SELAYANG PANDANG

Selamat datang kepada pengunjung peminat dan penggiat kesusasteraan, khususnya yang berminat dalam bidang teori, kritikan dan penulisan puisi ke blog Teori dan Kritikan Sastera. Blog ini menyediakan maklumat akademik berkaitan sejarah dan perkembangan bidang ilmu teori dan kritikan sastera di Barat dan di Malaysia. Selain itu, terdapat juga sisipan puisi, peribahasa dan pelbagai informasi tentang kegiatan kesusasteraan tanah air. Anda juga boleh kunjungi laman blog puisi saya di http://anjungpuisi.blogspot.com/ Semoga ilmu yang dikongsi dalam blog ini dapat memanfaatkan perkembangan ilmu saudara/i ke arah memahami dan mengenali kebesaran dan keluasan ilmu Allah SWT. - a.halim ali

Monday, November 23, 2009

TEORI TAKMILAH


Teori Takmilah diperkenalkan oleh Dr.Shafie Abu Bakar, pensyarah di Jabatan Persuratan Melayu (JPM) Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 1993. Teori ini dianggap satu-satunya teori sastera Islam di Malaysia yang memberi penekanan analisis dan kritikan bersandarkan secara langsung kepada konsep tauhid. Kemunculan teori ini telah membuka jalan alternatif kepada para sarjana dan pengkritik untuk melakukan kajian, analisis, ulasan dan kritikan berasaskan prinsip-prinsip keislaman.
Kritikan sastera berasaskan teori-teori Barat selama ini masih gagal untuk menghubungkan satu pertalian yang bermakna di antara pengkarya, karya dan khalayak dengan pencipta. Kritikannya lebih bersifat luaran dan konseptual tanpa menjurus kepada paksi penglahiran karya secara ma'nawi.
Teori Takmilah muncul hasil daripada pembentangan beberapa siri kertas kerja yang membincangkan teori dan konsep sastera Islam. Pada peringkat awal satu kertas kerja telah dibentangkan oleh Shafie berjudul `Sastera Islam : teori pengindahan dan penyempurnaan dalam rangka tauhid` di Port Dickson pada 29 - 31 Oktober 1992 (Shafie Abu Bakar, 1997). Walau bagaimanapun, istilah Takmilah tidak muncul sebagaimana yang difahami hari ini. Perbincangan umum dalam kertas kerja itu, ternyata telah membuahkan idea kepada Shafie untuk mengagaskan satu kerangka teori yang boleh digunakan sebagai landasan kritikan dan analisis karya.
Istilah `Takmilah` hanya disebut dan diketengahkan sebagai satu gagasan apabila Shafie membentangkan kertas kerja berjudul `Takmilah: teori Sastera Islam` sempena Nadwah Sastera Islam antarabangsa, anjuran Dewan Bahasa Pustaka (DBP) pada 1 - 3 Disember 1993.
Untuk menguat dan mengukuhkan Takmilah sebagai sebuah teori yang dapat menampuh keberhasilan analisis dan kritikan karya, aplikasi pertama telah dilakukan oleh Shafie ke atas kumpulan puisi Kau dan Aku oleh A.Aziz Deraman dan hasilnya telah dibentangkan pada majlis Diskusi Buku Sempena Minggu Sastera Malaysia 1994 di Dewan Bahasa dan Pustaka. Bagi mengukuhkan kerangka teori, Takmilah telah diberikan beberapa prinsip untuk mengangkat legitemasinya (Abdul Halim Ali,1997).
Takmilah dibina atas kepercayaan yang didasarkan kepada konsep kesyumulan. Shafie percaya, segala aspek dan bidang kehidupan manusia terangkum dalam lingkungan tauhid. Sempadan tauhid menjadi garis pemisah yang akan memaknakan sesuatu karya di sisi Takmilah. Oleh itu, bidang sastera yang teradun di dalamnya unsur estetika tidak terkecuali dari ketauhidan ini. Aspek ketauhidan yang memuncakkan kesyumulan itulah menjadi falsafah kepada pembinaan teori Takmilah. Takmilah boleh dianggap satu teori yang bersifat universal yang merangkumkan semua aspek kepengarangan ke dalam acuan Islam. Takmilah menuntut, semua pihak yang berada dalam lingkungan sastera menyedari bahawa, sastera itu sebagaimana juga bidang lain dalam Islam, mempunyai fungsi pelengkap yang akan melengkapkan jati diri keIslaman pada diri seseorang pengarang Islam dan karya yang dihasilkannya. Dengan kata lain, Takmilah menyempurnakan sifat keislaman menerusi sastera.
Dalam Islam, sastera bukan sesuatu yang wajib, tetapi hanya merupakan suatu keperluan yang boleh ditunaikan padanya beberapa tuntutan-tuntutan agama. Dalam hal ini, menunaikan tuntutan Islam itu merupakan suatu kewajipan yang akan mengangkat segala bentuk aktiviti dalam sastera itu sebagai suatu ibadah. Dan, dalam Islam semua ibadah itu disyariatkan hanya kerana Allah, sebagaimana ungkapan lafaz dalam doa Qunu` yang bermaksud sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku dan matiku hanya kerana Allah. Oleh itu, kegiatan sastera, baik yang melibatkan pengarang, teks dan khalayak semestinya bertali arus dan berkait secara berangkai dengan Allah.
Takmilah membuka ruang kepada para pengarang, teks dan khalayak agar dapat diterima hasilnya sebagai sesuatu yang haq dan bernilai (berpahala) di sisi Allah. Sebagaimana bidang-bidang lain yang berangkaian dengan Islam, maka sastera juga tidak terkecuali. Oleh kerana itu Takmilah bertitik tolak daripada asas yang meyakini bahawa semua manusia (temasuk pengkarya/penulis) itu mempunyai tanggungjawab terhadap Allah dan Rasul-Nya serta tidak akan sempurna sifat kepengkaryaan seseorang pengkarya itu, melainkan berusaha untuk membawa karyanya ke tahap yang boleh diterima Allah sebagai ibadah. Oleh itu, sandaran pengkaryaan mengikut teori Takmilah ialah Tauhid. Yakni menanggapi bahawa pengarang, karya dan khalayak tidak boleh memisahkan diri dari lingkungan syariat Allah S.W.T. dan Rasul-Nya.
Asas teori ini amat relevan dengan kehendak Allah supaya semua manusia memilih Islam sebagai satu cara hidup (termasuk kegiatan sastera tadi) yang akan diterima oleh-Nya. Barang siapa mencari agama lain selain Islam maka tidak akan diterima agama itu dan sia-sia di sisi Allah. Firman Allah (Bermaksud);
`Barang siapa mencari agama selain agama Islam, maka tidaklah akan diterma (agama itu) daripadanya dan di akhirat kelak termasuk ke dalam golongan orang-orang yang rugi'- Surah al-Imran, Ayat 85.
Oleh itu, sastera hadir dalam masyarakat semestinya sastera yang menjurus kepada Allah. Segala aktiviti kepengarangan semestinya tidak terkeluar dari landasan Islam, maka dengan itu, hasilnya akan menemukan hakikat kesempurnaan yang akan melengkapkan sebahagian daripada tuntutan iman pada diri pengarang, teks dan khalayak di sisi Allah S.W.T.
Selain menetapkan asas kesyumulan Islam yang menunjangi segala kegiatan sastera, Takmilah juga mengangkat ilmu sebagai sebagai satu media yang akan merealisasikan segala bentuk kegiatan sastera. Untuk mencapai matlamat ketauhidan dalam Sastera ini, maka ilmu menjadi keperluan yang paling asasi di samping sifat kreatif pengkarya itu sendiri. Takmilah menuntut seseorang pengarang memiliki ilmu. Menerusi ilmu ini, seseorang pengarang akan dapat menemukan keagungan Allah, Kekuasaan-Nya dan apa jua yang menjadi tanda-tanda kewujudan Allah di dunia ini, kisah-kisah para Rasul, Sahabat, pejuang-pejuang Islam dan sebagainya dalam karya-karya mereka. Tidak akan sempurna sesebuah karya sastera itu jika hasilnya terkeluar dari prinsip-prinsip ilmu Islam, khususnya asas ilmu yang dapat membawa khalayak dan diri pengarang kepada ma'rifat Allah.
Jelasnya, teori Takmilah membawa diri pengkarya, karya dan khalayak kepada sifat jati diri KeIslaman dalam erti kata sastera itu seperti mana juga bidang-bidang kehidupan yang lain tidak dapat dipisahkan hubungannya daripada Allah yang mempunyai sifat-sifat Kesempurnaan hakiki. Sedang pengarang, karya dan khalayak itu bertanggungjawab dan berusaha untuk mencapai tahap kesempurnaan Islamnya dalam sastera dengan mempertautkan semua aspek pengkaryaan kepada Allah S.W.T.
Dari perspektif Islam, al-Khaliq adalah tunjang estetika yang asasi dan menjadi paksi segala penglahiran unsur-unsur estetika di alam ini. Allah itu indah dan Allah suka kepada keindahan. Keindahan itu pula merupakan salah satu daripada sifat Allah, dan keindahan ini terpancar secara syumul merangkumi segala elemen dalam alam ini.
