SELAYANG PANDANG

Selamat datang kepada pengunjung peminat dan penggiat kesusasteraan, khususnya yang berminat dalam bidang teori, kritikan dan penulisan puisi ke blog Teori dan Kritikan Sastera. Blog ini menyediakan maklumat akademik berkaitan sejarah dan perkembangan bidang ilmu teori dan kritikan sastera di Barat dan di Malaysia. Selain itu, terdapat juga sisipan puisi, peribahasa dan pelbagai informasi tentang kegiatan kesusasteraan tanah air. Anda juga boleh kunjungi laman blog puisi saya di http://anjungpuisi.blogspot.com/ Semoga ilmu yang dikongsi dalam blog ini dapat memanfaatkan perkembangan ilmu saudara/i ke arah memahami dan mengenali kebesaran dan keluasan ilmu Allah SWT. - a.halim ali

Monday, May 9, 2011

TEORI BARAT DLM KRITIKAN SASTERA MELAYU

KEPUTUSAN UNDIAN



Amat setuju 86 (38.2)
Setuju 66 (29.3)
Tidak setuju 54 (24.0)
Tidak pasti 19 ( 8.5)
Jum Responden 225 100%

Keputusan ini menunjukkan sejumlah 152 pembaca atau 67.5@% pembaca bersetuju dengan pernyataan bahasa teori sastera barat tidak sesuai digunakan dalam kritikan teks kesusasteraan Melayu. Pembaca yang tidak bersetuju berjumlah 54 org (24%). Hal ini membuktikan pembaca mempunyai kesedaran bahawa, teks kesusasteraan Melayu tidak wajar dikritik menggunakan teori kesusasteraan Barat. Sejumlah 19 oraqng yang tidak pasti menunjukkan bahawa banyak maklumat perlu disebar dan didedahakn kepada pembaca tentang teori kesusasteraan Melayu.

Wednesday, December 8, 2010

KRITIKAN MENGGUNAKAN TEORI FEMINISME

Catatan mungkin dapat dimanfaatkan oleh sdri eikin91.

untuk membuat kritikan teks menggunakan teori Feminisme, beberapa perkara berikut perlu diambilkira;

1. pastikan teks yang dipilih menyentuh tentang dunia wanita (tidak kira teks itu ditulis oleh penulis lelaki atau wanita). Lebih baik menggunakan teks yang ditulis oleh penulis` wanita sendiri.

2. Oleh kerana idea dalam teori ini banyak, maka pastikan idea Feminisme yang mana sdri nak sandarkan. Saya cadangkan gunakan idea Elaine Showalter atau Cheri Register

3. Pastikan perspektif kritikan yang ingin diikuti. Sama ada perspektif kritikan feminis atau ginokritik sebagaimana yang dibincangkan oleh Showalter. jika mengikuti perspektif kritikan feminisme, teks-teks yang berkait dengan dunia wanita yang ditulis oleh penulis lelaki boleh dikritik. Jika mengikuti presprktif ginokritik, sesuai mengkaji teks-teks yang ditulis oleh penulis wanita sahaja.

4. Perlu tahu sedikit kod-kod feminis seperti biologi, sosial, psikologi dan lain-lain.
Aspek biologi : diri wanita itu (berperanan sebagai ibu, srikandi,kakak dll)
Aspek sosial : peranan dalam masyarakat, politik, pendidikan dll)
Aspek psikologi : perasaan kasih sayang, kecewa, pengorbanan, cinta dll.


Sebagai tambahan. Sila rujuk buku-buku tulisan Siti Hajar Che Man, Ungku Maimunah dan lain-lain.

