SELAYANG PANDANG

Selamat datang kepada pengunjung peminat dan penggiat kesusasteraan, khususnya yang berminat dalam bidang teori, kritikan dan penulisan puisi ke blog Teori dan Kritikan Sastera. Blog ini menyediakan maklumat akademik berkaitan sejarah dan perkembangan bidang ilmu teori dan kritikan sastera di Barat dan di Malaysia. Selain itu, terdapat juga sisipan puisi, peribahasa dan pelbagai informasi tentang kegiatan kesusasteraan tanah air. Anda juga boleh kunjungi laman blog puisi saya di http://anjungpuisi.blogspot.com/ Semoga ilmu yang dikongsi dalam blog ini dapat memanfaatkan perkembangan ilmu saudara/i ke arah memahami dan mengenali kebesaran dan keluasan ilmu Allah SWT. - a.halim ali

Saturday, August 7, 2010

PENDEKATAN PUITIKA MELAYU

Pendekatan puitika Melayu ialah pendekatan kritik yang berasaskan kepada prinsip-prinsip teori Puitika Sastera Melayu oleh Muhammad Haji Salleh. Teori Puitika Sastera Melayu meletakkan prinsip puitika (keindahan) dalam kesusasteraan Melayu tradisional sebagai dasasr teori. Tulisan penting Muhammad Haji Salleh tentang teori ini termuat dalam bukunya berjudul Puitika Sastera Melayu yang diterbitkan pada tahun 2002 oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Buku ini sebenarnya merupakan hasil pemurnian dan pemantapan gagasan idea awal yang termuat dalam syarahan pengukuhan sebagai profesor di Universiti Kebangsaan Malaysia. Syarahan ini dimuatkan dalam sebuah buku kecil dengan judul Puitika Sastera Melayu: Suatu Pertimbangan yang diterbitkan oleh Penerbit UKM pada tahun 1989.
Secara keseluruhan daripada buku ini, dapat dirumuskan, estetika (keindahan) menjadi induk yang mendasar pemikiran Muhammad terhadap kesusasteraan Melayu. Keindahan yang ditonjol sebagai asas yang menteorikan kesusasteraan Melayu itu digali daripada genre puisi dan prosa Melayu klasik. Salah satu kekuatan dan keunggulan kesusasteraan Melayu klasik pada Muhammad ialah kerana nilai keindahan yang terpadu di dalam karya-karya kesusasteraanya.
Mendekati teks kesusasteraan berasaskan teori ini, bermakna pengkritik meletakkan diri mereka pada landasan puitika dengan hasrat untuk membuktikan kehadiran ciri-ciri estetika yang membina makna teks. Muhammad menjelaskan secara terperinci ciri-ciri keindahan yang menjadi teras puitika kesusasteraan Melayu, iaitu:-

a. keindahan dalam mengajar atau mendidik
b. keindahan dalam pengungkapan kesedihan dan kesusahan
c. keindahan dalam penceritaan
d. keindahan dalam rasa
e. keindahan yang asli

Ciri-ciri keindahan yang ditemui oleh Muhammad kemudiannya mewajarkan hasil penerokaan oleh I.V.Braginsky yang menghalusi teks kesusasteraan Melayu klasik pelbagai genre bagi mencari asas-asas untuk membina konsep keindahan dalam kesusasteraan Melayu klasik.

Ruang lingkup keindahan yang ditumpukan dalam teori agak luas. Oleh kerana itu, pengkritik perlu lebih teliti memilih teks-teks yang benar-benar sesuai yang memiliki kesemua unsur keindahan yang disebutkan itu. Untukb membuktikan unsur keindahan yang bersifat mengajar, mendidik; keindahan yang mengungkapkan kesedihan dan kesusahan dan keindahan dan penceritaan tentu tidak sukar bagi seseorang pengkritik, namun untuk membuktikan keindahan dalam rasa, pengkritik memerlukan ilmu bantu yang lain yang dapat dijadikan piawai mengukur atau menjeniskan rasa. Demikian juga dengan keindahan yang asli. Sejauh manakah pengkritik mampu membuktikan keaslian cerita dalam sesebuah teks, sedangkan pengkritik kti sendiri jauh daripada teks tersebut dan mungkin jauh daripada pengalaman sebenar pengarang?

Untuk menggunakan pendekatan ini maka pengkritik wajar memberi pertimbangan pada dua perkara terakhir yang saya sebutkan itu. Walau bagaimanapun, unsur keindahan dalam pengajaran, penceritaan dan pengungkapan kesedihan itu tidak sdukar untuk ditelusuri dalam teks, khususnya teks prosa, baik yang moden atau yang tradisional.

Saya mencadangkan pengkritik yang berhajat menggunakan pendekatan ini, boleh memilih novel `Mereka yang tertewas` karya Hasanuddin Md Isa dijadikan sebagai teks kajian. Berasaskan pengalaman membaca noveltersebut, sayaa percaya pendekatan puitika Melayu dapat membuktikan puitika Melayu yang merangkumi lima aspek keindahan yang ditumpukan dalam teori Puitika Sastera Melayu.

1 comment: