SELAYANG PANDANG

Selamat datang kepada pengunjung peminat dan penggiat kesusasteraan, khususnya yang berminat dalam bidang teori, kritikan dan penulisan puisi ke blog Teori dan Kritikan Sastera. Blog ini menyediakan maklumat akademik berkaitan sejarah dan perkembangan bidang ilmu teori dan kritikan sastera di Barat dan di Malaysia. Selain itu, terdapat juga sisipan puisi, peribahasa dan pelbagai informasi tentang kegiatan kesusasteraan tanah air. Anda juga boleh kunjungi laman blog puisi saya di http://anjungpuisi.blogspot.com/ Semoga ilmu yang dikongsi dalam blog ini dapat memanfaatkan perkembangan ilmu saudara/i ke arah memahami dan mengenali kebesaran dan keluasan ilmu Allah SWT. - a.halim ali

Thursday, November 19, 2009

FAKTOR YANG MEMPENGARUHI PERKEMBANGAN TEORI SASTERA MALAYSIA

Sebagaimana teori-teori kesusasteraan yang tumbuh dan berkembang di Barat, pertumbuhan dan perkembangan teori-teori kesusasteraan tempatan juga dipengaruhi oleh beberapa faktor. Pada peringkat awal perkembangan, tidak ramai sarjana dan penganalisis sastera Melayu yang melihat kepentingan kepada memiliki teori sendiri. Sebaliknya mereka lebih selesa mengguna dan mempraktikkan teori-teori dan pendekatan-pendekatan yang diimport dari Barat dalam kerja-kerja kritikan sastera.
Oleh itu, ramai dalam kalangan para penganalisis dan sarjana Melayu yang terpengaruh dengan idea-idea teori Formalisme, Strukturalisme, Sosialisme, New Criticism dan sebagainya. Nama-nama pengkritik tempatan seperti Yahya Ismail, Shahnon Ahmad, A. Wahab Ali, Hashim Awang, Baha Zain, Kasim Ahmad, Umar Junus, Ramli Isin, Mana Sikana, Rahman Shaari Supardi Muradi, Muhammad Haji Salleh dikatakan amat akrab dengan teori-teori dan pendekatan-pendekatan serta aliran-aliran barat.
Walau bagaimanapun dalam tahun-tahun 1980an, mereka mula menyedari akan kekurangan-kekurangan memiliki sikap kebergantungan kepada teori-teori Barat. Shahnon Ahmad seawal tahun 1980-an mula beralih kepada pemikiran Islam dan mengisytiharkan diri sebagai penganut sastera. Sikap Shahnon melambangkan ketidakpercayaan terhadap prinsip-prinsip kesusasteraan Barat yang ditanggapi menerusi teori-teori dan pemikiran yang tidak berlandaskan kepada Islam. Sikap prejudis dan pesimis terhadap teori-teori Barat mula membuak. Hashim Awang, Mohd Affandi Hassan, Shafie Abu Bakar, Mana Sikana, Mohd Kamal Hassan, Sahlan Mohd Saman, banyak menyuarakan pandangan yang membayangkan kepada perlunya kesusasteraan tempatan memiliki teori sastera dan teori kritikan sendiri.
Berasaskan kepada perkembangan yang berlaku, khususnya dalam tahun-tahun 1980-an dan 1990-an, beberapa kesimpulan dapat diunjurkan bagi menjelaskan faktor-faktor yang mempengaruhi kemunculan teori-teori kesusasteraan tempatan. Antaranya ialah kelemahan teori-teori Barat, kebangkitan pengaruh Islam, kesedaran intelektual dan tuntutan kritikan berasaskan nilai-nilai tempatan.

Kelemahan teori kesusasteraan Barat

Teori-teori kesusasteraan tempatan terbina di atas beberapa kesedaran tentang kelemahan teori Barat dan juga keperluan kepada teori kesusasteraan tempatan yang benar-benar dapat menghasilkan interpertasi yang menjangkau ke dasar jatidiri Melayu dan Islam. Ini terkesan daripada Puitika Sastera Melayu, Pengkaedahan Melayu, Persuratan Baharu dan teori Takmilah.
Hashim Awang (1997) menegaskan bahawa, model-model teori yang dikemukakan oleh sarjana Barat, tidak lengkap, bersifat berat sebelah dan memberi perhatian kepada satu-satu aspek sahaja. Oleh itu, teori sentiasa berada dalam keadaan tidak stabil dan terdedah kepada idea-idea baharu yang bersifat menentang atau mengubahsuai mana bahagian yang dianggap lemah. Ini dapat dilihat kepada perkembangan dalam New Criticism dengan tokoh-tokoh besarnya seperti I.A.Richards, T.S.Elliot, John Crown Ransom dan ramai lagi. Demikian juga dengan teori-teori Kesusasteraan Marxisme, Strukturalisme, Pasca- Strukturalisme, Teori Psikoanalisis hinggalah kepada teori-teori kesusasteraan dalam era pascamoden.
Shafie Abu Bakar bertolak dari idea yang serupa, lalu membawa diri dari teori-teori Barat itu ke dalam pemikiran Islam. Shafie beranggapan, teori-teori Barat tidak dapat menyelongkari makna seakrabnya dengan karya-karya penulis Islam. Teori-teori kesusasteraan Barat pada Shafie tidak mampu mempertalikan hubungan manusia secara bathiniah di antara dirinya dengan Pencipta-Nya (Allah). Demikian juga untuk membuktikan kesignifikasian hubungan sastera dengan tanggungjawab kemusliman terhadap penulisannya di sisi Islam.
Demikian juga pandangan Mohd Affandi Hassan yang melihat kesusasteraan itu tidak terbatas hanya kepada kegiatan kesasteraan, sebagaimana yang telah ditonjolkan oleh penulis Barat atau sesetengah penulis-penulis Islam yang terpengaruh dengan konsep kesusasteraan Barat itu. Menurut Affandi, kita sepatutnya memanfaatkan segala hasil sastera dunia yang terbaik dalam satu kurikulum pendidikan estetika yang menyeluruh, yang asasnya ialah nilai-nilai mutlak daripada ajaran tauhid (Mohd Affandi Hassan.1992:4). Mohd Affandi memetik pandangan Soheir el-Kalamawy dan Mahmoud Ali Makky dalam tulisan mereka yang berjudul `Arabic Literature` yang melihat pengaruh kesusasteraan barat berserta dengan gugusan teorinya dalam sistem pendidikan negara telah menyebabkan orang-orang Islam tidak mengenal tradisi persuratan Islam yang kaya dan besar pengaruhnya dalam kesusasteraan Eropah itu. Para pelajar dan guru tidak didedahkan dengan teori-teori kesusasteraan Islam sebagaimana yang dihasilkan oleh tokoh-tokoh Islam seperti Abd al-Qadhir al-jurjani dan lain-lain (Mohd Affandi Hassan.1992:5).
Berdasarkan kepada pandangan beberapa tokoh penteori ini, kelemahan teori kesusasteraan Barat menjadi sebab yang agak kuat mempengaruhi kelahiran teori-teori kesusasteraan tempatan. Perkara ini kelihatan bergerak atas landasan yang sama dengan pemikiran sarjana Barat yang turut melihat teori-teori kesusasteraan yang lahir sebelum atau sezaman dengan mereka mempunyai banyak kelemahan tertentu. Cuma, Hashim Awang, Muhammad Haji Salleh membina kerangka teori berasaskan ramuan tempatan yang masih asli dan tidak terusik oleh pemikiran penteori Barat.
Demikianlah halnya dengan Mana Sikana, yang melihat hegemoni teori-teori kesusasteraan Barat dalam kesusasteraan Melayu sebagai sesuatu yang tidak wajar, kerana baginya, teori-teori Barat telah memancarkan konsepsi sastera kita yang tidak jatidiri dan kurang seiring dengan konteks sosiobudaya di negara ini, akibatnya masyarakat sastera kita terumbang ambing dengan bumi sastera yang mereka pijak. Oleh itu, Mana Sikana menyebutkan bahawa, wacana Teksdealisme yang dikemukakan adalah satu usaha yang dapat menawarkan jalan alternatif lain yang barangkali lebih secocok dengan khazanah sastera Melayu.
Shafie Abu Bakar dan Mohd Affandi Hassan pula secara bulat menganjakkan paradigma dengan meletakkan Islam sebagai tempat dikembalikan segala pandangan, sikap dan prinsip teori kesusasteraan. Meskipun teori kesusasteraan Islam sebagaimana yang diutarakan oleh mereka, sememangnya sudah wujud sejak berabad lalu. Lutfi Abas dalam pembentangan kertas kerjanya pada Seminar Teori Kesusasteraan Islam di hotel Renaissance Palm Garden, Puchong pada 26-28 September 2000 lalu menegaskan bahawa, teori kesusasteraan Islam sememangnya sudah wujud sejak zaman Rasulullah lagi, demikian juga dalam era al-Ghazali, yang dibuat oleh beberapa sarjana di sini hanya satu kelangsungan atas apa yang sudah sedia ada, melainkan berbeza pada namanya saja.
Berasaskan pandangan beberapa tokoh ini, kita dapat menanggapi bahawa sebab utama kemunculan teori-teori kesusasteraan tempatan adalah satu refleksi daripada teori-teori kesusasteraan Barat yang diyakini sarat dengan kelemahan-kelemahan. Dari kelemahan itu bermulalah proses pencarian dan pembinaan teori yang lebih jati diri prinsipnya, yang disifatkan oleh Muhammad Haji Salleh sebagai `mengembalikan falsafah Malaysia kepada seninya`(Muhammad Haji Salleh 2000:x).

