapat memanfaatkan perkembangan ilmu saudara/i ke arah memahami dan mengenali kebesaran dan keluasan ilmu Allah SWT. - a.halim ali

Thursday, June 24, 2010

TEORI DALAM BIDANG ILMU LAIN

Terdapat persoalan yang lazim dipertanyakan kepada saya, bolehkah teori-teori yang terdapat dalam bidang ilmu lain seperti agama, politik, pengurusan, geografi dan lain-lain digunakan dalam kritikan sastera. Jawapan saya, boleh. Asalkan teori-teori tersebut sesuai dengan fenomena yang ingin kita kritik, fenomena yang yang ingin dikaji. Satu perkara yang perlu diketahui oleh pengkritik ialah, ilmu sastera merentas, mendokong, memancarkan dan mengungkap segala bidang ilmu.Kita biasa dengan sub-sub bidang dalam kajian ilmu kesusasteraan seperti sastera agama, sastera sejarah, sosiologi sastera dan lain-lain.Dalam teks-teks kesusasteraan pula terungkap pelbagai perkara yang meliputi segala aspek kehidupan baik ekonomi, persekitaran, perniagaan, sistem keluarga, agama, budaya, bahasa, pendidikan dan lain-lain. Kerana itu, jika terdapat teori dalam bidang ilmu apapun apa pun, jika ianya sesuai maka boleh digunakan. Saya turunkan contoh berikut, sekiranya pengktitik ingin memahami gelagat pengurusan persatuan penulis, agensi yang mengendalikan urusan sastera, maka wajar pengkritik mendalami teori-teori pengurusan. Demikian juga sekiranya pengkritik ingin memahami aspek kauseling dan psikologi, tentu ia wajar memahami teori-teori tentang kaunseling itu. Dalam sastera terdapat teori-teori berasaskan psikologi seperti yang dikemukakan oleh Sigmund Frued, Curl Jung, Harold Bloom dan Lacan yang juga berkait rapat dengan bidang psikologi dan kaunseling. Maka ia sesuai digunakan.

Tuesday, June 22, 2010

PENDEKATAN KRITIK BERASASKAN TEORI MARXISME


Seperti yang disebutkan sebelum ini bahawa teori Marxisme muncul bukannya disebabkan fenomena-fenomena kesusasteraan, sebaliknya lebih disebabkan oleh fenomena-fenomena sosial yang berkait dengan pertentangan kelas dalam sistem ekonomi, kekuasaan dan pengaruh politik. Walau bagaimanapun, fenomen-fenomena sosial ini juga berkait rapat dengan kesusasteraan. Marxisme meletakkan kesusasteraan dalam struktur yang tinggi dalam sisitem sosial. Realiti dalam teks sebenarnya adalah cerminan daripada realiti dalam masyarakat.
Ahli kritik sastera melihat, ruang sosial dan ekonomi yang dibincangkan oleh teori Marxisme membuka ruang yang luas untuk memahami fenomena tentang isu-isu sosial seperti kemiskinan, setinggan, buruh, perebutan kuasa, penindasan, kezaliman dan lain-lain dalam teks kesusasteraan. Oleh kerana itu, untuk memahami fenomena ini, pengkritik lazimnya menggunakan dasar-dasar teori Marxisme mengkritik teks.
Terdapat beberapa model kritik berasaskan teori Marxisme seperti model pencerminan, model berpusatkan bahasa, model pengetahuan negatif, model genetik dan model penerbitan. Pengkritik boleh menggunakan model-model ini untuk mengkritik teks kesusasteraan sesuai dengan tema dan kandungan teks tersebut. Misalnya pengkritik boileh menggunakan model Pencerminan seperti yang dikemukakan oleh George Lukaas bagi memahami perkaitan bentuk realiti di dalam novel Shit karya Shahnon Ahmad dengan realiti politik dalam negara era pertembungan Mahathir-Anwar Ibrahim. Atau menggunakan teks yang sama untuk memahami konsep `pandangan dunia` (world view) berasaskan model Genetik seperti yang dikemukakan oleh Lucien Goldman.