SELAYANG PANDANG

Selamat datang kepada pengunjung peminat dan penggiat kesusasteraan, khususnya yang berminat dalam bidang teori, kritikan dan penulisan puisi ke blog Teori dan Kritikan Sastera. Blog ini menyediakan maklumat akademik berkaitan sejarah dan perkembangan bidang ilmu teori dan kritikan sastera di Barat dan di Malaysia. Selain itu, terdapat juga sisipan puisi, peribahasa dan pelbagai informasi tentang kegiatan kesusasteraan tanah air. Anda juga boleh kunjungi laman blog puisi saya di http://anjungpuisi.blogspot.com/ Semoga ilmu yang dikongsi dalam blog ini dapat memanfaatkan perkembangan ilmu saudara/i ke arah memahami dan mengenali kebesaran dan keluasan ilmu Allah SWT. - a.halim ali

Thursday, May 6, 2010

PENDEKATAN SOSIOLOGI

Pendekatan Sosiologi dalam kritikan sastera ialah satu kaedah kritikan yang menggunakan prinsip-prinsip teori Sosiologi. Sosiologi merupakan salah satu bidang sains sosial. Walaupun Sosiologi bersumberkan bidang sains sosial, namun ia tetap mempunyai hubungkait dengan kesusasteraan. Sosiologi berkait rapat dengan aspek sejarah sebagaimana yang dibincangkan dalam pendekatan Historikal sebelum ini. Sosiologi melibatkan pelbagai perkara yang melibatkan latar sosial masyarakat baik di dalam teks mahupun di luar teks. Aspek-aspek yang menjadi teras kemanusiaan dan kemasyarakatan seperti ekonomi, politik, budaya dan etika sosial akan turut dilihat sebagai unsur-unsur penting yang mempengaruhi kepengarangan dan latar tekstual karya..
Falsafah pemikiran Auguste Comte (1798-1875) yang meletakkan sosiologi sebagai ilmu yang tertinggi dan patut dipelajari, maka kritikan sastera dan penulisan teksnya juga turut dipengaruhinya. Pemikiran Auguste Comte telah mendapat sambutan yang hangat dan turut mempegaruhi pemikiran ahli falsafah Inggeris John Staurt Mill. Lanjutan daripada permikiran inilah maka berkembangnya pengaruh positivisme dan aliran realisme dalam kesusasteraan Perancis dan Barat (Abdul Halim Ali,1998:4).
Secara ringkas, pendekatan ini memberi penekanan kepada aspek aspek-aspek sosial tentang bagaimana seseorang rakyat atau individu itu seharusnya menjadi anggota masyarakat yang berguna, bertanggungjawab demi kepentingan masyarakat umumnya. Dalam hal ini, pendekatan Sosiologi tidak dapat lari dari turut membicarakan tentang pengkarya. Aspek sosiologi pengkarya akan diteliti sama. Sebelum memasuki perbicaraan intrinsik karya, riwayat hidup pengarang termasuk tempat lahir, sosiolisasi, pendidikan, alam sekitar, status sosial, nilai-nilai kehidupan dan sebagainya hendaklah ditinjau terlebih dahulu (Mana Sikana, 1983:110).
Menggunakan teori Sosiologi dalam kritikan kesusasteraan mengkehendaki pengkritik mendalam ilmu sosiologi. Pengkritik perlu mahir mengenalpasti aspek-aspek sosiologi yang berkait dengan teks dan pengkarya di samping mampu menghubungkan sosiologi itu dengan kesusasteraan.

No comments:

Post a Comment