Tuesday, December 7, 2010

IDEA SEMIOTIK SANDER PIERCE

Idea Semiotik bermula dengan Ferddinand de Saussure yang percaya bahawa dalam bahasa terdapat sistem tanda (sign) yang mendatangkan makna. Walau bagaimanapun, De Saussure menggunakan istilah semiologi, makakala Peirce menggunakan istilah semiotik Charles Sander Peirce percaya bahawa tanda-tanda dalam sistem bahasa bukan sahaja berkait dengan sistem bahasa itu tetapi juga berkait dengan psikologi manusia. Daripada idea inilah timbulnya konsep firstness, secondness dan thirdness. Konsep ini bertujuan untuk menjelaskan kedudukan sesuatu sebagai tanda yang mempunyai makna atau tanda yang tidak mempunyai makna.
Tokoh-tokoh lain berlainan pula pandangannya, namun pemikirannya tidak terkeluar daripada kerangka pemikiran bahawa bahasa mempunyai sistem tanda yang menghasilkan makna. Namun, sastera menerima Yury M. Lotman sebagai tokoh yang mempertemukan idea semiotik dalam kajian teks kesusasteraan.
Bagi Peirce, sesuatu berfungsi sebagai tanda apabila sesuatu itu terlibat dalam proses semiosis yang melibatkan triadic iaitu representemen, objek dan interpretant Bagi memahami fungsi tanda yang menghasilkan makna, Peirce mengkategorikan tanda kepada tiga iaitu representemen, objek dan interpretant.
Peirce berpandangan bahawa tanda dalam bahasa tidak hanya berkait dengan tanda (signifier) dengan yang ditandakan(signified), sebaliknya tanda juga berkait dengan psikologi manusia dan dapat menjelaskan interaksi yang berlaku menerusi tanda-tanda semantik dan konvensi manusia.
Idea semiotik Pierce melewati batas-batas struktur linguistik De Saussure,ierce mengambilkira fungsi psikologi manusia dalam memberi makna pada tanda-tanda yang ada dalam bahasa.

Thursday, October 7, 2010

KONSEP BAWAH SEDAR DALAM TEORI LACAN

Jacques Lacan menghasilkan teori beliau dengan menggabungkan teori Psikoanalisis Sigmund Freud dan teori Strukturalisme yang diasaskan oleh Ferdinand de Saussure. Dengan gabungan unsur bawah sedar (Freud) dan struktur dalam bahasa (Saussure), Lacan telah menghasilkan atau mengasaskan teori beliau melalui satu gagasan iaitu gagasan unconscious structured like a language atau bawah sedar terstruktur seperti sebuah bahasa. Melalui gagasan ini, menurut Lacan, (dlm.Mana Sikana,2005) membawa pandangan bahawa kita sebenarnya boleh mendampingi, menganalisis, dan mencari makna kepada alam bawah sedar kerana ia mempunyai sistem yang terstruktur dan tersusun seperti bahasa. Lantas unsur bawah sedar itu juga merupakan manifestasi bahasa.

Dalam usaha melahirkan teori beliau, Lacan (dlm Mana Sikana,2005) telah melakukan modifikasi dan tafsiran semula terhadap konsep mimpi yang mendasari teori psikoanalisis Freud. Teori beliau beranggapan bahawa dalam kehidupan, Manusia digerakkan oleh id iaitu desire atau keinginan/nafsu untuk keseronokan. Id sering kali mendorong manusia ke arah keinginan yang bersifat hedonistik iaitu libido. Semasa mengendalikan keinginan ini, jiwa manusia sering bergejolak untuk mendapatkan pertimbangan dan kawalan melalui ego yang memainkan peranannya berlandaskan unsur-unsur rasional dan superego yang memainkan peranaannya berlandaskan unsur-unsur moral. Secara amnya, keinginan, pertimbangan dan kawalan berlaku dalam tiga ruang atau kawasan iaitu kawasan sedar, pra-sedar dan bawah sedar. Sekiranya berlaku perbalahan di antara ego dan superego, maka manusia akan berada dalam keadaan resah/cemas atau anxiety dan ini dilalui dalam pengalaman bawah sedar.

Teori Freud berpusat kepada kompleks Oedipus di mana seorang anak terpaksa menggunakan suppressive mechanism apabila keinginan libido terhadap ibunya terganggu atau diancam dengan keberadaan saingan dari ayahnya sebagai unsur yang menghalang atau unsur yang berkuasa menentukan undang-undang/larangan. Keadaan ini dimengertikan melalui konsep perlambangan yang terdapat pada phallus. Freud melihat ‘ayah’ dari sudut biologikal, manakala Lacan melakukan modifikasi dan menjadikan ‘ayah’ sebagai objek yang mempunyai fungsi simbolik iaitu figure yang mengekang dorongan keseronokan anak tersebut.Lacan, (dlm.Mana Sikana,2005)

Menurut Freud,(dlm.Raman Selden, 1989) pengalaman bawah sedar wujud sebelum bahasa memainkan peranannya, namun Lacan berpendapat bahawa pengalaman bawah sedar wujud serentak dengan kewujudan bahasa. Lacan melihat bahasa sebagai sebuah wacana di mana manusia sebagai subjek, boleh menempatkan posisinya. Beliau juga menyatakan bahawa bahasa membolehkan individu mengenali dirinya, persekitarannya, lingkungan sosialnya justeru membentuk identitinya. Ini terhasil dengan gabungan gagasan Saussure tentang bahasa dan perlambangan. Menurut Saussure, bahasa mempunyai unsur yang mempunyai hubungan antara satu sama lain dan hubungan ini membawa makna serta pemakanan dan pada akhirnya akan membawa satu kesatuan makna atau Wholeness.

Lacan telah membentuk konsep imejan, simbolik dan real yang merangkumi tingkatan perkembangan manusia. Menurut Lacan, makna yang ada pada suatu objek boleh dipindahkan kepada objek yang lain seperti penggunaan metafora dan metonimi dalam bahasa. Bermula daripada peringkat pemerolehan bahasa, manusia membentuk konsep diri mereka melalui imejan, simbolik dan real.

Saturday, October 2, 2010

CATATAN UNTUK FATIN_VOILET110

ASAS 50: Golongan Formalis atau apa?

Maaf, kerana kurang memeriksa pada ruang comment akhir-akhir ini: berikut pandangan saya tentang pertanyaan sdr.

Golongan ASAS 50 memperjuangkan idealisme sosialis. Idea ini hampir kepada perjuangan golongan Marxisme.Karya kesusasteraan pada golongan ini menjadi wahana untuk memperjuangkan isu-isu dalam masyarakat sebenar (realiti. Kerana itu, sosial kelihatan lebih diutamakan dalam kesusasteraan berbanding dengan aspek seninya. Dengan kata lain, ASAS 50 menggunakan sastera untuk kepentingan masyarakat yang diperjuangkan lebih tinggi berbanding dengan seni sastera itu sendiri. Kesimpulannya, golongan ASAS 50 bukanlah golongan yang memperjuangkan `seni` sastera sebagai keutamaan. Meskipun pada hakikatnya mereka juga tidak menolak pentingnya estetika dalam karya. Lihat sajak-sajak Usman Awang yang indah dari sudut gaya bahasanya, tetapi isu sosial seperti setinggan, kemiskinan, penderitaan orang bawahan, nasib penjaja dan lain-lain yang ditimbulkan itu lebih diutamakan. Dapat dikatakan golongan ASAS 50 bukan pendokong idea formalis, tetapi lebih kepada terpengaruh dengan aliran realisme sosialis.

Saturday, August 21, 2010

PENDEKATAN KRITIK SPB4L

Pendekatan kritik 4L berasaskan prinsip-prinsip teori Pemikiran Strategik Bersepadu (SPB4L) yang diperkenalkan oleh Mohd Yusof Hassan. Empat L yang menjadi teras pemikiran strategik dalam teori ini bermaksud, pemikiran Luhur, Lahir, Logik dan Lateral. Pemikiran strategik ini meletakkan asas kesepaduan tiga sumber pemikiran dan falsafah iaitu pemikiran Barat, Melayu dan Islam.
Asas yang perlu menjadi pegangan pengkritik ialah setiap pengarang atau sasterawan atau setiap masyarakat ataupun dalam setiap teks kesusasteraan mengandungi unsur-unsur pemikiran luhur, lahir, logik dan lateral ini. Pendekatan ini juga mengkehendaki pengkritik mengunakan kaedah holistik dan bersepadu apabila mengkritik. Aspek instrinsik dan ekstrinsik mestilah diperlihatkan berhubungan dan berkait di antara satu sama lain.
Pendekatan kritik teori SPB4L mencadangkan kritikan terhadap teks diaplikasikan dalam dua kaedah iaitu kaedah Intrinsik (Dalaman) dan Kaedah Ekstrinsik (Luaran). Kaedah Intrinsik memerlukan pengkritik meneliti dan mengenalpasti aspek-aspek dalaman teks seperti tema dan persoalan, perwatakan, latar dan suasana, teknik dan stail. Manakala Kaedah Ekstrinsik pula mengkehendaki pengkritk meneliti aspek-aspek luaran yang berhubungan dengan aspek dalaman. Aspek-aspek luaran yang dimaksudkan ialah falsafah dan kepercayaan, psikologi dan kemanusiaan, sejarah dan kemasyarakatan serta estetika dan seni.
Pendekatan kritik Pemikiran Strategik 4L pernah diaplikasikan oleh Mohd Yusof Hassan ke atas novel Imam karya Abdullah Hussain. Matlamat akhir kritikan berasaskan pemikiran strategik 4L ini ialah untuk mengenengahkan kesusasteraan sebagai wadah pendidikan. Teks kesusasteraan diangkat sebagai pewacana yang membicarakan tentang peradaban bangsa yang menghasilkan kesusasteraan itu.

Thursday, August 12, 2010

PENDEKATAN KEUNGGULAN

Pendekatan keunggulan berasas prinsip-prinsip teori Teksdealisme yang dikemukakan oleh Mana Sikana. Teori ini percaya bahaw, cita-cita pengarang bergerak bersekali dengan kerja-kerja kreatifnya. Salah satu cita-cita pengarang yang paling asas ialah berharap karyanya dibaca dan diterima oleh khalayak. Selain itu, pengarang juga berharap karyanya dibicara dan kritik oleh khalayak, khususnya ahli kritik. Sukar untuk menerima tanggapan seseorang pengarang tidak menyertakan apa-apa cita-cita daripada kerja-kerja pengkaryaannya. Dalam hal ini, Teksdealisme percaya, cita-citanya paling murni dalam diri pengarang ialah teks dan diri berjaya mendapat tahap tertinggi (unggul) mengikut konteks penerimaan pembaca dan pengkritik pada sesuatu masa.
Dalam pengkaryaan, cita-cita menjadi faktor yang mendorong kemahuan atau merencat minat pengarang. Kepengarangan pula adalah proses kreatif yang panjang,unik, misteri dan kompleks. Dengan demikian, perjalanan pengarang dalam proses tersebut adalah satu pengalaman peribadi yang sarat dengan cita-cita dan menempuhi tahap-tahap pengalaman yang tidak sama.
Teori Teksdealisme melihat, cita-cita menuju ke tahap unggul menjadi runtunan kebanyakan pengarang. Dalam perjalanan munuju ke tahap ini, pengarang dipercayai akan melalui empat peringkat iaitu peringkat kehadiran, pelanggaran, pengukuhan dan individualiti.
Bagi mengenal pasti proses perjalanan menuju ke tahap yang lebih baik dalam karier kepengarangan, maka pengkaji harus meneliti setiap aktiviti yang berlaku dalam empat tahap itu tadi. Mencari singnifikasi keunggulan pengarang dan teks berserti kita seharusnya berupaya membukti pada setiap peringkat itu sesuatu yang sangat istimewa, signifikan dan luar biasa yang dilakukan oleh pengarang.
Aspek-aspek yang diakui istimewa dan mempunyai nilai signifikasi inilah yang menjadi penanda aras bagi mengesahkan bahawa seseorang pengarang atau sesebuah teks itu benar-benar berada dalam proses menuju keunggulan. Pendekatan Keunggulan memerlukan pengkritik memeriksa bukan sahaja teks yang dikaji tetapi juga pengarangnya juga. Aspek-aspek kontekstual sangatlah penting di samping biografi pengarang yang sangat penting bagi mengukur dan mempertimbangkan gerakan dalaman dan luaran yang dilakukan atau berlaku menuju tahap keunggulan itu tadi.
Terdapat empat prinsip yang perlu difahami oleh pengkritik iaitu prinsip kehadiran, pelanggaran, pengukuhan dan individualiti. Empat prinsip ini menjadi mata rantai yang mendokong prinsip keunggulan, sama ada keuggulan teks mahupun keunggulan pengarang. Setiap prinsip teori menuntut pengkritik mempersoalkan setiap tahap pengembangan idea teks bagi tujuan mendapatkan bukti-bukti yang akan membenarkan signifikasi menuju keunggulan. Umpamanya, pada prinsip pelanggaran, pengkritik perlu menyelongkari peringkat ini sekurang-kurangnya dengan tiga soalan sepertimana berikut:-

a. apakah yang dilanggari oleh pengarang?
b. Mengapa pelanggaran itu dilakukan?
c. Apakah kesan pelanggaran itu kepada
kepengarangan pengarang dan teksnya.

