SELAYANG PANDANG

Selamat datang kepada pengunjung peminat dan penggiat kesusasteraan, khususnya yang berminat dalam bidang teori, kritikan dan penulisan puisi ke blog Teori dan Kritikan Sastera. Blog ini menyediakan maklumat akademik berkaitan sejarah dan perkembangan bidang ilmu teori dan kritikan sastera di Barat dan di Malaysia. Selain itu, terdapat juga sisipan puisi, peribahasa dan pelbagai informasi tentang kegiatan kesusasteraan tanah air. Anda juga boleh kunjungi laman blog puisi saya di http://anjungpuisi.blogspot.com/ Semoga ilmu yang dikongsi dalam blog ini dapat memanfaatkan perkembangan ilmu saudara/i ke arah memahami dan mengenali kebesaran dan keluasan ilmu Allah SWT. - a.halim ali

Wednesday, May 19, 2010

PENDEKATAN FENOMENOLOGI


Pendekatan Fenomenologi merupakan salah satu kaedah kritik teks berasas idea falsafah batiniah. Pendekatan ini menggunakan idea-idea teori Fenomenologi yang pernah dipopularkan oleh ahli falsafah German iaitu Edmund Husserl (Foto kanan).
Edmund Husserl berusaha membina suatu kaedah falsafah bagi menjelaskan kepastian mutlak yang boleh dicapai dan dirasai dalam diri manusia. Idea ini dikemukakan setelah Edmund Husserl mendapati masyarakat Eropah sudah hilang keyakinan terhadap kehidupan akibat krisis tamadun kebendaan yang melanda masyarakat Eropah akibat daripada merebakannya modenisme. Husserl percaya bahawa keyakinan diri terhadap kehiduopan masih dapat dicapai oleh manusia dengan cara berfenomenologi.
Untuk mencapai keyakinan yang murni dan hakiki itu, teori Fenomenologi mencadangkan agar dilakukan pembersihan minda manusia daripada gangguan fenomenoma-fenomena yang sedia ada. Minda manusia menstilah dikosongkan dengan cara melakukan reduksi, yakni meletakkan fenomenologi yang sedia ada dalam minda `di luar minda`, sementara waktu. Langkah seterusnya barulah menyediakan ruang transedental untuk membolehkan fenomena-fenomena yang murni masuk ke dalam minda. Dalam hubungan antara fenomena sejati dengan minda yang bersifat transendental itu, manusia dapat mengamati dan menikmati fenomena-fenoma yang sejati itu tanpa ada `gangguan` atau unsur-unsur luar kerana minda manusia sudah bersih dan kosong daripada fenomena-fenomena sedia ada.
Pendekatan ini sedikit sebanyak dipengaruhi formalis Rusia. Sebagaimana Fomalistik Rusia menolak objek sebenar untuk mengetahui sesuatu, demikian juga dengan Fenomenologi ini. Ia menolak pengaruh dan peranan unsur lain di luar diri manusia sebagai faktor yang menentukan makna, sebaliknya makna itu dapat dicari dan difahami atas potensi kendiri.
Pendekatan ini sangat sesuai untuk memahami pengalaman estetik pembaca terhadap sesebuah karya kesusasteraan. Pendekatan ini juga sesuai dilakanakan dalam bentuk eksperimen bagi memahami tanggapan dan pengalaman estetik pembaca ketika membaca teks.
Pendekatan ini tidak begitu terkenal, tetapi ada pengaruhnya yang besar dalam aliran kritikan Geneva terutama dalam era tahun 1940-an hingga 1950-an. Beberapa tokoh kritikan yang penting waktu itu ialah Georges Poulet dari Belgium, Jean Pierre Richard dari Perancis, Jean Starobinki dan Jean Rousset dari Swiss, Emil Staiger dan J.Hillis Miller dari Amerika Syarikat (Terry Eagleton,1983:65).
Pendekatan Fenomenologi menjelaskan bahawa kesedaran tidak hanya dapat dicapai secara empiri tetapi juga bersifat transendental. Transendental diletakkan pada tempat yang paling tinggi, kerana di sana dikatakan sebagai sumber dan asal usul bagi segala makna. Oleh itu dalam kritikan sastera, sesebuah karya dan pengkaryanya tidak begitu dipentingkan. Yang dipentingkan ialah penbacaan teks secara rohaniah yang sama sekali tidak dipengaruhi oleh unsur-unsur di luar dirinya.
Teks adalah satu wadah yang tulin untuk kesedaran pengkarya. Aspek gaya dan semantik dianggap sebagai sebahagian daripada organik dari satu keseluruhan yang kompleks, sementara akal budi pengkarya menjadi dasar yang melengkapinya. Kesebenaran tidak boleh dilihat kepada keadaan luaran pengkarya, tetapi sebaliknya harus dilihat sebagaimana kesedaran yang wujud di dalam teks. Oleh itu, pengkritik harus melakukan penerjunan langsung ke dalam teks untuk melakukan penginterpetasian.
Menurut Husserl, bahasa sesebuah karya sastera adalah merupakan lebih daripada suatu ekpresi makan dalaman. Oleh yang demikian, bahasa tidak mendapat tempat yang tinggi dalam pendekatan ini. Fenomenologi menekankan kepada tindakan melihat sesuatu fenomena sebagai hal universal, bebas dan tidak terikat kepada bahasa. Dalam erti kata lain, bahasa hanya pemberi makna kepada makna yang dikeluarkan dari dalaman diri.

No comments:

Post a Comment