SELAYANG PANDANG

Selamat datang kepada pengunjung peminat dan penggiat kesusasteraan, khususnya yang berminat dalam bidang teori, kritikan dan penulisan puisi ke blog Teori dan Kritikan Sastera. Blog ini menyediakan maklumat akademik berkaitan sejarah dan perkembangan bidang ilmu teori dan kritikan sastera di Barat dan di Malaysia. Selain itu, terdapat juga sisipan puisi, peribahasa dan pelbagai informasi tentang kegiatan kesusasteraan tanah air. Anda juga boleh kunjungi laman blog puisi saya di http://anjungpuisi.blogspot.com/ Semoga ilmu yang dikongsi dalam blog ini dapat memanfaatkan perkembangan ilmu saudara/i ke arah memahami dan mengenali kebesaran dan keluasan ilmu Allah SWT. - a.halim ali

Thursday, September 10, 2009

TEORI FORMALISME RUSIA

Teori ini diasaskan pada tahun 1915 oleh Golongan Linguistik Moskow (Moscow Linguistic Circle) dan Persatuan Pengajian Bahasa Puitis dalam bahasa Rusia dari Petersburg atau ringkasnya disebut Opojaz. Tokoh terkenal dari kumpulan Linguistik Moskow ialah Roman Jakobson, manakala tokoh-tokoh penting dari kumpulan Opojaz ialah Viktor Shklovsky dan Boris Ejxenbaum. Pada asalnya, kumpulan-kumpulan ini hanya kumpulan kecil perbincangan dalam kalangan tokoh-tokoh muda filologi dan mereka juga dikenali sebagai kumpulan tokoh-tokoh penting bidang linguistik (Hashim Awang,1997:78). Mereka mendapat dorongan daripada golongan Futuris yang pada waktu itu menentang budaya seni yang didokong oleh golongan Simbolisme (Raman Selden & Peter Widdowson,1997:30). Selain dorongan daripada golongan Futuris, tulisan Victor Shklovsky yang diterbitkan pada tahun 1914 di St. Peterburg turut menyumbang kepada pembentukan Formalisme. Tulisan Shklovsky antara lain menyebutkan:-

`sekarang seni kuno telah mati, sementara seni baru belum lahir… hanya kreasi bentuk-bentuk artistik baru yang dapat memulihkan kesedaran manusia terhadap dunia, membangkitkan semangat dan membunuh pesimisme`

(Fokkema D.W. & Elrud Kunne-Ibsch,1998:13)