Selain daripada mempersoalkan idea-idea yang tergalur dalam teks, pengkritik juga melandasai kritikannya kepada dua aspek penting yang menjadi tunjang Teksdealisme, iaitu, keberanian. Keberanianlah yang mendorong pengarang melakukan sesuatu yang baharu, futuristik, bertentangan dan mungkin menimbulkan kontroversi. Keberanian Jebat menentang Hang Tuah dan sultan, menjadi ikonik zaman yang meletakkan teks hikayat Hang Tuah sebagai teks kesusasteraan yang unggul dalam sejarah kesusasteraan Melayu dan sejarah bangsa Melayu.
Tujuan akhir pendekatan ini ialah memberi pengiktirafan kepada pengarang dan teksnya pada kedudukan yang ideal atau unggul dalam sejarah kepengarangan dan zaman di mana pengarangan dan teks itu hadir menerusi pemeriksaan yang kritis terhadap proses kepengarangan seseorang pengarang. Dengan demikian sifatnya teori Teksdealisme, maka praktis kritikan berasaskan teori ini sangat-sangat bergantung kepada aspek biografi pengarang, kontekstual serta sejarah.
Menggunakan pendekatan ini bererti pengkritik perlu melakukan peneleitian yang mendalam terhadap (1) proses kreatif pengarang; lakukan dengan kaedah temubual dan pembaca kepustakaan; (2) meneliti secara terperinci teks-teks yang diungguli oleh pengarang; perhatikan secara halus aspek-aspek yang menampakkan perubahan, kemajuan dan perkara istimewa yang ditampilkan oleh pengarang; (3) memperhalusi sejarah kepengarangan pengarang; perhalusi pencapaiannya dan (4) analisis kritikan-kritikan pengkritik terhadap pengarang dan karyanya; khususnya karya yang paling idea, paling menonjol dan paling `mengangkat` diri pengarang itu.
Saya menyarankan pengkritik menggunakan senarai semak berfomatr sewaktu menganalisis teks menggunakan pendekatan Teksdealisme ini supaya pengkritik lebih mudah menelusuri perkembangan kepengarangan mengikut empat tahap dengan lebih mudah.

Saturday, August 7, 2010

PENDEKATAN PUITIKA MELAYU

Pendekatan puitika Melayu ialah pendekatan kritik yang berasaskan kepada prinsip-prinsip teori Puitika Sastera Melayu oleh Muhammad Haji Salleh. Teori Puitika Sastera Melayu meletakkan prinsip puitika (keindahan) dalam kesusasteraan Melayu tradisional sebagai dasasr teori. Tulisan penting Muhammad Haji Salleh tentang teori ini termuat dalam bukunya berjudul Puitika Sastera Melayu yang diterbitkan pada tahun 2002 oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Buku ini sebenarnya merupakan hasil pemurnian dan pemantapan gagasan idea awal yang termuat dalam syarahan pengukuhan sebagai profesor di Universiti Kebangsaan Malaysia. Syarahan ini dimuatkan dalam sebuah buku kecil dengan judul Puitika Sastera Melayu: Suatu Pertimbangan yang diterbitkan oleh Penerbit UKM pada tahun 1989.
Secara keseluruhan daripada buku ini, dapat dirumuskan, estetika (keindahan) menjadi induk yang mendasar pemikiran Muhammad terhadap kesusasteraan Melayu. Keindahan yang ditonjol sebagai asas yang menteorikan kesusasteraan Melayu itu digali daripada genre puisi dan prosa Melayu klasik. Salah satu kekuatan dan keunggulan kesusasteraan Melayu klasik pada Muhammad ialah kerana nilai keindahan yang terpadu di dalam karya-karya kesusasteraanya.
Mendekati teks kesusasteraan berasaskan teori ini, bermakna pengkritik meletakkan diri mereka pada landasan puitika dengan hasrat untuk membuktikan kehadiran ciri-ciri estetika yang membina makna teks. Muhammad menjelaskan secara terperinci ciri-ciri keindahan yang menjadi teras puitika kesusasteraan Melayu, iaitu:-

a. keindahan dalam mengajar atau mendidik
b. keindahan dalam pengungkapan kesedihan dan kesusahan
c. keindahan dalam penceritaan
d. keindahan dalam rasa
e. keindahan yang asli