Perkembangan pemikiran Islam

Isu-isu yang berkaitan dengan agama Islam sememangnya sudah muncul dalam karya sastera Melayu tradisional. Menurut Ismail Hamid (1990) dorongan dakwah dan penerapan nilai-nilai Islam dalam masyarakat Melayu lama telah menyumbang kepada kelahiran sastera Melayu yang bercorak Islam. Kebanyakan karya adalah jenis hikayat yang disadur dari kesusasteraan Arab, khususnya cerita-cerita tentang Nabi Muhammad.
Walau bagaimanapun, gerakan pembaharuan dalam sastera Melayu dan kritikan terhadap warisan lama telah menimbulkan satu pemberontakan terhadap budaya Melayu lama sehingga kaum sasterawan Melayu tidak lagi mencari ilham penulisan daripada sumber budaya yang tidak berteraskan Islam (Ismail Hamid,1990.122). Agama Islam tidak dijadikan wahana atau dasar pengungkapan kesusasteraan Melayu baik era pramerdeka atau pascamerdeka. Kemasukan dan pengaruh teori-teori dari Barat menenggelamkan peranan agama Islam itu sendiri.
Modenisme telah menyaksikan penolakan terhadap Islam dalam bidang kesusasteraan Melayu, sebagaimana modenisme yang meminggirkan ajaran moral dan mendatangkan kemusnahan hidup dalam masyarakat Eropah pada awal abad ke-20. Walau bagaimanapun, keadaan ini telah berubah menjelang tahun-tahun 1970-an, apabila keinginan untuk kembali kepada Islam itu mula kedengaran. Ustaz Yusof Zaky Yaacob, Shahnon Ahmad, Uthman El-Muhammady dan Kamal Hassan adalah di antara tokoh penting di sebalik pemugaran sastera Islam.
Ekoran daripada gesaan itu banyaklah seminar dan kolokium tentang sastera Islam ini diadakan. Banyak faktor yang membantu situasi ini berkembang, antaranya ialah tercetusnya era kebangkitan Islam di Asia Tenggara, pengaruh gerakan Islam dari timur tengah dan kemunculan badan-badan berasaskan Islam di negara ini seperti ABIM, penglibatan kerajaan dan penubuhan institusi seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (Shafie Abu Bakar 2000:432).
Perkembangan ini telah merubah pendirian dan sikap ramai tokoh sastera Melayu yang sebelum ini sangat tebal dengan kesusasteraan Barat. Shahnon Ahmad adalah tokoh terawal yang memisahkan diri dari teori-teori Barat dan mengisytiharkan diri sebagai peminat serta penganut sastera Islam. Beberapa orang penyair era 1980-an seperti Kemala, Suhaimi Haji Muhammad juga telah beralih kepada puisi-puisi berunsur Islam.
Islam tidak lagi dilihat dari sudut yang sempit yang terbatas kepada bab-bab hukum fekah dan ibadat khusus semata-mata. Islam telah diyakini oleh ramai sarjana dan tokoh sastera Melayu pada waktu itu sebagai kemuncak pencarian yang dapat membawa khalayak ke makam ma’rifatullah. Kesusasteraan bagi orang-orang Melayu yang beragama Islam tidak dilihat atas sifat, bentuk dan struktur yang membina kesasteraanya semata-mata, tetapi ia berkait rapat dengan penanggungjawaban di sisi Penciptanya dalam dua hubungan, iaitu hubungan hamba [pengarang/sasterawan] sesama hamba dan hubungan hamba [pengarang/sasterawan] dengan Allah.
Beberapa tokoh sastera Melayu seperti Ustaz Yusof Zaky Yaacob, Uthman El-Muhammady, Kamal Hassan telah merintis pemikiran yang bersifat teoretikal terhadap kesusasteraan Islam, dengan memberi definisi-definisi yang tertentu terhadap kesusasteraan Islam. Yusof Zaky Yaacob misalnya, melihat kesusasteraan Islam sebagai sastera dakwah, Uthman El-Muhammady pula berpendapat sastera Islam ialah sastera Mukaddas, Mohd Kamal Hassan berpendapat sastera Islam ialah sastera yang lahir daripada penulis yang komited dengan pandangan Islam dan sistem nilainya, manakala Ismail Ibrahim menyatakan sastera Islam ialah hasil tulisan yang berasaskan tauhid (Shafie Abu Bakar 2000.432).
Shahnon Ahmad memasuki sempadan teoretikal dan dengan lebih serius apabila membicara konsep kesusasteraan Islam secara mendalam menerusi bukunya yang berjudul `Kesusasteraan dan Etika Islam`. Shahnon menegaskan bahawa kesusasteraan Islam itu ialah kesusasteraan kerana Allah dan berhikmah kepada manusia sejagat (Shahnon Ahmad,1981:3). Berdasarkan kepada sifat manusia sebagai hamba Allah [abdullah-abdullah], maka kita hanya menjalankan peranan kita dalam kegiatan sastera sebagai salah satu kegiatan tatahidup yang suci (Shahnon Ahmad,1981:122).
Menyusuri pandangan-pandangan yang dikemukakan oleh beberapa orang tokoh sastera Melayu ini, kita tentunya dapat mencium aroma teoritikal yang mula membenih. Tetapi yang lebih penting dari itu ialah kepadanan pandangan mereka yang dilandaskan secara sedar di atas landasan agama Islam. Istilah-istilah Islam seperti dakwah, makaddas, tauhid dan hikmah adalah istilah-istilah Islam yang dipilih khusus bagi menggambarkan keIslaman sastera dari sudut pengertiannya.
Perkembangan pemikiran Islam dalam kalangan para sarjana dan pemikir tempatan telah memasuki sempadan kesusasteraan dan menjadi penyubur yang menumbuhi aroma keislaman dalam pembinaan teori-teori kesusasteraan. Beberapa orang tokoh pemikir sastera seperti Ustaz Yusof Zaky Yaakob, Shafie Abu Bakar, Ismail Ibrahim, Mohd Kamal Hassan, Mana Sikana sememangnya mempunyai latar belakang pendidikan agama Islam yang tinggi. Oleh itu, tidak hairan, desakan dan suara-suara yang menyerukan kepada pembinaan teori kesusasteraan tempatan berasaskan Islam dan Melayu kedengaran dan berkumandang dari kelompak ini. Ada baiknya kita meninjau buah fikiran Mohd Affandi Hassan dan Shafie Abu Bakar terhadap kesusasteraan Islam dan teori yang digagaskan.