Golongan Opojaz sebenarnya adalah hasil gabungan dua kumpulan yang berbeza, iaitu kumpulan pelajar-pelajar yang mahir dari sekolah atau mazhab Boudouin de Courtenay dengan tokoh-tokoh pentingnya seperti Lev Jakubinskij dan E.D. Polivanov. Kumpulan kedua terdiri daripada ahli-ahli teori sastera yang secara langsung menumpukan perhatian kepada bidang kesusasteraan. Tokoh-tokoh penting dalam kumpulan kedua ini ialah Viktor Shklovsky, Boris Ejxembaum dan S.I.Berntein (Hashim Awang,1997:79). Bidang tumpuan kumpulan kedua lebih kepada kaji puisi, khususnya tokoh pentingnya iaitu Ejxenbaum yang sangat berminat dengan ciri-ciri bahasa puitis.
Idealisme Formalisme bertitik tolak daripada pandangan Shklovsky terhadap kesusasteraan. Shklovsky memahami kesusasteraan sebagai penjumlahan daripada alat stilistik yang digunakan di dalamnya (Raman Selden & Peter Widdowson,1997:31). Pandangan awal Shklovsky ini memberi gambaran jelas asas pemikiran yang berkembang dalam Formalisme kemudiannya.
Idea awal Formalisme bermula di tangan Shklovsky yang menulis esei berjudul Art as Technique. Idea ini berkembang di Rusia kemudiannya dan dalam tulisan itu beliau mengemukakan konsep `defamiliarization` sebagai kunci bidangnya (Philip Rice & Patricia Waugh,1996:17). Pada tahun 1924, idea ini mendapat kritikan daripada Trotsky sebagaimana yang termuat dalam Literature and Revolution. Idea Formalisme ini berkembang pesat di Praha, Cekoslovakia, terutama daripada kelompok Linguistik Prague. Praha pada penghujung tahun 1920-an menjadi pusat pengajian ilmu sastera yang penting.
Penghujung tahun-tahun 1920-an hingga ke tahun 1930, perkembangan teori ini mula pudar akibat tekanan politik Rusia. Menurut Fokkema D.W. & Elrud Kunne-Ibsch (1998), kebangkitan Nazi telah memaksa ramai ilmuan meninggalkan Cekoslovakia dan mereka yang tinggal disekat dari bersuara. Campur tangan dan tekanan politik Nazisme telah memaksa ramai pendokong Formalisme meninggalkan Cekoslovakia, termasuklah tokoh pentingnya iaitu Rene Wellek dan Roman Jakobson yang berpindah ke Amerika Syarikat.
Penghijrahan ramai tokoh Formalisme ke Amerika Syarikat dan Eropah tidak melenyapkan idea-idea Formalisme, malah idea-idea itu kemudiannya dikembangkan dan menjadi asas kepada kemunculan teori-teori sastera lain di Eropah atau di Amerika. Hampir setiap aliran baharu teoretikal sastera di Eropah berpandukan kepada tradisi `Formalisme` yang menekankan kecenderungan yang berbeza-beza dalam tradisi itu dan cuba menetapkan interpertasinya sendiri mengenai Formalisme sebagai satu-satunya yang benar (Fokkema D.W. & Elrud Kunne-Ibsch,1998:15).
Formalisme mendokong falsafah seni untuk seni dengan prinsip teorinya `keunggulan teknik dan kejelian seni`. Menurut Boris Ejxenbaum, kaedahnya selalu dipanggil formalist, tetapi yang sebenarnya dia lebih suka kaedah itu dipanggil morfologi (Hashim Awang,1997:80). Dalam masa yang sama, Ejxenbaum lebih selesa dirinya dinamakan sebagai `specifiers`. Konsep morfologi dan specifiers bagi Ejxenbaum lebih tepat bagi menjelaskan penekanan dua perkara yang berkait rapat dengan hukum-hukum Formalisme Rusia iaitu, penekanan kepada karya sastera dan bahagian-bahagian yang membangunkannya; kedua, penekanan kepada kewibawaan autonomis pengkajian sastera (Hashim Awang,1997: 80).
Formalisme merupakan salah satu percubaan bersistem paling awal untuk meletakkan pengajian kesusasteraan pada suatu wadah yang berasingan dan menjadikan pengajian kesusasteraan suatu disiplin ilmu yang bebas dan khusus (Ann Jefferson dan David Robey,1988: 26). Formalisme mahu menyingkirkan unsur-unsur yang tidak bersifat kesusasteraan secara rigid dan bersistem. Kesusasteraan sebelum ini dianggap oleh Formalisme berada dalam keadaan tidak menentu kerana kehadiran bidang ilmu lain seperti sejarah, psikologi, etnografi, falsafah telah mendominasi karya kesusasteraan sehingga kesusasteraan sendiri terhijab. Oleh kerana itu, Roman Jakobson menganggapkan bahawa, ahli sejarah kesusasteraan telah memulakan kesusasteraan daripada disiplin sejarah, etnografi, psikologi, politik, falsafah yang menyebabkan kesusasteraan menjadi sumber yang tidak dipentingkan dan tidak sempurna.
Golongan Formalisme bangkit mahu membebaskan kesusasteraan daripada masalah ini dan mahu menjadikan bidang pengajian kesusasteraan sebagai satu bidang yang lebih baik dan mantap. Dapat difahami bahawa, apa yang ingin diketahui oleh Formalisme ialah, apakah sebenarnya yang menjadi bahan pengajian kesusasteraan, bukannya bagaimana karya kesusasteraan itu hendak dikaji (Ann Jefferson dan David Robey,1988:28). Minat Formalisme ialah terhadap elemen-elemen yang terkandung di dalam teks dan tidak berminat kepada aspek-aspek yang bersifat reprentasi dan ekpresi teks (K.M.Newton,1997:1). Mereka juga dengan jelas menolak peranan mimetik/ekpresi dalam teks kesusasteraan, menekankan kajian secara terperinci terhadap teks dengan mementingkan kaedah saintifik (Philip Rice & Patricia Waugh,1996:16). Formalime Rusia menolak pendekatan-pendekatan kritikan yang tidak sistematik dan bersifat elektik yang telah lama mendominasi pengajian sastera.
Konsep yang popular bagi Formalisme Rusia ialah `defamiliarsation` (menjadikan luar biasa). Konsep ini pada asasnya berkait dengan Shklovsky dan telah dibincangkan dalam karyanya yang berjudul `Art as device` yang diterbitkan pada tahun 1917. Dalam tulisan ini, Shklovsky menyebutkan, `kita tidak mungkin mempertahankan kesegaran persepsi kita tentang sesuatu; kehadiran yang `biasa` mengkehendaki semuanya sejauh mungkin menjadi automatik (Raman Selden,1989:5).
Perkembangan Formalisme kemudiaannya telah beralih tumpuan dengan memberi penekanan kepada hubungan linguistik dengan aspek-aspek formal teks kesusasteraan berbanding sebelumnya yang memberi penekanan kepada hubungan di antara bahasa sastera dengan bahasa bukan sastera (K.M.Newton,1997:1).
Apa yang menarik, idea Formalisme ini turut mendapat reaksi daripada golongan Marxisme. P.N.Medvedev dan Mikhail Baktin telah menulis responnya dalam satu tulisan berjudul `The Formal method in literary scholarship` yang diterbitkan pada tahun 1928 atas nama P.N.Medvedev, tetapi dipercayai tulisan ini ditulis oleh Bakhtin. Kritikan Bakthin ini menunjukkan idea Formalisme ini turut mempengaruhi Marxisme namun, pandangan yang dikemukakan oleh Bakhtin bukannya berkait dengan aspek penganehan atau aspek-aspek formal dalam teks kesusasteraan sebaliknya, Bakhtin melihat struktur bahasa dalam teks mempunyai kaitan dengan ideologi. Hubungan yang rapat antara bahasa dengan ideologi ini akhirnya membawa kesusasteraan ke lapangan sosial dan ekonomi yang menjadi landasan ideologi (Raman Selden,1989:13).
Bakhtin dalam tulisannya menyebutkan bahawa, bahasa tidak boleh dipisahkan daripada ideloogi. Tegasnya, the work cannot be understood outside the unity of literature. But this whole unity and the individual works which are its elements cannot be understood aoutside the unity of ideological life (K.M.Newton,1997:10).
Bakhtin melihat bahasa mempunyai upaya wacana sebagai fenomena sosial. Bahasa bagi Bakhtin bukannya benda mati dan statik tetapi, bersifat dinamik serta dapat mengungkapkan ideologi.
Golongan Formalisme melihat puisi sebagai penggunaan bahasa sastera paling sempurna. Ia adalah ucapan yang disusun sepenuhnya berdasarkan tekstur bunyinya dan unsur pembentukan yang utama ialah ritmanya (Raman Selden,1989:4). Jelasnya, aspek teknik menjadi suatu upaya paling unggul yang melahirkan kesan-kesan estetik dalam puisi. Pandangan Formalis berbeza dengan pandangan sebelumnya, khususnya aliran simbolisme yang menganggap puisi sebagai wahana pernyataan realiti yang tidak kelihatan.
Demikian juga pandangan Formalis terhadap genre prosa. Aspek utama yang dilihat dan diberi keutamaan ialah plot, bukannya isi atau tema cerita. Hanya plot yang betul-betul sastera, sedangkan cerita hanya bahan mentah yang menunggu untuk disusun oleh penulis (Raman Selden,1989:8).
Formalis melihat plot sebagai penyusunan berbagai-bagai cara yang digunakan untuk menghenti atau melambatkan penceritaan. Teknik penulis melakukan berbagai cara seperti teknik pendakian, pemerian, suspen, konflik, peleraian dan bermacam-macam teknik lagi itulah yang dipentingkan Formalis, bukannya isi cerita yang terkandung dalam plot itu.

3 comments:

  1. salam..saya nk tnye adakah golongan yg mendokong seni untuk masyarakat (asas 50) juga merupakan golongan formalis?
    saya harap prof dpt jelaskan pada sy : fatin_violet110@yahoo.com

    ReplyDelete
  2. Golongan ASAS 50 memperjuangkan idealisme sosialis. Idea ini hampir kepada perjuangan golongan Marxisme.Karya kesusasteraan pada golongan ini menjadi wahana untuk memperjuangkan isu-isu dalam masyarakat sebenar (realiti. Kerana itu, sosial kelihatan lebih diutamakan dalam kesusasteraan berbanding dengan aspek seninya. Dengan kata lain, ASAS 50 menggunakan sastera untuk kepentingan masyarakat yang diperjuangkan lebih tinggi berbanding dengan seni sastera itu sendiri. Kesimpulannya, golongan ASAS 50 bukanlah golongan yang memperjuangan `seni` sastera sebagai keutamaan. Meskipun pada hakikatnya mereka juga tidak menolak pentingnya estetika dalam karya. Lihat sajak-sajak Usman Awang yang indah dari sudut gaya bahasanya, tetapi isu sosial yang ditimbulkan itu lebih diutamakan. Dapat dikatakan golongan ASAS 50 bukan pendokong idea formalis, tetapi lebih kepada mendokong idea realisme sosialis.

    ReplyDelete
  3. Mungkin anda boleh tukar warna latar belakang dan juga warna font untuk memudahkan pembaca membaca teks penulisan anda.

    ReplyDelete