
Seperti yang disebutkan sebelum ini bahawa teori Marxisme muncul bukannya disebabkan fenomena-fenomena kesusasteraan, sebaliknya lebih disebabkan oleh fenomena-fenomena sosial yang berkait dengan pertentangan kelas dalam sistem ekonomi, kekuasaan dan pengaruh politik. Walau bagaimanapun, fenomen-fenomena sosial ini juga berkait rapat dengan kesusasteraan. Marxisme meletakkan kesusasteraan dalam struktur yang tinggi dalam sisitem sosial. Realiti dalam teks sebenarnya adalah cerminan daripada realiti dalam masyarakat.
Ahli kritik sastera melihat, ruang sosial dan ekonomi yang dibincangkan oleh teori Marxisme membuka ruang yang luas untuk memahami fenomena tentang isu-isu sosial seperti kemiskinan, setinggan, buruh, perebutan kuasa, penindasan, kezaliman dan lain-lain dalam teks kesusasteraan. Oleh kerana itu, untuk memahami fenomena ini, pengkritik lazimnya menggunakan dasar-dasar teori Marxisme mengkritik teks.
Terdapat beberapa model kritik berasaskan teori Marxisme seperti model pencerminan, model berpusatkan bahasa, model pengetahuan negatif, model genetik dan model penerbitan. Pengkritik boleh menggunakan model-model ini untuk mengkritik teks kesusasteraan sesuai dengan tema dan kandungan teks tersebut. Misalnya pengkritik boileh menggunakan model Pencerminan seperti yang dikemukakan oleh George Lukaas bagi memahami perkaitan bentuk realiti di dalam novel Shit karya Shahnon Ahmad dengan realiti politik dalam negara era pertembungan Mahathir-Anwar Ibrahim. Atau menggunakan teks yang sama untuk memahami konsep `pandangan dunia` (world view) berasaskan model Genetik seperti yang dikemukakan oleh Lucien Goldman.
No comments:
Post a Comment