Ciri-ciri keindahan yang ditemui oleh Muhammad kemudiannya mewajarkan hasil penerokaan oleh I.V.Braginsky yang menghalusi teks kesusasteraan Melayu klasik pelbagai genre bagi mencari asas-asas untuk membina konsep keindahan dalam kesusasteraan Melayu klasik.

Ruang lingkup keindahan yang ditumpukan dalam teori agak luas. Oleh kerana itu, pengkritik perlu lebih teliti memilih teks-teks yang benar-benar sesuai yang memiliki kesemua unsur keindahan yang disebutkan itu. Untukb membuktikan unsur keindahan yang bersifat mengajar, mendidik; keindahan yang mengungkapkan kesedihan dan kesusahan dan keindahan dan penceritaan tentu tidak sukar bagi seseorang pengkritik, namun untuk membuktikan keindahan dalam rasa, pengkritik memerlukan ilmu bantu yang lain yang dapat dijadikan piawai mengukur atau menjeniskan rasa. Demikian juga dengan keindahan yang asli. Sejauh manakah pengkritik mampu membuktikan keaslian cerita dalam sesebuah teks, sedangkan pengkritik kti sendiri jauh daripada teks tersebut dan mungkin jauh daripada pengalaman sebenar pengarang?

Untuk menggunakan pendekatan ini maka pengkritik wajar memberi pertimbangan pada dua perkara terakhir yang saya sebutkan itu. Walau bagaimanapun, unsur keindahan dalam pengajaran, penceritaan dan pengungkapan kesedihan itu tidak sdukar untuk ditelusuri dalam teks, khususnya teks prosa, baik yang moden atau yang tradisional.

Saya mencadangkan pengkritik yang berhajat menggunakan pendekatan ini, boleh memilih novel `Mereka yang tertewas` karya Hasanuddin Md Isa dijadikan sebagai teks kajian. Berasaskan pengalaman membaca noveltersebut, sayaa percaya pendekatan puitika Melayu dapat membuktikan puitika Melayu yang merangkumi lima aspek keindahan yang ditumpukan dalam teori Puitika Sastera Melayu.

Wednesday, August 4, 2010

WEB e-jurnal teorisastera



Para pengunjung blog ini dialu-alukan untuk melayari web e-jurnal teorisastera di alamat http://jurnalteori.webs.com untuk berkongsi ilmu tentang teori dan kritikan sastera. Anda dialu-alukan juga mendaftar sebagai ahli dan menyumbang artikel sebagai perkongsian manfaat. e jurnal masih dalam peringkat pembinaan. Oleh itu, sumbangan karya amatlah dialu-alukan.

BUKU TERBAHARU PROF. UNGKU MAIMUNAH


KEDUDUKAN ILMU DALAM KESUSASTERAAN: TEORI DAN PRAKTIS


Para meinat dan penggiat sastera wajar memanfaatkan dua buah buku terbaharu hasil suntingan Profesor Dr. Ungku Maimunah Mohd Tahir, Felo Penyelidik Kanan di Institut Alam dan Tamadun Melayu, UKM. Buku yang dimaksudkan itu ialah KEDUDUKAN ILMU DALAM KESUSASTERAAN: Teori dan Praktis. Buku ini menghiumpunkan beberapa buah esei kritikan kritis tentang konsep ilmu dan cerita dalam kesusasteraan. Teras perbahasan dan penghujahan disandarkan kepada Islam dan praktisnya berasaskan pada idea teori Persuratan Baru. Buku ini amat bergunakan kepada penggiat sastera khususnya yang terlibat dalam dunia teori dan kritikan sastera, penggiat, pencinta kesusasteraan, sarjana, mahasiswa pusat pengajian tinggi dan sesiapa sahaja yang inign memperluaskan pengetahuan tentang ilomu kesussasteraan.