SELAYANG PANDANG
Selamat datang kepada pengunjung peminat dan penggiat kesusasteraan, khususnya yang berminat dalam bidang teori, kritikan dan penulisan puisi ke blog Teori dan Kritikan Sastera. Blog ini menyediakan maklumat akademik berkaitan sejarah dan perkembangan bidang ilmu teori dan kritikan sastera di Barat dan di Malaysia. Selain itu, terdapat juga sisipan puisi, peribahasa dan pelbagai informasi tentang kegiatan kesusasteraan tanah air. Anda juga boleh kunjungi laman blog puisi saya di http://anjungpuisi.blogspot.com/ Semoga ilmu yang dikongsi dalam blog ini dapat memanfaatkan perkembangan ilmu saudara/i ke arah memahami dan mengenali kebesaran dan keluasan ilmu Allah SWT. - a.halim ali
Saturday, December 5, 2009
TEORI KONSEPTUAL KATA KUNCI
Teori Konseptual Kata Kunci yang dikemukakan oleh Mohamad Mokhtar Hassan, Profesor Sastera Melayu Jabatan Kesusasteraan Melayu, Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya sebagai praktis kritikan sastera. Gagasan awal idea kepada teori ini buat pertama kali dibentangkan pada Seminar Teori dan Kritikan Melayu Serantau pada 24 -26 September 2001 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur bertempat di Hotel Park Royal.Tidak seperti teori-teori yang dikemukakan oleh Muhammad Haji Salleh, Shafie Abu Bakar dan Mohd Affandi Hassan, Teori Konseptual Kata Kunci tidak berpaut kepada mana-mana sifat jati diri Melayu dan Islam.
Dalam pembinaan teori ini, Mohamad Mokhtar bertolak daripada tanggapan Anna Wierzika seorang Profesor Linguistik di Australian National University yang percaya bahawa budaya dan masyarakat boleh ditunjuk atau diperjelaskan kepada umum menerusi kata-kata kunci. Khalayak juga boleh mengenali dan memahami kehidupan, citra dan budaya sesuatu masyarakat dengan cara mendalami dan melihat lapis-lapis makna kata yang hadir bersama kehidupannya.
Bagi menguatkan keyakinannya terhadap kekuatan kata kunci ini, Mokhtar juga menyandarkan tanggapannya kepada pendapat Hashim Musa. Dalam bukunya yang berjudul Pengantar Falsafah Bahasa, Hashim menjelaskan bahawa `Kata Kunci ialah sejumlah perkataan dalam pembendaharaan kata sesuatu bahasa yang sangat kuat mempengaruhi pembentukan fikiran, konsepsi masyarakat itu tentang kewujudan alam, realiti dan kehidupan mereka`. Beliau turut menukilkan pendapat Reymond Williams yang percaya bahawa kata-kata dan maknanya boleh membentuk tingkah laku sosial dan budaya dalam sesuatu masyarakat.
Berdasarkan kepada pandangan dan dapat dua orang tokoh linguitik itu, Mohamad Mokhtar percaya, bahawa budaya dan tingkah laku sosial dalam karya sastera tidak hanya boleh dilihat dari pandangan Marxisme atau Semiotik, sebaliknya juga dapat ditelusi dengan cara mengamati dan menganalisis kehadiran kata-kata yang dihubungkan secara bermakna dengan kata kunci.
Kata Kunci dalam konteks teori ini bersifat kumulatif yang menggabung dan menghubungkan kata-kata tertentu pada satu rantai makna yang akan menghadirkan makna komprehensif bagi sesebuah karya. Jelas Mokhtar, satu kata kunci tidak wujud secara bersendirian, kerana satu konsep sentiasa berhubung dengan konsep-konsep yang lain. Kata-kata yang terhubung oleh rantai makna ini dikatakan kata kunci. Walau bagaimanapun, kumpulan kata-kata kunci ini akan menjurus atau dijuruskan kepada sebuah kata kunci dasar (Mokhtar menyebutnya sebagai kata dasar) bagi menzahirkan kesignifikasian makna karya.