Mohd Affandi Hassan seawal wacananya telah menetapkan pendirian pada landasan Islam. Katanya:

`Kita sepatutnya memanfaatkan segala hasil sastera dunia yang terbaik dalam satu kurikulum pendidikan estetika yang menyeluruh, yang asasnya ialah nilai-nilai mutlak daripada ajaran tauhid. Dengan itu perbicaraan tentang sastera Islam akan lebih jelas, lebih terarah kepada memahami worldview Islam dalam kesenian dengan pendekatan tauhid ini..’
(Mohd Affandi Hassan, 1992:4)

Mohd Affandi juga membahas fungsi kesusasteraan dari pandangan Barat dan Islam. Menurut Mohd Affandi:

`kesusasteraan Barat lebih mementingkan aspek fictionaliti, sifat khayalan dan imaginatif, rekaan dan `ciptaan` manusia yang berbakat seni. Konsep fictionality ini adalah lanjutan daripada konsep mimesis, peniruan tentang alam: dengan itu seni dalam konteks ini sifatnya reprentational.`

(Mohd Affandi Hassan 1992.24).

Menurut Mohd Affandi, kesusasteraan dalam Islam ialah sejenis amal manusia yang menggunakan daya kreatif (bakat yang diamanahkan) dicipta dengan menggunakan bahasa yang indah dan teknik yang berkesan untuk memberi makna yang sedalam-dalamnya tentang hakikat insan dan hakikat ilmu serta amal (Mohd Affandi Hassan 1992.25). Jelasnya Mohd Affandi menolak teori kesusasteraan Barat yang dianggap sebagai gagal membawa manusia mengenal hakikat diri dan Penciptanya. Kesusasteraan sebagaimana amal-amal yang lain mestilah dijuruskan kepada pengabdian kepada Allah. Itulah yang semestinya dilakukan oleh para penteori, sasterawan, penulis, khalayak dan segala kegiatan kesusasteraan itu. Pandangan Mohd Affandi dapat disandarkan kepada Firman Allah S.W.T. dalam Surah Adz- Dzaariyaat ayat 56, bermaksud;

`Tidak Aku jadikan jin dan manusia, melainkan supaya mereka mengabdikan diri hanya kepada Allah’

Oleh itu, fungsi kesusasteraan Barat tersasar dari tujuan asal manusia (termasuk penteori/sasterawan/penulis/ khalayak) itu dijadikan. Teori kesusasteraan Barat tidak dapat menghubungkan seni sastera dengan konsep amanah yang bertauat pada hakikat tauhid sebagaimana yang tertuntut dalam Islam. Oleh sebab itu, Mohd Affandi menjelaskan bahawa `Seniman Islam berkarya untuk menyembah Allah, manakala seniman Barat berkarya untuk menyembah hasil seni atau hawa nafsunya (Mohd Affandi Hassan.1992.25).
Teori Takmilah juga digerakkan atas landasan agama (Islam). Prinsip asas teori ini ialah tauhid. Tauhid adalah paksi yang mencirikan keIslaman dan membezakannya daripada agama dan pegangan-pegangan yang lain (Shafie Abu Bakar.1995:133). Tauhid menjadi pusat yang mengembalikan segala tindak tanduk, pengucapan dan niat seseorang Islam.Tauhidlah juga yang memancarkan sinar keislaman dari sebarang perilaku, tindakan dan perbuatan seseorang manusia. Al Faruqi (1982) menyebutkan bahawa, tauhid memenuhi kesedaran orang Islam yang obses dalam sublimasinya. Shafie menyandarkan asas teorinya pada prinsip Islam yang paling asas ini. Bagi Shafie, falsafah ketauhidan yang diyakini ini adalah falsafah yang benar, pasti, jelas dari suatu realiti yang hakiki terjelma dalam pendekatan ilmu, seni dan sasteranya. Menurut Sarwar (1976) prinsip inilah yang sepatutnya menjadi kerangka segala pendekatan keislaman.
Shafie mengemukakan istilah `Takmilah` bagi melengkapi makna harfiah teori kesusasteraannya yang berlandaskan agama Islam itu. Takmilah membawa maksud menjadikan lebih sempurna (Shafie Abu Bakar 1997:129). Shafie menggunakan istilah ini bagi melihat pada tahap awal bahawa sastera dan lebih luas seni yang amat menekankan keindahan (estetika). Puncak keindahan yang dilihat oleh teori ini ialah keindahan yang menjadi satu sifat dalam zat Allah (al-Jamal) itu sendiri.
Istilah Takmilah itu dengan sendirinya bertalian dengan sifat Allah yang root katanya berasal dari kata Kamal yang bertalian pula dengan Tajmilah yang berasal dari Jamal yang ciri sastera bertolak darinya mengarah kepada takmilah (Shafie Abu Bakar.1997:129-130). Berdasarkan kepada istilah inilah, Shafie percaya bahawa, semua proses kepengkaryaan (pengkarya, karya dan khalayak) adalah satu proses menuju kepada kesempurnaan. Kesempurnaan kepengkaryaan dalam konteks Islam boleh kita fahami sebagai segala perilaku, niat dan pengucapan yang terlibat dan dilibatkan dalam proses kepengkaryaan itu akhirnya menuju dan dituju atau mengarah kepada sentral Islam iaitu tauhid.
Kesusasteraan dalam rangka tauhid adalah sama kedudukannya dengan ilmu-ilmu lain yang tidak terkeluar dari bidang keislamannya. Ini bermakna rentak dan lenggang lengguk kesusasteraan harus dikawal supaya berada atas landasan yang betul dan selari dengan tuntutan tauhid. Sebarang percanggahan dengan akidah, hukum, perundangan dan nilai-nilai Keislaman, sesungguhnya ianya bertentangan dengan prinsip tauhid (Shafie Abu Bakar.1997:131).
Bagi menghalusi dan memakna teori ini agar berfungsi sebagai sebuah teori kritikan sastera Islam, Shafie mengemukakan beberapa prinsip teori sebagai landasan kritikan. Prinsip-prinsip tersebut ialah prinsip Ketuhanan yang bersifat Kamal, prinsip Kerasulan yang besifat Kamil, Prinsip Keislaman yang bersifat Akmal, prinsip ilmu dengan sastera yang bersifat takamul, prinsip sastera sendiri yang bercirikan estetika dan bersifat takmilah, prinsip pengkarya yang seharusnya mengistikmalkan diri dan prinsip khalayak yang bersifat memupuk sifat insan kamil (Shafie Abu Bakar 1997.131).
Dalam hubungan ini, Teori Takmilah bertindak dengan dua peranan yang amat akrab iaitu menghubungkan segala aspek yang terlibat dalam proses kepengkaryaan dengan Allah. Keindahan yang terjelma dalam karya sastera seharusnya menjurus kepada keindahan yang hakiki supaya sifat kesusasteraan itu kelihatan sempurna. Shafie menjelaskan bahawa peranan tersebut saling menyokong dan lengkap melengkapkan serta tidak boleh dipisahkan (Ungku Maimunah,1997:10).
Teori Takmilah mengunjur kedudukannya atas landasan Islam dalam rangka falsafah ketauhidan yang bertaut dan ditauti beberapa sifat Allah seperti Kamal, Jamal, Alim, Qadir, Qahhar dan Jalal, kemudian melewati sifat-sifat Rasul, Islam dan ilmu lalu menyerap masuk ke setiap ruang amalan kesusasteraan [yang melibatkan pengkarya, karya dan khalayak]. Praktis kritikannya pula mengunjurkan satu `perjalanan pulang` dari amalan kesusasteraan [yang melibat pengkarya, karya dan khalayak] ke peringkat ilmu, agar ilmu kesusasteraan bermanfaat dan benar, kemudian menyesuaikan diri di peringkat kerasulan, agar pengkarya atau khalayak mencapai tahap insan Kamil dan akhirnya bertaut pada ketauhidan yang menjadi kemuncak kesempurnaannya.
Memahami teori Takmilah, kita akan dapat mengenalpasti dan mengetahui peranan falsafah ketauhidan [sebagai bedrock of Islam] dalam aktiviti kesusasteraan. Teori Takmilah ini memberikan kejelasan kepada arah tujuan dan matlamat kepada kesusasteraan itu sendiri (Ungku Maimunah.1997:21).
Jelasnya, Shafie Abu Bakar dan Mohd Affandi Hassan mempunyai matlamat kesusasteraan yang bersifat ibadah, berpahala dan mendapat keredhaan Allah S.W.T.. Itulah matlamat akhir daripada keseluruhan kegiatan kesusasteraan yang mereka inginkan, sejajar dengan konsep pengabdian diri manusia yang bersifat hamba di sisi Allah. Firman Allah dalam Surah Adz-Dzaariyaat ayat 56, bermaksud:

