SELAYANG PANDANG

Selamat datang kepada pengunjung peminat dan penggiat kesusasteraan, khususnya yang berminat dalam bidang teori, kritikan dan penulisan puisi ke blog Teori dan Kritikan Sastera. Blog ini menyediakan maklumat akademik berkaitan sejarah dan perkembangan bidang ilmu teori dan kritikan sastera di Barat dan di Malaysia. Selain itu, terdapat juga sisipan puisi, peribahasa dan pelbagai informasi tentang kegiatan kesusasteraan tanah air. Anda juga boleh kunjungi laman blog puisi saya di http://anjungpuisi.blogspot.com/ Semoga ilmu yang dikongsi dalam blog ini dapat memanfaatkan perkembangan ilmu saudara/i ke arah memahami dan mengenali kebesaran dan keluasan ilmu Allah SWT. - a.halim ali

Friday, January 1, 2010

KRITIKAN EKSPRESIF

Kritikan Ekpresif melihat hubungan karya sastera dengan pengarangnya. Karya sastera yang dihasilkan pengarang merupakan sebuah ekspresi diri pengarang yang terhasil daripada tanggapan-tanggapan, persepsi, pemikiran dan imaginasi pengarang itu sendiri. Pengarang menggunakan segala upaya dirinya dengan cara mencurahkan atau melontarkan idea, perasaaan, pemikirannya dalam bentuk karya.
Kritikan ini juga mempunyai sejarahnya tersendiri dan berkembang dalam era romantisisme yang percaya bahawa karya sastera adalah sesuatu yang sangat luhur dan suci. Pengkarya pula dengan sedar mampu mengolah, mengubah dan memperhalusi karyanya dengan sangat bijaksana. Pengkarya dianggap sebagai genius kerana kemampuannya merakam dan mengolah sesuatu yang `diwahyukan` (kebenaran) yang mana kemampuan itu tidak dimiliki oleh orang lain.
Kritikan ini cenderung mengukur dan menilai karya sastera dengan kesesuaian dengan penglihatan batin individu pengarang atau keadaan fikirannya (Rachmat Djoko Pradopo,1997:27). Untuk melakukan kritikan ini, pengkritik harus melihat dan menganalisis dalaman teks bagi menjelaskan sikap, perasaan dan pengalaman-pengalaman pengarang. Daripada analisis itulah, kesimpulan dapat ditanggap bahawa, karya itu dihasilkan dalam waktu pengarang berada dalam keadaan sedar, bawah sedar dan sebagainya.

No comments:

Post a Comment