SELAYANG PANDANG

Selamat datang kepada pengunjung peminat dan penggiat kesusasteraan, khususnya yang berminat dalam bidang teori, kritikan dan penulisan puisi ke blog Teori dan Kritikan Sastera. Blog ini menyediakan maklumat akademik berkaitan sejarah dan perkembangan bidang ilmu teori dan kritikan sastera di Barat dan di Malaysia. Selain itu, terdapat juga sisipan puisi, peribahasa dan pelbagai informasi tentang kegiatan kesusasteraan tanah air. Anda juga boleh kunjungi laman blog puisi saya di http://anjungpuisi.blogspot.com/ Semoga ilmu yang dikongsi dalam blog ini dapat memanfaatkan perkembangan ilmu saudara/i ke arah memahami dan mengenali kebesaran dan keluasan ilmu Allah SWT. - a.halim ali

Thursday, August 12, 2010

PENDEKATAN KEUNGGULAN

Pendekatan keunggulan berasas prinsip-prinsip teori Teksdealisme yang dikemukakan oleh Mana Sikana. Teori ini percaya bahaw, cita-cita pengarang bergerak bersekali dengan kerja-kerja kreatifnya. Salah satu cita-cita pengarang yang paling asas ialah berharap karyanya dibaca dan diterima oleh khalayak. Selain itu, pengarang juga berharap karyanya dibicara dan kritik oleh khalayak, khususnya ahli kritik. Sukar untuk menerima tanggapan seseorang pengarang tidak menyertakan apa-apa cita-cita daripada kerja-kerja pengkaryaannya. Dalam hal ini, Teksdealisme percaya, cita-citanya paling murni dalam diri pengarang ialah teks dan diri berjaya mendapat tahap tertinggi (unggul) mengikut konteks penerimaan pembaca dan pengkritik pada sesuatu masa.
Dalam pengkaryaan, cita-cita menjadi faktor yang mendorong kemahuan atau merencat minat pengarang. Kepengarangan pula adalah proses kreatif yang panjang,unik, misteri dan kompleks. Dengan demikian, perjalanan pengarang dalam proses tersebut adalah satu pengalaman peribadi yang sarat dengan cita-cita dan menempuhi tahap-tahap pengalaman yang tidak sama.
Teori Teksdealisme melihat, cita-cita menuju ke tahap unggul menjadi runtunan kebanyakan pengarang. Dalam perjalanan munuju ke tahap ini, pengarang dipercayai akan melalui empat peringkat iaitu peringkat kehadiran, pelanggaran, pengukuhan dan individualiti.
Bagi mengenal pasti proses perjalanan menuju ke tahap yang lebih baik dalam karier kepengarangan, maka pengkaji harus meneliti setiap aktiviti yang berlaku dalam empat tahap itu tadi. Mencari singnifikasi keunggulan pengarang dan teks berserti kita seharusnya berupaya membukti pada setiap peringkat itu sesuatu yang sangat istimewa, signifikan dan luar biasa yang dilakukan oleh pengarang.
Aspek-aspek yang diakui istimewa dan mempunyai nilai signifikasi inilah yang menjadi penanda aras bagi mengesahkan bahawa seseorang pengarang atau sesebuah teks itu benar-benar berada dalam proses menuju keunggulan. Pendekatan Keunggulan memerlukan pengkritik memeriksa bukan sahaja teks yang dikaji tetapi juga pengarangnya juga. Aspek-aspek kontekstual sangatlah penting di samping biografi pengarang yang sangat penting bagi mengukur dan mempertimbangkan gerakan dalaman dan luaran yang dilakukan atau berlaku menuju tahap keunggulan itu tadi.
Terdapat empat prinsip yang perlu difahami oleh pengkritik iaitu prinsip kehadiran, pelanggaran, pengukuhan dan individualiti. Empat prinsip ini menjadi mata rantai yang mendokong prinsip keunggulan, sama ada keuggulan teks mahupun keunggulan pengarang. Setiap prinsip teori menuntut pengkritik mempersoalkan setiap tahap pengembangan idea teks bagi tujuan mendapatkan bukti-bukti yang akan membenarkan signifikasi menuju keunggulan. Umpamanya, pada prinsip pelanggaran, pengkritik perlu menyelongkari peringkat ini sekurang-kurangnya dengan tiga soalan sepertimana berikut:-

a. apakah yang dilanggari oleh pengarang?
b. Mengapa pelanggaran itu dilakukan?
c. Apakah kesan pelanggaran itu kepada
kepengarangan pengarang dan teksnya.

Selain daripada mempersoalkan idea-idea yang tergalur dalam teks, pengkritik juga melandasai kritikannya kepada dua aspek penting yang menjadi tunjang Teksdealisme, iaitu, keberanian. Keberanianlah yang mendorong pengarang melakukan sesuatu yang baharu, futuristik, bertentangan dan mungkin menimbulkan kontroversi. Keberanian Jebat menentang Hang Tuah dan sultan, menjadi ikonik zaman yang meletakkan teks hikayat Hang Tuah sebagai teks kesusasteraan yang unggul dalam sejarah kesusasteraan Melayu dan sejarah bangsa Melayu.
Tujuan akhir pendekatan ini ialah memberi pengiktirafan kepada pengarang dan teksnya pada kedudukan yang ideal atau unggul dalam sejarah kepengarangan dan zaman di mana pengarangan dan teks itu hadir menerusi pemeriksaan yang kritis terhadap proses kepengarangan seseorang pengarang. Dengan demikian sifatnya teori Teksdealisme, maka praktis kritikan berasaskan teori ini sangat-sangat bergantung kepada aspek biografi pengarang, kontekstual serta sejarah.
Menggunakan pendekatan ini bererti pengkritik perlu melakukan peneleitian yang mendalam terhadap (1) proses kreatif pengarang; lakukan dengan kaedah temubual dan pembaca kepustakaan; (2) meneliti secara terperinci teks-teks yang diungguli oleh pengarang; perhatikan secara halus aspek-aspek yang menampakkan perubahan, kemajuan dan perkara istimewa yang ditampilkan oleh pengarang; (3) memperhalusi sejarah kepengarangan pengarang; perhalusi pencapaiannya dan (4) analisis kritikan-kritikan pengkritik terhadap pengarang dan karyanya; khususnya karya yang paling idea, paling menonjol dan paling `mengangkat` diri pengarang itu.
Saya menyarankan pengkritik menggunakan senarai semak berfomatr sewaktu menganalisis teks menggunakan pendekatan Teksdealisme ini supaya pengkritik lebih mudah menelusuri perkembangan kepengarangan mengikut empat tahap dengan lebih mudah.

No comments:

Post a Comment