Sebagaimana genre-genre lain, genre kritikan turut mengalami proses perkembangannya. Kelangsungan tradisi baharu kritikan sastera Melayu yang berkembang dengan baik dalam tahun-tahun 1960-an dan 1970-an telah dikejapkan lagi dengan beberapa faktor dalam era pemantapan. Era pemantapan boleh dikira dari tahun 1980-an sehingga tahun 1990-an. Faktor-faktor yang dimaksudkan itu ialah, munculnya tokoh-tokoh pengkritik baharu, kecenderungan membina teori kritikan sendiri, perkembangan sastera dan teori Islam, kemunculan teori-teori baharu sastera Barat khususnya teori-teori pascamoden, wacana teori dan kritikan yang meluas serta perubahan sikap dalam kalangan sarjana dan pengkritik sastera di Malaysia.
Kecenderungan mengunakan pelbagai teori dan pendekatan kritikan dari Barat sebagaimana yang diterangkan sebelum ini sememangnya terus mewarna dunia kritikan sastera Malaysia. Tambahan pula kemunculan tokoh-tokoh pengkritik baharu seperti Mana Sikana, Sahlan Mohd Saman, Muhammad Haji Salleh, Mohd Affandi Hassan, Ungku Maimunah Mohd Tahir, Salleh Yaapar, Rahman Shaari, Shafie Abu Bakar, Ramli Isin, Jaafar Abdul Rahim, Hamzah Hamdani, Rosnah Baharudin, Noriah Taslim dan ramai lagi menggamat dunia kritikan di Malaysia.Sementara itu, tokoh-tokoh kritikan yang muncul lebih awal seperti Usman Awang, A.Samad Said, Suhaimi Hj Muhammad, Kasim Ahmad dan Ali Ahmad terus memantapkan lagi perkembangan dalam era dengan lebih banyak karya kritikan yang dihasilkan.

Era pemantapan juga memperlihatkan kecenderungan para sarjana sastera Melayu menghasilkan teori dan pendekatan kritikan sendiri. Ini telah dimulai dengan Muhammad Hj Salleh yang telah memperkenalkan Puitika Melayu, kemudian diikuti oleh teori Persuratan Baru oleh Mohd Affandi Hassan, Pengkaedahan Melayu oleh Hashim Awang, teori Takmilah oleh Shafie Abu Bakar, teori Teksdealisme oleh Mana Sikana, Rasa-Fenomenologi oleh Sohaimi Abdul Aziz dan teori Pemikiran Strategik 4L oleh Mohd Yusof Hassan. Memasuki abad ke-21 muncul pula teori Konseptual Kata Kunci oleh Mohamad Mokhtar Hassan teori Anjakan Makna oleh Rahman Shaari dan teori Sastera Warisan oleh A.Wahab Ali.



No comments:
Post a Comment