SELAYANG PANDANG

Selamat datang kepada pengunjung peminat dan penggiat kesusasteraan, khususnya yang berminat dalam bidang teori, kritikan dan penulisan puisi ke blog Teori dan Kritikan Sastera. Blog ini menyediakan maklumat akademik berkaitan sejarah dan perkembangan bidang ilmu teori dan kritikan sastera di Barat dan di Malaysia. Selain itu, terdapat juga sisipan puisi, peribahasa dan pelbagai informasi tentang kegiatan kesusasteraan tanah air. Anda juga boleh kunjungi laman blog puisi saya di http://anjungpuisi.blogspot.com/ Semoga ilmu yang dikongsi dalam blog ini dapat memanfaatkan perkembangan ilmu saudara/i ke arah memahami dan mengenali kebesaran dan keluasan ilmu Allah SWT. - a.halim ali

Wednesday, February 10, 2010

TOKOH TERAWAL KRITIKAN DALAM TRADISI KESUSASTERAAN KLASIK BARAT



Sebenarnya, tiada siapa yang mendakwa sebagai pelopor kritikan sasteraterawal dan sejarah kesusasteraan juga tidak menetapkan mana-mana tokoh yang memulakan atau memperkenalkan kritikan ini.Namun, apabila ditinjau sejarah kesusasteraan era Yunani, kita akan bertemu dengan beberapa orang tokoh seperti Plato(424-347 S.M.) yang dianggap sebagai tokoh pengkritik Yunani yang mula-mula sekali berbicara dan menulis secara tidak langsung tentang kritikan seni dalam beberapa karyanya.
Karya agong Plato Republic banyak menyentuh tentang nilai-nilai sastera, moral dan juga puisi yang boleh diketengahkan sebagai penyumbang kepada cetusan tradisi kritikan. Demikian juga dengan Aristotle yang menghasilkan Poetics telah dengan jelas berbicara tentang kritikan di samping perkara-perkara lain yang berkaitan dengan sastera. Seorang lagi tokoh pengkritik Greek yang penting ialah Dionysius Cassius Longinus. Beliau menekankan aspek penilaian yang merangkumi penggunaan gaya bahasa yang baik dalam karya, kawalan emosi dan penciptaan karya yang baik. Semua ini dinukilkan dalam karyanya yang berjudul On the Sublime. Dionysius Cassius Longinus dianggap sebagai seorang tokoh pengkritik yang berjasa dalam dunia kritikan kerana mempelopori kritikan gaya bahasa atau stilistik dan juga perintis kepada kepada penilaian estetik. Di Rom terdapat juga tokoh kritikan seperti Quintus Horatius Placcus dan Marcus Fabius Quintilianus.
Seorang lagi tokoh pemikir yang besar peranan dan pengaruh dalam bidang kesusasteraan era klasik ialah Horace. Beliau menghasilkan karya Arts Poetica yang memuatkan beberapa dasar penilaian kritikan dan tanggapan-tanggapan yang sangat membantu bidang kritikan. Beberapa pandangan dan nasihat kepada para pengkarya juga menjadi dasar pemikirannya yang bersifat realistik.
Perkembangan kritikan zaman awal terbantut apabila Eropah berhadapan dengan zaman kegelapan, namun apabila muncul era Renaissance (zaman pembaharuan), tradisi kritikan sebagaimana yang tumbuh di Yunani dahulu dihidupkan semula, tetapi dengan wajah baru dan makna baharu juga. Pada waktu itu kritikan bermaksud usaha untuk memperbaiki karya-karya lama dan membantu memperbaiki bacaan.

No comments:

Post a Comment