Keindahan yang menjadi sifat Allah ini, menjadi paksi yang asasi kepada segala aspek estetika, baik yang terungkap mahupun yang tergambar dalam fikiran manusia, terlukis dan tercatat dalam karya mahupun yang tersembunyi. Unsur-unsur estetika ini sewajarnya menuju kepada kesempurnaan makna dan apreasiasi keindahan yang hakiki itu. Keindahan ini juga memancar dan membuahkan keindahan kepada aspek-aspek yang lain pula.
Dalam sastera, aspek estetika menjadi tunjang yang memberi wajah keunikannya berbanding dengan bidang-bidang ilmu yang lain. Aspek estetika dilihat bukan sahaja kepada binaan luaran karya sebagaimana yang dilihat oleh golongan strukturalis, tetapi turut menjangkau kepada unsur dalamannya serta linguistika bahasa yang menyelimutinya. Pelbagai teori yang kebanyakannya dilahirkan oleh sarjana Barat digunakan untuk menganalisis sesuatu karya khususnya untuik menyelongkari nilai estetika yang tersembunyi di dalamnya.
Teori-teori era klasik, moden dan pascamoden yang dihasilkan bermula dari Plato dan Aristotle, teori Formalisme, Moral, Historisisme, Strukturalisme, Semiotik hingga kepada Pascastrukturalisme, Dekonstruksi terus berusaha untuk menggampai makna dan unsur estetik pada sesuatu karya. Namun, hasilnya tidak pernah menjangkau kepada al-Khaliq yang menjadi puncak keindahan. Teori-teori Barat tidak mampu menelurkan analisis yang bersifat berpaksi, sebaliknya hanya mampu menyudahkan sandaran kepada makna yang dicipta sendiri, bukannya kepada makna estetika yang hakiki.
Sedihnya, para sarjana Islam turut terpengaruh dengan gagasan analisis sarjana Barat ini, sekalipun terbukti, teori-teori Barat banyak kelemahan dan tidak mampu menghasilkan analisis yang bermakna. Dalam banyak perkara, teori-teori sastera Barat langsung tidak menyumbangkan kepada peningkatan ilmu yang boleh membawa khalayak kepada mengenal puncak keindahan yang hakiki. Jauh sekali untuk membimbing khalayak kepada beriman kepada `keindahan` yang menjadi salah satu daripada sifat Allah.
Teori Takmilah yang mengalurkan landasan analisis yang bersifat syumuliah yang merangkumkan semua pihak dalam sastera ialah pengkarya, karya dan khalayak kepada al-Khaliq yang menjadi puncak estetik dan bersifat hakiki. Karya, dari sudut Takmilah semestinya sebuah karya yang berjaya menjalinkan satu rangkaian hubungan iman di antara pengkarya dan khalayak kepada Allah. Khalayak pula semestinya mampu meningkatkan imannya atau menghasilkan kritikan yang mampu menyedarkan khalayak lain tentang keimanan kepada Allah. Dan, pengkarya pula semestinya berusaha untuk menghasilkan karya yang dapat menimbulkan kesedaran khalayak terhadap Allah atau mencerakinkan hubungan khalayak dengan Allah. Ketiga-tiga pihak ini bergerak dalam lingkungan tauhid, sebagai sempadan yang akan memperlihatkan sifat kesempurnaannya.
Dengan tidak mengabaikan unsur estetika luaran, Takmilah pergi lebih jauh menjangkau makna keindahan yang lebih kudus dan universal. Bagi Takmilah, keindahan-keindahan yang wujud dan terungkap dalam sesuatu karya tidak semestinya terbatas kepada makna luaran dan berakhir pada tafsiran yang diberikan oleh manusia, tetapi bertalian dengan keindahan hakiki yang menjadi salah satu sifat Allah.
Usaha Shafie Abu Bakar melahirkan teori Takmilah bukan sahaja bertujuan untuk menyediakan landasan analisis teks yang mampu menyelongkari unsur estetika yang lebih syumul, tetapi juga untuk mengangkat teks-teks yang dihasilkan `berpahala` dan diterima Allah sebagai salah satu amal ibadah. Sebagaimana kata Mohd Kamal Hassan ` sebarang commitment sasterawan kepada ideologi dan falsafah hidup yang lain dari Islam seperti humanisme, materialisme, sosialisme, nihilisme atau saintime dengan sendiri tidak melayakkan karya sastera itu digolong sebagai sastera yang setia kepada nilai-nilai Islam`. Jelasnya, karya sedemikian tidak berpahala dan tiada maknanya di sisi Islam. Takmilah muncul sebagai satu pendekatan tauhid untuk memaknakan teks dan mengangkatkan darjatnya di sisi Islam.

