SELAYANG PANDANG

Selamat datang kepada pengunjung peminat dan penggiat kesusasteraan, khususnya yang berminat dalam bidang teori, kritikan dan penulisan puisi ke blog Teori dan Kritikan Sastera. Blog ini menyediakan maklumat akademik berkaitan sejarah dan perkembangan bidang ilmu teori dan kritikan sastera di Barat dan di Malaysia. Selain itu, terdapat juga sisipan puisi, peribahasa dan pelbagai informasi tentang kegiatan kesusasteraan tanah air. Anda juga boleh kunjungi laman blog puisi saya di http://anjungpuisi.blogspot.com/ Semoga ilmu yang dikongsi dalam blog ini dapat memanfaatkan perkembangan ilmu saudara/i ke arah memahami dan mengenali kebesaran dan keluasan ilmu Allah SWT. - a.halim ali

Monday, January 25, 2010

FUNGSI KRITIKAN

Kritikan mempunyai peranan yang penting dalam perkembangan sastera. Peranan kritikan sastera menjadi pelengkap yang membentuk kesepaduan disiplin ilmu sastera. Berasaskan kepada sifatnya sebagai bidang yang bertujuan menyediakan ruang untuk pengkritiknmelakukan penilaian, maka, kritikan dapat dirumuskan mempunyai bebrapa fungsi seperti `alat` timbang atau neraca, pengukur,penilai, pendorong, pendidik dan juga berfungsi membina ilmu baharu.
Kritikan menjadi neraca untuk membuat pertimbangan-pertimbangan nilai terhadap sesebuah karya. Oleh itu, untuk meninjau peranan kritikan, pelbagai aspek perlu difahami seperti makna kritikan itu, huraian-huraian dan prinsip-prinsip mahupun instrumen yang digunakan. Tujuan kritikan juga harus diambilkira kerana tujuan pengkritik itu akan menjustifikasikan kritikannya.
Kritikan tentunya juga berfungsi sebagai pengukur yang memberi pertimbangan-pertimbangan baik buruk, positif negatif, objektif mahupun subjektif atau tinggi atau rendahnya mutu yang membawa kepada penerimaan atau penolakan terhadap sesuatu karya itu. Dengan instrumen teoretikal dan metodologikal yang sistematik, kritikan akan dapat membuat pengukuran-pengukuran yang terperinci dan hasilnya tentulah akan menggambarkan kesebenarannya. Tugas melaksanakan pengukuran ini bukannya mudah, malah ia menuntut kepada ketelitian, pengamatan dan penghayatan yang sangat tinggi terhadap sesuatu karya. Sehingga hasil pengukurannya tidak mudah untuk ditolak atau diketepikan sahaja. Dengan pengukuran itu, khalayak pembaca akan dapat membuat pertimbangan sama ada mahu menerima atau menolak sesebuah karya itu.
Kritikan juga dapat membantu membina teori dan pendekatan baharu. Berasaskan kritikan yang dibuat terhadap sesebuah teks, akan mendorong kelahiran teori atau pendekatan baharu. Dalam keadaan ini, pendekatan dan teori kritikan akan sentiasa mengalami perubahan, modifikasi dan perkembangan apabila muncul teori-teori yang lebih terkini. Misalnya, pendekatan strukturalisme telah dikembangkan oleh Jaque Derrida dengan pendekatan baharu yang disebut poststrukturalisme. Demikian juga pendekatan sejarah, telah memunculkan praktis pensejarahan baharu (New Historicism) dengan kerangka pemikiran yang baharu pula. Pertumbuhan dan perkembangan teori sejak awal kemunculannya pada era Yunani hingga ke hari ini adalah bergerak atas landasan kritikan. Secara interteori, kritikan akan membantu memperluaskan perkembangan sastera dari semasa ke semasa dengan pelbagai pembaharuan yang menakjubkan. Kritikan dalam konteks ini menunjangi perluasan dan pengembangan ilmu baharu, khususnya dalam disiplin kesusasteraan itu sendiri.

No comments:

Post a Comment