Ekperimen pertama yang dilakukan oleh Mokhtar bagi memperlihatkan legitimasi teori ialah dengan menganalisis cerpen Usman Awang yang berjudul Surat dari seorang mata-mata. Berdasarkan cerpen tersebut, Mokhtar menemukan beberapa kata kunci yang berkait dengan konsep `kemiskinan`. Antara kata kunci itu ialah, hutang, gadai, melarat, penderitaan, kesempitan, kasihan, lapar, rintihan dan banyak lagi. Kata-kata Kunci ini terhubung di atas rantai makna kemiskinan yang disifatkan oleh Mokhtar sebagai fokus pengkarya dalam penulisannya.
Meneliti teori ini, kita akan didorong atau terdorong oleh bujukan formalis, strukturalis dan golongan kritikan baharu dalam menanggapi dan memahami sesebuah karya sastera. Tidak syak lagi, cara berkerja teori ini menuntut kita untuk tunduk semahu-mahunya kepada aspek tekstual dengan memberi penumpuan dan mencurah keringat mencari kata-kata kunci yang dapat dihubungkan secara bertali dengan kata fokus (saya sebutkan sebagai kata kunci dasar). Proses pencarian ini adalah satu budaya yang telah lama diamalkan oleh formalis dan para pengikutnya, cuma yang berbeza ialah aspek keganjilan atau keanehan yang tidak dititikberatkan dalam teori Konseptual Kata Kunci. Kelebihan teori ini ialah ia menghubungkan aspek tekstual dengan kontekstual.
Teori Konseptual Kata Kunci tentunya bermanfaat kepada para pengkritik sastera, terutama kepada mereka yang akrab dengan dunia linguistik. Mencari kata kunci dan menghubungkannya dengan kata-kata yang seerti, bermakna kita berusaha memperkayakan perbendaharaan kata dari sudut memajukan idea-idea ke arah penjanaan kata-kata seerti atau kata seperangkat yang menjadi induk dalam pengajian ilmu Semantik.
Namun, beberapa perkara wajar diperhalusi supaya teori ini tidak terlalu condong ke arah aspek linguistika yang boleh menyebabkan estetikasi sastera terhijab. Kecenderungan pendekatan seperti ini telah dianggap sebagai tidak membantu menjadikan kesusasteraan sebagai satu bidang yang `praktikal`, sebaliknya terus terkepompong dalam dunia kesasteraan yang tidak berpijak dalam alam nyata. Oleh itu, aspek-aspek kontekstual (seperti pengarang, budaya, institusi, sistem sosial masyarakat, politik dan lain-lain) harus turut dipertimbangkan dengan lebih serius terutama dalam konteks untuk mendekati dan memahami sosio budaya masyarakat Melayu baik di zaman kini mahupun pada zaman lampau.
Selain daripada itu, teori ini juga wajar menimbang persoalan makna (meaning) karya. Teori ini tentunya tidak menjelaskan dengan khusus kedudukan karya dari sudut nilainya. Kriteria-kriteria yang digunakan untuk mengukur dan menetapkan makna karya masih kabur. Apakah ia bergantung kepada signifikasi kata-kata kunci yang ditemui atau kepada diri pengarang yang mahir menjalin dan menumbuhkan kata-kata kunci di dalam karya mereka itu?.
Usia teori ini masih terlalu muda dan hanya diketahui sekitar beberapa tahun lalu. Namun, jalan rintis yang diusahakan oleh Mohamad Mokhtar membayangkan sumbangan besar yang boleh diberikan oleh teori ini dalam memperkaya dan memajukan bidang teori dan kritikan sastera Melayu. Teori Konseptual Kata Kunci mungkin akan mengambil masa yang lebih panjang untuk muncul sebagai sebuah teori yang mantap dan serasi dengan lenggang lengguk kesusasteraan Melayu, kerana kemunculannya bukan dari kekentalan semangat keislaman dan kemelayuan. Sebagaimana juga Teori Rasa-Fenomenologi yang terhasil secara proses hibridisasi oleh Sohaimi Abdul Aziz, saya menjangka teori Konseptual Kata Kunci juga perlu kepada usaha mengakrabkan diri dengan apresiasi masyarakat Melayu yang kental jati diri Melayu dan Islam dalam karya-karyanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment