SELAYANG PANDANG

Selamat datang kepada pengunjung peminat dan penggiat kesusasteraan, khususnya yang berminat dalam bidang teori, kritikan dan penulisan puisi ke blog Teori dan Kritikan Sastera. Blog ini menyediakan maklumat akademik berkaitan sejarah dan perkembangan bidang ilmu teori dan kritikan sastera di Barat dan di Malaysia. Selain itu, terdapat juga sisipan puisi, peribahasa dan pelbagai informasi tentang kegiatan kesusasteraan tanah air. Anda juga boleh kunjungi laman blog puisi saya di http://anjungpuisi.blogspot.com/ Semoga ilmu yang dikongsi dalam blog ini dapat memanfaatkan perkembangan ilmu saudara/i ke arah memahami dan mengenali kebesaran dan keluasan ilmu Allah SWT. - a.halim ali

Sunday, January 31, 2010

KEPERLUAN UNTUK MENJADI PENGKRITIK SASTERA

Meskipun, pengkritik memiliki kemampuan untuk melakukan kritikan terhadap teks kesusasteraan, pengarang mahupun pembaca, namun mereka tidak boleh melakukan kritikan itu sewenang-wenangnya. Ada aturan yang tersedia yang perlu digunakan dalam kerja-kerja kritikan, ada norma-norma yang tertentu yang perlu diikuti supaya cara berkerja lebih terarah, sistematik dan boleh dipertanggungjawabkan.
Dalam kerja-kerja mengkritik, pengkritik bersemuka dengan objek utamanya iaitu teks, pembaca dan juga pengarang. Ketika berhadap dengan semua ini, sepatutnya telah tersedia pada pengkritik itu beberapa keperluan asas yang selayaknya dimiliki. Sebagaimana seorang doktor yang akan membedah pesakitnya, maka sudah pasti yang penting ada pada doktor itu ilmu tentang pembedahan, perkakas dan kaedah pembedahan. Seorang doktor tidak sembarangan melakukan pembedahan, sebaliknya menghalusi tanda-tanda penyakit, memilih pendekatan yang paling strategik supaya dapat dibongkar punca penyakit dan menyembuhkannya dengan kadar hasil yang paling maksimum.
Demikianlah halnya dengan pengkritik. Keperluan ilmu tentang kritikan adalah keperluan yang paling asas. Malah mereka juga harus menguasai ilmu tentang teori sastera yang kelak akan digunakan sebagai perkakas untuk mengoperasi karya sastera. Kombinasi dari ilmu yang diintegrasikan itu (teori dan kritikan) meletakkan seseorang pengkritik itu dalam keadaan yang `bersedia` dengan tugas yang bakal dilaksanakannya.
Selain daripada keperluan ilmu yang menunjangi keupayaannya dalam bidang ini, pengkritik juga perlu melakukan penjelajahan ke dalam karya. Dalam penjelajahan itu, pengkritik boleh bermula dengan membaca, kemudian mengamati dan seterusnya menghayati (mengapresiasi) karya sastera. Dalam proses tersebut, wajar pengkritik mengemukakan persoalan-persoalan baik kepada karya itu atau kepada diri sendiri, kemudian mengusahakan jawapan berlandaskan ilmu yang dimilikinya. Banyak cara yang boleh dilakukan oleh pengkritik untuk memenuhi tuntutan penjelajahannya. Pengkritik boleh menempatkan dirinya dalam karya atau melihatnya dari luar atau kedua-dua cara berkenaan.
Setelah selesai penjelajahan, maka pengkritik memasuki peringkat seterusnya iaitu analisis. Peringkat ini menuntut pengkritik bersedia dengan perkakas teoretikal supaya penemuan pada peringkat penjelajahan dapat diserasikan dengan perkakas yang digunakan. Perkakas yang dimaksudkan di sini ialah teori. Untuk memasukkan penemuan dalam kelongsong teori itu, memerlukan kesesuaian kerangka berfikir. Kerangka berfikir ini ialah sikap dan pandangan pengkritik dalam kerja-kerja kritiknya. Sikap dan pandangan inilah yang disebut sebagai pendekatan. Atar Semi (1989) menyenaraikan empat langkah yang lazimnya diikuti oleh seseorang pengkritik yang menjalankan operasi kritikan. Langkah-langkah tersebut ialah:-

1. Menjelajah dengan melakukan penikmatan, membuat tafsiran-tafsiran terhadap
teks. Langkah ini hendaklah disertai dengan sikap `serba menanya` terhadap
teks.
2. Menempatkan diri dalam teks.
3. Memberikan dasar-dasar penilaian sebagai tolok ukur untuk menyatakan baik
buruk sesebuah karya.
4. Membuka diri kepada nilaian baharu.

.....bersambung.

1 comment:

  1. ehm..tq...sebab memudahkan saya untuk belajar kritikan sastera...

    ReplyDelete