SELAYANG PANDANG

Selamat datang kepada pengunjung peminat dan penggiat kesusasteraan, khususnya yang berminat dalam bidang teori, kritikan dan penulisan puisi ke blog Teori dan Kritikan Sastera. Blog ini menyediakan maklumat akademik berkaitan sejarah dan perkembangan bidang ilmu teori dan kritikan sastera di Barat dan di Malaysia. Selain itu, terdapat juga sisipan puisi, peribahasa dan pelbagai informasi tentang kegiatan kesusasteraan tanah air. Anda juga boleh kunjungi laman blog puisi saya di http://anjungpuisi.blogspot.com/ Semoga ilmu yang dikongsi dalam blog ini dapat memanfaatkan perkembangan ilmu saudara/i ke arah memahami dan mengenali kebesaran dan keluasan ilmu Allah SWT. - a.halim ali

Monday, May 24, 2010

PENDEKATAN FEMINISME

Dalam kajian sastera, pendekatan Feminisme bertujuan untuk memahami peranan, kedudukan dan keterlibatan wanita dalam kesusasteraan. Pendekatan ini bersandarkan kepada idea-idea Feminisme yang berkisar kepada kedudukan wanita sebagai pengkritik, penulis dan juga sebagai watak-watak dalam teks.
Terdapat banyak jenis kritikan Feminisme, antaranya kritikan Feminis Psikoanalitik, kritikan Feminis Lesbian, kritikan Feminis ideologi, kritikan ginokritik, kritikan feminis ras dan kritikan Feminis sosialisme. Cara dan kaedah memahami dan mendekati sesuatu persoalan wanita itu menjadi pendekatannya juga berbeza-beza.
Kritikan Feminis Psikoanalitik timbul kerana penentangan terhadap idea Frued dan Lacan. Kritikan Feminis ras timbul akibat penentangan terhadap penindasan ras khususnya akibat perbezaan warna kulit hitam dan putih.
Tokoh-tokoh wanita seperti Mary Ellman, Elaine Showalter, Cixious, Julia Kristive bangkit bagi menunjukkan bahawa wanita tidak selemah yang ditanggapi oleh golongan lelaki dan mereka berusaha menampilkan dan menolongkan kelebihan dan kehebatan feminisme sebagai mempunyai peranan dan kedudukan yang sama dalam masyarakat.
Dalam banyak-banyak kritikan Feminisme, kritikan ginokritik yang dipopularkan oleh Elaine Showwalter merupakan pendekatan kritik Feminisme yang amat popular. Kritikan ini menyusuri peranan wanita sebagai pembaca (women as reader and consumer) dan wanita sebagai penulis (women as writer).
Pendekatan kritikan melihat wanita sebagai pembaca berusaha untuk membolehkan wanita memahami imej atau citraan wanita dalam teks-teks yang ditulis oleh penulis lelaki. Dari situ wanita boleh mengkaji dan membetulkan imej-imej wanita yang tidak benar sebagaimana yang ditulis oleh penulis lelaki.
Pendekatan kritik yang melihat wanita sebagai penulis pula disebut sebagai ginokritik. Pendekatan ini melihat wanita sebagai sumber yang menerbitkan makna teks. Penulis wanita harusnya memiliki suatu rangka kerja bersistematik untuk mengemukakan imej-imej, perwatakan dan perjuangan yang boleh mencabar dan menentang serta merobohkan apa yang sudah dikonsepsikan oleh kaum lelaki sebelum ini (Mana Sikana,2005:289).

PENDEKATAN SEMIOTIK

Pendekatan Semiotik merupakan salah satu kritikan yang penting dan popular dalam bidang bahasa dan kesusasteraan. Pendekatan ini kritik ini menggunakan prinsip-prinsip teori Semiotik sebagaiamana yang yang dikemukakan oleh beberapa orang tokoh seperti Fredinand de Saussure, Sander Pierce, Micheal Riffaterre, Umbarto Eco, Jurij Lotman dan lain-lain.
Pendekatan ini menitikberatkan soal kebahasaan dengan penumpuan kepada mencari dan memahmi makna menerusi sistem lambang (sign) dan perlambangan dalam teks. Asas kepada kritikan ini ialah kepercayaan bahawa makna bahasa ditandai dengan sistem lambang dan perlambangan. Lambang dan perlambangan ini pula mempunyai hubungan dengan psikologi manusia dalam sesebuah masyarakat. Makna dalam teks dapat difahami dengan mentafsir lambang dan perlambangan yang hadir dalam teks dan dihubungkan pula dengan penerimaan umum dalam sesebuah masyarakat.
Semiotik mungkin bermula awal iaitu semenjak zaman Plato lagi. Namun, untuk beberapa tempoh waktu, ianya tidak dipentingkan terutamanya dalam era penolakan epistimologi teori ini. Walau bagaimanapun, selepas kurun ke-17, Semiotik muncul semula dengan lebih bertenaga. Beberapa cadangan supaya kajian secara mendalam tentang bahasa yang lebih sistematik perlu diwujudkan telah disuarakan oleh ramai pemikir falsafah seperti Ferdinand de Saussure dan Charles Sander Peirce.
Istilah Semiotik telah digunakan oleh Charles Sander Peirce untuk merujuk kepada satu cabang autonomous sains. Peirce boleh dianggap sebagai seorang pemula Semiotik. Beliau membezakan tiga jenis lambang iaitu ikonik, indekisal dan simbolik (Terry Eagleton,1993:111). Di antara Peirce dan Saussure ada perbezaan yang jelas dalam penekanan terhadap lambang ini. Saussure merujuk lambang secara wewenang kepada penandanya.
Pengasas utama pendekatan Semiotik dalam kajian kesusasteraan ialah Jurij M. Lotman yang menulis kertas kerja dalam buku mengenai teori dan metodologi Semiotik (Mana Sikana,1990:18). Pendekatan ini tumbuh dan berkembang di Barat pada sekitar tahun-tahun awal kurun ke 20. Tokoh-tokoh penting di belakang Semiotik ialah Saussure, Peirce, Lotman, Jonathan Culler, Micheal Riffaterre dan lain-lain lagi. Walau bagaimanapun setiap tokoh ini mempunyai pandangan yan berbeza terhadap konsep lambang dan perlambangan, meskipun asas teorinya sama iaitu memahami makna berasaskan sistem lambang dan perlambangan. Oleh kerana itu, pengkritik yang ingin menggunakan pendekatan ini harus terlebih dahulu memahami idea Semiotik tokoh-tokoh ini.

Wednesday, May 19, 2010

PENDEKATAN FENOMENOLOGI


Pendekatan Fenomenologi merupakan salah satu kaedah kritik teks berasas idea falsafah batiniah. Pendekatan ini menggunakan idea-idea teori Fenomenologi yang pernah dipopularkan oleh ahli falsafah German iaitu Edmund Husserl (Foto kanan).
Edmund Husserl berusaha membina suatu kaedah falsafah bagi menjelaskan kepastian mutlak yang boleh dicapai dan dirasai dalam diri manusia. Idea ini dikemukakan setelah Edmund Husserl mendapati masyarakat Eropah sudah hilang keyakinan terhadap kehidupan akibat krisis tamadun kebendaan yang melanda masyarakat Eropah akibat daripada merebakannya modenisme. Husserl percaya bahawa keyakinan diri terhadap kehiduopan masih dapat dicapai oleh manusia dengan cara berfenomenologi.
Untuk mencapai keyakinan yang murni dan hakiki itu, teori Fenomenologi mencadangkan agar dilakukan pembersihan minda manusia daripada gangguan fenomenoma-fenomena yang sedia ada. Minda manusia menstilah dikosongkan dengan cara melakukan reduksi, yakni meletakkan fenomenologi yang sedia ada dalam minda `di luar minda`, sementara waktu. Langkah seterusnya barulah menyediakan ruang transedental untuk membolehkan fenomena-fenomena yang murni masuk ke dalam minda. Dalam hubungan antara fenomena sejati dengan minda yang bersifat transendental itu, manusia dapat mengamati dan menikmati fenomena-fenoma yang sejati itu tanpa ada `gangguan` atau unsur-unsur luar kerana minda manusia sudah bersih dan kosong daripada fenomena-fenomena sedia ada.
Pendekatan ini sedikit sebanyak dipengaruhi formalis Rusia. Sebagaimana Fomalistik Rusia menolak objek sebenar untuk mengetahui sesuatu, demikian juga dengan Fenomenologi ini. Ia menolak pengaruh dan peranan unsur lain di luar diri manusia sebagai faktor yang menentukan makna, sebaliknya makna itu dapat dicari dan difahami atas potensi kendiri.
Pendekatan ini sangat sesuai untuk memahami pengalaman estetik pembaca terhadap sesebuah karya kesusasteraan. Pendekatan ini juga sesuai dilakanakan dalam bentuk eksperimen bagi memahami tanggapan dan pengalaman estetik pembaca ketika membaca teks.
Pendekatan ini tidak begitu terkenal, tetapi ada pengaruhnya yang besar dalam aliran kritikan Geneva terutama dalam era tahun 1940-an hingga 1950-an. Beberapa tokoh kritikan yang penting waktu itu ialah Georges Poulet dari Belgium, Jean Pierre Richard dari Perancis, Jean Starobinki dan Jean Rousset dari Swiss, Emil Staiger dan J.Hillis Miller dari Amerika Syarikat (Terry Eagleton,1983:65).
Pendekatan Fenomenologi menjelaskan bahawa kesedaran tidak hanya dapat dicapai secara empiri tetapi juga bersifat transendental. Transendental diletakkan pada tempat yang paling tinggi, kerana di sana dikatakan sebagai sumber dan asal usul bagi segala makna. Oleh itu dalam kritikan sastera, sesebuah karya dan pengkaryanya tidak begitu dipentingkan. Yang dipentingkan ialah penbacaan teks secara rohaniah yang sama sekali tidak dipengaruhi oleh unsur-unsur di luar dirinya.
Teks adalah satu wadah yang tulin untuk kesedaran pengkarya. Aspek gaya dan semantik dianggap sebagai sebahagian daripada organik dari satu keseluruhan yang kompleks, sementara akal budi pengkarya menjadi dasar yang melengkapinya. Kesebenaran tidak boleh dilihat kepada keadaan luaran pengkarya, tetapi sebaliknya harus dilihat sebagaimana kesedaran yang wujud di dalam teks. Oleh itu, pengkritik harus melakukan penerjunan langsung ke dalam teks untuk melakukan penginterpetasian.
Menurut Husserl, bahasa sesebuah karya sastera adalah merupakan lebih daripada suatu ekpresi makan dalaman. Oleh yang demikian, bahasa tidak mendapat tempat yang tinggi dalam pendekatan ini. Fenomenologi menekankan kepada tindakan melihat sesuatu fenomena sebagai hal universal, bebas dan tidak terikat kepada bahasa. Dalam erti kata lain, bahasa hanya pemberi makna kepada makna yang dikeluarkan dari dalaman diri.