`Tidak Aku jadikan jin dan manusia, melainkan supaya mereka mengabdikan diri hanya kepada Allah’

Kesedaran intelektual

Tidak dapat dinafikan bahawa, ramai di kalangan sarjana sastera tempatan yang mendapat didikan sastera di Barat membawa pulang bersama mereka teori-teori dan pemikiran sastera barat. Menurut Sahlan (1997), teori-teori yang `diimport` dari Barat itu kemudiannya dikuliahkan, diajar, disebar, dibengkel dan diseminarkan dalam negara ini oleh tokoh-tokoh sarjana Melayu sendiri. Dengan itu teori dan pemikiran sastera dari Barat cepat merebak dan mempengaruhi hampir sebahagian besar penganut sastera Melayu.
Walau bagaimanapun, ada juga dalam kalangan sarjana yang pulang dari Barat memiliki kesedaran intelektual yang tinggi terhadap kesusasteraan tempatan. Mereka inilah yang bangkit membongkar kelemahan-kelemahan teori kesusasteraan Barat dan menjelaskan kepincangan-kepincangan pemikiran Barat dalam menafsir dan menganalisis teks. Hashim Awang adalah tokoh sarjana berpendidikan Barat yang dilihat mempunyai kesedaran intelektual yang tinggi, sehingga beliau melibatkan diri secara langsung dalam menyumbangkan idea bagi membudayakan bidang teori dan kritikan berasaskan pandangan Islam dan nilai-nilai tempatan.
Demikian juga dengan Muhammad Haji Salleh yang dianggap kental dengan didikan Barat, namun kembali beliau tidak larut dalam kebaratan, tidak termakan oleh prinsip-prinsip rapuh teori kesusasteraan bikinan sarjana Barat dan tidak pula memandang idea-idea teoretikal Barat itu sebagai mempunyai kekuatan dalam bidang epistemologi. Pencarian selama tiga puluh tahun tidak pernah menemukan kepuasan dalam diri terhadap sumbangan pemikiran Barat terhadap kesusasteraan nenek moyangnya.
Muhammad meneroka dunia Melayu, menyelongkari jajaran estetika, mencerakin rantaian puitika bagi mendapatkan makna sebenar kesusasteraan Melayu. Usaha Muhammad yang terjelma dalam gagasan Puitika Sastera Melayu (2000) sebagai satu keberhasilan daripada kesedaran intelektualnya yang tinggi terhadap kesusasteraan Melayu. Demikianlah hal dengan beberapa tokoh lain yang turut bangkit atas prinsip keintelektualan dalam menyumbangkan idea dalam pembinaan teori-teori tempatan seperti Ungku Maimunah, Shafie Abu Bakar, Mana Sikana, Mohd Salleh Yaapar, Sahlan Mohd Saman, Mohamad Mokhtar Hassan, Mohamad Daud Mohamad dan ramai lagi.