4 comments:

  1. Assalamualaikum Dr.Shafie Abu Bakar.

    Terlebih dahulu, saya perkenalkan diri.
    Saya Abd. Ganing, mantan pelajar ijazah sarjana, bahasa Melayu. Saya tertarik dengan teori Takmilah yang Dr. perkenalkan, iaitu cuba menilai/mengkritik karya sastera dari sudut Islam, dan mengislamkan karya sastera, mengislamkan pengkarya sastera, pengkritik sastera, dan khalayak sastera itu sendiri. Dengan kata lain, mengangkat karya sastera pada landasan Islam.

    Tetapi Dr istilah "teori sastera Islam", atau “teori Islam” adalah satu frasa yang mungkin boleh menimbulkan tafsiran yang berbahaya. Bukan salah, tetapi dari segi analisis makna frasa "teori Islam" seoalah-olah Islam itu sebagai satu "teori". Persoalannya ialah, adakah Islam itu satu teori?

    Apa yang faham, teori ialah satu set andaian yang tidak kekal dari segi kebenarannya, manakala Islam adalah satu hukum yang tiada keraguan padanya, dan benar sepanjang zaman. Teori juga sentiasa menerima kritikan, dan banyak teori yang telah lupus.

    Dari segi hukum D-M, diterangkan dan menerangkan, “teori” diterangkan, “Islam” menerangkan. Jika dianalisis dari segi analisis komponen makna, frasa ini membayangkan bahawa teori itu bersifat Islam. Islam sebagai tempelan kepada teori. Atau boleh jafi seperti berikut:

    andaian + hukum = Apa?

    Bagi frasa "sastera Islam" tidak menimbulkan masalah. Ini membayangkan adanya sastera bukan Islam.
    Apa yang mungkin bermasalah ialah Teori Sastera Islam" atau "teori Islam".

    Sebenarnya, saya pernah mengungkapkan istilah “teori kesantunan Islam” dalam tesis Master saya beberapa tahun yang lalu, dan ditegur oleh penyelia saya atas alasan yang saya berikan di atas.

    Cadangannya, lebih selamat apabila saya menggunakan istilah “model Kesantunan Islam”, bukannya teori kesantunan Islam.

    Sekadar berkongsi pengalaman.

    T.kasih Dr.
    Assalamualaikum,

    ReplyDelete
    Replies
    1. Salam Sdr Abg Ganing. tentang penggunaan istilah teori sastera Islam. Terima kasih atas pandangan. Pada umumnya istilah teori sastera Islam diterima bagi menerangkan kelompok bidang ilmu dalam sastera. Dan daripada sudut teori ia berfungsi untuk menafsir fenomena-fenomena atau unsur-unsur Islam yang hadir dalam teks kesusasteraan. Ia tidak bermaksud bagi menerangkan Islam dari sudut pokok ilmu Islam. Teori di sini disandarkan pada bidang ilmu sastera. Dengan bersandarkan atau merujuk pada dasar-dasar pokokm ilmu Islam, maka digagaskan satu aturan atau cara berfikir bagi memudahkan fenomena atau unsur-unsur Islam dalam teks difahami. Saya tidak pernah ketemu dalam bidang teori sastera disebut teori Islam, tetapi disebut teori sastera Islam. Sama halnya dengan bidang teori politik Islam, teori ekonomi Islam dan sebagai sebagainya. Teori menggagaskan idea atau cara berfikir untuk memahami sesuatu fenomena. Bila disebut teori sastera Islam, bermaksud gagasan idea atau cara berfikir untuk memahami sesuatu fenomena berasaskan ajaran Islam. Menggunakan model sebagai landas kritik pun tidak mengapa.cuma model lazimnya terhasil atai berakar daripada sesuatu gagasan idea/kerangka berfikir/konsep/teori.

      Delete
  2. assalamualaikum dr boleh ke kalau saya nak tahu keperbezaan antara teori dr dengan teori-teori yang lain?

    ReplyDelete
  3. Assalamu'alaikum Dr..
    afwan sya nak tanya2 sebab sya masih pemula dalam bidang ini
    kebetulan sya ingin mengkaji salah satu novel karya Najib al-KIlani menggunakan teori takmilah.. tpi ada satu bahagian yg sya masih belum faham iaitu dalam menulis justifikasi atas pemilihan teori tersebut..
    mungkin dr. boleh bagi saran ataupun tahapan2 bagaimana cara nak mulakan menulis justifikasi tentang pemilihan teori takmilah
    terima kasih

    ReplyDelete