Thursday, May 6, 2010

PENDEKATAN SOSIOLOGI

Pendekatan Sosiologi dalam kritikan sastera ialah satu kaedah kritikan yang menggunakan prinsip-prinsip teori Sosiologi. Sosiologi merupakan salah satu bidang sains sosial. Walaupun Sosiologi bersumberkan bidang sains sosial, namun ia tetap mempunyai hubungkait dengan kesusasteraan. Sosiologi berkait rapat dengan aspek sejarah sebagaimana yang dibincangkan dalam pendekatan Historikal sebelum ini. Sosiologi melibatkan pelbagai perkara yang melibatkan latar sosial masyarakat baik di dalam teks mahupun di luar teks. Aspek-aspek yang menjadi teras kemanusiaan dan kemasyarakatan seperti ekonomi, politik, budaya dan etika sosial akan turut dilihat sebagai unsur-unsur penting yang mempengaruhi kepengarangan dan latar tekstual karya..
Falsafah pemikiran Auguste Comte (1798-1875) yang meletakkan sosiologi sebagai ilmu yang tertinggi dan patut dipelajari, maka kritikan sastera dan penulisan teksnya juga turut dipengaruhinya. Pemikiran Auguste Comte telah mendapat sambutan yang hangat dan turut mempegaruhi pemikiran ahli falsafah Inggeris John Staurt Mill. Lanjutan daripada permikiran inilah maka berkembangnya pengaruh positivisme dan aliran realisme dalam kesusasteraan Perancis dan Barat (Abdul Halim Ali,1998:4).
Secara ringkas, pendekatan ini memberi penekanan kepada aspek aspek-aspek sosial tentang bagaimana seseorang rakyat atau individu itu seharusnya menjadi anggota masyarakat yang berguna, bertanggungjawab demi kepentingan masyarakat umumnya. Dalam hal ini, pendekatan Sosiologi tidak dapat lari dari turut membicarakan tentang pengkarya. Aspek sosiologi pengkarya akan diteliti sama. Sebelum memasuki perbicaraan intrinsik karya, riwayat hidup pengarang termasuk tempat lahir, sosiolisasi, pendidikan, alam sekitar, status sosial, nilai-nilai kehidupan dan sebagainya hendaklah ditinjau terlebih dahulu (Mana Sikana, 1983:110).
Menggunakan teori Sosiologi dalam kritikan kesusasteraan mengkehendaki pengkritik mendalam ilmu sosiologi. Pengkritik perlu mahir mengenalpasti aspek-aspek sosiologi yang berkait dengan teks dan pengkarya di samping mampu menghubungkan sosiologi itu dengan kesusasteraan.

Sunday, May 2, 2010

PENDEKATAN PSIKOANALISIS

Pendekatan ini berasaskan idea pemikiran bawah sedar daripada teori Psokoanalisis. Pendekatan kritikan berasaskan idea Psikoanalisis bertujuan mengamati teks-teks kesusasteraan dengan cara menghubungkannya dengan aspek kejiwaan dan pemikiran bawah sedar.
Beberapa orang pemikir yang memberi perhatian dalam aspek kejiwaan ini ialah Sigmun Freud, Jung, Adler, Brill dan lain lagi (Mana Sikana,1983:118). Frued misalnya sangat terkenal dengan id, ego dan super-ego. Kesemua ini menurut Frued mempunyai tugasnya yang tersendiri. id misalnya sentiasa mendorong kepada keseronokan, kejayaan dan kehendak naluri. ego pula berperanan mententeramkan id, super ego berfungsi sebagai pelindung dari sebarang perkara yang cuba meruntuhkan prinsip-prinsip kemanusiaan, sosial moral dan sebagainya.
Selain Frued, kritikan berasaskan idea Psikoanalisis juga boleh bersandarkan pada idea tipa induk oleh Curl Jung, kepengaruh oleh Harold Bloom dan struktur bahasa dalam pemikiran bawah sedar oleh Jacques Lacan.
Pendekatan kritikan psikoanalisis telah melahirkan beberapa tanggapan yang berkait langsung dengan proses kepengkaryaan, seperti aliran kesedaran (conscious) dan separuh sedar (subconscious). Pengkarya dikatakan mendapat ilham secara separuh sedar, kemudian dia akan menggunakan ilham itu untuk berkarya. Sewaktu berkarya pengkarya berada dalam sedar. Sesuatu karya akan dianggap baik jika sekiranya dalam waktu subconscious pengkaarya dapat melukiskan apa-apa yang tergambar sewaktu dia mengalami subconscious itu.
Pendekatan Psikoanalisis sangat sesuai diterapkan terhadap teks dan juga pengarang. Aspek kejiwaan watak-watak dalam teks dapat ditelusuri dengan baik terutama watak-watak yang mengalami tekanan jiwa. Selain watak dalam teks, pendekatan inmi juga dapat digunakan untuk menyelusuri proses kepengkaryaan pengarang dalam menghasilkan karya.