Pengaruh sarjana dan teori Sastera Barat


Kemunculan teori-teori kesusasteraan tempatan masih tidak dapat memisahkan diri daripada pengaruh pemikiran sarjana dan teori-teori kesusasteraan di Barat. Teori-teori yang dibina baik yang telah melalui proses adaptasi, penyesuaian, modifikasi, penyerapan, penyaringan, hibridisme dan pemantapan masih memperlihatkan campurbaur idea-idea tempatan dan Barat. Teori Teksdealisme misalnya, memperlihatkan banyak pengaruh idea-idea teori Psikoanalisis Harold Bloom dan Jaque Lacan. Malah jika dihalusi ada aroma pascamoden yang merawan dan berjelaga pada prinsip keunggulan teori berkenaan.
Pengaruh Psikoanalisis sangat ketara dalam Teksdealisme, meskipun Mana Sikana telah menyaring, mengubahsuai mana-mana bahagian yang tidak sesuai dan dimantapkan dengan falsafah baharu yang disandarkan kepada konsep keberanian dan kebijaksanaan watak Tuah-Jebat. Walau bagaimanapun, konsep keberanian yang dibangkitkan dalam Teksdealisme sememangnya telah disebutkan oleh Bloom dalam teori Kepengaruhannya.
Demikianlah halnya dengan teori Rasa-Fenomenologi yang diperkenalkan oleh Sohaimi Abdul Aziz. Teori ini merupakan gabungan teori Rasa-dhvani dari India dan teori Estetik Fenomenologi dari Barat. Pengaruh teori dari Barat dan timur ini telah membuka jalan kepada pembinaan teori baharu yang dipercayai lebih menepati citra teoretikal yang melibatkan keseluruhan pihak dalam kepengarangan.
Sebagaimana Mana Sikana, Sohaimi juga bertindak dengan cara mengubahsuai, meminda, menyaring, membina semula serta memberi takrifan baharu terhadap konsep estetik. Dari segi pembinaan asas dan istilah, kedua-dua teori ini ada sedikit kemiripannya. Rasa-Fenomenologi terbina secara hibridisasi dua teori. Konsepnya mendekati intertekstualiti Kristeva dengan suara-suara dialogikal Bakhtin, manakala Istilah Teksdealisme juga terhasil dari hibridisasi dua istilah iaitu teks dan ideal. Kedua-dua teori ini dipengaruhi oleh idea-idea dari penteori bukan tempatan, yakni dari Barat dan Timur (India).
Pengaruh dari pemikiran Barat tidak hanya berlaku pada pembinaan teori, tetapi juga berlaku ke atas teori Konseptual Kata Kunci yang diperkenalkan Mohamad Mokhtar Hassan. Pendekatan ini, meskipun masih baharu di negara ini, namun ia memperlihatkan kehadiran pengaruh pemikiran dari luar yang meresapi pemikiran sarjana tempatan dalam pembinaan pendekatan kritikan.
Teori Konseptual Kata Kunci bertolak daripada tanggapan Anna Wierzika seorang Prosefor Linguistik di Australian National University yang percaya bahawa budaya dan masyarakat boleh ditunjuk atau diperjelaskan kepada umum menerusi kata-kata kunci. Khalayak juga boleh mengenali dan memahami kehidupan, citra dan budaya sesuatu masyarakat dengan cara mendalami dan melihat lapis-lapis makna kata yang hadir bersama kehidupannya.

Keperluan bidang kritikan berasaskan nilai tempatan

Kritikan adalah wahana sastera yang sangat dinamis sifatnya. Oleh itu, kritikan menyumbangkan peranan yang sangat besar dalam kemajuan dan perkembangan sastera. Kesusasteraan tidak mungkin dapat hidup dengan semata-mata bergantung kepada teorinya, kerana kritikanlah yang `memberi nyawa` kepadanya. Keperluan kepada teori kesusasteraan Melayu berkait rapat dengan kegiatan kritikan sastera Melayu itu sendiri.
Telah sekian lama kesusasteraan kita hidup bergantung kepada teori sastera dan pendekatan kritikan Barat. Selama itu jugalah pandangan hidup masyarakat Melayu yang terselindung dalam karya-karya sastera Melayu belum benar-benar mampu dibongkar, kerana teori dan kritikan yang tidak mampu mencecah kedalaman Melayu dan Islam yang menjadi anutan mereka. Teori-teori dan pendekatan moden Barat tidak menyediakan ruang dan jalan rintis yang seafdalnya ke arah itu.
Dalam era pascamoden, keadaan menjadi lebih tidak menentu dan teori-teorinya pula tidak memberi sebarang jaminan terhadap apa-apa kepastian yang cuba dicari. Oleh itu, definisi kritikan sastera dalam kesusasteraan Barat dan kesusasteraan Melayu perlu kepada sedikit pengubahsuaian. Dari pemahaman sarjana Barat, kritikan kesusasteraan satu disiplin yang sistematik yang berusaha untuk menjelas, mengkaji, menganalisis, menginterpetasi dan menilai sesuatu hasil seni (Charless E. Bressler 1999:4). M.A. Abrams (1971) pula menyebutkan kritikan kesusasteraan sebagai satu cabang pengkajian yang berhubung dengan pengertian, penjenisan, penghuraian dan penilaian karya-karya kesussteraan.
Kritikan sastera Melayu mengikut Ungku Maimunah ialah segala tulisan tentang sastera yang memberi kesan kepada perkembangan kesusasteraan termasuk kepada pembacaan dan penerbitan karya sastera (Rahman Shaari, 1994:11). Ungku Maimunah berpendirian, aspek perkembangan sastera turut dilibatkan sebagai satu pertimbangan yang wajar berdasarkan keadaan-keadaan tertentu yang berlaku dalam kesusasteraan Melayu itu sendiri (Rahman Shaari, 1994:10). Ahmad Kamal Abdullah, et al (1990) pula menjelaskan:

`Kritikan harus mengandungi ciri-ciri seperti pengamatan yang kritis, penumpuan terhadap teks sama ada yang tersurat dan tersirat, pemerian apresiasi terhadap keindahan dan kekuatan karya, menilai, membanding, menunjukkan kesalahan dengan niat mempertingkatkan karya, memberi manfaat kepada pembaca dan seluruh peneliti lainnya. Perlakuan itu semestinya dibuat dengan pendekatan-pendekatan tertentu dalam lingkungan kesusasteraan itu sendiri.

Definisi di atas adalah hasil adunan definisi kritikan sastera dari Barat yang disesuaikan dengan pandangan dan keperluan khalayak sastera Melayu. Daripada definisi-definisi tersebut, kritikan sastera Melayu kelihatan lebih bersifat komprehensif berbanding makna kritikan sastera dalam kesusasteraan Barat. Pembangunan sastera dianggap sebagai satu aspek penting yang perlu ada dalam kritikan sastera Melayu. Oleh itu, kritikan sastera Melayu tidak semata-mata menyelongkari teks, tetapi juga membawa sastera itu sendiri kepada kemajuan-kemajuan sastera dan menghubungkannya dengan aspek-aspek yang berada di luar teks.
Di sinilah pentingnya teori kesusasteraan Melayu, yakni untuk memenuhi keperluan dalam bidang kritikan sastera Melayu itu sendiri, yang disifatkan oleh Mana Sikana sebagai bersifat jatidiri dan seiring dengan konteks sosio budaya negara ini. Teori-teori kesusasteraan dan kritikan Barat tidak dapat menjangkau ketinggian falsafah kehidupan orang-orang Melayu dan Islam, kerana sifat sekular dan keterbatasan falsafahnya yang tidak mencecah dasar ketauhidan dan ketuhanan yang haq.

No comments:

Post a Comment